Sunday, December 09, 2018

NABI DAN PEWARIS NABI


Orang berilmu dianggap sebagai pewaris nabi berdasarkan sepotong hadis yang diriwayatkan oleh at-Tirmizi, Abu Daud, Ibn Majah, Ibn Hinbban bahawa Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesungguhnya ulamak adalah pewaris anbiaa’ (para nabi). Dan sesungguhnya anbiaa’ tidak mewariskan dinar dan dirham. Sebaliknya mereka mewariskan ilmu. Maka sesiapa yang mengambilnya (ilmu) bererti dia telah mengambil habuan yang lumayan.”

Dengan kefahaman itu, maka seringkali orang yang dianggap berilmu dipandang tinggi oleh masyarakat umum. Perkataan dan perbuatan mereka tidak akan dibantah kerana difahami apa yang mereka kata dan mereka buat adalah bersumberkan perkataan dan perbuatan Nabi s.a.w. Dengan kata lain, mencanggahi ulamak adalah sama seperti mencanggahi Nabi s.a.w.

Mendengar doa yang dilafazkan oleh seseorang yang dipandang sebagai pewaris Nabi di dalam suatu perhimpunan di Ibu Negara pada 81218 saya terdetik untuk berkongsi satu daripada sirah Nabi s.a.w. sebagaimana yang diceritakan kepada kita oleh penulis-penulis sirah dan perawi-perawi hadis rahimahumullah.

Pada bulan Syawal tahu ke 10 nubuwwah (akhir May atau awal April 619M) Nabi s.a.w. keluar ke Taif yang letaknya kira-kira 60 batu dari Makkah dengan berjalan kaki bersama anak angkat baginda, Zaid bin Harithah untuk tujuan dakwah.

Baginda berada di Taif selama 10 hari menyeru mereka kepada Islam. Namun tiada seorangpun yang menerima. Malah baginda dilayan dengan seburuk-buruk layanan. Dihalau dari Taif. Dikejar dan dibaling dengan batu oleh budak-budak nakal dan golongan yang kurang cerdik sehingga kaki baginda luka dan kasut yang dipakai baginda berlumur dengan darah.

Mereka hanya berhenti mengejar dan membaling batu ke arah baginda apabila baginda singgah berlindung di kebun anggur kepunyaan Utbah dan Syaibah bin Rabi’ah. Di situ baginda meluahkan kesedihan yang tidak terperi kepada Allah yang mengutuskan baginda sebagai Rasul yang membawa risalah yang penuh rahmah ini.

Kemudian baginda meneruskan perjalanan untuk pulang ke Makkah. Ketika singgah di Qarna al-Manazil, Allah menghantar Jibril bersama malaikat yang menjaga bukit-bukau. Malaikat bersedia untuk melakukan arahan baginda sekiranya baginda mahu dihempapkan gunung Akhsyabain ke atas mereka. Maka apakah jawapan baginda yang sedang dilanda duka nestapa kerana ditentang, dihalau dan dihina sebegitu rupa?

Baginda berkata kepada malaikat itu: “Bahkan aku berharap Allah akan keluarkan dari sulbi-sulbi mereka zuriat yang akan menyembah Allah ‘Azza wa Jalla semata-mata, tidak mempersekutukanNya dengan sesuatu apapun!” Riwayat al-Bukhari.

Itulah akhlak dan adab Rasulullah s.a.w.
Sentiasa mengharapkan kebaikan dari manusia hatta yang menentang dan memusuhinya.

Berbalik pula kepada “pewaris anbiaa’” masa kini.
Kerajaan PH yang kebanyakannya terdiri dari orang Islam yang memberi izin kepada mereka untuk berhimpun, dengan kawalan keselamatan, tanpa gangguan dan halangan, yang katanya tujuan berhimpun untuk menzahirkan kesyukuran kerana kerajaan PH tidak akan menandatangani ICERD, tiba-tiba manusia yang digelar pewaris nabi mendoakan agar Allah tidak memanjangkan usia PH. Mendoakan agar memendekkan usia PH. Sependek manakah yang dia mahu? Satu hari? Satu bulan? Kalau satu penggal tentunya tidak pendek.

Jadi Sunnah manakah barangkali yang diwarisinya? Siapa sahaja yang tidak sehaluan dengannya, walaupun berlembut dan berbuat baik, orang itu padanya tidak wajar diberi peluang bernafas lama-lama di bumi Allah ini. Inikah yang diajar oleh Nabi s.a.w.?
Belum ada kuasa, sudah mendoakan orang lain pendek umur. Nanti kalau sudah ada kuasa, adakah semua orang yang tak sokong dia terus dibunuhnya?


Astaghfirullahal’Adzim, Astaghfirullahal’Adzim, Astaghfirullahal’Adzim.

2 comments:

ngasobahseliman said...

Assalam Ustazah. Itu peringatan yang baik. TK atas perkongsian.

Maznah Daud said...

wassalam kak Ngasobah. apa khabar? sihat ke? lama tak dengar berita