Friday, July 11, 2014

Optima Ramadhan


(Ucaptama di Seminar Wanita dan Syariah, anjura Wanita IKRAM Ampang Jaya dengan kerjasama Masjid Bukit Antarabangsa, pada 14 Ramadhan 1435 bersamaan 12 July 2014)

“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.” (Al-Baqarah:185)


Untuk mengoptimakan Ramadhan kita mesti mengetahui apa yang ada pada Ramadhan.

Ramadhan adalah bulan perubahan dan pembinaan ummah. Lihat bagaimana Rasulullah SallaLlahu 'alaihi wasallam menyifatkan kehadiran Ramadhan dengan sabdanya yang bermaksud: "Sesungguhnya telah datang kepada kamu Ramadhan bulan yang diberkati. Allah fardhukan ke atas kamu berpuasa padanya, dibukakan pintu-pintu syurga, di tutup pintu-pintu neraka, ditambat syaitan-syaitan. Di dalamnya terdapat satu malam yang lebih baik daripada 1000 bulan. Sesiapa yang dihalang kebaikannya maka sesungguhnya dia telah terhalang." Riwayat Ahmad.

Maka Ramadhan merupakan bulan untuk membina insan dari semua sudut keinsanannya, ruhi, fikri jasadi, dan emosi. Bulan untuk membangun dan menegakkan satu daripada tiang-tiang agama, satu daripada rukunnya yang lima.
Justeru, puasa Ramadhan tidak boleh dipandang ringan. Tidak boleh dilaksanakan secara main-main atau sambil lewa kerana ia merupakan tiang. Hanya tiang yang benar-benar padat dan kuat dapat menampung bangunan besar, teguh dan utuh.

Itulah juga sebabnya mengapa Ramadhan dikaitkan dengan turunnya al-Quran.
Al-Quran yang diturunkan membawa huda, bayyinat, furqan.
Diturunkan sebagai petunjuk kepada manusia dengan mukjizatnya, ayat-ayatnya yang jelas menunjuk kepada kebenaran dan membezakan antara hak dan batil.
Al-Quran diturunkan untuk mengeluarkan manusia dari kegelapan kepada cahaya yang terang benderang.

Dalam hal ini, Allah Yarham Sayyid Qutub menukilkan sebuah tulisan yang sangat baik tentang peranan al-Quran dalam membina ummah.

"Dakwah Islamiyah telah melahirkan satu generasi manusia, generasi sahabat Rasulullah SallaLlahu 'alaihi wasallam, Ridwanullahi 'alaihim, iaitu satu generasi yang paling istimewa dalam sejarah Islam dan sejarah kemanusiaan keseluruhannya. Generasi itu tidak pernah muncul dan timbul lagi sesudah itu, walaupun terdapat juga beberapa peribadi dan tokoh tertentu di sepanjang sejarah, tetapi tidaklah lahir satu golongan besar manusia, di satu tempat yang tertentu, seperti yang telah muncul di zaman Rasulullah SallaLlahu 'alaihi wasallam.

Ini adalah satu hakikat yang sememangnya berlaku dan di sebaliknya terkandung maksud-maksud yang tertentu yang perlu kita perhatikan dan renungkan dengan bersungguh-sungguh, agar kita dapat menyelami rahsianya.
Al-Quran yang menjadi sumber dakwah ini masih berada bersama-sama kita. Hadis Rasulullah SallaLlahu 'alaihi wasallam dan petunjuk-petunjuk daripada perjalanan hidup dan sirahnya yang mulia itu juga masih ada di samping kita, seperti yang telah ada bersama-sama dengan generasi yang terdahulu itu, tidak terjejas oleh perjalanan sejarah dan tidak lapuk oleh perkembangan zaman; hanya diri peribadi Rasulullah SallaLlahu 'alaihi wasallam sahaja yang tiada bersama-sama kita sekarang. Adakah ini rahsianya?
Kalaulah wujudnya peribadi Rasulullah SallaLlahu 'alaihi wasallam itu menjadi syarat mutlak untuk kejayaan dakwah ini, maka sudah tentu Allah SubhanaHu waTa'ala tidak menjadikan dakwah ini meliputi seluruh umat manusia dan tidak dijadikannya (Nabi Muhammad SallaLlahu 'alaihi wasallam) sebagai utusan-Nya yang terakhir, serta tidak diserahkan hal ini (menegakkan Islam) untuk diurus oleh manusia hingga ke akhir zaman. Tetapi Allah SubhanaHu waTa'ala telah mewafatkan Rasulullah SallaLlahu 'alaihi wasallam setelah 23 tahun baginda menjalankan tugas berdakwah dan menyampaikan perutusan Ilahi, dan Allah SubhanaHu waTa'ala telah memberi jaminan untuk memelihara Al-Quran dan menegaskan akan memelihara agama-Nya hingga hari kiamat. Ini adalah kerana Allah mengetahui bahawa dakwah ini boleh tegak selepas zaman Rasulullah SallaLlahu 'alaihi wasallam dan juga boleh membuahkan hasil yang baik. Dengan demikian, ketiadaan peribadi Rasulullah SallaLlahu 'alaihi wasallam itu tidak boleh dijadikan alasan di atas kegagalan dakwah di zaman ini.
Maka, kita perlu menyelidiki sebab lain yang menjadi punca kegagalan itu. Mari kita lihat kepada sumber pengambilan generasi pertama itu. Kemudian kita lihat pula kepada program dan jalan yang telah dilalui mereka, barangkali ada sesuatu yang berlainan dan berbeza.
Sumber pokok yang dicedok oleh generasi pertama itu ialah Al-Quran, dan HANYA Al-Quran sahaja. Hadis Rasulullah SallaLlahu 'alaihi wasallam dan petunjuk-petunjuk beliau adalah merupakan penafsiran kepada sumber utama itu. Ketika Saidatina Aisyah Radhiallahu'anha ditanya mengenai kelakuan, perangai dan perjalanan hidup Rasulullah SallaLlahu 'alaihi wasallam, maka beliau menjawab; (yang bermaksud); "Akhlak baginda itu ialah Al-Quran." [Riwayat An-Nasai]

Tetapi apakah yang berlaku kemudiannya? Sumber panduan bagi generasi kemudian rupanya telah bercampur baur! Sumber mereka telah dicemari oleh falsafah Yunani (Greek), cara berfikir dan logiknya, dongeng-dongeng Parsi dan pandangan hidupnya, cerita-cerita Israiliat Yahudi dan juga telah dimasuki oleh saki baki peninggalan tamadun zaman lampau. Inilah faktor utama yang menyebabkan generasi berikutnya berlainan sama sekali dengan generasi pertama yang unggul itu.
Di sana ada satu lagi faktor asas selain daripada percampuran sumber, iaitu berbezanya cara menerima pengajaran antara generasi para sahabat Rasulullah SallaLlahu 'alaihi wasallam dengan generasi-generasi kemudiannya.
Generasi pertama para sahabat Rasulullah SallaLlahu 'alaihi wasallam tidak mendekatkan diri mereka dengan Al-Quran dengan tujuan mencari pelajaran dan bahan bacaan, bukan juga dengan tujuan mencari hiburan dan berpanglipur lara. Tiada seorang pun daripada mereka yang belajar Al-Quran dengan tujuan menambah bekal dan bahan ilmu semata-mata untuk ilmu dan bukan juga dengan maksud menambah bahan ilmu dan akademi untuk mengisi dada mereka sahaja. Tidak juga dipelajari Al-Quran untuk mencari pengetahuan tambahan ataupun arahan tambahan dalam satu majlis pengajian atau suatu majlis taklimat. Tetapi dipelajari Al-Quran itu dengan maksud hendak belajar tentang arahan dan perintah Allah dalam urusan hidup peribadinya dan hidup masyarakat mereka. Dan dia belajar untuk dilaksanakan serta merta, seperti seorang perajurit yang menerima arahan.
Dasar "belajar untuk melaksanakan terus" merupakan faktor utama membentuk generasi pertama dahulu, manakala dasar "belajar untuk membuat kajian dan bahan panglipur lara" merupakan faktor penting yang melahirkan generasi-generasi kemudian. Dan tidak syak lagi bahawa faktor kedua inilah yang merupakan sebab utama mengapa generasi-generasi yang terkemudian berlainan sama sekali dengan generasi pertama para sahabat Rasulullah SallaLlahu 'alaihi wasallam."

Untuk memahami lebih jelas peranan Ramadhan dalam membina ummah kita imbas sepintas lalu beberapa peristiwa penting yang berlaku sebelum difardhukan puasa Ramadhan.

Puasa difardhukan ke atas umat Islam pad bulan Syaaban tahun ke 2 hijriah. Pada masa yang sama berlaku beberapa peristiwa besar yang cukup penting dalam mengubah haluan sejarah ummah dan manusia seluruhnya. Antara peristiwa tersebut ialah:
1.     Difardhukan puasa bulan Ramadhan.
2.     Difardhukan zakat yang juga merupakan satu daripada rukun Islam. Zakat secara umum diwajibkan sejak zaman makkiyyah tetapi tidak ditentukan perinciannya dari segi kadar dan lain-lain yang berkaitan dengannya. Ia ditentukan pada bulan Syaaban tahun ke dua hijriah.
3.     Difardhukan jihad qital. Firman Allah Ta'ala bermaksud: "Dan perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) agama Allah akan orang-orang yang memerangi kamu dan janganlah kamu menceroboh (dengan memulakan peperangan); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang menceroboh." (Al-Baqarah:190)
4.     Peralihan qiblat dari Baitul-Maqdis ke Kaabah. "Kerap kali Kami melihat engkau (wahai Muhammad), berulang-ulang menengadah ke langit, maka Kami benarkan engkau berpaling mengadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu palingkanlah mukamu ke arah Masjidilharam (tempat letaknya Kaabah) dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan Kitab, mereka mengetahui bahawa perkara (berkiblat ke Kaabah) itu adalah perintah yang benar dari Tuhan mereka dan Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang mereka lakukan.” (Al-Baqarah:144)

Dan apabila tiba Ramadhan tahun tersebut, umat Islam mula berpuasa sebagaimana yang difardhukan. Pada bulan tersebut tercetus satu "ma'rakah fasilah", peperangan yang membezakan antara hak dan batil. "Dan (ingatlah) ketika Allah menjanjikan kepada kamu salah satu dari dua angkatan, menjadi untuk kamu (menghadapinya), sedang kamu suka kiranya (angkatan perniagaan) bukan angkatan (perang) yang mempunyai kekuatan itu yang dijadikan untuk kamu (menghadapinya). Padahal Allah menghendaki untuk menetapkan yang benar (agama Islam) dengan Kalimah-kalimahNya dan untuk membinasakan kaum yang kafir seluruhnya; Supaya Allah menegakkan yang benar itu dan menghapuskan yang salah (kufur dan syirik), sekalipun golongan (kafir musyrik) yang berdosa itu tidak menyukainya.” (Al-Anfal:7-8)

Dengan itu, amat besar ertinya bagi kita untuk menyambut dan menghayati Ramadhan ini dengan sebaik-baiknya. Ia bukan hanya sekadar musim untuk meningkatkan ibadah dengan membanyakkan solat, tilawah dan sebagainya. Kemudian setelah berakhir Ramadhan, semangat pun menurun dan segala hikmahnya hampir-hampir dilupakan. Justeru, apa yang patut kita persiapkan?

1.     Bersiap sedia untuk membina identiti yang berbeza. Apabila Allah Ta'ala memfardhukan ke atas kita puasa, sebenarnya Allah hendak membangun diri kita menjadi umat yang bertaqwa, iaitu yang mengetahui matlamat hidup dan mampu mengemudi kehendak diri sendiri agar sentiasa istiqamah di atas jalan lurus menuju matlamat tersebut. Puasa yang zahirnya kelihatan begitu mudah, iaitu menahan diri dari perkara yang membatalkan, hakikat merupakan satu latihan mengawal nafsu, menguasai diri, mengoptimakan potensi diri tunduk dan patuh sepenuhnya kepada Yang Maha Esa. Nabi SallaLlahu 'alaihi wasallam bersabda maksudnya: “Puasa itu perisai. Maka janganlah kamu mencarut dan jangan berkelakuan bodoh. Jika seseorang memerangimu atau mencacimu, maka katakanlah kepadanya ‘sesungguhnya aku berpuasa’ sebanyak dua kali. Demi Tuhan yang jiwaku di dalam tangan-Nya, bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah Ta’ala daripada wanginya kasturi. Allah berfirman: dia telah meninggalkan makanan, minuman dan nafsu syahwahnya kerana-Ku. Puasa adalah untuk-Ku dan Akulah yang akan member ganjarannya. Dan setiap satu kebaikan itu sepuluh kali ganda seumpama dengannya” (Maksud Hadis riwayat al-Bukhari daripada Abu Hurairah r.a.)

2.     Berpegang pada sumber yang tidak diragui. "Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar terhadap Al-Quran ketika sampainya kepada mereka, (akan ditimpa azab seksa yang tidak terperi); sedang Al-Quran itu, demi sesungguhnya sebuah Kitab Suci yang tidak dapat ditandingi, Yang tidak dapat didatangi sebarang kepalsuan dari mana-mana arah dan seginya; ia diturunkan dari Tuhan Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Terpuji.” (Fussilat:41- 42). Ramadhan adalah waktu untuk bermuhasabah mengenai hubungan yang sebenarnya antara kita dengan al-Quran. Apakah kita telah benar-benar meletakkannya di hadapan dan kita sentiasa berjalan mengikut pandu arah yang ditujukkannya? Atau kita hanya sekadar membaca konon untuk mendapat pahala yang berganda-ganda? Perhatikan segala permasalahan yang melanda kehidupan kita hari ini; kes buang bayi sebagai contoh. Adakah kita benar-benar serius mencari penyelesaiannya di dalam al-Quran?

3.     Ruhban billail terutama 10 malam terakhir. Bangun malam untuk beribadah atau qiamullail merupakan qaedah paling utama dan paling penting dalam mentarbiah peribadi rabbani yang mampu memikul amanah yang berat. Itulah caranya Allah 'Azza wa Jalla mentarbiah Rasulullah SallaLlahu 'alaihi wasallam ketika baginda mula-mula diangkat menjadi Pesuruh-Nya. "Wahai orang yang berselimut!. Bangunlah sembahyang Tahajud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat), Iaitu separuh dari waktu malam atau kurangkan sedikit dari separuh itu, Ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya dan bacalah Al-Quran dengan "Tartil". (Sayugialah engkau dan pengikut-pengikutmu membiasakan diri masing-masing dengan ibadat yang berat kepada hawa nafsu, kerana) sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu wahyu (Al-Quran yang mengandungi perintah-perintah) yang berat (kepada orang-orang yang tidak bersedia menyempurnakannya).” (Al-Muzzammil:1-5). Dan perintah ini terus dilaksanakan dan dihayati sepanjang hayat baginda, diikuti oleh umat baginda generasi deni generasi sehingga menjadi satu budaya para solihin dan muqarrabin. Oleh kerana Ramadhan ini bulan latihan, maka ganjarannya sangatlah besar.  “Sesiapa yang qiam pada bulan Ramadhan dalam keadaan beriman dan ihtisab (mengharap ganjaran serta keredhaan Allah) diampunkan apa yang terdahulu daripada dosanya.” Al-Bukhari. Sesiapa yang qiam pada malam al-Qadar dalam keadaan beriman dan ihtisab (mengharap ganjaran serta keredhaan Allah) diampunkan apa yang terdahulu daripada dosanya.” Muttafaq ‘alaih.

4.     Mengikis sifat keakuan. "Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa. Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah dan orang-orang yang menahan kemarahannya dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.” (Aali ‘Imran:133-134)


Diharapkan dengan persiapan serta penghayatan yang sungguh-sungguh sepanjang Ramadhan kali ini kita akan dapat membentuk identiti diri yang memiliki jatidiri dan keperibadian yang benar-benar layak memikul amanah yang berat yang memungkinkan kita dinobatkan sebagai khaira ummah ukhrijat lin-nas. "Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)” (Aali ‘Imran 3:110)

No comments: