Wednesday, February 12, 2020

Coronavirus (COVID-19)


Saya menerima satu video rakaman ceramah seorang ustaz tentang coronavirus. Dinyatakan bahawa penyakit itu telahpun disebut oleh seorang ulamak di dalam buku yang berjodol “Al-Ususu wa Al-Muntalaqat” yang ditulis puluhan tahun yang lalu (beliau turut menayangkan bahagian yang ada tertulis “huma alkuruna). Naskhah yang dirujuk oleh penceramah itu adalah yang dicetak pada tahun 2015 yang merupakan cetakan ke tiga.

Siapakah penulis buku tersebut?
Beliau adalah Abu Bakar bin Ali al-Masyhur al-‘Adani, lahir di Yaman pada tahun 1366 hijriah. Beliau merupakan keturunan Nabi s.a.w. generasi ke 37.
Sangat terkenal dengan keluasan ilmu dalam pelbagai bidang, pemikir dan pendakwah yang aktif, telah menghasilkan lebih daripada 70 buah buku sastera dan ilmiah.

Berbalik kepada buku yang dikatakan oleh penceramah di dalam video yang saya lihat, dan saya percaya dilihat oleh riban penonton, bahawa ia telah ditulis ribuan tahun yang lalu; maka saya membuat carian untuk mendapatkan pengesahan. Malangnya saya tidak berjumpa naskhah cetakan ke tiga yang dirujuk oleh penceramah. Tetapi dengan izin Allah saya jumpa cetakan pertama yang dicetak pada tahun 2010.

Saya mencari bahagian yang dipetik dan ditayangkan oleh penceramah itu dan saya temui pada halaman 321. Terjemahannya:

“Tajuk: Munculnya penyakit-penyakit yang belum ada pada generasi terdahulu

Dan di antara tanda-tanda kecil yang disebut di dalam hadis-hadis Nabi yang tidak berbicara mengikut nafsu ialah merebaknya penyakit yang berupa wabak-wabak yang tidak pernah ada pada umat-umat dan bangsa-bangsa terdahulu. Sesungguhnya telah muncul gejala ini dan telah merebak dengan meluas, khususnya pada masa-masa terakhir ini. Maka telah muncul wabak-wabak yang berbahaya seperti aids, influenza burung dan khinzir dan lain-lain penyakit kronik yang mana para saintis masih terus mengkaji cara-cara merawatnya, menyelidiki sebab-sebab tersebarnya di kalangan bangsa-bangsa sehingga ke hari ini.”

Jika diperhatikan petikan di atas, kita dapati:
1.     Penulis tidak meramalkan penyakit yang akan muncul (seperti didakwa oleh penceramah). Sebaliknya beliau menyebut beberapa contoh penyakit yang baru muncul seperti aida dan influenza sebagai membenarkan apa yang telah dikhabarkan oleh Nabi s.a.w. di dalam hadis-hadis baginda.
2.     Dalam cetakan pertama 2010 itu, tidak disebut tentang corona. Kalau pun ada disebut dalam cetakan ke tiga tahun 2015, ia tidak boleh dikatakan sebagai ramalan kerana penyakit itu telahpun muncul sebelum itu lagi. Contohnya SARS coronavirus yang telah merebak pada tahun 2002 dan 2003.

Jadi, apa yang ingin saya tekankan ialah kita tidak menafikan kelebihan serta karamah yang dikurniakan Allah kepada sebahagian hambaNya yang terpilih disebabkan keimanan, keilmuan serta keikhlasannya. Namun, tidak perlulah berlebih-lebihan dalam mendakwa kelebihannya sehingga ke tahap mereka-reka perkara yang beliau tidak kata. Islam mengajar kita agar berpegang kepada fakta. Jangan menambah sesuka hati untuk menyedapkan bicara dan memanis kata agar orang yang mendengar terpesona dan percaya. Allahu A’lam.

*UMD*

12022020/18061441

Thursday, February 06, 2020

SISTEM USRAH – FAKTA DAN SIRAH


Istilah “USRAH” tidak asing lagi di kalangan masyarakat Islam sekarang, khususnya mereka yang terlibat dengan pertubuhan dakwah dan badan-badan yang ada kaitan dengan usaha-usaha penyebaran Islam.

Pada abad lalu, sistem usrah dipopularkan oleh Jamaah Ikhwan Muslimin yang mula bertapak di Mesir. Pengasasnya, Imam Hasan al-Banna menulis tentang sistem usrah yang dihasratkan beliau seperti berikut:

“Islam sangat mengambil berat tentang pembinaan usrah di kalangan penganutnya dan menganjurkan mereka agar mencapai kemuncak yang paling tinggi dan paling unggul, memperkuatkan ikatan sesama mereka, memartabatkan tali persaudaraan mereka daripada tahap percakapan yang berupa teori ke tahap amalan secara praktikal. Maka usahakanlah dengan sungguh-sungguh wahai saudaraku untuk menjadikan dirimu sebagai sekeping batu bata yang kukuh dan teguh bagi binaan yang mulia ini, iaitu binaan Islam.
Rukun kepada ikatan (usrah) ini tiga perkara. Ingat dan peliharalah ia. Berilah sepenuh-penuh tumpuan untuk merealisasikannya semoga ia tidak menjadi suatu bebanan yang tidak ada ruh di dalamnya.
Tiga rukun itu adalah: taaruf, tafahum, takaful…..”
(Risalah al-Usar, 1943M)

Adakah sistem usrah ini suatu rekaan baru yang lahir daripada buah fikiran beliau atau telah wujud sebelum itu lagi?

Apabila kita bercakap tentang sistem usrah, terdapat satu istilah yang berkait rapat dengannya. Malah boleh dikatakan tidak akan berjalan usrah tanpanya, iaitu istilah naqib. Perkataan naqib disebut di dalam al-Quran surah al-Maidah ayat ke 12 yang bermaksud:
“Dan demi sesungguhnya! Allah telah mengambilperjanjian setia Bani Israil (supaya mereka menjunjung perintahNyadan menjauhi laranganNya) dan Kami telah utuskan dari kalanganmereka dua belasnaqib (untukmemimpin golongan masing-masing);…”
Menurut at-Tobari, naqib bermakna kafeel, penjamin, pemegangamanah, saksi.
Ar-Razi pula berkata, naqib bermakna lubang yangluas. Dinamakan pemimpin itu naqibkerana dia memerhatikan setiap gerak geri kaumnya. 
Kataal-Asomm, naqib adalahorang yang disandarkan kepadanyaurusankaumnya danmengurus maslahah atau apa yang terbaik buat mereka.

Apabila kita meneliti ayat di atas serta ulasan para mufassirin serta ahli bahasa tentang makna naqib, memberikan gambaran kepada kita wujudnya sistem yang sama dengan apa yang kita panggil usrah sekarang.

Perkataan naqib juga pernah disebut oleh Rasulullah s.a.w., iaitu selepas termaterainya Bai’ah al-‘Aqabah yang kedua di antara Rasulullah s.a.w. dengan 75 orang (73 lelaki, 2 perempuan) wakil daripada Yathrib, baginda meminta supaya mereka memilih 12 orang naqib dari kalangan mereka yang bertanggungjawab untuk mempastikan setiap orang daripada mereka mematuhi dan melaksanakan apa yang telah dipersetujui di dalam perjanjian tersebut. Beliau bersabda:
‏‏‏‏أخرجوا إليَّ منكم اثني عشرنقيباًيكونون على قومهم بما فيهم‏‏‏
Bagindatidak sekadar berpesan agar setiap orang yang berjanji masing-masing berpegang kepada janji. Sebaliknya, baginda perintahkan agar dilantik naqib yang bertanggungjawab memantau dan mempastikan setiap orang menunaikan janjinya.
Dan di Madinah, Abu Hurairah r.a. terkenal sebagai naqib bagi ahli suffah.

Selain istilah naqib, terdapat istilah ‘arif yang membawa maksud yang sama. Menurut Mustafa Bugha, ‘arif ialah orang yang mengetahui tentang urusan kaumnya dan hal ehwal mereka.
Bahkan di dalam Sahih Bukhari, terdapat satu bab yang beliau namakan:  باب العرفاء للناس
Ibn Hajar yang mensyarahkan kitab tersebut berkata: ‘Urafaa adalah jamak (plural) kepada ‘arif, iaitu orang yang mentadbir urusan sekumpulan manusia dan menjaga hal ehwal mereka. Mereka dinamakan ‘arif / ‘urafaa kerana mereka mengetahui segala urusan dan keperluan kaumnya supaya mereka dapat sampaikan kepada pihak yang lebih atas. Jadi kedudukan ‘arif adalah di bawah amir.
Ibn Battol berkata: “Disyariatkan perlantikan ‘urafaa kerana Imam (ketua negara) tidak mungkin dapat melaksanakan semua urusan seorang diri. Maka dia perlu melantik orang-orang yang boleh membantunya melaksanakan apa yang wajib dilaksanakan.”

Selepas Ghazwah Hunain, qabilah Hawazin memeluk Islam dan datang bertemu Rasulullah s.a.w. meminta agar tawanan mereka dibebaskan. Nabi s.a.w. menyuruh tentera muslimin supaya  memaklumkan kepada ‘arif-‘arif agar meminta pandangan semua tentera di bawah mereka sama ada mereka bersetuju atau tidak untuk membebaskan tawanan Hawazin yang ada pada mereka. Setelah berbincang, ‘arif-‘arif memberitahu Nabi s.a.w. bahawa semua tentera di bawah mereka telah bersetuju untuk membebaskan tawanan Hawazin.

Sistem naqib atau ‘arif tidak terhenti pada zaman Nabi s.a.w.
At-Tobari menyebut bahawa di zaman Khalifah Umar bin al-Khattab r.a., beliau membahagikan askar-askar kepada unit-unit kecil. Setiap 10 orang ada seorang ‘arif.

Maka, fakta menunjukkan sistem usrah adalah satu sunnah dalam mengatur urusan pemerintahan dan organisasi. Pada masa sekarang usrah merupakan nurseri tarbiah yang palingutama serta medan yang paling asas dalam membinabarisan pendakwah yang committed dan muntij.

Kredit kepada AlFadhil Ustaz Burhanuddin bin Lukman, Naib Presiden Ikram yang mencetuskan idea dan berkongsi fakta.

*UMD*
06022020/12061441

#MalaysiaNegaraRahmah
#fastabiqulkhairat

Wednesday, February 05, 2020

INDAHNYA UKHUWWAH FILLAH


Abu Hubairah ‘Aaiz bin ‘Amru al-Muzani, salah seorang peserta Bai’ah ar-Ridhwan r.a. menceritakan:
“Bahawasanya Abu Sufyan (pada ketika kisah ini berlaku, belum memeluk Islam) datang kepada Salman al-Farisi, Suhaib ar-Rumi, Bilal al-Habsyi dan beberapa orang yang lain lagi (selepas Rasulullah s.a.w. mematerai perjanjian Hudaibiyah). Apabila melihat Abu Sufyan datang, mereka berkata: “Pedang-pedang Allah belum mengena ke atas musuh Allah dengan setepatnya!”
Abu Bakar r.a. yang mendengar kata-kata itu, menegur mereka: “Patutkah kamu berkata begitu kepada seorang ketua kaum Quraisy dan pembesar mereka?”

Abu Bakar r.a. pergi menemui Rasulullah s.a.w. menceritakan hal tersebut kepada baginda. Baginda s.a.w. bersabda: “Wahai Abu Bakar, adakah mereka marah (terasa hati) kepadamu (dengan sebab kata-katamu itu?). Sekiranya mereka marah kepadamu, nescaya Tuhanmu marah kepadamu!” 

Lantas Abu Bakar r.a. pergi menemui mereka dan berkata: “Wahai saudara-saudaraku, adakah kalian marah kepadaku?”
Mereka menjawab dengan serentak: “Tidak. Mudah-mudahan Allah ampunimu wahai saudaraku!” Riwayat Muslim. 

Petikan daripada sebuah kisah yang berlaku di zaman nubuwwah yang penuh barakah menyuntik pelbagai ibrah yang tidak ternilai.

1.     Izzah dengan Islam. Salman, Suhaib dan Bilal radhiallahu’anhum adalah mereka yang tidak mempunyai kedudukan, miskin harta dan dipandang rendah menurut kacamata manusia. Salman dan Bilal adalah bekas hamba yang tidak mempunyai apa-apa hak ke atas diri sendiri. Namun, dengan Islam tidak ada sedikitpun perasaan rendah diri terguris di dalam hati mereka meskipun berdepan dengan individu yang paling berpengaruh seperti Abu Sufyan.
2.     Ketinggian budi Abu Bakar r.a. dan ketulusan hatinya. Beliau tidak mengabaikan kedudukan seseorang yang dipandang tinggi dari segi status sosialnya seperti Abu Sufyan, meskipun dia tidak beriman.
3.     Islam mengikat umatnya dengan ikatan ukhuwwah atau persaudaraan yang hakiki. Abu Bakar dan Bilal. Siapakah mereka berdua? Bilal adalah hamba yang dibeli oleh Abu Bakar lalu memerdekakannya. Tetapi Islam telah menjadikan mereka berdua saudara kerana Allah. Abu Bakar r.a. memanggil Bilal r.a. saudaraku, bukan bekas hambaku. Bilal r.a. memanggil Abu Bakar r.a. saudaraku, bukan mantan taunku. Sesungguhnya segala macam dinding dan belenggu yang memisahkan kedudukan sesama manusia lebur dan sirna dek cahaya iman dan Islam.
4.     Pantas menyahut seruan dan membetulkan kesilapan serta keghairahan dalam mencari keredhaan Tuhan. Apabila ditegur oleh Nabi s.a.w. Abu Bakar r.a. tidak bertangguh walau sebentar. Beliau terus pergi menemui saudara-saudaranya untuk meminta maaf di atas teguran beliau yang ternyata lahir dari salah faham beliau sendiri. 

Ya Allah, satukanlah kami dengan hamba-hambaMu yang mulia ini di sisiMu nanti.

*UMD*

06022020/12061441

Syurga buat isteri (Artikel 2009)


Umum mengetahui bahawa antara kewajipan isteri ialah taat kepada suami. Ini diterangkan secara terperinci di dalam al-Quran dan al-Hadis kemudian dikupas dan diolah oleh ulamak. Di antara nas al-Quran yang berkaitan dengan kewajipan isteri terhadap suami atau hak suami ke atas isteri ialah Firman Allah s.w.t. bermaksud:

1.    “…Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak); dalam pada itu orang-orang lelaki (suami-suami itu) mempunyai satu darjat kelebihan atas orang-orang perempuan (isterinya). Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Al-Baqarah:228)

2.   “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemeliharaan Allah dan pertolonganNya dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur dan (kalau juga mereka masih degil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar.” (An-Nisa’:34)

Manakala Hadis yang berkaitan dengan kewajipan isteri taat kepada suami antara lain:

1.   Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Sekiranya aku harus memerintahkan seseorang sujud kepada seseorang yang lain, nescaya aku akan perintahkan wanita sujud kepada suaminya lantaran besarnya hak suami yang ditentukan Allah ke atas isteri.” (Abu Daud)

2.   Daripada Ummu Salamah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Mana-mana perempuan yang tidur malam dalam keadaan suami reda kepadanya, akan masuk syurga.” (At-Tirmizi)

3.   Daripada Abi Umamah r.a., seorang perempuan datang bertemu Rasulullah s.a.w. membawa dua orang anak kecilnya; seorang daripadanya didukung, seorang lagi dipimpinnya. Melihat keadaan perempuan itu baginda bersabda maksudnya: “Mereka (para wanita) mengandung, melahirkan dan menyayangi anak-anak. Kalaulah tidak kerana menyakitkan hati suami, nescaya orang-orang yang menunaikan solat dari kalangan mereka akan masuk syurga.” (Ibn Majah)

Ayat-ayat al-Quran serta beberapa Hadis yang tertera di atas menunjukkan betapa besarnya hak seorang suami ke atas isteri. Dan kewajipan isteri mentaati suami bukanlah sesuatu yang boleh dipandang remeh. Isteri yang taat kepada suami dijanjikan syurga. Sebaliknya yang ingkar dan durhaka akan dilaknat oleh malaikat Allah ‘Azza wa Jalla. Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Apabila isteri enggan menyahut ajakan suami ke tampat tidurnya, malaikat akan melaknatnya sampai ke pagi.” (Al-Bukhari)

Walaupun begitu ini tidak bermakna suami harus mengeluarkan apa saja perintah dan isteri wajib taat sepanjang masa, setiap ketika tanpa membantah. Di dalam ayat di atas (al-Baqarah:228) Allah menyatakan dengan jelas  (Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya) atau istilah asal  yang digunakan di dalam al-Quran “al-ma’ruf”. Di dalam tafsirnya az-Zamakhsyari berkata al-ma’ruf bermaksud yang  tidak dilarang oleh syarak dan tidak berlawanan dengan kebiasaan manusia. 

Maka suami isteri tidak harus membebankan pasangannya perkara yang tidak ada kena mengena dengan haknya dan tidak boleh berkasar ke atas satu sama lain. Setiap pihak mesti menunaikan kewajipannya dengan cara yang sebaik-baiknya. Al-Qurtubi pula menaqalkan kata-kata Ibn Abbas: hak isteri ke atas suami adalah persahabatan serta pergaulan yang baik sebagaimana hak suami ke atas isteri adalah mentaati apa yang dimintanya.

Justeru, hak suami ke atas isteri dibatasi dengan sempadan ma’ruf.  Jika suami meminta atau memerintahkan isteri agar melakukan sesuatu yang haram maka tidak wajib ke atas isteri mentaatinya. Begitu juga jika suami menghalang isteri melakukan perkara yang difardukan Allah, maka isteri tidak boleh patuh kepada larangan tersebut. 
Maka tidak harus bagi suami:
1.     Menyuruh isteri berhias atau menggunakan perhiasan yang dilarang oleh Syarak seperti memakai rambut palsu, memanjangkan kuku dan mengecatnya dengan bahan yang menghalang air ketika wuduk atau mandi wajib. 
2.     Menghalang isteri ke masjid untuk ibadah atau menghadiri majlis ilmu.
3.     Menyekat isteri menunaikan fardu haji bersama mahramnya.
4.     Menghalang isteri menziarahi kaum kerabatnya, khusunya kedua ibu bapanya kerana ini boleh menyebabkan putusnya silatul rahim yang sangat dibenci oleh Allah dan Rasul. Sehubungan dengan itu, para fuqahak berpendapat sekiranya isteri mempunyai ibu bapa yang sakit atau tua yang memerlukan jagaannya, sedang suami menghalangnya, maka isteri tidak wajib taat, sama ada ibu bapa itu muslim atau kafir.
5.     Sekiranya isteri memiliki kepakaran atau pekerjaan tertentu yang masyarakat memerlukan khidmatnya seperti bidan, pemandi jenazah atau lain-lain, maka suami tidak harus menghalang isterinya daripada menjalankan tanggungjawab tersebut.
6.     Memaksa isteri melakukan hubungan kelamin pada selain daripada qubul. Rasulullah s.a.w. bersabda maksud: “Sesiapa yang menyutubuhi isteri pada duburnya maka dia terlaknat.” (Sunan Abu Daud). Begitu juga sekiranya suami meminta isteri mengulum atau menghisap zakarnya, tidak harus bagi isteri melakukankannya kerana itu bukan tempat yang diizinkan oleh Allah s.w.t.

Kesimpulannya, isteri yang taat akan diganjari syurga. Suami pula jangan mencari neraka dengan kuasa dan amanah yang Allah beri sebagai pemimpin di dalam rumahtangga.

Thursday, January 30, 2020

DI KALA MALAIKAT KEBINGUNGAN…


Allah SWT berfirman maksud:
“Dan jika kamu menghitung ni’mat Allah (yang dilimpahkannya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Al-Nahl 16:18

Maha benarlah firman Allah SWT, bahawa kita memang tidak mampu untuk mengetahui, apa lagi menghitung segala ni’mat yang dikurniakanNya kepada kita. Sungguh tidak mampu. Lantaran itu kita sungguh-sungguh tidak mampu untuk menyatakan dan mempersembahkan rasa syukur yang selayaknya dengan segala ni’mat yang kita terima sepanjang hayat kita di dunia ini.
Maka sesuailah pada akhir ayat itu Allah menyebut “sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
Kerana Dia Maha Mengetahui bahawa hambaNya tidak akan mampu menunaikan kewajipan bersyukur, lalu Dia ampunkan.
Dia Maha Mengetahui betapa cuai dan betapa sedikitnya hambaNya bersyukur, dengan sifatNya yang Maha Mengasihani, Dia tidak menghentikan atau memutuskan ni’matNya. Sebaliknya ni’matNya terus datang, terus turun mencurah-curah meskipun hambaNya cuai, meskipun hambaNya amat sedikit melaksanakan kewajipan bersyukur.

Dalam pada itu, Dia mengajar pula satu ungkapan kata syukur yang amat besar nilainya di sisiNya. Menurut sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Majah, apabila seseorang menyebut ungkapan ini, dua malaikat pencatat amalan kebingungan. Mereka tidak dapat menghitung berapakah nilai pahala yang harus mereka tulis sehingga mereka berdua mengadu kepada Allah SWT. Maka Allah perintahkan supaya mereka catatkan apa yang diungkapan oleh hambaNya, kemudian Dia sendiri yang akan menganugerahkan pahalanya apabila hambaNya kembali menemuiNya nanti. 
Inilah dia ungkapan yang sangat hebat itu: 

 يَا رَبِّ لَكَ الْحَمْدُ كَمَا يَنْبَغِي لِجَلالِ وَجْهِكَ وَعَظِيمِ سُلْطَانِكَ

Maksudnya: “Ya Tuhanku, untukMu jualah segala pujian sebagaimana selayaknya dengan kebesaran dan kemuliaanMu serta keagungan kekuasaanMu.” 

*UMD*
30012020/05061441

Monday, January 27, 2020

SYURGA BUATMU, IBU


Imam Muslim rahimahullah telah mencatatkan di dalam kitab sahihnya sebuah kisah yang diceritakan oleh Sayyidatuna Aisyah radhiallahu’anha: 
“Aku dikunjungi seorang wanita miskin dengan membawa dua orang anak perempuannya yang masih kecil. Aku memberikannya tiga biji buah kurma. Wanita itu memberikan anak-anaknya satu biji setiap seorang. Dia mengangkat tangannya ke mulut untuk menyuap satu biji yang baki. Sebelum kurma itu sampai ke mulutnya, kedua-dua anaknya meminta kurma itu daripadanya. Lantas dia membelah kurma itu dan memberikannya kepada kedua-dua orang anaknya seorang sebelah.
Aku sangat kagum melihat perbuatannya. Maka aku menceritakan hal itu kepada Rasulullah s.a.w. 
Mendengar ceritaku itu, baginda lantas bersabda: “Sesungguhnya Allah telah mewajibkan syurga baginya dengan perbuatannya itu, atau Allah bebaskannya dari api neraka!”

Subhanallah! Demikian besarnya nilai kasih sayang serta pengorbanan seorang ibu. Apakah ibu hanya berkorban dengan sebiji kurma yang hendak dimakannya demi mengenyangkan anak-anaknya? Pastinya tidak.

Besarnya pengorbanan ibu hanya Allah sahaja yang tahu. Di dalam al-Quran, Allah mengungkapkan pengorbanan seorang ibu dengan: 
ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun;” (Luqman:14) dan firmanNya lagi: 
“ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan.” (Al-Ahqaf:15)

Jadi, kepada ibu-ibu semua, berbahagialah kerana anda terpilih menjadi ibu. Bersyukurlah di atas besarnya ni’mat meraih gelaran sebagai ibu. Hargailah pangkat itu. Sesungguhnya ia adalah laluan mudah untukmu mendapat syurga dengan izinNya.

Apa lagi yang kita dapat pelajari daripada kisah di atas?

Antara lain adalah komunikasi yang telus dan mesra di antara suami dan isteri. 
Isteri suka bercerita, meluahkan rasa hati kepada suami terutama apabila melihat dan mengalami sesuatu yang mencuit hati dan perasaannya. Dan suami pula mendengar dengan penuh perhatian seolah-olah berkongsi rasa dengan isteri kemudian memberikan respon yang terbaik. Tidak mungkin suami dapat memberikan respon yang terbaik jika suami tidak mendengar dengan sepenuh hati apa yang diluahkan oleh isteri.

Seteruskan sifat dermawan dan baik hati Sayyidatuna Aisyah radhiallahu’anha. Beliau tidak lokek dan tidak berkira untuk memberi kepada sesiapa yang memerlukan walaupun apa yang dimilikinya tidak melebihi keperluannya. Lihatlah, beliau hanya memberikan tiga biji buah kurma. Mungkin hanya itu yang ada di rumahnya. Beliau tidak teragak-agak untuk memberi walaupun sedikit. Yang penting beliau tidak menghampakan harapan insan yang lebih memerlukan. Memberi apa yang ada demi mengharap redha Yang Esa.

*UMD*
20012020

Thursday, January 23, 2020

SANGGUPKAH KITA MENJADI WAHANA TURUNNYA AZAB YANG MAHA KUASA!!!???


Sahabatku yang dikasihi sekelian,

Marilah sama-sama kita renung maksud firman Allah di bawah ini:

“Katakanlah: "Dia lah yang berkuasa menghantar kepada kamu azab seksa (bala bencana), dari sebelah atas kamu, atau dari bawah kaki kamu, atau Ia menjadikan kamu bertentangan dan berpecah-belah - berpuak-puak, dan Ia merasakan sebahagian daripada kamu akan perbuatan ganas dan kejam sebahagian yang lain". Perhatikanlah bagaimana Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan (yang menunjukkan kebesaran Kami) dengan berbagai cara, supaya mereka memahaminya.” (Al-An'aam 6:65) 

Seringkali apabila kita membaca ayat suci al-Quran, terutama ayat-ayat yang berupa ancaman seperti ini kita tidak rasa ayat itu ditujukan kepada kita. Kita rasa ayat itu hanya ditujukan kepada golongan yang ingkar kepada rasul-rasul sebelum kita. Lantas kita biarkan ia berlalu tanpa membekas di hati dan minda.

Mari kita telusuri, kita hayati dan cuba rasai bahawa ia ditujukan kepada kita: "Dia lah yang berkuasa menghantar kepada kamu azab seksa atau bala bencana…”

Allah menegaskan bahawa Dia berkuasa. Berkuasa dengan erti kata yang sebenar-benarnya. Tiada sesiapapun yang boleh mengatasi kuasaNya, tiada sesuatupun yang boleh menghalang dan menyekat kuasaNya apabila Dia menghendaki datangnya azab seksa atau bala bencana kepada kita.

Tanda kekuasaanNya, Dia boleh mendatangkan bencana dari semua arah, atas dan bawah dan dalam semua bentuk. Bentuk fizikal yang boleh dilihat dan dirasa seperti penghantaran burung ababil, ribut taufan, hujan batu, gegaran bumi, tsunami, banjir besar, merebaknya wabak yang sukar dikawal dan berbagai-bagai lagi. Atau bentuk yang abstrak seperti kejatuhan nilai matawang, kenaikan harga barang yang melambung-lambung, kejatuhan nilai saham, atau dengan meneguhkan kuasa di tangan pemerintah yang zalim, angkuh tidak amanah dan sebagainya. Semua itu didatangkan untuk memberi kesedaran kepada manusia agar sentiasa berpegang teguh pada prinsip serta nilai yang diajarkan melalui PesuruhNya.

Selain itu, terdapat satu lagi bentuk yang mungkin kebanyakan kita tidak sedar di mana ia berlaku melalui kita. Kita yang menjadi wahananya. Perhatikan ayat ini: “atau Ia menjadikan kamu bertentangan dan berpecah-belah - berpuak-puak, dan Ia merasakan sebahagian daripada kamu akan perbuatan ganas dan kejam sebahagian yang lain" 

Bukankah ini yang sedang berlaku di dalam masyarakat kita hari ini? Berpecah dan berpuak-puak atas nama agama, mazhab, bangsa, parti politik, negeri, daerah dan sebagainya. Masing-masing mendakwa puak dialah yang paling baik, paling betul, paling kuat dan paling macam-macam lagi. Kalau kita teruskan perbalahan dan perpecahan ini, bererti kita memilih untuk menjadikan diri kita sebagai wahana turunnya bencana ke atas kita, wal’iyadzubillah.

Maka marilah kita hentikan perbalahan, kecam mengecam, mencari kesalahan dan kelemahan pihak yang tidak sehaluan dengan kita. Carilah titik persamaan demi keamanan dan kesejahteraan untuk semua. Allah sendiri mengajar Rasulullah s.a.w. agar mengajak ahli kitab supaya melihat kepada titik persamaan antara mereka sebagaimana firmanNya: “Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu Kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu,…” (A-li'Imraan 3:64)
Perbezaan pendapat, kelainan sudut pandang memang tidak dapat dielakkan. Namun pada masa yang sama pasti ada titik persamaan di kalangan kita. Paling tidak, kita sama-sama rakyat satu negara yang cintakan keamanan dan kesejahteraan. Allahu A’lam.


*UMD*
23012020/27051441

Monday, January 20, 2020

PERIHAL REZEKI


Sesungguhnya Allah mengatur rezeki kita dari sekecil-sekecil perkara hingga ke sebesar-besarnya. Kisah yang kami alami tiga hari lepas adalah satu daripada contohnya. Kisah yang sangat simple tapi tetap bermakna kerana tidak ada satupun kejadian di dunia ini berlaku dengan sia-sia.

Dalam perjalanan pulang dari KB ke SA, kami singgah di sebuah stesyen petrol yang kecil di hujung pekan Jerteh. Ketika suami sedang mengisi petrol saya masuk ke kedai serbanekanya yang kecil untuk membeli apa-apa makanan yang dapat dikunyah sepanjang perjalanan untuk mengelak dari rasa mengantuk.

Saya ambil sebungkus kacang dan sebungkus buah jeruk. Harga setiap satu RM3.00

Saya bawa kedua-duanya ke meja. Saya hulurkan duit RM6. Tuannya melihat kedua-dua bungkusan itu, kemudian berkata “bungkusan jeruk ni ada bocor sikit. Makcik ambil yang lain, ye!”
Saya berkata, “dah tak ada yang lain. Itu saja yang ada”.
“Tak mengapalah, makcik ambil kacang saja”, saya menambah.
Dia memasukkan kedua-dua bungkusan ke dalam beg plastik dan memulangkan duit RM3 sambil berkata, “jeruk ni saya bagi saja, tak payah bayar”.
Saya ucap terima kasih dan keluar dari kedai untuk meneruskan perjalanan yang masih jauh.

Beberapa minit selepas meninggalkan pekan Jerteh, kami membuka bungkusan jeruk. Alhamdulillah rasanya masih elok dan sedap.

Tak berapa lama selepas itu kami buka pula bungkusan kacang. Allahu Akbar! Kacang sangat keras dan baunya ma syaa Allah, jauh berubah dari yang asal. Langsung tidak boleh dimakan.

Itulah rezeki. Yang dibayar tak boleh dimakan, yang percuma pula boleh dimakan. Rezeki kami pada yang diberi percuma.
Jadi, tolak campur tetap tak rugi, alhamdulillah.

*UMD*
20012020

Saturday, January 18, 2020

APA KHABAR SOLATMU?


Solat adalah anugerah Allah yang paling istimewa kepada hamba yang amat dikasihiNya. Ia adalah hadiah paling agung yang tidak ternilai harganya. Lantaran itu ia dikurniakan melalui satu undangan khas, tidak dihantar atau dikirim melalui sesiapapun hatta pembawa wahyu yang paling amanah.

Justeru, Rasulullah s.a.w. sangat menghargai dan mencintai solat. Baginya solat adalah penyejuk mata dan penawar hati. Baginda pernah mengungkapkan di dalam sepotong hadis yang diriwatkan oleh Ahmad dan an-Nasaei “Dan dijadikan ketenangan mataku pada solat”. 

Solat adalah masa dan ketika untuk baginda berehat dari segala kepenatan dan bebanan tugas yang berat. Dengarkan apa yang diluahkannya kepada muazzinnya, Bilal bin Rabah apabila masuk waktu solat: “Bawalah kami berehat dengannya wahai Bilal!!!(Maksudnya, baginda menitahkan Bilal agar segera melaungkan azan supaya dengan mendirikan solat baginda s.a.w. dapat berehat)” Riwayat Ahmad dan Abu Daud

Bagaimana agaknya solat kita? Adakah kita benar-benar berasa tenang dan damai di dalam solat? Berasa betapa indahnya bermunajat dengan Rabb Yang Maha Pengasih Maha Penyayang? Berasa lega kerana dapat meluahkan segala derita yang mencengkam, menyampaikan segala hajat yang terpendam? Berasa puas kerana yakin doa yang dipohon pasti terqabul, hajat yang diminta pasti terlaksana kerana Dia yang menyuruh kita berdoa, Dia yang mengajar kita apa dan bagaimana hendak meminta?

Atau sebaliknya, kita rasa solat seperti penjara yang mengekang pergerakan kita, yang mengikat anggota kita daripada bergerak bebas kecuali mengikut langkah-langkah yang telah ditentukan? Adakah kita selalu rasa penat berdiri tegak, menghabiskan bacaan-bacaan laksana mentera yang tidak difahami dan dihayati?  

Sesungguhnya Allah SWT sendiri mengatakan bahawa solat itu berat, sukar, membebankan jika tidak ada kekhusyukan di dalamnya, “…. dan sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk;” (Al-Baqarah 2:45

Ya, kata kuncinya adalah KHUSYUK. Perhatikanlah firman Allah ini: 
“Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, Iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya;” (Al-Mu'minuun 23:1-2
Dengan terang dan jelas dinyatakan bahawa orang beriman yang berjaya adalah yang khusyuk di dalam solatnya. 
Maka berusahalah sedaya mampu untuk mendapatkan khusyuk. Antaranya ialah dengan memahami maksud setiap ayat yang dibaca serta menghayati hikmah setiap pergerakan yang diatur begitu rapi dan sempurna di dalam solat.

*UMD*