Monday, August 10, 2020

Meraih Habuan Lebih Besar Daripada Dunia

 

Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Dua rakaat fajar (solat sunat subuh) lebih baik daripada dunia dan segala yang ada di dalamnya” Riwayat Muslim

 

Hanya dua rakaat yang ringkas, ganjarannya lebih baik daripada dunia dan segala isinya. Dunia sejak mula ia diciptakan. Segala isinya termasuk yang ada di dalam perutnya yang terdiri dari emas, perak, permata, logam, minyak dan lain-lain yang kita tahu dan kita tidak tahu. Termasuk juga yang ada di atasnya yang terdiri dari segala macam haiwan, tumbuh-tumbuhan, gunung-ganang, bukit-bukau bangunan-bangunan, kenderaan-kenderaan, tasik, sungai, lautan dan lain-lain. Subhanallah!

 

Lantaran itu Nabi s.a.w. tidak pernah meninggalkannya baik ketika musafir atau bermukim. Ia dilakukan setelah masuk waktu subuh, sebelum menunaikan fardhu subuh. Jika tidak sempat dilakukan sebelum fardhu atas sebab-sebab tertentu, baginda mengqadhanya selepas solat fardhu, iaitu masih dalam waktu subuh atau ketika waktu dhuha.

 

Sunnahnya baginda lakukan secara ringkas, iaitu tidak membaca surah yang panjang. Kebiasaannya pada rakaat pertama baginda membaca selepas al-fatihah surah al-kafirun, pada rakaat kedua surah al-ikhlas. Atau pada rakaat pertama ayat 136 daripada surah al-baqarah, pada rakaat kedua ayat 64 daripada surah aali ‘imran.

 

Maksud ayat:

 

Katakanlah (wahai orang-orang yang beriman): "Kami beriman kepada Allah, dan kepada apa yang diturunkan kepada kami (Al-Quran), dan kepada apa yang diturunkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dan Nabi Ishak dan Nabi Yaakub serta anak-anaknya, dan juga kepada apa yang diberikan kepada Nabi Musa (Taurat) dan Nabi Isa (Injil), dan kepada apa yang diberikan kepada Nabi-nabi dari Tuhan mereka; kami tidak membeza-bezakan antara seseorang dari mereka (sebagaimana yang kamu - Yahudi dan Nasrani - membeza-bezakannya); dan kami semua adalah Islam (berserah diri, tunduk taat) kepada Allah semata-mata".

(Al-Baqarah 2:136)

 

Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu Kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan denganNya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah". Kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) berpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: "Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam".

(A-li'Imraan 3:64)

 

Semoga kita diberikan kekuatan, taufiq dan hidayah oleh Allah SWT untuk melakukannya. Aamiin…!

No comments: