Saturday, February 15, 2020

TPM KITA


Dato' Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail dan solat Dhuha
Sejak saya kenali Kak Wan, baik sebagai penyokong dari jauh sehingga kini menjadi pegawai beliau, saya perhatikan solat Dhuha dan Kak Wan berpisah tiada.
Semalam, lebih kurang 15 minit sebelum bermula mesyuarat, seperti biasa saya masuk ke pejabat beliau untuk taklimat akhir. Begitulah tugas bagi sesiapa yang menjadi PIC kepada sesuatu program atau mesyuarat. Sebelum itu selama hampir sejam beliau telah mengadakan mesyuarat tertutup dengan seorang pegawai kanan kerajaan yang baharu dilantik. Sebaik pegawai itu keluar melalui pintu utama, Kak Wan terus memanggil saya masuk sambil melambai-lambai tangan.
Saya mengambil hati boss dengan berkata, "eh tak pa dahulu Kak Wan, rehat dahulu." Beliau menjawab sambil berseloroh slanga Penang campur Kelantan, "rehat apa eh, pagi lagi ni, tengah bertenaga lagi."
Sebaik saya duduk, beliau bertanya, "eh dah pukul berapa?"
Saya menjawab sambil dapat mengagak apa tujuan beliau bertanya, "9:45 Kak Wan. Dhuha?"
"Aa ah, kejap ye Kak Wan solat dulu," ujar beliau sambil berjalan cepat ke bilik peribadinya.
Lima minit kemudian beliau datang ke meja semula dan saya pun mula memberikan maklumat terkini mesyuarat terutama teks ucapan beliau sebagai Pengerusi Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pendidikan Tahfiz Malaysia di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat.
Tepat pukul 10:00 pagi kami pun turun dari tingkat 38 menara KPWKM ke tingkat 21 untuk memulakan mesyuarat. Begitulah rutin beliau seharian bahkan beliau pernah minta pegawainya memperingatkan dan memberi ruang untuk beliau mendirikan solat Dhuha dalam kesibukan harian.

CnP daripada FB Zamri Zainal Abidin

Kenapa saya copy dan paste status Ustaz Zamri di atas? Kerana apabila membaca status tersebut, saya teringat firman Allah yang bermaksud: “Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka…” Al-Baqarah:187

Alangkah indahnya perumpamaan yang Allah lukiskan. Suami pakaian bagi isteri. Isteri pakaian bagi suami.

Semasa berceramah di program Seminar Keluarga Sejahtera di JB minggu lepas, saya menyebut bahawa antara peranan pakaian adalah:
1.     Keperluan sepanjang masa dan tempat. Pada bila-bila masa dan di semua tempat kita memerlukan pakaian yang bersesuaian dengan masa dan tempat kita berada.
2.     Menutup aurat atau keaiban. Menutup aurat bukan sahaja perintah agama yang wajib dipatuhi. Malah ia merupakan tuntutan fitrah semula jadi. Manusia yang bersih fitrahnya berasa malu mendedahkan auratnya di hadapan khalayak
3.     Menahan panas dan sejuk. Allah jadikan kulit manusia tidak tahan diserang cuaca panas dan sejuk. Maka pakaianlah yang menjadi bentengnya.
4.     Perhiasan. Pakaian juga merupakan satu bentuk perhiasan yang membalut badan. Lantaran itu kita lihat manusia mencipta reka pelbagai corak dan warna. Serta ditambah pula dengan pelbagai renda dan permata.
5.     Identity dan lambang budaya serta adat resam si pemakainya. Melihat pada bentuk pakaian, kita dapat mengenali bangsa dan dari manakah asal si pemakainya.

Apakah kaitan ini semua dengan cerita tentang TPM kita?

Beliau adalah isteri kepada seorang insan yang bernama Anwar bin Ibrahim. Beliau adalah pakaian kepada insan tersebut. Beliau adalah identity dan lambang budaya Anwar! Bukankah identity seperti itu yang kita cari untuk memimpin dan menerajui negara ini dengan jujur dan amanah berlandaskan keimanan serta ketaqwaan kepada Allah? 

Kerana itu, saya sangat hairan kenapa sebahagian orang terutama dari kalangan pertubuhan Islam yang begitu bersungguh-sungguh mencari jalan depan dan belakang untuk menghalang Anwar dari menjadi PM ke 8? 

Anda ada jawapan?

*UMD*

15022020/21061441

No comments: