Wednesday, September 11, 2013

Perketatkan cengkamanmu wahai krisis, engkau pasti akan terlerai


Risalah mingguan Ikhwan Muslimin

Segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga, sahabat serta orang mengikuti hidayahnya. Wa ba'du

Sesungguhnya rampasan kuasa tentera berdarah telah menghumbankan krisis yang amat besar di hadapan umat, tribulasi yang mega, khususnya selepas bencana pembunuhan yang mereka lakukan, dosa-dosa besar dan fitnah yang mereka usahakan untuk mengheret umat ke dalam perangkapnya. Ini semua mendorong kita untuk meneliti, memerhati dan mengkaji dengan berhati-hati supaya kita dapat membebaskan diri kita dan umat kita dari cengkaman fitnah ini dalam keadaan lebih bersih, lebih teguh dan lebih kuat dengan izin Allah.

Pertama: ujian adalah sunnah Ilahi

Sekiranya Allah Kehendaki, Dia akan menolong kebenaran tanpa ujian. Firman Allah bermaksud:
"... dan sekiranya Allah menghendaki, tentulah Dia membinasakan mereka (dengan tidak payah kamu memeranginya); tetapi Dia (perintahkan kamu berbuat demikian) kerana hendak menguji kesabaran kamu menentang golongan yang kufur ingkar (yang mencerobohi kamu)…” (Muhammad:5)

Dia menguji kita untuk:

1.    membezakan antara orang yang beriman kepada Allah dengan orang yang tidak beriman:
“Dan demikianlah Kami uji sebahagian dari mereka (yang kaya raya) dengan sebahagian yang lain (yang fakir miskin); lalu orang-orang yang kaya itu berkata (kepada orang-orang fakir miskin yang beriman): Inikah orang-orangnya yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka di antara kami?” (Al-An’am:53)

2.    mencungkil sejauh mana kesabaran orang yang beriman dalam mempertahankan aqidahnya
“dan Kami jadikan sebahagian dari kamu sebagai ujian dan cubaan bagi sebahagian yang lain, supaya ternyata adakah kamu dapat bersabar (menghadapi ujian itu)?” (Al-Furqan:20)

3.    memurnikan ketulinan iman di dalam diri mukmin
“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayatNya.” (Al-Baqarah:155-157)

4.    membezakan antara mujahid yang sebenar dengan orang yang hanya mendakwa dirinya mujahid
“Dan demi sesungguhnya! Kami tetap menguji kamu (wahai orang-orang yang mengaku beriman) sehingga ternyata pengetahuan Kami tentang adanya orang-orang yang berjuang dari kalangan kamu dan orang-orang yang sabar (dalam menjalankan perintah Kami) dan (sehingga) Kami dapat mengesahkan (benar atau tidaknya) berita-berita tentang keadaan kamu.” (Muhammad:31)

5.    mengangkat darjat orang yang layak diangkat darjatnya. Di dalam sepotong Hadis sahih riwayat al-Bukhari daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesiapa yang Allah kehendaki kebaikan untuknya, Allah timpakan ujian ke atasnya.”
Ujian ini akan lebih hebat ke atas seseorang yang lebih kuat imannya, lebih benar agamanya dan lebih sempurna makrifatnya. Justeru, Nabi-nabi adalah orang yang paling teruk diuji di kalangan makhluk ini. Tidak ada seorangpun dari kalangan mereka, bermula dari Adam sehingga ke Muhammad s.a.w. kecuali Allah perhebatkan ujian ke atas mereka, sehingga setengah mereka dibunuh seperti Zakaria dan Yahya. Nabi s.a.w. bersabda sebagaimana diriwayatkan oleh at-Tirmizi dan lain-lain bermaksud: “Tidak ada seorangpun yang diuji di jalan Allah sebagaimana aku diuji.” Di dalam Hadis lain, riwayat at-Tirmizi daripada Sa’ad bin Abi Waqqas Baginda bersabda maksudnya: “Manusia yang paling teruk diuji ialah para Nabi, kemudian yang paling serupa (dengan Nabi-nabi) dan kemudian yang paling serupa. Diuji seseorang itu mengikut tahap agamanya. Sekiranya tahap pegangan agamanya kukuh, bertambah teruklah ujiannya. Sekiranya tahap pegangan agamanya longgar, dia diuji sekadar pegangan agamanya. Maka seseorang hamba itu terus diuji sehingga dia berjalan di atas bumi ini dalam keadaan bersih dari dosa.”

Dan ujian paling besar yang ditimpakan ke atas mukmin ialah penguasaan orang-orang zalim ke atas orang-orang beriman untuk memaksa mereka berpaling dari agama, dari kebenaran yang mereka imani. Allah telah berfirman maksudnya: “dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu.” (Al-Maidah:49)
Kadang-kadang, kerana terlalu beratnya ujian yang menimpa, orang-orang yang sangat sabar pun berasa bingung sebagaimana digambarkan di dalam firman Allah yang bermaksud: “Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).” (Al-Baqarah:214)

Kedua: Ujian merupakan pengulangan episode yang sama sepanjang sejarah.

Ujian yang dihadapi umat masa kini bukanlah yang pertama, bukan juga yang paling teruk. Bahkan umat terdahulu telah mengalami pelbagai ujian yang berat. Namun, dengan kurnia Allah ujian itu berakhir dengan kemenangan untuk Islam dan kaum muslimin.

Di dalam peperangan al-Ahzab, ujian sampai ke kemuncaknya menurut apa yang digambarkan di dalam firman Allah yang bermaksud: “Masa itu ialah masa tentera musuh datang melanggar kamu dari sebelah hulu dan dari sebelah hilir (tempat pertahanan) kamu dan masa itu ialah masa pemandangan mata kamu tidak berketentuan arah (kerana gempar dan bingung) serta hati pun resah gelisah (kerana cemas takut) dan kamu masing-masing pula menyangka terhadap Allah dengan berbagai-bagai sangkaan. Pada saat itulah diuji orang-orang yang beriman dan digoncangkan perasaan dan pendiriannya dengan goncangan yang amat dahsyat.” (Al-Ahzab:10-11)
Di ketika mana kaum munafiqin gugur dengan sebab ujian ini, mukminin pula bertambah keimanan dan keyakinan mereka terhadap janji Allah. “Dan pada masa orang-orang yang beriman melihat tentera Al-Ahzaab, berkatalah mereka: Inilah yang telah dijanjikan Allah dan RasulNya kepada kami dan benarlah (apa yang telah dijanjikan) Allah dan RasulNya dan (angkatan tentera musuh yang mereka lihat) itu tidak memberi sebarang kesan kepada mereka selain daripada menambahkan iman dan penyerahan diri mereka bulat-bulat kepada Allah. Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun.” (Al-Ahzab:22-23)

Dan ketika Rasulullah s.a.w. dipanggil kembali mengadap Tuhannya Yang Maha Tinggi, umat Islam sekali lagi bertembung dengan fitnah yang sangat hebat. Kebanyakan qabilah-qabilah Arab kembali murtad. Maka Abu Bakar r.a. melawan fitnah ini sehingga Allah mencabut akar umbinya dengan tangan Abu Bakar r.a. dan semua qabilah-qabilah yang murtad itu kembali kepada kebenaran.

Manakala tersungkurnya Baghdad dan khilafah Islam di tangan tenteta Tatar, ramai yang menyangka bahawa panji-panji Islam turut tersungkur sehinggakan setengah ahli sejarah menulis, kejatuhan itu merupakan detik kematian Islam. namun, belum berlalu dua tahun selepas kejatuhan itu, Tatar berkecai dan Islam kembali berkuasa, malah Tatar yang turut memeluk Islam.

Ketika jatuhnya khilafah Uthmaniah di permulaan kurun ke 20 dan meluasnya penjajahan Barat di Negara-negara Islam, setengah pihak menyangka bahawa Islam hanya akan jadi bahan sejarah masa lampau dan tidak ada jalan untuknya hidup kembali. Tetapi Allah mencetuskan kesedaran yang besar di seluruh pelusuk dunia Islam. Orang ramai kembali memahami hakikat Islam, mereka disatukan dalam jamaah untuk memikul risalahnya, sehingga Islam memasuki seluruh Negara-negara di dunia dengan kurnia Allah, Tuhan semesta alam.

Semua ini, dan banyak lagi contoh-contoh lain, menjadikan kita berasa tenang walaupun apa saja perancangan yang direka oleh musuh-musuh agama dan musuh dakwah. Sesungguhnya Allah akan membuka jalan keluar dan jalan kemenangan untuk pejuang agamaNya kerana itulah sunnahNya. “(Kekalahan orang-orang yang menentang Rasul Allah sudah tetap menurut) "Sunnatullah" (peraturan Allah) yang telah berlaku semenjak dahulu lagi dan engkau tidak akan mendapati sebarang perubahan bagi cara dan peraturan Allah itu.” (Al-Fath:23)

Ketiga: Janji kita dengan Allah.

Ketika kita memikul risalah kebenaran untuk dibawa kepada makhlukNya, kita telah berjanji kepada Allah untuk menanggung segala kepayahan, sabar menempuhi kepenatan dalam perjalanan, redha dan pasrah apa yang menimpa ke atas kita, sabar dan yakin akan kemenangan. Sesungguhnya Allah telah berfirman maksudnya: “Demi sesungguhnya, kamu akan diuji pada harta benda dan diri kamu dan demi sesungguhnya, kamu akan mendengar dari orang-orang yang telah diberikan Kitab dahulu daripada kamu dan orang-orang yang musyrik: Banyak (tuduhan-tuduhan dan cacian) yang menyakitkan hati. Dalam pada itu jika kamu bersabar dan bertakwa maka sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat (melakukannya).” (Aali ‘Imran:186)

Sesungguhnya kita yakin akan sabda Nabi yang bermaksud: “Sesungguhnya ganjaran yang besar bersama ujian yang besar. Dan sesungguhnya Allah, apabila Dia mencintai sesuatu kaum, Dia akan menguji mereka. Maka sesiapa yang redha, baginya keredhaan Allah. Dan sesiapa yang marah, baginya kemurkaan Allah.” Riwayat at-Tirmizi.

Maka mehnah dan tribulasi tidak lain hanya satu bab daripada bab-bab tarbiah Ilahiyyah untuk menguji ketulusan iman dan kebergantungan secara total kepadaNya, serta bersedia sepenuhnya untuk memikul risalah kebenaran dengan cara yang paling sempurna. Mukmin akan keluar dari ujian dengan hati yang lebih teguh, lebih mantap daripada bukit yang tegak berdiri, lebih cekal keazaman dan semangat untuk mendepani apa jua rintangan yang menghalang. Semoga Allah rahmati Mustafa Sadiq ar-Rafi’ei yang pernah berkata: “Alangkah serupanya dugaan dengan telur. Orang menyangka kulit itu penjara bagi isi yang berada di dalamnya. Pada hal sebenarnya kulit itu melindunginya, mendidiknya, menolongnya supaya ia sempurna. Isi dalam tidak perlu berbuat apa-apa kecuali sabar menanti tempoh yang ditentukan, redha dengan matalamat yang ditetapkan. Kemudian telur menetas, maka keluarlah makhluk yang baru. Maha suci Allah! Dialah sebaik-baik Pencipta. Dan tiadalah mukmin di dunia ini kecuali laksana anak ayam yang berada di dalam kulit telur.” Demi Allah, benar sungguh kata-katanya itu. Kita akan keluar dengan izin Allah dari tekanan yang diwujudkan oleh puak perampas kuasa, keluar dengan hati yang lebih bersih, semangat yang lebih kuat, iman yang lebih teguh, azam yang lebih kental. Semoga Allah akan merealisasikan janjiNya untuk kita, Allah akan laksanakan kemenangan untuk Islam, untuk kebenaran dan untuk kebaikan in syaa Allah. Maka tidak ada tugas kita kecuali sabar dan taqwa, elokkan hubungan denganNya, sentiasa bergantung kepadaNya, berpegang kepada prinsip kita, menjaga ukhuwah dan kesatuan saf kita, mengambil segala sebab-sebab untuk meneruskan perjalanan kita, bantu membantu sesama kita, khususnya saudara-saudara kita yang tercedera, keluarga saudara kita yang syahid, terus berhubung dengan anak-anak bangsa kita, jangan berhenti dari aktiviti kemasyarakatan, kebajikan, dakwah, kewanitaan. Kita mulakannya untuk memberi khidmat  kepada umat kita sekalipun puak perampas kuasa yang membuat kerosakan itu cuba untuk menghalang kita daripada berhubung dan mendekati umat kita.

Kita mesti ingat selalu janji kita dengan Allah untuk beramal di jalanNya, untuk berkhidmat kepada bangsa ini, berkorban demi kemerdekaan dan kebahagiaannya, berjalan seiring dengannya menuju kemuliaan dan kemajuan. Kita mesti berusaha sedaya mampu kita bersama anak-anak bangsa kita turun ke medan-medan dan jalanraya-jalanraya. Kita mesti cari dan guna semua jalan dan sebab-sebab secara aman untuk menghancurkan inqilab berdarah ini, serta mengembalikan legimitasi, merealisasikan demokrasi, mengukuhkan ketuanan rakyat dan kehendaknya yang bebas merdeka. Kita wajib menegaskan kepada semua, di dalam dan di luar Negara bahawa rampasan kuasa ini tidak sah. Kita mesti berhubung dengan semua orang yang merdeka, seluruh kekuatan politik dan social untuk mempertegaskan keharaman inqilab dan ketidak syar’iyyahnya. Kita mesti memperluaskan lingkungan mereka yang mengambil bahagian secara aman di semua peringkat tanah air demi mengembalikan thaurah 25 Januari dengan segala hasilnya dan menyempurnakan baki tuntutannya. Kita hendaklah sentiasa yakin bahawa “Tangan Allah bersama dengan jamaah”. Sesungguhnya semakin kita bersatu, seluruh rangkaian anak watan demi mencapai objektif ini, semakin dekatlah kegagalan yang total menimpa puak-puak perampas kuasa itu dengan izin Allah.

Keempat: Perkuatkan cengkamanmu wahai krisis, engkau pasti akan terlerai

Bersambung… in syaa Allah. Tunggu…



No comments: