Monday, August 31, 2020

SYARAT AHLI PAN NAK MASUK PAS III


“Mari kita makan sate, Am. Kak Long singgah beli tadi. Satu bungkus ni lagi Kak Long beli untuk Mama dan Abah. Am bawa balik nanti ye!”
Sambil menikmati sate, mereka sambung perbincangan.
“Kak Long betul ke tak rasa apa-apa dengan status tu?”
“Dalam keadaan biasa, semua yang ditulis itu baik, Am. Meminta maaf adalah sesuatu yang sangat dituntut oleh agama kita. Malah kita diharamkan tidak bertegur sapa lebih dari tiga hari, bukan?
Beristighfar juga adalah satu amalan yang sangat-sangat digalakkan. Bukan 3 kali, malah Rasulullah s.a.w. sendiri beristighfar lebih daripada 70 kali sehari. Begitu juga dengan mengucap. Kita mengucap setiap kali menunaikan solat semasa tahiyyat awal dan tahiyyat akhir.”
Kak Long berhenti seketika. Dia memerhati Amru yang begitu berselera meratah sate.

“Am dengar tak apa yang Kak Long cakap tadi?”
“Dengar, Kak Long,” jawab Am sambil mengunyah sate, “Sedap sangat la sate yang Kak Long beli ni...”
“Itu yang Kak Long beli. Kalau masak sendiri, lagi terangkat...Woo”
“Eleh, perasan pula dia.”
“He he...”
“Kak Long sambung la lagi...”
“Ok, tadi Kak Long kata, semua anjuran yang tertulis di status tu baik belaka jika dalam keadaan biasa. Tetapi oleh kerana ia terhasil daripada latar belakang yang tertentu maka latar belakang itulah yang mewarnainya...”
“Adoh, bersastra pula dia!” celah Amru.
“Tak ada lah. Kak Long cuma nak kata, oleh kerana status itu ditulis oleh orang pas yang ada latar belakang berlainan pendapat dengan orang amanah, maka ia seperti ada masalah.”
“Itu yang Am cuba nak faham.”
“Dia suruh orang amanah minta maaf, beristighfar dan mengucap memberi gambaran seolah-olah segala kesalahan terlonggok di atas kepala orang amanah sahaja. Pihak mereka semua betul dan bersih dari segala kesilapan. Justeru, mereka tidak perlu meminta maaf. Bagi Kak Long, ini satu fahaman yang tidak sihat.”

“Abah kata, mereka ulamak. Mereka lebih tahu tentang agama daripada kita. Sebab itu kita mesti ikut cakap mereka.”
“Kalau pun betul mereka ulamak, Am kena tahu bukan mereka sahaja, ramai lagi ulamak di luar sana sama ada di dalam atau di luar negara. Dan ulamak tidak maksum macam Nabi. Kadang-kadang ulamak juga buat silap. Ulamak besar seperti Imam Abu Hanifah pernah berkata lebih kurang maksudnya, “ini pendapat aku yang aku yakin betul, namun tetap ada kemungkinan salah. Dan itu pendapat lawanku yang aku yakin salah, namun tetap ada kemungkinan betul”. Seorang lagi ulamak besar, Imam Malik pernah berkata, “semua manusia boleh diterima kata-katanya dan boleh ditolak kecuali Nabi s.a.w. yang maksum.”
“Hemm susahlah macam ni. Mana nak tahu yang mana betul dan yang mana salah? Kita ni jahil?” Ngomel Amru. Kerisauan jelas terpalit di wajahnya.
“Caranya jangan taksub. Macam Am ni bagus. Tanya Abah, tanya Kak Long. Dan kalau Am tak puas hati dengan penjelasan Kak Long, Am boleh tanya mana-mana ustaz atau ustazah! Tanya untuk faham. Bukan untuk menduga atau melaga-laga”

Amru memandang tepat ke wajah Kak Long.
“Kenapa pandang Kak Long macam tu? Kalau rasa nak tambah lagi sate tu, silakanlah! Jangan malu-malu.”
“Tak nak lah. Dah kenyang, alhamdulillah. Am terfikir, kalau kena mengundi nanti nak pangkah calon mana? Calon Abah atau calon Kak Long?”
“He he...” Kak Long tertawa
“Am, kat Malaysia ni satu parti sahaja tak boleh berdiri sendiri. Kena bergabung dengan parti-parti lain baru boleh membentuk kerajaan. Jadi, kena tengok juga parti-parti yang dia bergabung tu.”
“Ha... Abah kata, parti Kak Long bergabung dengan kafir harbi. Bahaya kalau menang. Islam akan terancam!”
“Am tahu ke kafir harbi tu apa?”
“Entah? Am selalu dengar Abah kata dap tu kafir harbi.”
“Am, sebenarnya kafir harbi, zimmi dan lain-lain istilah lagi semua tu lahir ketika negara dikuasai umat Islam dengan melaksanakan segala sistem berlandaskan ajaran Islam.”
“Jadi, sekarang ni dah tak ada ke?”
“Ada atau tidak, itulah yang mesti dikaji dan diteliti oleh ulamak zaman sekarang. Itulah peranan mereka. Bukan ambil dan tepek saja ikut suka hati ke atas mana-mana orang kafir yang tidak sehaluan dengan mereka.”

“Apa yang telah diputuskan oleh ulamak dahulu, boleh ke nak ubah-ubah pulak? Tak faham lah.”
“Am, setiap hukum dan fatwa tidak lahir dalam kerangka yang kosong. Ada suasana dan latar belakang tertentu yang mendasarinya. Pas sendiri pernah bergabung dan bekerjasama dengan dap...”
“Ye ke?” tanya Amru seperti tidak percaya.
“Ya. Berkerjasama dalam satu gabungan yang dinamakan Pakatan Rakyat. Masa tu Am belum baligh lagi kot? Pada masa itu, Presidennya sendiri pernah mengeluarkan fatwa bahawa mengundi dap itu wajib dan mengundi umno itu haram.”
Amru terlopong.

“Habis tu kenapa sekarang mereka kata wajib tentang dap? Sebab ia membahayakan Islam ke?”
“Tak tahulah sama ada sesuai atau tidak Kak Long nak cakap ni. Tapi Am dengar je la ye.”
“Kenapa Kak Long cakap macam tu? Am memang dengar ni.”
“Kalau nak tahu betul atau tidak dap bahaya kepada Islam, tengok di Selangor dan Pulau Pinang.”
“Kenapa?”
“Selangor diperintah oleh PH yang ada di dalamnya wakil dari dap. Pulau Pinang juga diperintah oleh PH dan ketua menterinya dari dap. Dah 10 tahun tau? Jadi, semua orang boleh lihat dan buktikan manakah kepentingan Islam yang terancam dan terabai di kedua-dua negeri tersebut berbanding dengan negeri-negeri lain di Malaysia?”

“Adui, kepala Am dah mula pening la Kak Long.”
“Itulah Kak Long dah tanya tadi. Tapi Am kata nak dengar juga... kan dah pening?”
“Ha ha. Tapi best juga berdiskusi macam ni. Tiba-tiba je Am rasa macam dah cukup dewasa....”
“Ye la...” sahut Kak Long sambil tertawa.
“Mana sate untuk Mama dan Abah tadi? Am balik dulu la, Kak Long. Terima kasih kerana menjamu Am, fizikal dan minda sekali.

No comments: