Tuesday, September 01, 2020

SEHEBAT HUDHUD

 

“Aku respect betul lah dengan ulamak ni. Pandangannya begitu jauh. Ilmunya sangat mendalam. Semua peristiwa yang berlaku pada hari ini dia boleh kaitkan dengan al-Quran. Memang layaklah dia diangkat sebagai mursyidul am parti Islam.” Begitu teruja dan beria-ia Miah menyatakan kekagumannya pada seorang ulamak pemimpin sebuah parti politik yang terkemuka.

 

Nora yang dari tadi khusyuk membaca buku tiba-tiba menoleh ke arah Miah. 

“Apa cerita, Miah?” Nora bertanya, menunjukkan minat untuk mendengar.

“Kau tahu, tindakan seorang menteri yang tidak ikut sop selepas balik dari Turki tu sebenarnya tidak salah!” Jelas Miah bersemangat.

“Kenapa?” Soal Nora.

“Dia pergi atas urusan resmi kemudian balik membawa hasil yang menguntungkan negara.”

“Apa yang dia bawa balik?” 

“Dia berjaya menarik Turki mengeksport kelapa sawit dari negara kita sebanyak 300,000 tan sebagai tambahan kepada eksport sebelum ini sebanyak 700,000 tan. lebih daripada itu, selepas dia balik harga kelapa sawit naik mencanak tau! Dia sebenarnya hero yang menyelamatkan ekonomi negara kita!” syarah Mia dengan begitu bersemangat sekali (rujuk ucapan ulamak yang dimaksudkan di link: https://www.youtube.com/watch?v=3JRCFC5Damc)

“Dia diumpamakan seperti burung hudhud.”

“Hudhud?” Nora yang dari tadi diam menadah telinga tiba-tiba tercengang mendengar perumpamaan menteri yang langgar sop itu seperti hudhud.

“Ya. Burung hudhud dalam kisah Nabi Sulaiman!” jawab Miah dengan penuh yakin. Bangga pun ada.

 

“Tang mana yang sama tu, Miah?” Nora mengerutkan wajah sambil mengingati kisah hudhud yang pernah didengarnya sebelum ini.

“Hudhud tak ikut sop yang ditetapkan Nabi Sulaiman. Namun Nabi Sulaiman tidak menghukumnya kerana dia  membawa keuntungan yang besar kepada negara. Satu negeri masuk Islam termasuk rajanya sekali, Ratu Balqis.”

 

“Engkau pernah dengar tak kisah hudhud tu sebelum ini?”

“Ala engkau ni tanya macam tu pulak. Aku tahu la aku ni jahil, tak pernah dengar cerita-cerita dari al-Quran...” jawab Miah dengan nada seperti orang berjauh hati.

“Aku pun jahil macam engkau juga. Tapi pernah juga lah aku dengar kisahnya. Setakat yang aku pernah dengar tak sama langsung dengan kisah menteri tak patuh sop tu.”

Miah terdiam. 

 

Melihat Miah masih belum menunjukkan apa-apa tanda untuk menyambung bicaranya, Nora bersuara:

“Tentang harga minyak sawit tu, aku baca dekat BHonline, ia telah naik sejak bulan Mei lagi. Tak ada kena mengenapun dengan lawatan menteri. Menurut Pemilik dan Pengasas Bersama Palm Oil Analytics, Dr Sathia Varqa, ia berkaitan dengan peningkatan ketara permintaan eksport pada Jun, dan juga pengeluaran rendah di Indonesia dan Malaysia kini menyokong harga untuk tinggi.” 

Miah masih membisu. Nora terus menyambung, 

“Tentang peningkatan eksport ke Turki, usaha mengenainya telah dilaporkan oleh satu portal berita pada bulan Januari 2019 lagi. Maknanya ia telah diusahakan lama sebelum dia jadi menteri. Mungkin dia sendiripun belum terfikir pada waktu itu akan menjadi menteri!”

 

Miah terkebil-kebil memandang Nora. Belum ada idea untuk mencelah.

“Di manakah persamaannya antara hudhud dengan menteri tak patuh sop? Hudhud tidak pernah ingkar perintah raja dia, Nabi Sulaiman a.s. Dia cuma lambat tiba pada waktu yang sepatutnya. Tidak lama selepas Nabi perasan ketidak hadirannya, hudhud pun tiba, duduk tidak jauh dari baginda.

Sebagai pemimpin yang hebat dan tegas dalam menjaga disiplin para pegawai dan kakitangannya, Nabi mengancam akan mengenakan hukuman yang keras ke atas hudhud. Namun sebagai pemimpin yang adil, baginda memberi peluang kepada hudhud untuk memberi penjelasan dan mengemukakan alasan atas kelewatannya.

Setelah hudhud memberikan penjelasan, baginda tidak terus terima begitu saja. Untuk mempastikan kesahihan berita yang disampaikan baginda memerintahkan hudhud agar menghantar surat kepada Ratu Balqis yang kononnya ditemui oleh hudhud dan memerintahkan supaya menunggu untuk memerhati apakah reaksi Ratu itu terhadap surat yang diterimanya.

Demikianlah adilnya Nabi Sulaiman, bijak dan berhemah dalam pemerintahan dan pentadbirannya.

Yang ini pula, mana bukti lawatannya dan acara MoU yang didakwanya? Ada gambar ke, atau kenyataan media bersama dengan rakan sejawatnya yang mewakili kerajaan Turki? Engkau pernah tengok?”

Miah menggeleng.

 

“Panjangnya syarahan kau, Nora.” Rungut Miah tiba-tiba.

“Kenapa? Kau dah bosan?”

“Lebih kurang lah. Tapi ok je. Ada lagi ke poin yang kau nak cakap?”

“Ya. Bagi aku, isu yang lebih utama ialah adanya ketidak adilan, double standard dalam pelaksanaan undang-undang. Rakyat bawahan dikenakan hukuman serta tindakan yang keras dan tegas, sedangkan menteri hukumannya jauh lebuh ringan. Itu yang rakyat tidak puas hati. Mereka baca hadis Nabi yang kata, kalau Fatimah anaknya sendiri pun yang mencuri, baginda akan potong tangannya! Jadi di sudut manakah sebenarnya engkau nak samakan dengan hudhud?”

 

“Itulah aku kata tadi, ulamak memang mempunyai pandangan yang jauh dan pemerhatian yang mendalam. Dia nampak apa yang kita tidak nampak.”

“Hemm... dah sah lah!” bisik Nora dengan nada mengeluh.

“Sah apa?” 

“Engkau tu, walaun. Taksub tak bertebing!”

Pam! Satu tamparan yang kuat hinggap di atas paha Nora.

“Aduh!” Nora menjerit.

“Apa main pukul ni? Sakit!”

“Engkau tu... pandai-pandai, suka hati kata orang walaun! Ambik engkau!”

No comments: