Apabila Allah
SWT menegaskan “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara”
(Al-Hujurat:10), ia membawa maksud seluruh orang yang beriman tanpa mengira
sempadan apa jua yang dianggap oleh manusia sebagai sempadan yang membatasi dan
memisahkan mereka; sama ada sempadan benua, bangsa dan masa.
Lantaran itu
seorang mukmin melihat dan memikirkan tentang saudaranya dengan kaca mata iman
yang menembusi setiap sempadan yang menghalang.
Hal ini
telah difahami dan dihayati oleh semua para nabi sejak dahulu.
Perhatikan doa
Nabi Ibrahim, diikuti Nabi Nuh alaihimas-salam ribuan tahun yang lalu yang dirakamkan
Allah untuk tatapan kita semua:
Doa Nabi
Ibrahim: "Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku
serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan"
Doa Nabi
Nuh: "Wahai Tuhanku! Ampunkanlah bagiku, dan bagi kedua ibu bapaku, serta
bagi sesiapa yang masuk ke rumahku dengan keadaan beriman; dan (ampunkanlah)
bagi sekalian orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan (dalam segala
zaman); dan janganlah Engkau tambahi orang-orang yang zalim melainkan
kebinasaan!"
Begitu jugalah
perintah Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w. di dalam firmanNya yang bermaksud:
“Oleh itu,
maka tetapkanlah pengetahuanmu dan keyakinanmu (wahai Muhammad) bahawa
sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, dan mintalah
ampun kepadaNya bagi salah silap yang engkau lakukan, dan bagi dosa-dosa
orang-orang yang beriman - lelaki dan perempuan; dan (ingatlah), Allah
mengetahui akan keadaan gerak-geri kamu (di dunia) dan keadaan penetapan kamu
(di akhirat).”
Di dalam
ayat yang berikut pula, Allah merakamkan generasi yang kemudian terus mendoakan
generasi terdahulu yang kerana perjuangan merekalah kita mendapat limpahan
cahaya iman sehingga ke hari ini, generasi demi generasi.
“Dan
orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (muhajirin dan ansar, berdoa
dengan) berkata: "Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa
saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau
jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang
yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan
dan RahmatMu".
Tambah bermakna
lagi, apabila Islam menjadikan persaudaraan iman yang merentas sempadan sebagai
suatu ibadah yang diberikan ganjaran pahala yang tidak bersempadan juga, iaitu
dengan mendoakan kebaikan untuk saudara, malaikat akan doakan untuk kebaikan
kita.
Nabi s.a.w.
bersabda maksudnya: “Tidak ada seorang hamba (seorang insan) yang muslim berdoa
untuk saudaranya di belakangnya (tanpa pengetahuannya) melainkan malaikat akan
berkata untuk (yang berdoa itu): “dan untukmu separti apa yang engkau doakan
itu!” Riwayat Muslim
Sesungguhnya persaudaraan berteraskan iman meruntuhkan
semua tembok yang membataskan. Namun, hakikatnya Islam tidak membawa kita
terhenti di situ. Persaudaraan iman ini membuka ruang yang jauh lebih lebar dan
lebih luas. Katakan saja bahawa ia sebenarnya tiada sempadan.
Renungi ayat-ayat di bawah ini patah demi patah!
Siapakah yang berdoa dan memikirkan kebaikan untuk
kita?
“Malaikat yang memikul Arasy dan malaikat yang berada
di sekelilingnya, bertasbih memuji TuhanNya; dan beriman kepadaNya; serta
mereka memohon ampun bagi orang-orang yang beriman (dengan berdoa merayu):
"Wahai Tuhan kami! RahmatMu dan IlmuMu meliputi segala-galanya; maka
berilah ampun kepada orang-orang yang bertaubat serta menurut jalanMu, dan
peliharalah mereka dari azab neraka.
"Wahai Tuhan kami! Dan masukkanlah mereka ke
dalam Syurga "Adn" yang Engkau telah janjikan kepada mereka; dan
(masukkanlah bersama-sama mereka): orang-orang yang layak di antara ibu bapa
mereka, dan isteri-isteri mereka, serta keturunan mereka. Sesungguhnya
Engkaulah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
"Dan peliharalah mereka dari (balasan)
kejahatan-kejahatan (yang dilakukannya); dan (sebenarnya) sesiapa yang Engkau
pelihara pada hari itu dari terkena (balasan) kejahatan-kejahatan (yang
dilakukannya) maka sesungguhnya Engkau telah mengurniakan rahmat kepadanya; dan
yang demikian itulah kemenangan yang besar (nilainya)".
No comments:
Post a Comment