Friday, August 28, 2020

TAHLIL UNTUK ARWAH SUAMI TERCINTA

 

“Macam mana ni, Mama?” Luah Ifa dengan suara yang seakan-akan hendak menangis.

“Macam mana apa?” Soal Puan Aini balik. Dia tidak mengerti apa yang dirisaukan oleh anaknya yang baru sebulan kematian suami tercinta, Syihab.

“Ibu nak buat kenduri tahlil untuk arwah Abang Ab di rumahnya malam esok.”

“Biarlah dia buat.” Balas Puan Aini bersahaja.

“Mama, tahlil arwah itu kan bid’ah? Tak kan nak biarkan mereka buat perkara yang bid’ah untuk suami Ifa?”

Ifa, bagi mama tahlil arwah ni perkara khilafiah.

“Bukankah ia tidak pernah dibuat pada zaman Nabi, Mama?”

“Betul Nabi s.a.w. tak buat...”

“So... kalau kita buat apa yang Nabi tak buat, bukan bid’ah?” 

“Ada yang kata ia bid’ah. Ada yang kata bukan bid’ah. Itulah Mama kata tadi ia masalah khilafiah.” Jawab Puan Aini dengan tenang.

“Habis tu?” Ifa masih keliru dengan penjelasan Puan Aini.

“Kita tengok apa yang dibuat di dalam majlis tahlil? Baca surah-surah tertentu daripada al-Quran. Campur dengan istighfar, selawat ke atas Nabi, tahlil dan doa. Semua itu perkara yang baik dan dianjurkan kita melakukannya. Malah majlis-majlis seperti itu turut dihadiri para malaikat.”

Ifa mengerutkan muka. Makin keliru pula dia mendengar apa yang diterangkan Mamanya. 

“Habis tu... yang ifah dengar selama ni orang kata bid’ah tu macam mana pulak?”

“Bagi mereka yang mengatakan bid’ah adalah merujuk kepada penganjuran majlis pada hari-hari tertentu selepas kematian seseorang, seperti hari ke 7, hari 40, hari ke 100 dengan i’tiqad ia adalah sunat dan mesti dibuat. Kadang-kadang sampai membebankan keluarga si mati. Dan lebih parah lagi kalau dibuat kenduri dengan menggunakan harta peninggalan si mati.”

“Kenapa tak boleh guna harta peninggalan dia?”

“Sebab harta itu dah jadi pusaka. Mungkin dia ada tinggalkan anak kecil. Tak pasal-pasal termakan harta anak yatim. Itu dah jadi haram.”

“Oh begitu. Baru Ifa faham. Jadi cadangan Ibu nak buat kenduri tahlil untuk arwah Abang Ab tu, ok lah ye?”

“Mama tak tahu apa yang keluarga dia faham. Tapi kita sangka baik saja lah. Lagipun, mama fikir menjaga silatul rahim itu lebih utama daripada kita bertelagah tentang perkara yang bukan asas dalam agama”

“Kalau begitu, Ifa kena pergi lah, bukan?”

“Kenapa?”

“Tak elok lah, majlis untuk suami Ifa tak datang. Apa orang kata nanti?”

“Ifa masih dalam iddah. Tak boleh keluar rumah tanpa sebab yang mustahak.” “Ini tak mustahak ke, nak jaga hati mak mertua dan meraikan majlis yang diadakan untuk mendoakan kesejahteraan suami di alam barzakh?”

“Mustahak maksudnya yang berkaitan dengan keperluan untuk hidup, yang tidak ada orang lain boleh tolong uruskan untuk kita. Kenduri tahlil tu tak memerlukan Ifa. Ifa ada atau tidak ia tetap berjalan. Lagipun ia bukan perkara wajib. Nak doakan dia, tak semestinya di majlis itu saja. Di rumahpun Ifa selalu doa, bukan?”

Ifa terdiam. Cuba hadam apa yang mama syarahkan.

“Dah, jangan risau. Mama dan Baba akan hadir nanti sebagai wakil Ifa. Ok?”

Ifa mencium dahi Puan Aini dan memeluknya erat-erat sambil berkata dengan sebak “terima kasih, Mama...” 

No comments: