Saturday, August 29, 2020

SYARAT AHLI PAN NAK MASUK PAS

 

“Apa yang dimusykilkan tu, Am? Nampak berkerut je?” Tegur Haji Faisol.

“Am tengah baca satu status di FB seorang ustaz ni, Abah” Jawab Amru sambil berjalan ke tempat Haji Faisol yang sedang membaca akhbar terbitan partinya.

“Cuba Abah baca ni” Amru menghulukan telefon bimbitnya kepada Haji Faisol dan mengisyaratkan kepada satu status yang berbunyi: 

“Syarat ahli Pan nk masuk pas 

1. Mohon maaf kpd semua ahli dan TGHH

2. Istighfar 3x

3. Mengucap 2 kalimah syahadah”

 

“Hah... apa masalahnya?” Sergah Haji Faisol setelah membaca status itu baris demi baris.

“Emmm Am tak faham kenapa ustaz cakap macam tu? Kenapa kalau ahli pan nak masuk pas kena mengucap? Selama ini Am tak pernah dengar orang nak masuk parti politik kena mengucap?”  Soal Amru lambat-lambat. Dia benar-benar tidak mengerti.

“Am tahu tak ahli pan tu apa?” Soal Haji Faisol menduga.

“Entah?” Amru menggeleng.

“Kalau Am nak tahu, mereka itu pernah menjadi ahli parti Islam. Sama-sama berjuang untuk menegakkan Islam. Kemudian mereka keluar parti kerana tidak bersetuju dengan ulamak. Mereka tubuh parti yang namanya pan. Mereka bersekongkol dan menjadi khadam kepada kafir harbi yang menentang Islam!” Panjang syarahan Haji Faisol kepada anaknya yang baru tamat sekolah menengah itu.

“Maknanya dengan sebab mereka keluar parti Islam, mereka dikira murtad?” Amru semakin keliru.

“Am tau tak? Itu ustaz yang cakap. Dia seorang ulamak. Pewaris Nabi. Kita ni siapa? Ilmu kita banyak mana nak mempersoalkan kata-kata ulamak?”

Amru terdiam. Bukan sebab dia faham dan bersetuju dengan penjelasan Haji Faisol. Tetapi dia cuba untuk mensejajarkan dengan apa yang dia pelajari tentang Islam. Dia buntu. Fikirannya jadi kelabu. Dalam usia yang masih mentah sepertinya pastilah banyak lagi yang harus dipelajari. Bisiknya di dalam hati.

“Kak Long dan suaminya, macam mana, Abah?” Tetiba terpantul soalan itu dari mulut Amru.

“Kenapa pulak dengan mereka?” Tanya Haji Faisol.

“Kalau tak silap, hari tu Am ada dengar Abah bertengkar dengan Kak Long sebab Kak Long join pan?” 

Haji Faisol mendengus. Berat baginya hendak menjawab soalan Amru itu. Tergamakkah dia untuk mengatakan dengan terus terang bahawa anak sulungnya juga termasuk dalam kategori murtad?

 

“Kalau ikut status tu, Kak Long dan Abang Long kena mengucap 2 kalimah syahadah kalau mereka nak masuk pas. Kalau mereka tak nak masuk, tak payah mengucap? Kalau tak mengucap, mereka jadi apa? Jadi bukan Islam ke?” Amru meluahkan kekeliruannya satu persatu.

 

Haji Faisol membisu menadah telinga sambil menatap akhbar partinya. Yang dia nampak hanyalah calitan warna hitam berjalur-jalur di atas kertas putih. Seperti fikirannya yang sedang diselubungi warna hitam. Dia tidak tahu bagaimana hendak menghuraikan kekeliruan yang dihamburkan oleh Amru. Apa yang dia tahu dia bukan ulamak. Lantaran itu dia kena terima apa yang diperkatakan oleh ulamak. Kalau tak ikut ulamak, nak ikut siapa? Ikut orang jahil? Orang jahil tahu apa?

 

Melihat abahnya membisu seolah-olah tidak mendengar apa yang diluahkannya, Amru bangun. Dia mengambil topi keledar dan kunci motosikal, lalu melangkah ke pintu.

“Mahu ke mana tu, Am?” Soal Haji Faisol dengan suara garau.

“Ke rumah Kak Long, Abah...”

 

Apakah yang Amru bincang dengan Kak Longnya? Jangan lupa untuk mengikutinya pada siri akan datang in syaa Allah. 

No comments: