Umum mengetahui bahawa antara kewajipan isteri ialah taat kepada suami. Ini diterangkan secara terperinci di dalam al-Quran dan al-Hadis kemudian dikupas dan diolah oleh ulamak. Di antara nas al-Quran yang berkaitan dengan kewajipan isteri terhadap suami atau hak suami ke atas isteri ialah Firman Allah s.w.t. bermaksud:
1. “…Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak); dalam pada itu orang-orang lelaki (suami-suami itu) mempunyai satu darjat kelebihan atas orang-orang perempuan (isterinya). Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Al-Baqarah:228)
2. “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemeliharaan Allah dan pertolonganNya dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur dan (kalau juga mereka masih degil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar.” (An-Nisa’:34)
Manakala Hadis yang berkaitan dengan kewajipan isteri taat kepada suami antara lain:
1. Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Sekiranya aku harus memerintahkan seseorang sujud kepada seseorang yang lain, nescaya aku akan perintahkan wanita sujud kepada suaminya lantaran besarnya hak suami yang ditentukan Allah ke atas isteri.” (Abu Daud)
2. Daripada Ummu Salamah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Mana-mana perempuan yang tidur malam dalam keadaan suami reda kepadanya, akan masuk syurga.” (At-Tirmizi)
3. Daripada Abi Umamah r.a., seorang perempuan datang bertemu Rasulullah s.a.w. membawa dua orang anak kecilnya; seorang daripadanya didukung, seorang lagi dipimpinnya. Melihat keadaan perempuan itu baginda bersabda maksudnya: “Mereka (para wanita) mengandung, melahirkan dan menyayangi anak-anak. Kalaulah tidak kerana menyakitkan hati suami, nescaya orang-orang yang menunaikan solat dari kalangan mereka akan masuk syurga.” (Ibn Majah)
Ayat-ayat al-Quran serta beberapa Hadis yang tertera di atas menunjukkan betapa besarnya hak seorang suami ke atas isteri. Dan kewajipan isteri mentaati suami bukanlah sesuatu yang boleh dipandang remeh. Isteri yang taat kepada suami dijanjikan syurga. Sebaliknya yang ingkar dan durhaka akan dilaknat oleh malaikat Allah ‘Azza wa Jalla. Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Apabila isteri enggan menyahut ajakan suami ke tampat tidurnya, malaikat akan melaknatnya sampai ke pagi.” (Al-Bukhari)
Walaupun begitu ini tidak bermakna suami harus mengeluarkan apa saja perintah dan isteri wajib taat sepanjang masa, setiap ketika tanpa membantah. Di dalam ayat di atas (al-Baqarah:228) Allah menyatakan dengan jelas (Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya) atau istilah asal yang digunakan di dalam al-Quran “al-ma’ruf”. Di dalam tafsirnya az-Zamakhsyari berkata al-ma’ruf bermaksud yang tidak dilarang oleh syarak dan tidak berlawanan dengan kebiasaan manusia.
Maka suami isteri tidak harus membebankan pasangannya perkara yang tidak ada kena mengena dengan haknya dan tidak boleh berkasar ke atas satu sama lain. Setiap pihak mesti menunaikan kewajipannya dengan cara yang sebaik-baiknya. Al-Qurtubi pula menaqalkan kata-kata Ibn Abbas: hak isteri ke atas suami adalah persahabatan serta pergaulan yang baik sebagaimana hak suami ke atas isteri adalah mentaati apa yang dimintanya.
Justeru, hak suami ke atas isteri dibatasi dengan sempadan ma’ruf. Jika suami meminta atau memerintahkan isteri agar melakukan sesuatu yang haram maka tidak wajib ke atas isteri mentaatinya. Begitu juga jika suami menghalang isteri melakukan perkara yang difardukan Allah, maka isteri tidak boleh patuh kepada larangan tersebut.
Maka tidak harus bagi suami:
1. Menyuruh isteri berhias atau menggunakan perhiasan yang dilarang oleh Syarak seperti memakai rambut palsu, memanjangkan kuku dan mengecatnya dengan bahan yang menghalang air ketika wuduk atau mandi wajib.
2. Menghalang isteri ke masjid untuk ibadah atau menghadiri majlis ilmu.
3. Menyekat isteri menunaikan fardu haji bersama mahramnya.
4. Menghalang isteri menziarahi kaum kerabatnya, khusunya kedua ibu bapanya kerana ini boleh menyebabkan putusnya silatul rahim yang sangat dibenci oleh Allah dan Rasul. Sehubungan dengan itu, para fuqahak berpendapat sekiranya isteri mempunyai ibu bapa yang sakit atau tua yang memerlukan jagaannya, sedang suami menghalangnya, maka isteri tidak wajib taat, sama ada ibu bapa itu muslim atau kafir.
5. Sekiranya isteri memiliki kepakaran atau pekerjaan tertentu yang masyarakat memerlukan khidmatnya seperti bidan, pemandi jenazah atau lain-lain, maka suami tidak harus menghalang isterinya daripada menjalankan tanggungjawab tersebut.
6. Memaksa isteri melakukan hubungan kelamin pada selain daripada qubul. Rasulullah s.a.w. bersabda maksud: “Sesiapa yang menyutubuhi isteri pada duburnya maka dia terlaknat.” (Sunan Abu Daud). Begitu juga sekiranya suami meminta isteri mengulum atau menghisap zakarnya, tidak harus bagi isteri melakukankannya kerana itu bukan tempat yang diizinkan oleh Allah s.w.t.
Kesimpulannya, isteri yang taat akan diganjari syurga. Suami pula jangan mencari neraka dengan kuasa dan amanah yang Allah beri sebagai pemimpin di dalam rumahtangga.
No comments:
Post a Comment