Thursday, September 12, 2013

Perketatkan cengkamanmu wahai krisis, engkau pasti akan terlerai - Sambungan


Keempat: Perkuatkan cengkamanmu wahai krisis, engkau pasti akan terlerai

Sesungguhnya umat ini sedang melalui proses kelahiran baru. Untuk lahir, tentunya memerlukan kesakitan hendak bersalin. Kesakitan itu bertambah sakit dan sakit. Tetapi akhirnya lahirlah yang ditunggu, terpancarlah kegembiraan in syaa Allah. Tetapi dengan syarat kita berpegang kepada dua perkara: taqwa kepada Allah dan sabar.
“Dan kalau kamu sabar dan bertakwa, (maka) tipu daya mereka tidak akan membahayakan kamu sedikitpun.” (Aali ‘Imran:120)
“Dalam pada itu jika kamu bersabar dan bertakwa maka sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat (melakukannya).” (Aali ‘Imran:186)
“dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.” (At-Talaq:2-3)
“sesiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Allah memudahkan baginya segala urusannya.” (At-Talaq:4)

Dan apabila mehnah kian memuncak, maka di situ khabar gembira kejayaan akan tiba in syaa Allah. Allah berfirman maksudnya: “(Orang-orang yang mendustakan agama Allah itu telah diberi tempoh yang lanjut sebelum ditimpakan dengan azab) hingga apabila Rasul-rasul berputus asa terhadap kaumnya yang ingkar dan menyangka bahawa mereka telah disifatkan oleh kaumnya sebagai orang-orang yang berdusta, datanglah pertolongan Kami kepada mereka, lalu diselamatkanlah sesiapa yang Kami kehendaki. Dan (ingatlah bahawa) azab Kami tidak akan dapat ditolak oleh sesiapapun daripada menimpa kaum yang berdosa.” (Yusuf:110)

Sesungguhnya kesempitan itu, apabila ia berlaku secara berturutan, tidak lama pasti akan terungkai. Imam Malik meriwayatkan di dalam kitabnya, al-Muwatta’, bahawasanya Umar bin al-Khattab r.a. telah mengutus surat kepada Abu ‘Ubaidah bin al-Jarrah r.a., antara kandungannya: “Maka sesungguhnya sebanyak mana tertimpanya kesusahan ke atas seorang hamba, Allah tetap menjadikan selepas itu jalan keluar. Sesungguhnya satu kesusahan selamanya tidak dapat menewaskan dua kemudahan. Allah Ta’ala telah berfirman di dalam kitabNya (bermaksud): “Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan) dan kuatkanlah kesabaran kamu (lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan) dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertakwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan).” (Aali ‘Imran:200)

Maka berapa banyak sudah kesusahan telah hilang dan berlalu
Berapa banyak kemudahan yang datang selepas kepayahan
Maka terbukalah kesempitan yang mencengkam hati
Berapa banyak kerisauan bertimpa-timpa, kemudian ia pergi
Berapa banyak perkara yang buruk bertandang waktu pagi
Lalu kegembiraan menyusul di waktu petang

Ini  kekasih kita, pemimpin dakwah kita, Muhammad s.a.w. pernah bersabda maksudnya: “Ketahuilah bahawa bersabar menanggung perkara yang kamu benci itu terdapat kebaikan yang banyak padanya. Sesungguhnya kemenangan beserta dengan kesabaran. Dan sesungguhnya kejayaan beserta dengan kepayahan. Dan sesungguhnya bersama kesusahan itu ada kemudahan.” Riawayat Ahmad

Ali r.a. berkata: “Ketika kesempitan tiba di penghujungnya, terbukalah jalan keluar. Dan ketika lingkaran ujian semakin sempit, penyelesaian akan terbuka luas.”

Seorang buta berkata kepada anaknya: “wahai anakku, bagaimana keadaan malam kita ini?” Anaknya menjawab: “Sesungguhnya malam telah terlalu gelap. Diapun berkata: “Kalau begitu, fajar telah dekat.”

Seseorang mengadu kepada Umar r.a.: “Kemarau kian meruncing dan manusia sudah berputus asa.” Lalu Umar menjawab: “Sekarang mereka akan ditimpa hujan.” Umar mendapat ilham jawapan itu daripada firman Allah yang bermaksud: “Dan Dialah yang menurunkan hujan setelah mereka berputus asa dan Dia pula menyebarkan rahmatNya merata-rata dan (ingatlah) Dialah pengawal (yang melimpahkan ihsanNya), lagi Yang Maha Terpuji. (Asy-Syura:28)

Harapan Nabi Yaakub untuk menemui puteranya Yusuf begitu sukar. Dan bertambah sukar apabila puteranya yang kedua turut hilang. Ketika itu, beliau berkata kepada anak-anaknya: “Jika demikian, bersabarlah aku dengan sebaik-baiknya, mudah-mudahan Allah mengembalikan mereka semua kepadaku. Sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana." (Yusuf:83) Maka Allah realisasikan harapannya, Allah himpunkan dia dengan dua puteranya selepas setengah orang beranggapan cerita tentang Yusuf adalah satu bentuk dongeangan dan karut semata-mata.

Tunggulah perbuatan Tuhanmu yang akan datang
Apa yang engkau suka: kejayaan yang hampir akan tiba
Jangan engkau berputus asa andainya ditimpa kesusahan
Berapa banyak dalam masa depan yang ghaib itu terkandung perkara yang mengkagumkan.

Bukti yang lebih nyata daripada semua itu ialah firman Allah Ta’ala bermaksud:
“Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, (Sekali lagi ditegaskan): Bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.” (Asy-Syarh:5-6)
“Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya.” (Al-A’raf:56)

Apabila putus asa telah meliputi hati
Dengan itu dada yang lapang menjadi sempit
Kesusahan mencengkam dan bertapak
Kesusahan berdiri teguh di tempat-tempatnya
Jalan penyelesaian tidak langsung menampakkan wajahnya
Orang yang ragu semakin tidak yakin pada upayanya
Akan datanglah ketika engkau berputus asa itu pertolongan
Dikurniakan oleh Yang Maha Latif, Maha Menyahut doa
Setiap trajedi apabila tiba ke puncaknya
Ia berhubung dengan kemenangan yang sudah dekat.

Dan di antara kesempurnaan keyakinan dengan pertolongan Allah, kita saling ingat mengingati dengan kewajipan berdoa dan mengadu kepada Allah S.W.T. Itu merupakan senjata paling penting yang kita gunakan untuk mendepani fitnah dan puak-puak perampas kuasa yang merosakkan. Allah Ta’ala berfirman maksudnya: “Atau siapakah yang memperkenankan doa orang yang menderita apabila dia berdoa kepadaNya dan yang menghapuskan kesusahan, serta menjadikan kamu pengganti (umat-umat yang telah lalu) mendiami dan menguasai bumi?” (An-Naml:62)

Maka hendaklah kita berdoa, kita memohon pertolonganNya sebagaimana seorang yang hampir lemas, yang takut dirinya akan tenggelam bila-bila masa, maka kita hanya bergantung harap kepada Allah agar menyelamatkan kita dari fitnah dan mehnah. 
Hendaklah kita qunut nazilah pada semua solat. Ingatlah, Nabi s.a.w. pada hari peperangan Badar, Baginda bersungguh-bersungguh dalam berdoa, sehingga Abu Bakar berasa simpati pada Baginda. Baginda mengulang-ulang doa: “Ya Allah, laksanakanlah untukku apa yang Engkau janjikan. Ya Allah, pertolonganMu, datangkan!” Dan Abu Bakar yang berdiri di belakang Baginda membetulkan kain yang terjatuh dari bahu Baginda seraya berkata: “Ya Rasulullah, cukuplah rayuanmu kepada TuhanMu. Sesungguhnya Dia akan laksanakan apa yang Dia janjikan kepadamu.” 

Maka hendaklah kita berdoa kepada Allah dalam keadaan kita yakin kepada pertolonganNya untuk orang-orang yang benar. Dia akan menimpakan kekalahan dan kegagalan ke atas golongan yang melakukan kerosakan, yang zalim, yang menumpahkan darah yang suci tanpa alasan yang benar. Hendaklah kita mengahafaz doa melepaskan diri dari bencana dan kita membacanya setiap masa. Andainya syaitan cuba menghasutmu dengan berkata: “umat seluruhnya sedang berdoa, namun semuanya tidak terlaksana.” Maka hendaklah kamu ingat kata-kata Ibn ‘AtoiLlah al-Askari di dalam kitab hikmahnya, “Jangan engkau jadikan kelewatan datangnya pemberian sedangkan engkau telah merengek-rengek dalam berdoa, jangan jadikan kelewatan itu sebagai alasan untuk  engkau berputus asa. Sesungguhnya Dia telah memberi jaminan untuk mengqabulkan doa dengan cara yang Dia pilih untukmu, bukan apa yang engkau pilih untuk dirimu, pada waktu yang Dia kehendaki, bukan pada waktu yang engkau kehendaki.” Maha Benarlah Allah Yang Maha Agung yang telah berfirman maksudnya: “Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.” (Ghafir:60)

Sebagai penutup, kita hendaklah sentiasa ingat, dan kita ingatkan bangsa kita yang merdeka, yang telah bangkit mencetuskan revolusi bahawa pendekatan aman kita adalah rahsia kekuatan kita. Dan kita selamanya tidak akan terheret kepada melakukan kekerasan sekalipun puak-puak perampas melakukan pelbagai provokasi. Ketiadaan pemimpin kita tidak memberi kesan kepada keazaman kita dan tidak akan mengubah pendekatan aman kita dan revolusi kita sehingga Allah laksanakan kemenangan untuk kita in syaa Allah. “Maka mereka akan menganggukkan kepala mereka kepadamu sambil bertanya secara mengejek: Bila berlakunya? Katakanlah: Dipercayai akan berlaku tidak lama lagi!” (Al-Israa’:51)

Allahu Akbar dan hidup Mesir, bebas dan stabil
Ya Allah, selawatkanlah ke atas penghulu kami, Muhammad, keluarganya dan sahabatnya serta sejahterakanlah mereka.

Cairo: 29 Syawwal 1434 bersamaan 5 September 2013

Sumber:

No comments: