Wednesday, August 19, 2020

MAK CIK KIAH TAK SUKA SEMBANG POLITIK

MAK Cik Kiah (MCK) sedang rancak berbual dengan Mak Cik Tipah (MCT). Dari satu topik ke satu topik.
Tiba-tiba mereka ternampak Mak Cik Leha (MCL) jalan berlenggang menuju ke arah mereka. Secara tiba-tiba perbualan mereka terhenti dan air muka masing-masing nampak berubah. Kehadiran yang tidak berapa digemari.
MCL menyedari hal itu. Dia membuka bicara dengan salam.
“Assalamu’alaikum...”
MCK dan MCT menjawab serentak dengan wajah yang kurang ceria: “Wa’alaikumus-salam...”
“Amboi... kenapa awak berdua ni? Nampak macam tak suka dengan kehadiran saya?”
“Eh, bukan tak suka. Awak janganlah tersalah sangka.” Jawab MCK berdalih.
“Habis tu, kenapa tiba-tiba saja diam dan muka berkerut je?” Soal MCL tidak berpuas hati dengan jawapan MCK
“Leha, sebenarnya kami ni tak suka sembang pasal politik. Tapi itulah yang awak selalu bawa. Jadi kami rasa serba salah.” Jawab MCT secara terus terang. Dia menatap wajah MCL cuba membaca reaksi sahabatnya atas jawapannya yang berterus terang itu.
MCL memandang sahabatnya dengan senyum mesra. Dia bertanya, “Ada ke isu yang tidak ada kaitan dengan politik?”
MCK dan MCT berpandangan.
“Tak ada, bukan?” MCL terus menjawab soalannya sendiri apabila mendapati kedua-dua sahabatnya itu tidak menjawab,
“mahu tak mahu kita kena sembang pasal politik!” sambung MCL seperti mengeluarkan satu penegasan.
“Tapi... kami ni tak minat la. Berserabut dengan cerita lompat sana, lompat sini, berebut jawatan itu dan ini... hai...rimas betul!” keluh MCK sungguh-sungguh memberikan alasan kenapa dia dan MCT tidak suka sembang pasal politik.
MCL tak mati akal. Dia sambung hujjahnya “Kiah, Tipah, sembang pasal politik bukan takat itu. Politik adalah ilmu bekenaan dengan cara pemerintahan, ilmu tentang kenegaraan...”
“Lagi la tak ada kaitan dengan kami, Leha. Kita ni kan rakyat biasa je?” pintas MCK. MCT turut mengangguk tanda setuju.
“Betul kita rakyat biasa. Tapi yang jadi pemimpin tu siapa yang angkat mereka? Bukankah kita? Kalau kita tak pilih mereka, mereka pun kekal sebagai rakyat biasa macam kita juga.”
“Ya juga...” celah MCT seperti berbisik.
“Sebab itu, kita kena tahu siapa kita nak pilih dan kenapa? Itulah sebahagian daripada sembang politik.” jelas MCL bersungguh-sungguh.
“Tapi, bukankah undi itu rahsia, Leha?” tanya MCK
“Bagi saya, tidak.” Jawab Leha penuh yakin.
“Maksud awak, kita boleh cerita pada semua orang calon mana yang kita pangkah?” MCK meminta penjelasan.
“Tidaklah semestinya kita hebahkan seantero dunia, tulis dalam FB bagai calon mana yang kita pangkah. Apa yang saya maksudkan ialah kita bincang tentang apakah ciri-ciri pemimpin yang perlu kita pilih. Sama-sama berkongsi maklumat dan pendapat calon parti mana yang memenuhi ciri-ciri yang kita kehendaki dan sebagainya...”
“Bila pilihanraya, Leha?” tiba-tiba MCT bertanya.
“Bila, tidak penting, Tipah...”
“Habis tu? Yang awak beriya-iya cakap pasal pilih calon ni?”
“Allah, saja hendak menjelaskan tentang makna sembang politik tadi...”
“Ooo... tapi saya senang saja.”
“Senang macam mana tu, Tipah?” soal Kiah pula.
“Ikut saja apa yang suami saya suruh pangkah!” jawab Tipah dengan yakin. “Kita kena taat kepada suami, bukan?” sambungnya lagi, “lagipun kita orang perempuan ni mana nak tahu sangat hal-hal parti dan calon-calon?”
MCL terdiam. “Bahaya kalau semua wanita berfikiran seperti Tipah.” getus hatinya sambil mencari idea apa yang hendak diucapkan.
“Awak berdua pernah dengar cerita Asiah isteri Firaun?”
“Pernah.” jawab MCK dan MCT serentak.
“Dia salah seorang penghulu wanita di syurga, bukan?”
“Betul.”
“Agaknya kalau dia ikut saja cakap suami, layak tak dia menjadi penghulu wanita di syurga?”
“Tentulah tidak. Firaun tu kan kafir laknatullah!” jawab Kiah dengan suara yang agak keras.
“Itulah tujuan Allah bawakan cerita tu. Allah hendak tunjukkan bahawa orang perempuan tidak semestinya ikut cakap suami dalam semua perkara.”
“Iya lah, sebab suami dia kafir.” Tipah mencelah.
“Tipah, Kiah, apa yang saya faham Allah hendak mengajar kita bahawa setiap manusia tak kira lelaki atau perempuan mesti berpegang kepada prinsip yang benar dan adil.”
“Betul kita wajib taat kepada suami. Tetapi itu dalam perkara yang berkaitan dengan hak-hak dia sebagai suami. Dalam soal yang tidak ada kaitan dengan hak-hak dia, kita tidak wajib ikut cakap dia.”
“Berbelit-belit je, Leha. Tak faham lah.” ngomel Tipah. Kiah juga nampak berkerut-kerut dahinya.
“Ok. Nak senang cerita macam ni. Awak tahu, bukan ketika Nabi Musa di temui hanyut kemudian dibawa ke istana Firaun? Firaun nak buat apa dengan bayi tu?”
“Bunuh!” jawab Kiah sepatah
“Akhirnya?”
“Dia tak jadi bunuh sebab Asiah pujuk supaya jangan bunuh.” Tipah pula menyampuk.
“Ya. Itulah yang saya hendak katakan. Perempuan mesti bersuara menentang kemungkaran walaupun ia dilakukan oleh suami sendiri! Tak boleh diam apa lagi ikut saja atas alasan kena taat!”
Kiah dan Tipah terkesima.
“Dan satu lagi, sebagai seorang permaisuri, Asiah sebenarnya boleh hidup senang lenang, tak payah nak kesah apa yang berlaku di luar sana. Firaun nak buat zalim macam mana pun, dia boleh kata apa aku kesah? Tetapi tidak begitu. Dia mengambil tahu baik buruk perbuatan suaminya. Dan betapa dia amat terkesan dengan kezaliman yang dilakukan oleh Firaun sehingga dia berdoa “Ya Tuhanku, selamatkanlah aku dari Firaun dan amalannya dan selamatkanlah aku dari kaum yang zalim.”
“Itulah pendirian penghulu wanita di syurga yang kita kena contohi!”

No comments: