Friday, December 07, 2018

KISAH TELADAN

Pada zaman dahulu, ada seorang lelaki yang tinggal di suatu daerah di Benua Afrika yang dipenuhi hutan rimba yang tebal.

Pada suatu hari dia keluar dari rumah meredah hutan yang tebal bertujuan memetik bunga-bunga hutan yang wangi untuk dibuat minyak wangi sambil menikmati pemandangan hutan yang indah beraneka warna.

Sedang asyik berjalan meredah daun-daun kering dan akar-akar yang menjalar, tiba-tiba dia terdengar satu suara mengaum berlari dengan pantas ke arahnya. Dia menoleh ke belakang. Alangkah terkejutnya! Seekor singa besar yang lapar berlari dengan laju dan hampir-hampir menerkamnya. Dia berlari sekuat tenaga untuk menyelamatkan diri dari menjadi mangsa penghuni belantara itu. Dia terserempak dengan sebuah perigi buta yang dalam. Maka tiada lagi pilihannya kecuali terjun ke dalamnya dengan bergantung kepada seutas tali usang yang pernah digunakan untuk menceduk air dari perigi. Dia terbuai-buai berpegang pada tali yang panjangnya tidak mencecah ke dasar perigi.

Selang beberapa saat, ngauman singa tidak kedengaran lagi. Namun ancaman lain pula menjelma. Kelihatan seekor ular besar memanjangkan kepalanya dari dasar perigi. Kepala ular yang besar itu sangat hampir menyentuh kakinya. Dia mendongak ke atas sambil berfikir bagaimana cara untuk menyelamatkan diri dari belitan ular.

Dia terpandang pula dua ekor tikus hitam dan putih sedang menggigit tali tempat dia bergayut. Gigitan dua ekor tikus itu menjadikan tali kian mengecil dan hampir putus. Dia cuba menghayun tali untuk menakutkan tikus-tikus itu. Mudah-mudahan kedua-duanya lari dan berhenti dari terus menggigit tali.

Ketika menghayun tali itu badannya tersentuh sesuatu yang basah dan melekit di dinding perigi. Tangannya dapat mecuit sedikit daripada benda basah itu. Dia meletakkan benda itu ke lidahnya. Rupa-rupanya benda itu adalah madu lebah hutan yang sangat manis dan enak. Dia begitu asyik menikmati kemanisan madu sehingga dia leka dan terlupa  bahaya yang sedang mengancam di sekelilingnya.

Dalam kelekaan menikmati manisnya madu, tali using tempat dia bergayut yang digigt dua ekor tikus terputus dan dia jatuh terhempap ke dasar perigi. Lantas dia terjaga dari tidurnya. Mimipi rupanya.

Pagi esoknya dia pergi menemui seorang guru untuk bertanya apakah maksud mimpinya itu. Guru itu, bertanya betulkah dia tidak dapat menta’bir sendiri mimpinya itu? Dia menegaskan bahawa memang dia benar-benar tidak faham dan tidak dapat menta’birnya.  

Guru menjelaskan dengan tenang bahawa singa yang berlari di belakangmu adalah maut yang kian hampir menyambarmu. Perigi dan ular adalah kuburmu. Tali tempat kamu bergantung adalah umurmu. Dua ekor tikus hitam dan putih adalah malam dan siang yang silih berganti mengurangkan umurmu.

Guru diam seketika. Lelaki itu bertanya dalam keadaan tidak sabar, madu yang manis itu apa maknanya?

Guru menjawab dengan nada yang tenang, itulah keseronokan dunia yang menyebabkan kamu lupa bahaya di hadapan dan di belakang. Kemanisannya membuatkan kamu lupa kematian dan perhitungan di akhirat kelak.

No comments: