(Ucaptama di Seminar Wanita dan Syariah,
anjura Wanita IKRAM Ampang Jaya dengan kerjasama Masjid Bukit Antarabangsa,
pada 14 Ramadhan 1435 bersamaan 12 July 2014)
“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu
ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi
sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk
dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.”
(Al-Baqarah:185)
Untuk mengoptimakan Ramadhan
kita mesti mengetahui apa yang ada pada Ramadhan.
Ramadhan adalah bulan perubahan dan
pembinaan ummah. Lihat bagaimana Rasulullah SallaLlahu 'alaihi wasallam menyifatkan
kehadiran Ramadhan dengan sabdanya yang bermaksud: "Sesungguhnya telah
datang kepada kamu Ramadhan bulan yang diberkati. Allah fardhukan ke atas kamu berpuasa
padanya, dibukakan pintu-pintu syurga, di tutup pintu-pintu neraka, ditambat
syaitan-syaitan. Di dalamnya terdapat satu malam yang lebih baik daripada 1000
bulan. Sesiapa yang dihalang kebaikannya maka sesungguhnya dia telah
terhalang." Riwayat Ahmad.
Maka Ramadhan merupakan bulan untuk membina
insan dari semua sudut keinsanannya, ruhi, fikri jasadi, dan emosi. Bulan untuk
membangun dan menegakkan satu daripada tiang-tiang agama, satu daripada
rukunnya yang lima.
Justeru, puasa Ramadhan tidak boleh
dipandang ringan. Tidak boleh dilaksanakan secara main-main atau sambil lewa
kerana ia merupakan tiang. Hanya tiang yang benar-benar padat dan kuat dapat
menampung bangunan besar, teguh dan utuh.
Itulah juga sebabnya mengapa Ramadhan dikaitkan
dengan turunnya al-Quran.
Al-Quran yang diturunkan membawa huda,
bayyinat, furqan.
Diturunkan sebagai petunjuk kepada manusia
dengan mukjizatnya, ayat-ayatnya yang jelas menunjuk kepada kebenaran dan
membezakan antara hak dan batil.
Al-Quran diturunkan untuk mengeluarkan
manusia dari kegelapan kepada cahaya yang terang benderang.
Dalam hal ini, Allah Yarham Sayyid Qutub
menukilkan sebuah tulisan yang sangat baik tentang peranan al-Quran dalam
membina ummah.
"Dakwah Islamiyah telah melahirkan
satu generasi manusia, generasi sahabat Rasulullah SallaLlahu 'alaihi wasallam,
Ridwanullahi 'alaihim, iaitu satu generasi yang paling istimewa dalam sejarah
Islam dan sejarah kemanusiaan keseluruhannya. Generasi itu tidak pernah muncul
dan timbul lagi sesudah itu, walaupun terdapat juga beberapa peribadi dan tokoh
tertentu di sepanjang sejarah, tetapi tidaklah lahir satu golongan besar
manusia, di satu tempat yang tertentu, seperti yang telah muncul di zaman
Rasulullah SallaLlahu 'alaihi wasallam.
Ini adalah satu hakikat yang
sememangnya berlaku dan di sebaliknya terkandung maksud-maksud yang tertentu
yang perlu kita perhatikan dan renungkan dengan bersungguh-sungguh, agar kita
dapat menyelami rahsianya.
Al-Quran yang menjadi sumber dakwah ini masih berada
bersama-sama kita. Hadis Rasulullah SallaLlahu 'alaihi wasallam dan
petunjuk-petunjuk daripada perjalanan hidup dan sirahnya yang mulia itu juga
masih ada di samping kita, seperti yang telah ada bersama-sama dengan generasi
yang terdahulu itu, tidak terjejas oleh perjalanan sejarah dan tidak lapuk oleh
perkembangan zaman; hanya diri peribadi Rasulullah
SallaLlahu 'alaihi wasallam sahaja yang tiada bersama-sama kita sekarang.
Adakah ini rahsianya?
Kalaulah wujudnya peribadi Rasulullah SallaLlahu 'alaihi
wasallam itu menjadi syarat mutlak untuk kejayaan dakwah ini, maka sudah tentu
Allah SubhanaHu waTa'ala tidak menjadikan dakwah ini
meliputi seluruh umat manusia dan tidak dijadikannya (Nabi Muhammad SallaLlahu
'alaihi wasallam) sebagai utusan-Nya yang terakhir, serta tidak diserahkan hal
ini (menegakkan Islam) untuk diurus oleh manusia hingga ke akhir zaman. Tetapi
Allah SubhanaHu waTa'ala telah mewafatkan Rasulullah SallaLlahu 'alaihi wasallam
setelah 23 tahun baginda menjalankan tugas berdakwah dan menyampaikan perutusan
Ilahi, dan Allah SubhanaHu waTa'ala telah memberi jaminan untuk memelihara
Al-Quran dan menegaskan akan memelihara agama-Nya hingga hari kiamat. Ini
adalah kerana Allah mengetahui bahawa dakwah ini boleh tegak selepas zaman
Rasulullah SallaLlahu 'alaihi wasallam dan juga boleh membuahkan hasil yang
baik. Dengan demikian, ketiadaan peribadi Rasulullah SallaLlahu 'alaihi wasallam
itu tidak boleh dijadikan alasan di atas kegagalan dakwah di zaman ini.
Maka, kita perlu menyelidiki sebab lain yang
menjadi punca kegagalan itu. Mari kita lihat kepada sumber pengambilan generasi
pertama itu. Kemudian kita lihat pula kepada program dan jalan yang telah
dilalui mereka, barangkali ada sesuatu yang berlainan dan berbeza.
Sumber pokok yang dicedok oleh generasi
pertama itu ialah Al-Quran, dan HANYA Al-Quran sahaja. Hadis Rasulullah
SallaLlahu 'alaihi wasallam dan petunjuk-petunjuk beliau adalah merupakan
penafsiran kepada sumber utama itu. Ketika Saidatina Aisyah Radhiallahu'anha
ditanya mengenai kelakuan, perangai dan perjalanan hidup Rasulullah SallaLlahu
'alaihi wasallam, maka beliau menjawab; (yang bermaksud); "Akhlak
baginda itu ialah Al-Quran." [Riwayat An-Nasai]
Tetapi apakah yang berlaku kemudiannya? Sumber panduan
bagi generasi kemudian rupanya telah bercampur baur! Sumber mereka telah
dicemari oleh falsafah Yunani (Greek), cara berfikir dan logiknya, dongeng-dongeng
Parsi dan pandangan hidupnya, cerita-cerita Israiliat Yahudi dan
juga telah dimasuki oleh saki baki peninggalan tamadun
zaman lampau. Inilah faktor utama yang menyebabkan generasi berikutnya
berlainan sama sekali dengan generasi pertama yang unggul itu.
Di sana ada satu lagi faktor asas selain daripada
percampuran sumber, iaitu berbezanya cara menerima pengajaran antara generasi
para sahabat Rasulullah SallaLlahu 'alaihi wasallam dengan generasi-generasi
kemudiannya.
Generasi pertama para sahabat Rasulullah SallaLlahu
'alaihi wasallam tidak mendekatkan diri mereka dengan Al-Quran dengan tujuan
mencari pelajaran dan bahan bacaan, bukan juga dengan tujuan mencari hiburan
dan berpanglipur lara. Tiada seorang pun daripada mereka yang belajar Al-Quran
dengan tujuan menambah bekal dan bahan ilmu semata-mata untuk ilmu dan bukan juga
dengan maksud menambah bahan ilmu dan akademi untuk mengisi dada mereka sahaja.
Tidak juga dipelajari Al-Quran untuk mencari pengetahuan tambahan ataupun
arahan tambahan dalam satu majlis pengajian atau suatu majlis taklimat. Tetapi
dipelajari Al-Quran itu dengan maksud hendak
belajar tentang arahan dan perintah Allah dalam urusan hidup peribadinya dan
hidup masyarakat mereka. Dan dia belajar untuk dilaksanakan serta merta, seperti
seorang perajurit yang menerima arahan.
Dasar "belajar untuk melaksanakan
terus" merupakan faktor utama membentuk generasi pertama dahulu, manakala
dasar "belajar untuk membuat kajian dan bahan panglipur lara"
merupakan faktor penting yang melahirkan generasi-generasi kemudian. Dan tidak
syak lagi bahawa faktor kedua inilah yang merupakan sebab utama
mengapa generasi-generasi yang terkemudian berlainan sama sekali dengan
generasi pertama para sahabat Rasulullah SallaLlahu 'alaihi wasallam."
Untuk memahami lebih jelas peranan Ramadhan
dalam membina ummah kita imbas sepintas lalu beberapa peristiwa penting yang
berlaku sebelum difardhukan puasa Ramadhan.
Puasa difardhukan ke atas umat Islam pad
bulan Syaaban tahun ke 2 hijriah. Pada masa yang sama berlaku beberapa
peristiwa besar yang cukup penting dalam mengubah haluan sejarah ummah dan
manusia seluruhnya. Antara peristiwa tersebut ialah:
1.
Difardhukan puasa bulan
Ramadhan.
2.
Difardhukan zakat yang juga
merupakan satu daripada rukun Islam. Zakat secara umum diwajibkan sejak zaman
makkiyyah tetapi tidak ditentukan perinciannya dari segi kadar dan lain-lain
yang berkaitan dengannya. Ia ditentukan pada bulan Syaaban tahun ke dua
hijriah.
3.
Difardhukan jihad qital. Firman
Allah Ta'ala bermaksud: "Dan perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) agama Allah akan
orang-orang yang memerangi kamu dan janganlah kamu menceroboh (dengan memulakan
peperangan); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang
menceroboh." (Al-Baqarah:190)
4.
Peralihan qiblat dari
Baitul-Maqdis ke Kaabah. "Kerap kali Kami melihat engkau (wahai Muhammad),
berulang-ulang menengadah ke langit, maka Kami benarkan engkau berpaling
mengadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu palingkanlah mukamu ke arah
Masjidilharam (tempat letaknya Kaabah) dan di mana sahaja kamu berada maka
hadapkanlah muka kamu ke arahnya dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah
diberikan Kitab, mereka mengetahui bahawa perkara (berkiblat ke Kaabah) itu
adalah perintah yang benar dari Tuhan
mereka dan Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang
mereka lakukan.” (Al-Baqarah:144)
Dan apabila tiba Ramadhan tahun tersebut,
umat Islam mula berpuasa sebagaimana yang difardhukan. Pada bulan tersebut
tercetus satu "ma'rakah fasilah", peperangan yang membezakan antara
hak dan batil. "Dan (ingatlah) ketika Allah menjanjikan kepada kamu salah
satu dari dua angkatan, menjadi untuk kamu (menghadapinya), sedang kamu suka
kiranya (angkatan perniagaan) bukan angkatan (perang) yang mempunyai kekuatan
itu yang dijadikan untuk kamu (menghadapinya). Padahal Allah menghendaki untuk
menetapkan yang benar (agama Islam) dengan Kalimah-kalimahNya dan untuk
membinasakan kaum yang kafir seluruhnya; Supaya Allah menegakkan yang benar itu
dan menghapuskan yang salah (kufur dan syirik), sekalipun golongan (kafir
musyrik) yang berdosa itu tidak menyukainya.” (Al-Anfal:7-8)
Dengan itu, amat besar ertinya bagi kita
untuk menyambut dan menghayati Ramadhan ini dengan sebaik-baiknya. Ia bukan
hanya sekadar musim untuk meningkatkan ibadah dengan membanyakkan solat,
tilawah dan sebagainya. Kemudian setelah berakhir Ramadhan, semangat pun
menurun dan segala hikmahnya hampir-hampir dilupakan. Justeru, apa yang patut
kita persiapkan?
1.
Bersiap sedia untuk membina identiti
yang berbeza. Apabila Allah Ta'ala memfardhukan ke atas kita puasa, sebenarnya
Allah hendak membangun diri kita menjadi umat yang bertaqwa, iaitu yang
mengetahui matlamat hidup dan mampu mengemudi kehendak diri sendiri agar
sentiasa istiqamah di atas jalan lurus menuju matlamat tersebut. Puasa yang
zahirnya kelihatan begitu mudah, iaitu menahan diri dari perkara yang
membatalkan, hakikat merupakan satu latihan mengawal nafsu, menguasai diri,
mengoptimakan potensi diri tunduk dan patuh sepenuhnya kepada Yang Maha Esa. Nabi
SallaLlahu 'alaihi wasallam bersabda maksudnya: “Puasa itu perisai. Maka
janganlah kamu mencarut dan jangan berkelakuan bodoh. Jika seseorang
memerangimu atau mencacimu, maka katakanlah kepadanya ‘sesungguhnya aku
berpuasa’ sebanyak dua kali. Demi Tuhan yang jiwaku di dalam tangan-Nya, bau
mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah Ta’ala daripada wanginya
kasturi. Allah berfirman: dia telah meninggalkan
makanan, minuman dan nafsu syahwahnya kerana-Ku. Puasa
adalah untuk-Ku dan Akulah yang akan member ganjarannya. Dan setiap satu
kebaikan itu sepuluh kali ganda seumpama dengannya” (Maksud Hadis riwayat
al-Bukhari daripada Abu Hurairah r.a.)
2.
Berpegang pada sumber yang
tidak diragui. "Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar terhadap
Al-Quran ketika sampainya kepada mereka, (akan ditimpa azab seksa yang tidak
terperi); sedang Al-Quran itu, demi sesungguhnya sebuah Kitab Suci yang tidak
dapat ditandingi, Yang tidak dapat didatangi sebarang kepalsuan dari mana-mana
arah dan seginya; ia diturunkan dari Tuhan Yang Maha Bijaksana, lagi Maha
Terpuji.” (Fussilat:41- 42). Ramadhan adalah waktu untuk bermuhasabah mengenai
hubungan yang sebenarnya antara kita dengan al-Quran. Apakah kita telah
benar-benar meletakkannya di hadapan dan kita sentiasa berjalan mengikut pandu
arah yang ditujukkannya? Atau kita hanya sekadar membaca konon untuk mendapat
pahala yang berganda-ganda? Perhatikan segala permasalahan yang melanda
kehidupan kita hari ini; kes buang bayi sebagai contoh. Adakah kita benar-benar
serius mencari penyelesaiannya di dalam al-Quran?
3.
Ruhban billail terutama 10
malam terakhir. Bangun malam untuk beribadah atau qiamullail merupakan qaedah
paling utama dan paling penting dalam mentarbiah peribadi rabbani yang mampu
memikul amanah yang berat. Itulah caranya Allah 'Azza wa Jalla mentarbiah
Rasulullah SallaLlahu 'alaihi wasallam ketika baginda mula-mula diangkat
menjadi Pesuruh-Nya. "Wahai orang yang berselimut!. Bangunlah sembahyang
Tahajud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk
berehat), Iaitu separuh dari waktu malam atau kurangkan sedikit dari separuh
itu, Ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya dan bacalah Al-Quran dengan
"Tartil". (Sayugialah engkau dan pengikut-pengikutmu membiasakan diri
masing-masing dengan ibadat yang berat kepada hawa nafsu, kerana) sesungguhnya Kami akan
menurunkan kepadamu wahyu (Al-Quran yang mengandungi perintah-perintah) yang
berat (kepada orang-orang yang tidak bersedia menyempurnakannya).”
(Al-Muzzammil:1-5). Dan perintah ini terus dilaksanakan dan dihayati sepanjang
hayat baginda, diikuti oleh umat baginda generasi deni generasi sehingga
menjadi satu budaya para solihin dan muqarrabin. Oleh kerana Ramadhan ini bulan
latihan, maka ganjarannya sangatlah besar. “Sesiapa yang qiam pada bulan Ramadhan dalam
keadaan beriman dan ihtisab (mengharap ganjaran serta keredhaan Allah)
diampunkan apa yang terdahulu daripada dosanya.” Al-Bukhari. “Sesiapa yang qiam pada malam al-Qadar dalam keadaan beriman dan
ihtisab (mengharap ganjaran serta keredhaan Allah) diampunkan apa yang
terdahulu daripada dosanya.” Muttafaq ‘alaih.
4.
Mengikis sifat keakuan. "Dan
segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat)
keampunan dari Tuhan kamu dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala
langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa. Iaitu
orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah dan
orang-orang yang menahan kemarahannya dan orang-orang yang memaafkan kesalahan
orang dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara
yang baik.” (Aali ‘Imran:133-134)
Diharapkan dengan persiapan serta
penghayatan yang sungguh-sungguh sepanjang Ramadhan kali ini kita akan dapat
membentuk identiti diri yang memiliki jatidiri dan keperibadian yang
benar-benar layak memikul amanah yang berat yang memungkinkan kita dinobatkan
sebagai khaira ummah ukhrijat lin-nas. "Kamu (wahai umat Muhammad) adalah
sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh
berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah
(buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar
iman)” (Aali ‘Imran 3:110)