Friday, February 14, 2020

Abam Bocey


Selepas Abam Bocey atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar bin Syed Mohd Redzuanpergi menyahut panggilan Penciptanya pada 10 Februari 2020 yang lalu,ramai yang bercakap tentang kebaikannya, menjadi saksi akan keelokan akhlak dan budi pekertinya serta teruja dengan kehadiran muslimin yang sangat ramai melaksanakan solat jenazah ke atasnya, alhamdulillah.

Percayalah bahawa sesungguhnya semua itu tidak berlaku secara kebetulan atau secara tiba-tiba dalam sekelip mata. Sebaliknya itulah jalan yang telah dipilihnya sepanjang hidupnya di dunia dan Allah memberikan ganjaran selepas dia berpindah ke alam baqa.

Justeru kita yang belum sampai ajal ini, yang masih diberi peluang bernafas di dunia yang fana ini, buatlah pilihan yang bijak. Fikirkanlah, apakah yang kita mahu Allah balas kepada kita di akhirat kelak dan apakah yang kita mahu orang kata selepas kita telah tiada nanti. 

Dan ketahuilah bahawa perkara yang paling Allah suka, perkataan yang paling indah di sisiNya ialah dakwah. 
Allah berfirman maksudnya: “Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang berdakwah, menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: "Sesungguhnya aku adalah dari kalangan orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!" (Fussilat 41:33)

Maka janganlah kita bertangguh lagi. Ayuh berdakwah, di samping meningkatkan amal soleh bersama orang-orang yang beramal dan berserah diri kepada Allah ‘Azza wa Jalla.

*UMD*
14022020/20061441

No comments: