Monday, February 24, 2020

TADABBUR – PERIHAL KAMERA


Dr Tareq AlSuwaidan mengisahkan bahawa seorang lelaki bercerita:

Ketika saya berada di Belanda, saya menerima sepucuk surat menyatakan bahawa saya telah melakukan kesalahan lalu lintas di mana saya telah melanggar lampu isyarat di jalan sekian, pada jam sekian dan hari sekian. Surat itu mengandungi beberapa soalan: adakah anda mengaku bahawa anda telah melakukan pelanggaran tersebut atau tidak? Adakah anda mempunyai sebarang bantahan?”
Denda yang dikenakan atas kesalahan tersebut adalah 150 EUR.

Oleh kerana saya tidak ingat pernah melanggar lampu isyarat atau tidak, dan saya tidak mengenali dengan tepat nama-nama jalan di Belanda maka saya menjawab, “Ya. Saya mempunyai bantahan. Ini kerana saya tidak yakin bahawa saya pernah memandu di jalan tersebut atau melanggar lampu isyarat tersebut?”

Beberapa minggu kemudian saya menerima sepucuk surat. Padanya terdapat tiga keping gambar kereta saya. Satu keping ketika saya belum melintasi lampu isyarat yang sedang merah, satu keping ketika saya melintasi lampu yang sedang merah dan yang ketiga ketika kereta saya melepasi satu meter dari lampu yang masih juga merah. 
Semuanya terakam dengan tepat tanpa sebarang kesamaran. Lalu saya membayar denda 150 EUR selepas mengaku bersalah dan tidak dapat membantah lagi.

Beberapa minggu selepas peristiwa itu ketika sedang membaca dan mentadabbur AlQuran, saya sampai kepada firman Allah (yang bermaksud): "Inilah surat (tulisan malaikat) Kami, ia memberi keterangan terhadap kamu dengan yang benar, kerana sesungguhnya Kami telah (perintahkan malaikat) menulis segala yang kamu telah lakukan (di dunia dahulu)!" (Al-Jaathiyah 45:29

Saya terus teringat peristiwa yang saya lalui, melanggar lampu isyarat. Pelanggaran itu dirakam oleh kamera ciptaan manusia. Itupun saya tidak dapat lari. Apa lagi segala perbuatan, percakapan, sehingga niat di dalam hati dicatat dan dirakam oleh malaikat Allah? Mampukah saya berdalih atau melarikan diri? Saya jadi gementar. Ketakutan menyelinap ke seluruh urat sarap saya.
Ya Allah, kalau apa yang dirakam oleh manusiapun saya tidak dapat lari, apa lagi rakamanMu? 
Ke manakah saya akan lari pada hari qiamat nanti?

Dan "Kitab-kitab Amal" juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka akan berkata:" Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua dihitungnya!" Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya); dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorangpun.” (Al-Kahfi 18:49

Ya Allah, ampunilah kami! Ampunilah orang-orang yang kami kasihi ya Rabb al-‘alamin.

Daripada FB Dr Tareq AlSuwaidan

No comments: