Tiba-tiba
saya rasa tersentap apabila menatap sepotong hadis yang diriwayatkan daripada Abu
Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. berkata kepada Bilal r.a. (maksudnya):
“Ya Bilal,
ceritakan kepadaku apakah amalan yang paling engkau harapkan di dalam Islam
yang engkau amalkan? Sesungguhnya aku mendengar derapan kasutmu mendatangiku di
dalam syurga!”
Bilal menjawab:
“Tidak ada
amalan yang paling aku harapkan kecuali setiap kali aku bersuci (berwudhuk atau
mandi) dengan sempurna sama ada di waktu malam atau siang aku akan lakukan
solat dengannya sebanyak mana yang Allah takdirkan untukku bersolat.” Muttaqa ‘alaih
Jika dibaca
sepintas lalu, pada zahirnya hadis di atas menunjukkan fadhilat atau kelebihan
solat sunat wudhuk. Imam an-Nawawi meletakkan hadis ini di dalam kitab
Riadhus-Solohin pada bab sunat solat wudhuk.
Saya tidak
berniat untuk kupas dari sudut hukum.
Sebaliknya saya
perhatikan hadis ini sebagai satu muhasabah diri yang serba kekurangan ini.
Pertama –
apabila Nabi s.a.w. bertanya Bilal, apakah amalan yang paling engkau harapkan
(ganjaran pahala yang menjadi sebab untuk layak ke syurga)? Bilal terus ada jawapan:
solat setiap kali selepas bersuci!
Saya terfikir,
kalau ada orang bertanya saya, apakah amalan yang paling saya harapkan? Saya pasti
terpinga-pinga. Tak tahu mana satukah amalan saya yang benar-benar berkualiti
dan bernilai di sisiNya?
Ya Allah,
takutnya!
Kedua –
mengharap masuk syurga tidak hanya bergantung kepada amalan yang wajib. Amalan-amalan
yang difardhukan ke atas kita, adalah tanggungjawab yang mesti dilaksanakan sama
ada dengan suka atau terpaksa. Amalan-amalan sunat itulah yang menjadi ukuran
betapa seriusnya kita dalam usaha mencari dan mendekatkan diri kepadaNya.
Lihatlah jawapan
Bilal kepada Rasulullah s.a.w. Beliau tidak meletakkan harapan pada solat
fardhunya, sebaliknya solat sunat yang dilakukan atas kehendak dan inisiatifnya
sendiri.
Ketiga –
amalan yang baik perlu dilakukan secara berterusan. Untuk berterusan, perlu
ikhlas, mujahadah dan jelas matlamat yang ingin dicapai.
Keempat – teringat
suatu ketika saya pernah ditanya sama ada boleh atau tidak jika kita beramal
kerana mengharap masuk syurga? Adakah dengan mengharap syurga itu bererti kita
tidak ikhlas? Maka hadis ini sebagai jawapannya.
Kita yakin
bahawa syurga milik Allah dan tidak seorangpun yang dapat masuk syurga kecuali
dengan rahmatNya. Namun sebagai hamba kita mesti berusaha untuk memperoleh
rahmatNya. Bukan hanya menanti tanpa berbuat apa-apa.
Kelima –
bagi Bilal, amalan yang paling dia harapkan adalah istiqamah dalam melakukan
solat sunat setiap kali bersuci. Pada pendapat saya, tidak semua orang harus
berharap pada amalan yang sama. Setiap orang ada kelebihan dan keupayaannya
yang tersendiri. Yang penting, lakukan amal dengan ikhlas dan istiqamah. Tidak mengharap
apa-apa kecuali rahmat dan redhaNya. Maka in syaa Allah Dia tidak akan
mensia-siakan amalan hambaNya yang baik.
Keenam –
tidak ada siapapun di kalangan kita yang boleh tahu dengan pasti siapakah ahli
syurga dan neraka. Rasulullah s.a.w. mendengar derapan kasut Bilal dengan izin
Allah. Justeru, jangan bermudah-mudah menghukum seseorang berdasarkan amalan
yang kita ketahui pada zahirnya sahaja. Allah jua yang maha mengetahui
kesudahan hayat setiap makhlukNya.
Allahu A’lam.
Moga bermanfaat dengan izinNya.
No comments:
Post a Comment