“Katakanlah (wahai Muhammad); Nyawa kamu akan
diambil oleh Malikil Maut yang ditugaskan berbuat demikian ketika habis ajal
kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Tuhan kamu (untuk menerima
balasan).” (As-Sajdah 32:11)
Tadabbur hari ini bukan ayat yang bermula
dengan seruan “wahai orang-orang yang beriman”. Pagi tadi solat subuh di masjid
imam baca surah as-Sajdah. Yang paling terkesan adalah ayat ke 11 seperti
tertera maksudnya di atas. Terasa seolah-olah ketika itu Malikil Maut datang
merentap nyawaku dan aku rebah di atas sejadah. Oh! Kalau itu benar-benar
berlaku, alangkah bahagianya. Moga-moga aku terpilih mati dalam
husnul-khatimah.
Sehubungan dengan ayat ini, al-Hafidz Ibn
Kathir membawakan Hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abi Hatim daripada Jaafar
bin Muhammad, dia berkata, aku mendengar ayahku berkata: Rasulullah s.a.w.
melihat Malikil Maut berada di kepala seorang lelaki daripada Ansar. Maka
Rasulullah s.a.w. berkata kepadanya: "Wahai Malikil Maut, berlembutlah
dengan sahabatku ini. Sesungguhnya dia seorang yang beriman." Malikil Maut
menjawab: "Wahai Muhammad, tenangkan jiwamu, senangkan matamu.
Sesungguhnya aku memang berlembut dengan setiap mukmin. Dan ketahuilah bahawa
tidak ada sebuah rumah atau khemah yang berpenghuni di daratan dan di lautan
kecuali aku menjenguk dan meninjau mereka setiap hari sebanyak lima kali
sehingga aku mengenali setiap orang daripada mereka, seorang demi seorang, yang
kecil dan yang besar. Demi Allah wahai Muhammad, sekiranya aku hendak mencabut
nyawa seekur nyamuk sekalipun aku tidak berkuasa melakukannya sehinggalah Allah
perintahkan aku mencabutnya.
Jaafar berkata lagi: "Disampaikan
kepadaku bahawa Malikil Maut datang menjenguk di waktu-waktu solat. Sekiranya
seseorang yang telah tiba masa kematian itu dari kalangan mereka yang menjaga
solat, Malikil Maut mendekatinya, dia menghalang syaitan dari menghampirinya
dan mengajarnya la ilaha illa Allah,
Muhammad Rasulullah pada waktu yang amat penting dan genting itu."
Abdul Razzaq meriwayatkan bahawa Mujahid
berkata: "Tidak ada rumah atau khemah di atas muka bumi ini kecuali Malikil
Maut berulang alik datang dua kali setiap hari."
Kaab al-Ahbar pula berkata: "Tidak ada
sebuah rumah yang didiami oleh penduduk dunia melainkan Malikil Maut datang
berdiri di muka pintunya tujuh kali setiap hari. Dia memandang kepada setiap
ahli rumah adakah seseorang yang dia diperintahkan mencabut nyawanya?"
Riwayat Ibn Abi Hatim.
Walaupun kata-kata itu zahirnya bercanggah
dari segi kekerapan Malikil Maut menjenguk kita, yang pasti tidak ada khilaf dari segi
kepastian kunjungan itu.. Dan apabila tiba masa nyawa setiap orang daripada
kita dicabut, dia tidak tersilap mencabutnya.
Zahir ayat ini juga menunjukkan bahawa Malikil
Maut itu satu peribadi tertentu dari kalangan malaikat. Yang masyhur namanya
ialah Izrael.
Qatadah dan lain-lain berkata: Malikil Maut
mempunyai pembantu-pembantu. Di dalam hadis dinyatakan bahawa
pembantu-pembantunya akan mencabut nyawa seseorang dari seluruh tubuh sehingga
apabila tiba di halkum Malikil Maut
sendiri yang mencabutnya.
Kata-kata ini selari dengan ayat-ayat
al-Quran. Ayat dibawah menyatakan Allah
mewafatkan seseorang:
“Allah (Yang Menguasai Segala-galanya), Dia
mengambil dan memisahkan satu-satu jiwa dari badannya, jiwa orang yang sampai
ajalnya semasa matinya dan jiwa orang yang tidak mati: Dalam masa tidurnya;
kemudian Dia menahan jiwa orang yang Dia tetapkan matinya dan melepaskan balik
jiwa yang lain (ke badannya) sehingga sampai ajalnya yang ditentukan.
Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan
kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir (untuk memahaminya)." (Az-Zumar 39:42)
Ayat di bawah ini pula menyatakan para
malaikat yang melakukannya:
"Dan Dialah yang berkuasa atas
sekalian hambaNya dan Dia mengutuskan kepada kamu pengawal-pengawal (malaikat
yang menjaga dan menulis segala yang kamu lakukan), sehingga apabila sampai
ajal maut kepada salah seorang di antara kamu, lalu diambil (nyawanya) oleh
utusan-utusan Kami (malaikat); sedang mereka pula (malaikat itu) tidak cuai
(dalam menjalankan tugasnya).” (Al-An’am 6:61)
Dan dalam ayat 11 surah as-Sajdah
dinyatakan Malikil Maut yang melakukan.
Penjelasannya, kematian atau kewafatan
seseorang Allah jua yang ditentukan. Dia arahkan Malikil Maut mencabut nyawa
orang yang telah sampai ajalnya. Dan Malikil Maut menjalankan tugas yang
diarahkan bersama dengan pambantu-pembantunya.
Perkataan yang digunakan di dalam al-Quran
untuk menunjukkan kematian ialah wafat. Kata kerjanya: tawaffa, yatawaffa.
Yatawwaf bermaksud mengambil dengan sempurna tanpa kurang sedikitpun. Jadi
orang yang mati itu ruhnya diambil sepenuhnya dan dibawa ke suatu tempat. Ruh
itu tidak dipadam atau dihilangkan atau musnahkan. Ia tetap wujud dalam keadaan
yang sempurna. Hanya dipisahkan sementara
dari jasad dan akan dicantum kembali bila tiba masanya kelak.
No comments:
Post a Comment