Bersempena
dengan tindakan beberapa orang MP UMNO berhijrah meninggalkan parti itu, saya
ingin mengingatkan beberapa perkara yang bagi saya amat penting.
Pertama –
hijrah bukan sekadar meninggalkan wadah lama kepada wadah yang baharu. Hijrah yang
sebenar ialah meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah sebagaimana yang
disebut di dalam sepotong hadis yang bermaksud: “Muhajir (orang yang berhijrah)
itu ialah orang yang meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah”. Riwayat al-Bukhari.
Maka pesanan
saya, berhijrahlah dengan menghayati makna hijrah yang sebenarnya. Kalau ada
tabiat atau budaya tidak baik dan bercanggah dengan ajaran Allah yang diamalkan
di dalam UMNO/BN tolong jangan dibawa ke dalam mana-mana parti yang akan anda
sertai nanti. Kalau tidak, tidak ada makna hijrah. Tinggal wadah lama yang hampir
tenggelam, bertenggek di wadah baru dengan membawa misi yang sama.
Rakyat telah
berusaha bersungguh-sungguh menumbangkan UMNO/BN kerana mahukan perubahan
berlaku dalam negara ini. Maka, tolong fahami dan hargai hasrat kami.
Kedua – ikhlaskan niat hijrah kerana
Allah, bukan kerana dunia. Jika niat hijrah kerana dunia, yang anda dapat hanya
dunia dan itupun belum tentu dapat. Tetapi jika niat hijrah kerana Allah, Dia
janji keuntungan dunia juga akhirat. Renungi firmanNya yang bermaksud:
“Dan sesiapa yang berhijrah pada
jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di
muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa
yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya,
kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala
hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha
Mengasihani.”
Ketiga – berhijrah kerana prinsip,
bukan kerana pemimpin. Pemimpin datang dan pergi. Tetapi prinsip yang benar
akan terus kekal tegak berdiri. Abu Bakar r.a. mengungkapkan kata-katanya yang
masyhur ketika Umar bin al-Khattab r.a. tidak dapat menerima berita kewafatan
Nabi s.a.w. yang amat disayangi: “Ketahuilah bahawa sesiapa yang menyembah
Muhammad s.a.w. maka Muhammad telah mati. Dan sesiapa yang menyembah Allah,
maka sesungguhnya Allah tetap hidup, tidak mati!”
Keempat – MP, statusnya adalah
pemimpin. Sekurang-kurangnya pemimpin kepada rakyat di kawasan yang telah
mengangkatnya sebagai MP. Seorang pemimpin, setiap perancangan, setiap keputusan,
setiap langkah yang diambil mestilah di atas dasar kemaslahatan, kepentingan,
kebaikan dan keuntungan kepada rakyat. Maslahat rakyat yang diambil kira mula
dan akhir. Imam Syafie berkata: “Kedudukan imam (ketua) di sisi rakyat adalah
sama dengan kedudukan penjaga anak yatim di sisi anak yatim yang dijaganya itu”.
Terdapat satu kaedah fiqh yang bermaksud “keputusan dan tindakan imam yang ada
kaitan dengan rakyat hendaklah di atas dasar kemaslahatan rakyat”.
Oleh itu,
di manapun anda berada; di dalam UMNO atau di luarnya jangan sekali-kali
abaikan rakyat yang telah menyerahkan amanah mereka kepada anda. Rasulullah
s.a.w. pernah bersabda maksudnya: “Sesiapa yang diberi tanggungjawab mengendalikan
urusan muslimin dalam sesuatu perkara, kemudian dia tidak berusaha
bersungguh-sungguh untuk (kebaikan) mereka, dan tidak menasihati untuk
(kebaikan) mereka, tidak akan masuk syurga bersama dengan mereka (muslimin itu).”
Riwayat Muslim.
Di dalam
hadis lain, Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Tidak ada seorang hamba (manusia)
yang Allah amanahkannya menjaga rakyat, kemudian dia mati dalan keadaan dia
menipu rakyatnya, (tidak ada hamba yang berbuat demikian) melainkan Allah
haramkannya syurga!” Muttafaq ‘alaih.
Itulah secebis
peringatan buat kita semua, khususnya mereka yang berhijrah dari satu wadah ke
wadah yang baharu.
p.s. Mereka
tak kenal saya dan tak akan baca status ini. Jadi, sesiapa yang kenal dan boleh
sampaikan sangatlah dihargai. Jazakumullahu khaira.
No comments:
Post a Comment