Sunday, December 23, 2018

TADABBUR – TAUBAT SEBAB KEJAYAAN


ALLAH TA’ALA berfirman maksudnya:
“… dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” (An-Nuur 24:31)

Di dalam ayat di atas Allah menyeru hamba-hambaNya yang beriman supaya bertaubat.
Seruan supaya bertaubat secara tidak langsung mengandungi maksud:

Pertama – semua orang yang beriman tidak terlepas dari dosa kecuali para nabi dan rasul yang maksum.

Kedua – bila Allah seru supaya bertaubat, maknanya Dia menawarkan keampunan untuk hambaNya kerana tidak ada makna suruh taubat tetapi bila hambaNya bertaubat Dia tidak mengampunkan. Ini diperkukuhkan lagi dengan ungkapan terakhir di penghujung ayat: “supaya kamu berjaya”.

Ketiga – semua kita inginkan kejayaan. Maka dalam ini Allah membuka kepada kita satu jalan menuju kejayaan, iaitu bertaubat. Perlu difahami bahawa makna kejayaan di sisi Allah tidak sama dengan kejayaan yang manusia faham. Sebahagian manusia mungkin memahami maksud kejayaan itu sekadar apa yang dicapai di dunia semata-mata. Tetapi di sisi Allah, makna kejayaan yang sebenar ialah selamat dari api neraka dan berjaya melangkah ke syurga.

Keempat – alangkah jauh beza sifat Maha Pengampun Allah dengan manusia. Allah menyeru hambaNya yang berdosa agar bertaubat kerana Dia mahu mengampunkan mereka. Sedangkan kita manusia, apabila orang buat salah pada kita, usahkan nak panggil, malah kadang-kadang orang itu sudah datang untuk minta maaf pun sukar untuk memaafkan.


Semoga kita termasuk dalam golongan hamba yang bertaubat dan menghayati sifat suka memaafkan.

Monday, December 17, 2018

APAKAH AMALAN YANG PALING ENGKAU HARAPKAN?


Tiba-tiba saya rasa tersentap apabila menatap sepotong hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. berkata kepada Bilal r.a. (maksudnya):
“Ya Bilal, ceritakan kepadaku apakah amalan yang paling engkau harapkan di dalam Islam yang engkau amalkan? Sesungguhnya aku mendengar derapan kasutmu mendatangiku di dalam syurga!”

Bilal menjawab:
“Tidak ada amalan yang paling aku harapkan kecuali setiap kali aku bersuci (berwudhuk atau mandi) dengan sempurna sama ada di waktu malam atau siang aku akan lakukan solat dengannya sebanyak mana yang Allah takdirkan untukku bersolat.” Muttaqa ‘alaih

Jika dibaca sepintas lalu, pada zahirnya hadis di atas menunjukkan fadhilat atau kelebihan solat sunat wudhuk. Imam an-Nawawi meletakkan hadis ini di dalam kitab Riadhus-Solohin pada bab sunat solat wudhuk.

Saya tidak berniat untuk kupas dari sudut hukum.
Sebaliknya saya perhatikan hadis ini sebagai satu muhasabah diri yang serba kekurangan ini.

Pertama – apabila Nabi s.a.w. bertanya Bilal, apakah amalan yang paling engkau harapkan (ganjaran pahala yang menjadi sebab untuk layak ke syurga)? Bilal terus ada jawapan: solat setiap kali selepas bersuci!
Saya terfikir, kalau ada orang bertanya saya, apakah amalan yang paling saya harapkan? Saya pasti terpinga-pinga. Tak tahu mana satukah amalan saya yang benar-benar berkualiti dan bernilai di sisiNya?
Ya Allah, takutnya!

Kedua – mengharap masuk syurga tidak hanya bergantung kepada amalan yang wajib. Amalan-amalan yang difardhukan ke atas kita, adalah tanggungjawab yang mesti dilaksanakan sama ada dengan suka atau terpaksa. Amalan-amalan sunat itulah yang menjadi ukuran betapa seriusnya kita dalam usaha mencari dan mendekatkan diri kepadaNya.
Lihatlah jawapan Bilal kepada Rasulullah s.a.w. Beliau tidak meletakkan harapan pada solat fardhunya, sebaliknya solat sunat yang dilakukan atas kehendak dan inisiatifnya sendiri.

Ketiga – amalan yang baik perlu dilakukan secara berterusan. Untuk berterusan, perlu ikhlas, mujahadah dan jelas matlamat yang ingin dicapai.

Keempat – teringat suatu ketika saya pernah ditanya sama ada boleh atau tidak jika kita beramal kerana mengharap masuk syurga? Adakah dengan mengharap syurga itu bererti kita tidak ikhlas? Maka hadis ini sebagai jawapannya.
Kita yakin bahawa syurga milik Allah dan tidak seorangpun yang dapat masuk syurga kecuali dengan rahmatNya. Namun sebagai hamba kita mesti berusaha untuk memperoleh rahmatNya. Bukan hanya menanti tanpa berbuat apa-apa.

Kelima – bagi Bilal, amalan yang paling dia harapkan adalah istiqamah dalam melakukan solat sunat setiap kali bersuci. Pada pendapat saya, tidak semua orang harus berharap pada amalan yang sama. Setiap orang ada kelebihan dan keupayaannya yang tersendiri. Yang penting, lakukan amal dengan ikhlas dan istiqamah. Tidak mengharap apa-apa kecuali rahmat dan redhaNya. Maka in syaa Allah Dia tidak akan mensia-siakan amalan hambaNya yang baik.

Keenam – tidak ada siapapun di kalangan kita yang boleh tahu dengan pasti siapakah ahli syurga dan neraka. Rasulullah s.a.w. mendengar derapan kasut Bilal dengan izin Allah. Justeru, jangan bermudah-mudah menghukum seseorang berdasarkan amalan yang kita ketahui pada zahirnya sahaja. Allah jua yang maha mengetahui kesudahan hayat setiap makhlukNya.


Allahu A’lam. Moga bermanfaat dengan izinNya.

Friday, December 14, 2018

PENGHIJRAHAN MP UMNO / BN


Bersempena dengan tindakan beberapa orang MP UMNO berhijrah meninggalkan parti itu, saya ingin mengingatkan beberapa perkara yang bagi saya amat penting.

Pertama – hijrah bukan sekadar meninggalkan wadah lama kepada wadah yang baharu. Hijrah yang sebenar ialah meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah sebagaimana yang disebut di dalam sepotong hadis yang bermaksud: “Muhajir (orang yang berhijrah) itu ialah orang yang meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah”. Riwayat al-Bukhari.
Maka pesanan saya, berhijrahlah dengan menghayati makna hijrah yang sebenarnya. Kalau ada tabiat atau budaya tidak baik dan bercanggah dengan ajaran Allah yang diamalkan di dalam UMNO/BN tolong jangan dibawa ke dalam mana-mana parti yang akan anda sertai nanti. Kalau tidak, tidak ada makna hijrah. Tinggal wadah lama yang hampir tenggelam, bertenggek di wadah baru dengan membawa misi yang sama.

Rakyat telah berusaha bersungguh-sungguh menumbangkan UMNO/BN kerana mahukan perubahan berlaku dalam negara ini. Maka, tolong fahami dan hargai hasrat kami.


Kedua – ikhlaskan niat hijrah kerana Allah, bukan kerana dunia. Jika niat hijrah kerana dunia, yang anda dapat hanya dunia dan itupun belum tentu dapat. Tetapi jika niat hijrah kerana Allah, Dia janji keuntungan dunia juga akhirat. Renungi firmanNya yang bermaksud:
“Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Ketiga – berhijrah kerana prinsip, bukan kerana pemimpin. Pemimpin datang dan pergi. Tetapi prinsip yang benar akan terus kekal tegak berdiri. Abu Bakar r.a. mengungkapkan kata-katanya yang masyhur ketika Umar bin al-Khattab r.a. tidak dapat menerima berita kewafatan Nabi s.a.w. yang amat disayangi: “Ketahuilah bahawa sesiapa yang menyembah Muhammad s.a.w. maka Muhammad telah mati. Dan sesiapa yang menyembah Allah, maka sesungguhnya Allah tetap hidup, tidak mati!”

Keempat – MP, statusnya adalah pemimpin. Sekurang-kurangnya pemimpin kepada rakyat di kawasan yang telah mengangkatnya sebagai MP. Seorang pemimpin, setiap perancangan, setiap keputusan, setiap langkah yang diambil mestilah di atas dasar kemaslahatan, kepentingan, kebaikan dan keuntungan kepada rakyat. Maslahat rakyat yang diambil kira mula dan akhir. Imam Syafie berkata: “Kedudukan imam (ketua) di sisi rakyat adalah sama dengan kedudukan penjaga anak yatim di sisi anak yatim yang dijaganya itu”. Terdapat satu kaedah fiqh yang bermaksud “keputusan dan tindakan imam yang ada kaitan dengan rakyat hendaklah di atas dasar kemaslahatan rakyat”.
Oleh itu, di manapun anda berada; di dalam UMNO atau di luarnya jangan sekali-kali abaikan rakyat yang telah menyerahkan amanah mereka kepada anda. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda maksudnya: “Sesiapa yang diberi tanggungjawab mengendalikan urusan muslimin dalam sesuatu perkara, kemudian dia tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk (kebaikan) mereka, dan tidak menasihati untuk (kebaikan) mereka, tidak akan masuk syurga bersama dengan mereka (muslimin itu).” Riwayat Muslim.
Di dalam hadis lain, Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Tidak ada seorang hamba (manusia) yang Allah amanahkannya menjaga rakyat, kemudian dia mati dalan keadaan dia menipu rakyatnya, (tidak ada hamba yang berbuat demikian) melainkan Allah haramkannya syurga!” Muttafaq ‘alaih.

Itulah secebis peringatan buat kita semua, khususnya mereka yang berhijrah dari satu wadah ke wadah yang baharu.


p.s. Mereka tak kenal saya dan tak akan baca status ini. Jadi, sesiapa yang kenal dan boleh sampaikan sangatlah dihargai. Jazakumullahu khaira.