And whatever good you do, (be sure) Allâh knows it. And take a provision (with you) for the journey, but the best provision is At-Taqwa (piety, righteousness). So fear Me, O men of understanding! (Al-Baqarah 2:197)
Monday, August 31, 2020
SYARAT AHLI PAN NAK MASUK PAS III
Sunday, August 30, 2020
SYARAT AHLI PAN NAK MASUK PAS II
“Kenapa nampak moyok adik Kak Long ni? Tak ada duit nak beli top up ye?” Tegur Kak Long dengan nada bergurau setelah adiknya masuk, duduk dan menghabiskan segelas jus limau yang dihidangkannya.
“Ala Kak Long ni, mentang-mentang la orang pernah minta duit dengan dia untuk beli top up, itu la yang dia ingat. Tapi, kalau nak bagi apa salahnya. Kecil tapak tangan, Stadium Bukit Jalil Am tadahkan” sahut Amru membalas gurauan Kak Long disambut dengan ketawa mesra kedua-duanya.
“Sebenarnya Am ada masalah besar ni, Kak Long.”
“Masalah besar? Apa dia? Am putus cinta ye?” Kak Long membuat telahan dengan nada seperti terkejut.
“Merepek lah Kak Long ni. Mana pulak putus cinta? Bercinta pun tidak. Kak Long juga yang pesan, jangan bercinta sebelum kawin, bukan?”
Kak Long tergelak kecil.
“Am risaukan tentang Kak Long...”
“Hah? Kenapa? Kak Long ok je ni?” Soal Kak Long. Kali ini dia benar-benar terkejut dan hairan mendengarnya.
“Am takut ...” kata-katanya tersekat di situ.
“Takut apa?” Kak Long mencelah. Darjah kehairanannya meningkat.
“Takut... Kak Long murtad!”
“Astaghfirullahal-’Adziiim...apa yang Am merepek ni? Kak Long buat apa sampai Am takut Kak Long murtad?”
“Kak Long ahli pan, kan?”
“Bukan pan. Parti Amanah Negara @ AMANAH!”
“Betul lah, singkatannya pan. Macam Parti Islam SeMalaysia, singkatannya pas, eh? Kenapa pas? Sepatutnya pis la?” Amru tiba-tiba terperasan bahawa singkatan parti Islam semalaysia sepatutnya pis, “ah! Biarlah apa-apa pun. Bukan itu yang hendak dipersoalkan” sambungnya lagi.
“Am tahu tak, nama adalah hak peribadi seseorang atau sesebuah pertubuhan? Ia adalah identiti kita!” Kak Long berhenti seketika kemudian menyambung,
“Am suka tak kalau orang panggil ambif?”
“Eh, apa pula ambif? Itu bukan nama Am!” sahut Amru dengan pantas.
“Itu singkatan nama Am. Amru bin Faisol!”
“Pelik je...” Amru mencemikkan mukanya.
“Am tak suka, bukan? Sebab Am tidak pernah menjadikannya sebagai nama pengenalan diri Am. Berbeza dengan Kak Long. Walaupun nama Kak Long Amalina, tapi Kak Long sudah jadi identiti diri yang orang kenal dengannya. Sebab itu Kak Long tak marah dan tak kecil hati walaupun orang yang berpangkat nenek sekalipun yang panggil dengan panggilan Kak Long.”
Kak Long berhenti seketika. Amru tidak membalas. Dia menanti sahaja apa yang akan disyarahkan oleh Kak Long seterusnya.
“Macam pas. Tadi Am kata, sepatutnya singkatan dia pis. Tapi mereka tak guna nama itu. Jadi semua orang sebut pas. Kami Parti Amanah Negara tidak pernah menggunakan singkatan pan. Sebaliknya kami menggunakan nama Amanah. Pan bukan nama kami!” tegas Kak Long mengakhiri syarahannya berkaitan dengan nama.
“Habis tu kenapa geng-geng Abah, ustaz-ustaz mereka panggil pan?” Soal Amru seperti belum berpuas hati dengan penerangan Kak Long yang panjang lebar tadi.
“Am, biasanya orang tak mahu sebut nama seseorang kalau dia marah atau tak suka kepada orang itu. Nabi s.a.w. pernah memberitahu Aisyah r.a. bahawa beliau tahu bila Aisyah suka dan bila Aisyah marah. Aisyah tanya, macam mana baginda tahu? Baginda menjawab, ketika suka Aisyah bersumpah “demi Tuhan Muhammad”, ketika marah Aisyah bersumpah “demi Tuhan Ibrahim”. Tengok Aisyah tak sanggup nak sebut nama insan yang paling dia sayang ketika dia dikuasai emosi marah kepada suami kecintaannya itu.”
“Maknanya orang pas yang sebut pan dan tak mahu sebut amanah tu kerana mereka benci dan marah pada amanah?” Amru seperti membuat kesimpulan sendiri.
“Itu mereka perlu jawab!” tegas Kak Long.
“Hemm pelik la perangai orang tua-tua ni!” Rungut Amru.
“Am pun dah masuk kategori orang tua tau? 18 tahun. Tak lama lagi dah boleh mengundi. Jadi kena ambil tahu juga hal-hal parti ni.”
“Tadi yang Am nak tanya sebenarnya apa? Apa kaitan Kak Long jadi ahli amanah dengan ketakutan Am Kak Long akan murtad?”
“Am terbaca status seorang ustaz di FB. Jap Am buka dan tunjuk pada Kak Long status tu...” Amru menyentuh skrin telefon bimbitnya dan menggerakkan jarinya ke atas dan ke bawah.
“Ala... mereka dah padam la pulak status tu Kak Long...” keluh Amru dengan nada keciwa.
“Tapi Am ingat apa yang tertulis...”
“Apa?”
“Dia kata kalau ahli pan nak masuk pas, kena minta maaf dengan ahli pas dan TGHH, istighfar 3x dan mengucap 2 kalimah syahadah!”
“Tak ada pun dia kata murtad? Apa yang Am risau sangat?”
“Bila kata kena mengucap, itu yang Am faham macam orang nak masuk Islam. Jadi Am risau lah, Kak Long kesayangan Am ni dah murtad ke?”
Kata-kata itu disambut oleh Kak Long dengan ketawa kecil. Dia memandang jam yang terpapar di skrin telefon bimbitnya.
“Am, Kak Long kena pergi ambil Iqbal dan Isyraq di taska sekarang. Lepas ni kita sambung ye!” Kak Long bangkit dan keluar dengan tergesa-gesa meninggalkan Amru termangu-mangu...
“Ala... tengah hot bincang, kena cut pulak!” keluh Amru.
Bersambung, in syaa Allah. Sabar tau!
Saturday, August 29, 2020
SYARAT AHLI PAN NAK MASUK PAS
“Apa yang dimusykilkan tu, Am? Nampak berkerut je?” Tegur Haji Faisol.
“Am tengah baca satu status di FB seorang ustaz ni, Abah” Jawab Amru sambil berjalan ke tempat Haji Faisol yang sedang membaca akhbar terbitan partinya.
“Cuba Abah baca ni” Amru menghulukan telefon bimbitnya kepada Haji Faisol dan mengisyaratkan kepada satu status yang berbunyi:
“Syarat ahli Pan nk masuk pas
1. Mohon maaf kpd semua ahli dan TGHH
2. Istighfar 3x
3. Mengucap 2 kalimah syahadah”
“Hah... apa masalahnya?” Sergah Haji Faisol setelah membaca status itu baris demi baris.
“Emmm Am tak faham kenapa ustaz cakap macam tu? Kenapa kalau ahli pan nak masuk pas kena mengucap? Selama ini Am tak pernah dengar orang nak masuk parti politik kena mengucap?” Soal Amru lambat-lambat. Dia benar-benar tidak mengerti.
“Am tahu tak ahli pan tu apa?” Soal Haji Faisol menduga.
“Entah?” Amru menggeleng.
“Kalau Am nak tahu, mereka itu pernah menjadi ahli parti Islam. Sama-sama berjuang untuk menegakkan Islam. Kemudian mereka keluar parti kerana tidak bersetuju dengan ulamak. Mereka tubuh parti yang namanya pan. Mereka bersekongkol dan menjadi khadam kepada kafir harbi yang menentang Islam!” Panjang syarahan Haji Faisol kepada anaknya yang baru tamat sekolah menengah itu.
“Maknanya dengan sebab mereka keluar parti Islam, mereka dikira murtad?” Amru semakin keliru.
“Am tau tak? Itu ustaz yang cakap. Dia seorang ulamak. Pewaris Nabi. Kita ni siapa? Ilmu kita banyak mana nak mempersoalkan kata-kata ulamak?”
Amru terdiam. Bukan sebab dia faham dan bersetuju dengan penjelasan Haji Faisol. Tetapi dia cuba untuk mensejajarkan dengan apa yang dia pelajari tentang Islam. Dia buntu. Fikirannya jadi kelabu. Dalam usia yang masih mentah sepertinya pastilah banyak lagi yang harus dipelajari. Bisiknya di dalam hati.
“Kak Long dan suaminya, macam mana, Abah?” Tetiba terpantul soalan itu dari mulut Amru.
“Kenapa pulak dengan mereka?” Tanya Haji Faisol.
“Kalau tak silap, hari tu Am ada dengar Abah bertengkar dengan Kak Long sebab Kak Long join pan?”
Haji Faisol mendengus. Berat baginya hendak menjawab soalan Amru itu. Tergamakkah dia untuk mengatakan dengan terus terang bahawa anak sulungnya juga termasuk dalam kategori murtad?
“Kalau ikut status tu, Kak Long dan Abang Long kena mengucap 2 kalimah syahadah kalau mereka nak masuk pas. Kalau mereka tak nak masuk, tak payah mengucap? Kalau tak mengucap, mereka jadi apa? Jadi bukan Islam ke?” Amru meluahkan kekeliruannya satu persatu.
Haji Faisol membisu menadah telinga sambil menatap akhbar partinya. Yang dia nampak hanyalah calitan warna hitam berjalur-jalur di atas kertas putih. Seperti fikirannya yang sedang diselubungi warna hitam. Dia tidak tahu bagaimana hendak menghuraikan kekeliruan yang dihamburkan oleh Amru. Apa yang dia tahu dia bukan ulamak. Lantaran itu dia kena terima apa yang diperkatakan oleh ulamak. Kalau tak ikut ulamak, nak ikut siapa? Ikut orang jahil? Orang jahil tahu apa?
Melihat abahnya membisu seolah-olah tidak mendengar apa yang diluahkannya, Amru bangun. Dia mengambil topi keledar dan kunci motosikal, lalu melangkah ke pintu.
“Mahu ke mana tu, Am?” Soal Haji Faisol dengan suara garau.
“Ke rumah Kak Long, Abah...”
Apakah yang Amru bincang dengan Kak Longnya? Jangan lupa untuk mengikutinya pada siri akan datang in syaa Allah.
Friday, August 28, 2020
TAHLIL UNTUK ARWAH SUAMI TERCINTA
“Macam mana ni, Mama?” Luah Ifa dengan suara yang seakan-akan hendak menangis.
“Macam mana apa?” Soal Puan Aini balik. Dia tidak mengerti apa yang dirisaukan oleh anaknya yang baru sebulan kematian suami tercinta, Syihab.
“Ibu nak buat kenduri tahlil untuk arwah Abang Ab di rumahnya malam esok.”
“Biarlah dia buat.” Balas Puan Aini bersahaja.
“Mama, tahlil arwah itu kan bid’ah? Tak kan nak biarkan mereka buat perkara yang bid’ah untuk suami Ifa?”
“Ifa, bagi mama tahlil arwah ni perkara khilafiah.”
“Bukankah ia tidak pernah dibuat pada zaman Nabi, Mama?”
“Betul Nabi s.a.w. tak buat...”
“So... kalau kita buat apa yang Nabi tak buat, bukan bid’ah?”
“Ada yang kata ia bid’ah. Ada yang kata bukan bid’ah. Itulah Mama kata tadi ia masalah khilafiah.” Jawab Puan Aini dengan tenang.
“Habis tu?” Ifa masih keliru dengan penjelasan Puan Aini.
“Kita tengok apa yang dibuat di dalam majlis tahlil? Baca surah-surah tertentu daripada al-Quran. Campur dengan istighfar, selawat ke atas Nabi, tahlil dan doa. Semua itu perkara yang baik dan dianjurkan kita melakukannya. Malah majlis-majlis seperti itu turut dihadiri para malaikat.”
Ifa mengerutkan muka. Makin keliru pula dia mendengar apa yang diterangkan Mamanya.
“Habis tu... yang ifah dengar selama ni orang kata bid’ah tu macam mana pulak?”
“Bagi mereka yang mengatakan bid’ah adalah merujuk kepada penganjuran majlis pada hari-hari tertentu selepas kematian seseorang, seperti hari ke 7, hari 40, hari ke 100 dengan i’tiqad ia adalah sunat dan mesti dibuat. Kadang-kadang sampai membebankan keluarga si mati. Dan lebih parah lagi kalau dibuat kenduri dengan menggunakan harta peninggalan si mati.”
“Kenapa tak boleh guna harta peninggalan dia?”
“Sebab harta itu dah jadi pusaka. Mungkin dia ada tinggalkan anak kecil. Tak pasal-pasal termakan harta anak yatim. Itu dah jadi haram.”
“Oh begitu. Baru Ifa faham. Jadi cadangan Ibu nak buat kenduri tahlil untuk arwah Abang Ab tu, ok lah ye?”
“Mama tak tahu apa yang keluarga dia faham. Tapi kita sangka baik saja lah. Lagipun, mama fikir menjaga silatul rahim itu lebih utama daripada kita bertelagah tentang perkara yang bukan asas dalam agama”
“Kalau begitu, Ifa kena pergi lah, bukan?”
“Kenapa?”
“Tak elok lah, majlis untuk suami Ifa tak datang. Apa orang kata nanti?”
“Ifa masih dalam iddah. Tak boleh keluar rumah tanpa sebab yang mustahak.” “Ini tak mustahak ke, nak jaga hati mak mertua dan meraikan majlis yang diadakan untuk mendoakan kesejahteraan suami di alam barzakh?”
“Mustahak maksudnya yang berkaitan dengan keperluan untuk hidup, yang tidak ada orang lain boleh tolong uruskan untuk kita. Kenduri tahlil tu tak memerlukan Ifa. Ifa ada atau tidak ia tetap berjalan. Lagipun ia bukan perkara wajib. Nak doakan dia, tak semestinya di majlis itu saja. Di rumahpun Ifa selalu doa, bukan?”
Ifa terdiam. Cuba hadam apa yang mama syarahkan.
“Dah, jangan risau. Mama dan Baba akan hadir nanti sebagai wakil Ifa. Ok?”
Ifa mencium dahi Puan Aini dan memeluknya erat-erat sambil berkata dengan sebak “terima kasih, Mama...”
Wednesday, August 26, 2020
MEMPERINGATI HARI ASYURAA
Terdapat beberapa hadis yang sahih berkaitan dengan hari Asyuraa, iaitu hari ke 10 bulan Muharram.
Antaranya:
1. Daripada 'Aisyah r.a., beliau berkata: "Adalah Rasulullah s.a.w. berpuasa pada hari Asyuraa. Apabila Ramadhan telah difardhukan, jadilah Asyuraa suatu pilihan; siapa mahu puasa dia berpuasa dan siapa mahu berbuka dia berbuka (tidak puasa)" Di dalam riwayat lain, “Orang Quraisy mengamalkan puasa pada hari Asyuraa pada zaman jahiliah. Rasulullah s.a.w. juga berpuasa pada hari tersebut pada zaman jahiliah. Manakala baginda berhijrah ke Madinah, baginda s.a.w. memerintahkan supaya berpuasa pada hari itu. Manakala difardhukan Ramadhan, baginda abaikan (perintah berpuasa hari Asyuraa). Sesiapa yang mahu berpuasa, dia puasa, sesiapa yang tidak mahu, dia tidak berpuasa.” Dikeluarkan oleh AlBukhari, Muslim, Abu Daud dan lain-lain.
2. Daripada Abdullah bin Abbas r.a. dia berkata: "Rasulullah s.a.w. telah berhijrah ke Madinah. Baginda mendapati orang-orang Yahudi berpuasa pada hari Asyuraa (hari ke 10 bulan Muharram).
Baginda bertanya: "Hari apakah kamu berpuasa ini?"
Mereka menjawab: "Ini merupakan hari yang sangat agung. Pada hari ini Allah selamatkan Musa dan kaumnya, dan Allah tenggelamkan Firaun serta kaumnya. Maka Musa telah berpuasa sebagai tanda syukur. Lalu kamipun ikut berpuasa."
Rasulullah s.a.w. bersabda: "Kalau begitu, kami lebih berhak dan lebih utama mengikuti Musa daripada kamu.
"Maka Rasulullah s.a.w. berpuasa dan menyuruh umatnya agar berpuasa." Riwayat al-Bukhari dan Muslim
3. Daripada Ibn Abbas r.a. dia berkata:
"Ketika Rasulullah s.a.w. berpuasa pada hari Asyuraa dan baginda menyuruh umatnya berpuasa, baginda diberitahu, "Ya Rasulullah, hari ini merupakan hari kebesaran Yahudi dan Nasrani!"
Maka baginda bersabda: "Pada tahun akan datang in syaa Allah kita berpuasa hari ke 9 (di samping hari ke 10). Dan sebelum tiba hari Asyuraa tahun berikutnya, baginda telah dijemput kembali ke pangkuan Tuhannya." Riwayat Muslim, Abu Daud, Ahmad dan lain.
4. Daripada Ibn Abbas r.a. juga, Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Hendaklah kalian berpuasa pada hari Asyuraa dan hendaklah kalian berbeza dengan Yahudi. Berpuasalah juga sehari sebelumnya atau sehari selepasnya.” Dikeluarkan oleh Ahmad, Ibn Khuzaimah dan AlBaihaqi.
5. Tentang kelebihan berpuasa pada hari Asyuraa, telah disebut di dalam sebahagian daripada Hadis yang panjang di dalam kitab Sahih Muslim, daripada Abi Qatadah r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: "Dan puasa hari Asyuraa, aku mengharapkan daripada Allah agar Dia menghapuskan dosa setahun sebelumnya." Dan di dalam kitab Sahih al-Bukhari daripada Ibn Abbas r.a., dia berkata: "Aku tidak pernah melihat Nabi s.a.w. bersungguh-sungguh dalam mengerjakan puasa lebih daripada yang lain, melainkan hari Asyuraa dan bulan ini, iaitu Ramadhan."
Berdasarkan riwayat-riwayat di atas, Ibn al-Qayyim menyimpulkan, tiga cara puasa Asyura:
1. Puasa tiga hari: 9, 10, 11. Cara ini paling sempurna
2. Puasa dua hari: 9 dan 10 sebagaimana terdapat di dalam kebanyakan riwayat. Cara ini juga baik
3. Puasa satu hari saja, hari ke 10
Justeru, harus berpuasa hari ke 10 sahaja dan dengan rahmatNya akan memperolehi ganjaran pahala yang dinyatakan di dalam hadis di atas.
Daripada riwayat-riwayat yang dinyatakan di atas juga terdapat beberapa pengajaran yang boleh diambil:
1. Rasulullah s.a.w. tidak menolak terus kebaikan yang diamalkan oleh penganut agama samawi sebelumnya. Sebaliknya baginda bertanya tentang sebab serta alasan kenapa mereka mengamalkannya. Dan setelah diberitahu sebabnya, dan baginda tidak mendapati sesuatu yang bercanggah dengan Syariatnya, bagindapun turut mengamalkannya.
2. Ia menggambarkan sikap keterbukaan Nabi s.a.w. Sikap keterbukaan seperti itu pastinya bertitik tolak dari ajaran Islam yang diwahyukan kepada baginda.
3. Sungguhpun begitu, baginda tidak menceduk apa yang dilakukan oleh orang lain 100%. Bina identity kita yang tersendiri supaya kita tidak di”label” sebagai umat yang hanya tahu meniru. Walaupun kebaikan itu boleh diceduk dari sumber lain, ia seharusnya dicorakkan dengan warna yang selari dengan pilihan kita sendiri.
4. Menunjukkan kesatuan agama samawi (agama yang bersumberkan wahyu). Yahudi, Nasrani (Kristian) dan Islam semuanya berasal dari sumber yang satu: Allah SWT Penguasa sekelian alam. Justeru, kenapa kita harus berpecah dan bertelagah?
Sunday, August 23, 2020
Menteri tidak patuh SOP, Apa yang aku pelajari...
Jika hendak berjuang
Masuklah parti berlambangkan bulan
Yang mengambang siang dan malam
Justeru tidak susah mencari dalil dan alasan
Untuk langgar undang-undang dan peraturan
Jika terdedah kelakuan sumbang
Itu angkara dengki dap yang hatinya walang
Melihat pencapaian kita yang cemerlang
Mengatasi apa yang dia telah lakukan
Lalu dicarinya “kelemahan” kita untuk diviralkan
Biar tercalar karakter kita yang sedang naik menjulang
Jika telah terbukti kesalahan
Bayar sahaja denda yang serupa mainan
Korbankan gaji empat bulan
Tanda insaf dan memohon kemaafan
Perlanggaran bisa dikuburkan
Yang penting keikhlasan mesti dipamerkan
Jika ada yang menuntut perletakan jawatan
Demi maruah, integriti, keadilan dan kebenaran
Sebagaimana pemimpin pelbagai negara lakukan
Seperti di Ghana, New Zeland dan Ireland
Aahh! Mereka mungkin meraih jawatan dengan senang
Pada hal kita bersusah payah merentasi bermacam-macam jalan
Sehingga tebuk atap dan korek pintu belakang
Senang-senang nak minta kita lepaskan?
Jika netizen riuh dan bising membuat bantahan
Tebalkan muka dengan melukis senyuman
Yakinlah pada dalil dan ilmu yang tuan guru keluarkan
Dari teropong yang sentiasa di simbahi cahaya bulan
Justeri ia tidak silap dan tidak bisa dipertikaikan
Bahawa berbohong itu dibenarkan
Demi maslahat parti dan jawatan
Maka, ada siapa yang berani lawan..?
Shah Alam
05011442
24082020
Saturday, August 22, 2020
MIMI DAN NINI
Mimi menghidupkan injin kereta. Mukanya masam. Tangannya laju menekan skrin smart phone sambil merungut-rungut.
“Apa lagi yang dibuatnya? Lambat betullah!”
Nini yang ditunggu-tunggu keluar. Dia mengunci pintu, masuk ke dalam kereta dan duduk di sebelah Mimi.
Mimi memandangnya sekilas.
“Mask bawa tak? Kena denda RM1000 kang, padan muka. Kau ingat kau tu menteri ke, boleh lepas begitu saja!”
“Ya Allah! Terlupa. Aku masuk ambik sekejap ye.” Nini keluar dari kereta.
“Hemm... dah la lambat. Terlupa pulak!” Rungut Mimi..
Sebentar kemudian Nini datang. Dia masuk ke dalam kereta dan duduk di sebelah Mimi.
“Apa yang kau pegang tu, Nini?” tegur Mimi sambil menjeling ke arah Nini.
Nini menghulurkan apa yang dipegangnya kepada Mimi sambil berkata, “Untak kau, tuan puteri!”
“Buat apa ni? Ngada-ngada!” bentak Mimi dengan nada agak marah.
“Tadi kau ingatkan aku supaya pakai mask, takut kena denda RM1000. RM1000 tu kalau kita keluarkan, boleh dicari ganti, atau silap-silap dapat syafaat menteri kita tak kena bayar pun. Sekarang aku nak ingatkan kau pulak, kalau tak tutup rambut tu, dendanya di neraka. Tak boleh tarik balik dan tak ada siapa yang boleh bagi syafaat!”
“Huh!” Mimi mendengus sambil menyambar tudung dari tangan Nini lalu diletakkan di atas ribanya.
“Kat sini,” Nini menyentuh kepala Mimi, “bukan kat situ,” dia memuncungkan mulutnya ke arah paha Mimi.
“Engkau ni, sabar-sabar lah. Jangan desak aku! Kau doakanlah...” sahut Mimi.
Nini menelan air liur. Hatinya melimpah dengan doa dan harapan agar Allah membuka hati sahabatnya itu untuk menutup aurat dengan sempurna dalam masa yang terdekat.
Mimi memasukkan gear dan menekan pedal. Keretapun meluncur menuju ke tempat kerja mereka berdua.
Thursday, August 20, 2020
HAJI SEMAN KELIRU
“Ustaz, tunggu sekejap!”
Ustaz Nasir mematikan langkah apabila mendengar namanya dipanggil. Dia hendak berkejar ke masjid untuk menyampaikan kuliah dhuha pula. Dia menoleh ke arah suara.
“Maaf Ustaz. Kami ada kemusykilan sikit nak tanya.” Haji Seman tercungap-ngucap meluahkan hasratnya. Beberapa orang jemaah mengekori di belakangnya.
“Ya, Haji. Apa yang boleh saya bantu?” jawab Ustaz Nasir dengan nada ramah.
“Saya nak tanya, cerita yang Ustaz bawa dalam kuliah subuh tadi tu betul ke?”
“Cerita yang mana, Haji?”
“Cerita Nabi s.a.w. hendak potong tangan anaknya, Fatimah kalau Fatimah mencuri?”
“Betul Haji. Hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim.” jelas Ustaz Nasir dengan sungguh-sungguh, tegas dan yakin.
Haji Seman diam seketika. Sebaris mendung mengusapi wajahnya.
“Orang-orang macam Ustaz semuanya tahu ke tentang hadis tu?”
“Orang-orang macam saya? Apa maksud Haji?”
“Orang-orang yang belajar agama macam Ustaz? Tok-tok guru, mufti-mufti semua tahu lah tentang hadis tu?”
“Tahu. Kenapa, Haji” jawab Ustaz Nasir dengan perlahan. Dia seperti dapat menghidu sesuatu yang aneh di sebalik soalan Haji Seman.
“Saya dan kawan-kawan saya ni keliru, Ustaz. Dalam hadis tu Ustaz kata, Nabi ajar kita supaya berlaku adil. Kalau tidak, umat akan binasa seperti apa yang telah menimpa umat sebelum kita.”
“Betul tu, Haji,” Ustaz Nasir membenarkan apa yang difahami oleh Haji Seman.
“Allah... kami takut, Ustaz!” keluh Haji Seman dengan suara yang berat.
“Kenapa?” Ustaz Nasir belum dapat menangkap apa yang berputar di dalam benak Haji Seman.
“Kita akan binasa sebab pemimpin kita tidak adil! Tok-tok guru dan mufti-mufti tak tegur!” Gedebum! Kata-kata Haji Seman menghantuk kepala Ustaz Nasir walaupun kata-kata itu dihamburkan dengan nada yang perlahan.
“Mana yang Haji nampak tidak adil tu?”
“Banyak, Ustaz. Tak kan Ustaz tak tahu?”
“Kena lagi...!” Keluh Ustaz Nasir pada diri sendiri. Dia meramas-ramas kunci kereta di dalam genggamannya sebagai tanda isyarat bahawa dia kena pergi sekarang. Nanti terlewat sampai di masjid tempat dia akan menyampaikan kuliah dhuha.
“Cerita terbaru yang sedang hangat diperkatakan, seorang menteri yang tidak patuh arahan kementerian kesihatan tidak diambil tindakan, pada hal orang awam dikenakan hukuman penjara beberapa bulan dan denda beribu-ribu. Ustaz tak takut ke kita dibinasakan sebagaimana yang Ustaz sebut dalam hadis tadi?”
“Mestilah takut, Haji. Tapi saya ni penceramah biasa saja.” Ustaz Nasir cuba berdalih.
“Tak kan lah tugas Ustaz hanya memberi ceramah kepada orang-orang macam kami saja? Makin kelirulah kami. Dalam ceramah Ustaz cakap lain. Orang atas di luar sana buat lain. Orang yang ada ilmu macam Ustaz tak pula tegur mereka....!”
“Bukan takat tak tegur. Ramai yang sokong dan bersekongkol lagi!” kawan-kawan Haji Seman tiba-tiba menambah...
Ustaz Nasir terkedu. Dia memandang jam di tangan. Sudah agak lewat.
Namun yang lebih merisaukannya adakah dia akan berhadapan dengan persoalan yang sama daripada jemaah yang menghadiri kuliah dhuha nanti?