Wednesday, February 05, 2020

INDAHNYA UKHUWWAH FILLAH


Abu Hubairah ‘Aaiz bin ‘Amru al-Muzani, salah seorang peserta Bai’ah ar-Ridhwan r.a. menceritakan:
“Bahawasanya Abu Sufyan (pada ketika kisah ini berlaku, belum memeluk Islam) datang kepada Salman al-Farisi, Suhaib ar-Rumi, Bilal al-Habsyi dan beberapa orang yang lain lagi (selepas Rasulullah s.a.w. mematerai perjanjian Hudaibiyah). Apabila melihat Abu Sufyan datang, mereka berkata: “Pedang-pedang Allah belum mengena ke atas musuh Allah dengan setepatnya!”
Abu Bakar r.a. yang mendengar kata-kata itu, menegur mereka: “Patutkah kamu berkata begitu kepada seorang ketua kaum Quraisy dan pembesar mereka?”

Abu Bakar r.a. pergi menemui Rasulullah s.a.w. menceritakan hal tersebut kepada baginda. Baginda s.a.w. bersabda: “Wahai Abu Bakar, adakah mereka marah (terasa hati) kepadamu (dengan sebab kata-katamu itu?). Sekiranya mereka marah kepadamu, nescaya Tuhanmu marah kepadamu!” 

Lantas Abu Bakar r.a. pergi menemui mereka dan berkata: “Wahai saudara-saudaraku, adakah kalian marah kepadaku?”
Mereka menjawab dengan serentak: “Tidak. Mudah-mudahan Allah ampunimu wahai saudaraku!” Riwayat Muslim. 

Petikan daripada sebuah kisah yang berlaku di zaman nubuwwah yang penuh barakah menyuntik pelbagai ibrah yang tidak ternilai.

1.     Izzah dengan Islam. Salman, Suhaib dan Bilal radhiallahu’anhum adalah mereka yang tidak mempunyai kedudukan, miskin harta dan dipandang rendah menurut kacamata manusia. Salman dan Bilal adalah bekas hamba yang tidak mempunyai apa-apa hak ke atas diri sendiri. Namun, dengan Islam tidak ada sedikitpun perasaan rendah diri terguris di dalam hati mereka meskipun berdepan dengan individu yang paling berpengaruh seperti Abu Sufyan.
2.     Ketinggian budi Abu Bakar r.a. dan ketulusan hatinya. Beliau tidak mengabaikan kedudukan seseorang yang dipandang tinggi dari segi status sosialnya seperti Abu Sufyan, meskipun dia tidak beriman.
3.     Islam mengikat umatnya dengan ikatan ukhuwwah atau persaudaraan yang hakiki. Abu Bakar dan Bilal. Siapakah mereka berdua? Bilal adalah hamba yang dibeli oleh Abu Bakar lalu memerdekakannya. Tetapi Islam telah menjadikan mereka berdua saudara kerana Allah. Abu Bakar r.a. memanggil Bilal r.a. saudaraku, bukan bekas hambaku. Bilal r.a. memanggil Abu Bakar r.a. saudaraku, bukan mantan taunku. Sesungguhnya segala macam dinding dan belenggu yang memisahkan kedudukan sesama manusia lebur dan sirna dek cahaya iman dan Islam.
4.     Pantas menyahut seruan dan membetulkan kesilapan serta keghairahan dalam mencari keredhaan Tuhan. Apabila ditegur oleh Nabi s.a.w. Abu Bakar r.a. tidak bertangguh walau sebentar. Beliau terus pergi menemui saudara-saudaranya untuk meminta maaf di atas teguran beliau yang ternyata lahir dari salah faham beliau sendiri. 

Ya Allah, satukanlah kami dengan hamba-hambaMu yang mulia ini di sisiMu nanti.

*UMD*

06022020/12061441

No comments: