Wednesday, December 12, 2018

TULUSNYA HATIMU, MURNINYA JIWAMU WAHAI TURJUMAN AL-QURAN!


Abdullah bin Abbas radhiallahu ‘anhuma sahabat serta sepupu Rasulullah s.a.w. yang mendapat gelaran “turjuman al-Quran” kerana ketajaman akalnya dalam memahami ayat-ayat Allah SWT.

Ibn Buraidah al-Aslami meriwayatkan satu peristiwa yang cukup memberi gambaran kepada kita betapa mulianya hati Abdullah dan betapa tinggi budi pekertinya.

Ibn Buraidah berkata: Seorang lelaki telah mencerca Abdullah bin Abbas radhiallahu ‘anhuma di hadapannya. Maka Abdullah menjawab:

“Sesungguhnya engkau telah mencerca diriku.
(Mungkin engkau tidak tahu) bahawa sesungguhnya di dalam diriku terdapat tiga sifat:
-       Ketika mana aku mentadabur satu ayat di dalam Kitab Allah, aku bercita-cita kalaulah semua manusia mengetahui / memahami apa yang aku fahami daripada ayat itu.
-       Apabila aku mendengar tentang seseorang hakim dari kalangan hakim-hakim muslim yang menghukum dengan adil, aku sangat gembira dengannya walaupun aku sendiri tidak pernah dan tidak akan berurusan dengan hakim tersebut.
-       Apabila aku mendengar hujan turun di sebuah negeri daripada negeri-negeri muslimin, aku sangat gembira dengannya walaupun aku tidak punya seekorpun binatang ternakan di sana.”

Riwayat at-Tabrani, al-Baihaqi dan Abu Nu’aim. Dipetik daripada kitab Sirah as-Sahabah

Pengajaran yang dapat kita ambil, antaranya:
1.     Tenang, berlapang dada dan tidak melenting apabila dikritik, dicaci maki dan seumpamanya
2.     Harus menyebut kebaikan diri sendiri bukan untuk tujuan menunjuk-nunjuk atau bermegah-megah, tetapi untuk mengelak salah faham dan sangka buruk orang lain terhadap kita. Juga untuk menunjukkan contoh yang baik agar menjadi ikutan
3.     Kasih terhadap orang lain seperti mengasihi diri sendiri dan suka orang lain mendapat kebaikan sebagaimana kita memperolehinya

4.     Beliau mengisyaratkan tiga perkara yang penting untuk menjamin kesejahteraan hidup manusia; ilmu, keadilan dan keperluan hidup seperti makanan dan minuman.

No comments: