Wednesday, September 30, 2020

MENGENAL DIRI

 

Siapa kita bergantung kepada siapa yang menilai. 

Penilaian seorang kawan pastinya berbeza dari penilaian musuh.

Penilaian sahabat yang rapat pastinya berbeza dari penilaian rakan yang jauh.

 

Siapa pun kita di mata mereka, janganlah kita terpedaya dengan penialaian itu.

Kerana satu-satunya yang tahu tentang diri kita hanya Dia yang mencipta kita dari tiada.

Dan demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, sedang (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya,

(Qaaf 50:16)

 

Maril kita lihat diri kita dari sudut penialaianNya!

 

Abdullah bin Amru r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya:

“Siapa yang “berdiri” dengan 10 ayat, dia tidak ditulis dalam kalangan ghafilin (orang yang lalai)

Siapa yang “berdiri” dengan 100 ayat, dia ditulis dalam kalangan qanitin (orang yang taat)

Siapa yang “berdiri” dengan 1000 ayat, dia ditulis dalam kalangan muqantirin (orang yang terlalu banyak pahalanya. Muqantir pada asalnya bermaksud mempunyai harta berpikul-pikul)” Riwayat Abu Daud. Diperakui sahih oleh Al-Albani.

 

“Berdiri” adalah terjemahan secara literal atau harfiah daripada perkataan “qama”.

 

Ulamak berbeza pendapat tentang maksud “qama”.

 

Pendapat pertama, ia bermaksud menunaikan solat malam yang selalu kita sebut qiam. Maknanya sesiapa yang menunaikan solat malam dengan membaca 10 atau 100 atau 1000 ayat di dalam solatnya, maka dia termasuk dalam kalangan mereka yang disebutkan di dalam hadis itu.

 

Pendapat kedua, ia bermaksud bersungguh-sungguh dalam membaca dengan betul, memahami maksud dan melaksanakan segala pengajaran yang terkandung di dalam ayat yang dibacanya.

 

Pendapat ketiga, ia bermaksud membaca, mentadabur dan mendampingi al-Quran sepanjang masa tidak kira siang atau malam. 

 

Kesimpulannya, kita di sisiNya adalah bergantung kepada bagaimana kita berinteraksi dengan kitabNya. Paling kurang, lazimilah membaca dan memahami al-Quran tidak kurang daripada 10 ayat sehari supaya tidak termasuk dalam kalangan mereka yang lalai.

 

Allahu A’lam.

1 Oktober 2020

Tuesday, September 29, 2020

BEKALAN UNTUK MUSAFIR

 

Anas r.a. meriwayatkan bahawa seorang lelaki berkata kepada Nabi s.a.w.: 

“Ya Rasulullah, saya hendak musafir. Maka berikanlah saya (pesanan sebagai) bekalan!”

Rasulullah s.a.w. bersabda: “Semoga Allah memberikanmu taqwa sebagai bekalan.”

Lelaki itu berkata: “Tambahkanlah lagi!”

Baginda s.a.w. bersabda: “Dan semoga Allah ampuni dosamu.”

Lelaki itu berkata: “Tambahkanlah lagi!”

Baginda s.a.w. bersabda: “Dan semoga Allah permudahkan kebaikan untukmu di mana jua engkau berada!”

(Riwayat Al-Tirmizi. Dia berkata status hadis adalah hasan) 

 

Antara pengajaran:

1. Sunat meminta sahabat, saudara, orang soleh mendoakan untuk kita ketika hendak musafir.

2. Kemuliaan akhlak Rasulullah s.a.w. Baginda melayani permintaan orang yang datang meminta. Setiap permintaan dipenuhi dengan cara yang paling baik.

3. Sebaik-baik bekalan adalah taqwa, keampunan dan dimudahkan urusan dalam memperolehi kebaikan.

Monday, September 28, 2020

UMMUS-SIBYAN

 

“Terima kasih Kak Long kerana sudi datang.” Ucap Nini dengan suara yang lemah. Tangan Kak Long digenggam erat.

“Memang dah jadi tanggungjawab Kak Long. Alhamdulillah Allah bagi kelapangan untuk Kak Long tunaikan hak Nini, kali ini.” 

Nini memejamkan mata. Badannya masih terasa lemah selepas menjalani prosedur D&C.

“Doktor bagi tahu kenapa gugur?”

Nini menggeleng.

“Nini ada jatuh ke?”

Geleng juga.

 

“Semalam ada seorang Mak Cik datang ziarah anak dia di sebelah katil Nini” Nini mula membuka cerita.

“kenapa dengan dia?”

“Dia kata, anak Nini gugur sebab Ummus-Sibyan!”

Kak Long melopongkan mulut gaya orang terkejut.

“Apa yang dia cerita tentang Ummus-Sibyan tu?”

“Entah lah, Kak Long. Nini pun tak dengar sangat. Maklumlah tengah sakit. Yang Nini ingat dia kata, Ummus-Sibyan diiriwayatkan daripada Nabi Sulaiman ‘alaihis-salam.

Baginda yang jumpa makhluk tu dengan rupa yang sangat hodoh dan menakutkan. Makhluk tu cerita bahawa dia mempunyai berbagai-bagai kuasa. Antaranya menggugurkan kandungan. Dia boleh mengikat rahim perempuan, boleh membunuh anak-anak di dalam kandungan dan mereka semua tidak akan mengetahui bahawa itu adalah angkara dia. Dia akan masuk ke dalam rahim orang perempuan dan akan ikat rahimnya serta sumbat rahimnya sehingga tidak boleh mengandung. Dia juga akan masuk ke dalam perut perempuan yang hamil dan tendang janinnya, maka berlakulah keguguran.”

 

“Nini percaya ke?”

“Nini tak pernah dengar cerita tu. Kak Long tahu ke?”

“Kak Long pernah dengar....”

“Jadi, cerita itu betul lah?”

“Sebagai mukmin kita wajib percaya kewujudan makhluk Allah yang ghaib seperti malaikat, jin dan lain-lain. Tetapi semua makhluk-makhluk tu tidak mempunyai kuasa untuk memberikan manfaat atau mudarat kepada kita. Merekapun lemah seperti kita juga...”

 

“So, cerita Ummus-Sibyan macam mana?” 

“Apa-apa yang didakwa diambil daripada nabi, tak kiralah Nabi Muhammad ke, Nabi Sulaimana ke, mesti ada sanad yang sahih, Nini. Cerita tu tidak ada sanad. Ia macam cerita dongeng.”

“Begitu ke?”

“Cerita itu bukan sahaja tersebar dalam kalangan masyarakat di tempat kita. Dalam masyarakat Arab pun ada.”

“Iye? Jadi anak Nini gugur bukan sebab Ummus-Sibyan la kan?” 

 

“Kehendak Allah. Untuk kebaikan Nini juga.”

“Sedih sangat. Cerita-cerita khurafat sebegini masih tersebar dan senang pula diterima.”

“Itulah pentingnya ilmu, Nini. Sabar lah! Ada hikamahnya semua ni.” Pujuk Kak Long.

“Terima kasih, Kak Long. In syaa Allah Nini yakin banyak hikmahnya. Allah lebih mengetahui, mungkin Nini belum mampu untuk didik anak menjadi insan yang berguna. Sebab itu Allah belum izinkan ia lahir, bukan?” Luah Nini dengan perasaan sayu. Siapa yang tidak berasa sedih apabila janin yang kian membesar di dalam kandungan dan mula dirasai pergerakannya yang halus, tiba-tiba diambil kembali oleh Penciptanya. 

Apa lagi yang mampu diungkapkan selain pasrah dan redha. 

Sunday, September 27, 2020

PEMIMPINMU ADALAH CERMINAN DIRIMU

 

Apabila melihat hasil pilihanraya di negara kita, sama ada di peringkat negeri atau persekutuan, di mana calon-calon yang telah terbukti tidak amanah, rasuah, salah guna kuasa, menipu dan seumpamanya tetap diplih, diberikan kemenangan, diangkat untuk terus memegang tampuk pemerintahan lagi dan lagi...

Saya tertanya-tanya, tidak serikkah kalian memberikan kepercayaan kepada orang yang telah membohongi dan mengkhianati kalian?

Di manakah kalian meletakkan nilai dan akhlak di dalam membuat pilihan?

Atau kalian hanya melihat kepada beberapa keping kertas yang bernilai beberapa RM yang dihulurkan sebelum melangkah ke pusat pengundian?

 

Entahlah? Pertanyaan demi pertanyaan muncul dan tenggelam....

 

Saya teringat sepotong hadis mursal yang diriwayatkan oleh AlBalhaqi yang bermaksud:

“Bagaimana keadaan kamu, begitulah pemimpin kamu.” Hadis ini dikategorikan sebagai dhaif oleh ahli-ahli hadis seperti Ibn Hajar dan lain-lain.

 

Memang ia tidak boleh dijadikan hujjah. Namun begitu, mungkin boleh dijadikan sebagai renungan dan muhasabah diri serta masyarakat. Apabila kita sanggup memilih dan mengangkat pemimpin yang rasuah dan tidak amanah apakah ia menggambarkan bahawa kita juga seorang perasuah dan tidak amanah?

 

Kalau betul kita bencikan rasuah, kenapa parasuah juga yang kita pilih, sedangkan kita mempunyai peluang untuk memilih yang lain?

 

Kalau kita bencikan pengkhianatan, kenapakah orang yang telah terang-terang melakukan pengkhianatan dan memungkiri janji juga yang diangkat dan dipuji?

 

Atau sememangnya neraca kita benar-benar telah rosak?

Adakah nilai yang kita pegang telah bercelaru dan terkeliru?

Apakah kayu ukur yang kita genggam telah menyimpang dari landasan?

 

Semoga Allah kurniakan kita: 

ilmu yang bermanfaat, 

akhlak yang mantap, 

keazaman yang kuat, 

keberanian yang sukar digugat, 

kebijaksanaan dalam memilih dan menyatakan sikap. 

 

27092020/09021442

Wednesday, September 23, 2020

AMAL SOLEHMU, KENDERAANMU DI AKHIRAT

 

Amru bin AlQais berkata: 

“Sesungguhnya apabila seorang mukmin keluar dari kuburnya pada hari qiamat nanti, dia disambut oleh amalannya yang baik dengan rupa yang sangat indah, bau yang sangat harum.

Amalan itu bertanya, “adakah engkau mengenaliku?”

Mukmin menjawab, “tidak. Tetapi Allah menciptakan baumu sangat harum dan rupamu sangat indah!”

Amalan menjawab, “demikianlah engkau semasa di dunia dahulu. Aku adalah amalanmu yang baik. Begitu lama aku menunggangimu di dunia. Sekarang engkau tunggangilah aku!”

 

- drpd kitab AlTazkirah fi Ahwal AlMauta wa Umur AlAkhirah, Imam AlQurtubi (wafat 671H)

Monday, September 21, 2020

KITA BERSAUDARA

 

“Kenapa abang beria-ia sangat hendak pergi ke rumah adik abang tu?”

“Saja teringat... lama tak jumpa”

“Bukankah selama ni abang selalu mengelak darinya?”

“Itu dulu... sekarang lain, Pah.”

“Apa yang lain, bang?”

“Sekarang parti kita mengamalkan budaya politik matang dan sejahtera. Malah telah bergabung dengan parti dia dalam muwafakat nasional!” jelas Haji Kasim

“Ooo...” Makcik Tipah mengangguk sambil meneruskan kerjanya. Dia memang tak ambil pusing sangat tentang perkembangan parti-parti politik. Namun sekali sekala dia layan juga dengar apa yang diceritakan oleh suaminya.

 

“Awak, betul tak nak ikut saya ni?” tanya Haji Kasim untuk kepastian.

“Ikut hati memang nak juga pergi, bang. Tapi saya dah janji dengan Kiah dan Leha, mereka nak bawa budak-budak muda datang untuk belajar masak kuih tradisional. Maklumlah budak-budak muda sekarang hanya tahu masak kuih-kuih moden saja. Kalau tak diajar betul-betul nanti, pupuslah masakan tradisiional yang diwarisi zaman berzaman.”

“Hemm... baguslah tu. Moga-moga ia menjadi bekalan awak di akhirat kelak, mengajar ilmu yang bermanfaat.”

“Aamiiin. Terima kasih, bang.”

“Baiklah. Saya pergi dulu ye!”

“Okey. Hati-hati. Sampaikan salam saya kepada Syukri sekeluarga.”

“Assalamu’alaikum.”

“Wa’alaikumus-salam.”

 

“Eh? Abang? Silakan masuk! Seorang saja?” Syukri mempelawa dengan rasa hairan bercampur teruja melihat abangnya tiba-tiba muncul di hadapan pintu rumahnya.

“Kak Pah kau kirim salam. Dia ada hal.” Haji Kasim duduk di atas sofa di ruang tamu sambil meninjau di sekitar bilik tamu yang sederhana itu.

“Orang rumah kamu mana?”

“Dia pergi tolong jaga menantu baru bersalin.”

 

“Abang ada apa-apa hal yang mustahak ke tiba-tiba datang?”

“Saja nak ziarah kamu...”

“Terima kasih, abang.”

“Aku memang selalu ingat nak datang, tapi bila fikir setiap kali bertemu kita akan bertengkar sebab perbezaan fahaman politik. Bila bertengkar, hubungan kita jadi renggang....”

 

Syukri tersenyum. Memang benar mereka selalu bertengkar kerana perbezaan fahaman politik. Dan selalunya pihak dialah yang dikatakan tidak selari dengan ajaran Islam. 

Walaupun dia sendiri tidak pernah dilabel kafir dan sesat oleh abangnya, tetapi tuduhan seperti itu memang berlaku di sesetengah tempat.

 

Kawannya sendiri menceritakan bahawa arwah ayahnya dan semua orang UMNO di kampungnya dicop kafir oleh orang Pas kerana sepanjang hayatnya sokong UMNO. 

Arwah ayah kawannnya itu menceritakan bahawa semasa hayatnya orang Pas di kampungnya tidak menerima daging pemberian orang UMNO kerana pada mereka orang UMNO kafir. Orang-orang Pas kata, “kalau aku ambil pun daging yang kamu beri ni, aku beri pada anjing saja!”

 

Kawannya yang lain pula menceritakan bahawa dia sendiri pernah tengok pada tahun 1984 ketika dia darjah 6, kejadian pergaduhan yang berlaku di atas masjid kampungnya di antara orang-orang Pas dan AJK masjid yang terdiri dari orang UMNO. Orang Pas hendak rebut tugas baca khutbah dan jadi imam kerana menganggap solat orang UMNO tidak sah. Oleh kerana orang Pas minoriti, mereka kalah. Mulai hari itu mereka lari solat jumaat di Masjid kampung bersebelahan sehinggalah dua tahun terakhir ini bila Pas menguasai Terengganu semula. Sehingga hari ini pun masih berlaku pergaduhan kecil-kecilan sebab hendak berebut tugas khatib dan imam masjid. Tapi tidak sesengit dulu.

 

“Kenapa diam saja? Apa yang kamu fikirkan? Tak sudikah berbaik-baik dengan aku?” Haji Kasim bersuara apabila melihat Syukri membisu seperti mengingati sesuatu.

“Tak, tak ada, abang...” Syukri tergagap-gagap menafikan telahan abangnya. 

Tapi dia memang tidak dapat melupakan beberapa peristiwa yang menyedihkan tentang pergeseran masyarakat kerana perbezaan fahaman politik.

Sepupu kawannya suami isteri bergaduh dan tak berbaik sehingga mati akibat perbezaan politik antara dia dan isterinya. Isterinya sokong UMNO, dia sokong Pas. Lebih teruk, ada pasangan yg bercerai ..

 

Dia juga biasa dengar masa budak-budak dulu si polan itu akad nikah kali kedua sebab nikah dulu yang diakad oleh imam UMNO dikatakan tidak sah. OranUMNO persoalkan tentang taraf anak mereka adakah anak haram? Tapi mereka diam kan saja....

 

“Aku harap dengan budaya politik matang dan sejahtera yang diperkenalkan oleh Tuan Guru kita dapat memperbetulkan hubungan kita. Tambahan pula parti aku dan parti kamu telah sama-sama memeteraikan Piagam Muafakat Nasional dan bersetuju membentuk kerjasama dengan mengembangkan naratif Islam dan Melayu...

“Baguslah tu, abang. Tapi...saya nak bagi tahu abang...”

“Nak bagi tahu apa?” 

“Saya dah keluar dari UMNO.”

“Eh, bila dan kenapa?” tanya Haji Kasim sedikit terkejut.

 

“Dulu, semasa abang kata UMNO parti taghut, parti sekular, parti yang mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliyah dan macam-macam lagi, saya tak boleh terima. Saya percaya matlamatnya adalah baik, iaitu memartabatkan agama dan meninggikan taraf hidup anak bangsa. Tetapi apabila terbongkar salah laku para pemimpin di peringkat atasan, merebaknya amalan rasuah dan salah guna kuasa, sehingga kemuncaknya kes 1MDB yang didedahkan sendiri oleh timbalan presiden ketika itu sehingga dia dipecat dan dilucutkan jawatan sebagai TPM, saya tidak boleh bertahan lagi. Saya dan rakan-rakan ramai-ramai bertindak keluar dan cawangan UMNO tempat kami ni terbubar.”

 

“Jadi, kamu ikut dia masuk parti BERSATU ke?”

“Tak, bang. Dan syukurlah saya tak ikut dia.”

“Kenapa?”

“Dia pun khianat!”

“Khianat apa maksud kamu? Dia penyelamat. Dia menyelamatkan negara kita dari PH yang diperalatkan oleh musuh Islam, dap!”

“Bab PH diperalatkan musuh Islam tu saya tak mahu komen sebab tidak ada bukti. Tetapi dia memungkiri perjanjian itu, bagi saya satu pengkhianatan yang bercanggah dengan ajaran agama kita.”

“Janji apa?”

“Janji kepada rakyat untuk melakukan perubahan, memerangi rasuah dan salah guna kuasa, janji kepada rakan-rakan di dalam ph untuk sama-sama membangunkan Malaysia baru yang demokratik, bersih dan berintegriti. Perjanjian itu bertulis dan dia sendiri sign.”

“Kerajaan ph runtuh bukan salah dia, Syukri. Tun yang letak jawatan.”

“Kalau Tun letak jawatan, Tan Sri Muhyiddin sepatutnya berbincang dengan rakan-rakan PH untuk melantik penggantinya, atau terus mengangkat Datuk Seri Anwar sebagaimana yang telah dijanjikan. Kenapa dia bawa MP-MP BERSATU keluar PH dan membentuk kerajaan dengan parti lain yang kalah di dalam pilihanraya? Itu maknanya dia khianat!” hujah Syukri dengan suara yang agak tinggi walaupun dia cuba mengelak dari bertengkar dengan abangnya yang datang dengan tujuan untuk berbaik-baik.

 

“Mungkin dia fikir menyelamatkan negara dari ancaman musuh Islam lebih utama daripada berpegang kepada janji?”

“Bab ini tentu abang lebih arif daripada saya. Ada ke, di dalam agama kita kaedah “matlamat menghalalkan cara?”

Haji Kasim terdiam. 

 

“Saya pun tertanya-tanya, bagaimana parti abang boleh bekerjasama dengannya? Tak ada rasa curiga ke?”

“Curiga apa?”

“Orang yang pernah khianat dan mungkir janji dengan pihak lain, tak mustahil suatu hari dia akan mungkir janji dengan parti abang pula!”

“Itu bukan urusan aku orang bawah-bawah ni. Itu urusan pucuk pimpinan dan majlis syura ulamak. Mereka lebih tahu apa yang terbaik untuk parti.”

 

“Saya kagum dan salute lah dengan abang!” 

“Kenapa kamu cakap macam tu?”

“Dari dulu sampai sekarang, taat setia abang kepada parti dan pemimpin tidak pernah berbelah bagi.”

“Mestilah. Parti aku ni dipimpin oleh alim ulamak. Mereka memimpin dengan berpandukan al-Quran, hadis, ijmak dan qias. Presiden kami itu, bukan calang-calang! Mursyidul Am sendiri kata, Tuan Guru kerap bermimpi jumpa Rasulullah s.a.w. Bila ada perkara besar saja dia akan mimpi jumpa Rasulullah. Dia sendiri pernah berkata bahawa dia mempunyai kaca mata dan kaca teropong yang putih bersih sehingga dapat melihat semua warna yang sebenar tanpa tersilap dan tidak boleh dikelirukan.

Syukri mendengar hujjah abangnya tanpa sebarang reaksi.

 

“Sebab itu kamu sepatutnya menyertai parti ini bersama dengan aku, Syukri!”

Syukri tersenyum.

“Terima kasih banyak, abang atas pelawaan itu... cumanya, saya ni dah keluar dari UMNO kerana tidak mahu bersekongkol dengan pemimpin yang telah terbukti korup dan menyalah gunakan kuasa. Parti abang pula sekarang menjalinkan kerjasama yang erat dengan UMNO. Jadi, kalau saya terima pelawaan abang tu bererti saya balik kepada asallah...” 

 

“Tak mengapalah kalau itu pilihan kamu. Tapi aku nak ingatkan, kamu jangan pula masuk parti oren tu!”

“Kenapa?”

“Parti itu ditubuhkan oleh sekumpulan bekas pimpinan Pas yang keciwa kerana kalah dalam perebutan jawatan pada muktamarMereka ditolak oleh ahli kerana berfahaman liberal. Tuan Guru kata, mereka hanyalah seumpama dewan penyokong dap sahaja, khadam kepada parti lain, tidak ada dasar serta matlamat perjuangan yang jelas...”

Syukri menelan air liur.

 

“Sekejap ye, abang. Ada bunyi motor kat luar tu. Makanan yang saya oder dah sampai agaknya?” 

“Apa susah-susah pulak?”

“Mestilah... abang kan jarang datang. Sekali sekala datang kenalah jamu.”

 

Syukri keluar untuk mengambil makanan. Selepas masuk, Haji Kasim berkata,

“Ingat pesanan aku tu!”

“Saya kena selidik juga apa yang abang kata tu.”

“Kamu tak percaya cakap aku?”

“Bukan tak percaya. Agama kita kan ajar supaya tabayun. Kena dengar dari pihak mereka juga...”

 

“Jemputlah makan, abang. Nantikan sejuk tak sedap pulak...”

Thursday, September 17, 2020

PARTI SUCI

 

Di sebuah restoran berhampiran dengan masjid. Beberapa jamaah berkumpul selepas menunaikan solat subuh. Itulah kelaziman mereka pada hari tidak bekerja.

 

Haji Kasim begitu bersemangat menceritakan tentang muktamar yang baru dihadirinya. Mukatamar yang disifatkannya paling bersejarah kerana kali pertama diadakan selepas partinya berjaya menerajui kerajaan pusat dengan kerjasama beberapa parti yang lain. Meskipun musuh-musuh politik memanggilnya  kerajaan pintu belakang, kerajaan tebuk atap, bagi ahli-ahli partinya ia adalah satu kejayaan besar hasil kebijaksanaan presidennya mengatur strategi luar biasa yang tidak terjangkau oleh orang kebanyakan.

 

Kawan-kawan yang mendengar menunjukkan reaksi yang pelbagai. Ada yang mengangguk-angguk, melopongkan mulut, mengerutkan dahi dan ada yang buat acuh tak acuh.

 

“Pada pendapat aku, parti kamu tu dah melampau lah, Kasim...!” Secara tiba-tiba Haji Seman bersuara. Walaupun perlahan tetapi ia seolah-olah petir yang menyambar semangat Haji Kasim.

 

Mata Haji Kasim tersembul ke arah Haji Seman. 

“Kenapa kamu cakap bagitu, Seman? Apa yang melampaunya?” dia benar-benar tidak puas hati dengan kenyataan Haji Seman yang menuduh partinya melampau secara semberono. Semua mata beralih memandang ke arah Haji Seman.

“Apa tidaknya? Kamu anggap hanya kamu saja yang betul. Orang yang tak sependapat dengan kamu semuanya salah.” 

“Kamu jangan hendak mereka-reka yang bukan-bukan, Seman!” Darah Haji Kasim mula menjulang naik ke muka.

“Aku bukan mereka-reka, Kasim. Aku dengar video ucapan ketua dewan ulamak sebuah negeri yang mengatakan orang yang cuba hendak memecahkan perpaduan kita, hendaklah dibunuh!”

Suara jamaah yang duduk berkeliling meja barbaur. Ada yang mengangguk menandakan pernah dengar video yang dimaksudkan oleh Haji Seman, ada yang menggeleng-geleng, ada yang terpinga-pinga. 

Haji Kasim terdiam. 

 

“Cuba kamu fikir, pada zaman Nabi s.a.w. kepala munafiq, Abdullah bin Ubai pernah menghina Nabi s.a.w. dengan berkata: “Demi Allah! Apabila kami pulang ke Madinah nanti, orang yang paling mulia (dia maksudkan orang yang paling mulia adalah dirinya) di Madinah akan menghalau keluar orang yang paling hina (yang dia maksudkan orang yang paling hina ialah Rasulullah) darinya!”

Kata-kata si munafiq itu sampai ke pengetahuan Rasulullah s.a.w. serta sahabat. Umar r.a. dengan berangnya berkata: “Biarkan aku penggal leher si munafiq itu!”

Namun apa jawab Nabi?

“Biarkanlah dia. Jangan nanti manusia akan bercakap dengan berkata bahawa “Muhammad membunuh sahabatnya sendiri!” kisah ini diceritakan dengan terperinci oleh Imam Bukhari.”

 

“Kamu hanya tengok satu video itu saja. Kamu tak tengok ucapan lain yang lebih bernas dan berisi!” Haji Kasim masih bertegas mempertahankan keunggulan partinya.

“Tak kiralah sehebat mana pun ucapan yang lain. Kalau kenyataan seorang yang melampau ini tidak dibantah dan tidak ditarik balik maka ia menjadi satu pegangan parti!”

 

Haji Faisol dengar dengan tekun. Biasanya dia antara orang yang bersemangat menyokong hujah Haji Kasim walaupun dia sendiri tidak pernah hadir muktamar. Tetapi kali ini dia memilih untuk menjadi pendengar yang pasif.

 

“Kalau yang menentang parti kena bunuh, siapa yang nak jalankan hukuman tu? Dan apa hukum orang yang dibunuh tu? Mati kafir ke?” Haji Saleh pula meluahkan kemusykilannya. 

Haji Kasim merenung tajam ke arah Haji Saleh. Persoalan itu mencelarukan jalan pemikirannya yang sangat taasub kepada pemimpin partinya.

“Betul juga, soalan Saleh tu. Bahaya ni. Tak setuju dengan keputusan parti, boleh jadi kafir? Parti tu agama ke?” celah Afandi. Dahinya berkerut.

 

“Sebab itu aku kata tadi, parti kawan kita ni dah melampau!” sahut Haji Seman.

“Kamu tengok Nabi s.a.w.! Abdullah bin Ubai yang jelas munafiq, yang terang-terang menghina baginda, itupun Nabi tak izin bunuh.” sambungnya lagi. 

“Ini sekadar tak setuju dengan keputusan pemimpin parti, dah kena bunuh?” 

 

Haji Kasim membatu. Dia teringat, ulamak yang kata “bunuhlah” itu memetik kata-kata Nabi s.a.w. Dan cerita yang Haji Seman bawa ini hadis Nabi juga. 

Dia bungkam.

 

“Satu perkara lagi yang pelik!”

“Apa, Seman?” tanya Haji Saleh.

“Ada perwakilan meminta supaya pemimpin parti dia di negeri-negeri yang dia perintah diberi pangkat atau gelaran dato’ supaya dapat memberi rasa hormat dan keterujaan kepada masyarakat setempat terhadap pemimpin mereka!”

“Betul ada yang cadang macam tu?” Soal Afandi seperti tidak percaya. 

 

Haji Kasim masih membisu. Punggungnya terasa panas. 

Ketua persidangan seolah-olah telah diambil alih oleh Haji Seman.

“Itulah pasal. Pendekatan dakwah siapa yang dia ambil? Sirah mana yang dia belajar? Aku tak pernah dengar ada orang tertarik pada ajaran Islam kerana pangkat yang disandang oleh pendakwah. Selalunya orang tertarik kerana akhlak mulia dan budi pekerti yang luhur.” syarah Haji Seman.

“Kepada mereka yang diberi kuasa, Allah perintahkan supaya menegakkan keadilan, mendirikan solat, menunaikan zakat, menyuruh yang makruf dan mencegah yang mungkar. Bukan sibuk bermimpi nak dapat pangkat dato’ bagai....” 

 

“Kamu mana tahu semua ni, Seman? Berani kamu mempertikaikan pandangan ulamak?” gertak Haji Kasim. Dia sudah hilang sabar mendengar “kutukan” Haji Seman terhadap partinya.

“Itu sajalah modal kamu, Kasim. Ulamak! Ulamak! Dalam dunia ni dalam parti kamu sahaja ke ada ulamak? Kuliah yang Ustaz Nasir sampaikan setiap minggu di masjid kita ni kamu tak datang!”

“Ustaz Nasir bukan terlibat dengan parti.” Haji Kasim berhelah.

“Apa masalahnya kalau dia tidak terlibat dengan parti?” Soal Haji Seman.

Dia tidak faham selok belok perjuangan!”

“Jadi, ada syarat lah nak menuntut ilmu mesti dengan orang yang terlibat dengan parti kamu?”

“Eh, takkanlah. Aku ingat Ustaz Nasir kata, kita kena dengar dari pelbagai pihak. Kalau tidak, fikiran kita jadi tertutup dan taasub.” Afandi memberi pendapat.

 

Haji Kasim rasa tercabar. Namun dia tidak dapat membalas hujah rakan-rakannya. Dia bangkit untuk meninggalkan “persidangan”. 

Haji Saleh menarik tangannya supaya jangan bangkit.

“Duduk dulu, kawan. Apapun fahaman kita, hubungan persaudaraan sesama kita tidak boleh diganggu-gugat.”

“Betul tu. Kita pekena roti canai dan teh tarik dulu! Aku dah order tadi. In syaa Allah hari ini aku belanja!” Haji Faisol yang menjadi pemerhati dari tadi mengakhiri perbahasan dengan belanja sarapan.

Haji Kasim akur. Dia duduk dengan wajah yang mencuka. Pandangannya dilontarkan sejauh yang termampu oleh matanya.

ISLAM MENGAJAR UMATNYA KEBEBASAN BERFIKIR

 

Sedia maklum bahawa taat kepada ketua adalah sesuatu yang amat penting bagi sesebuah organisasi. Jika dibiarkan setiap orang ahli membuat keputusan sendiri tanpa merujuk kepada ketua, pastinya akan berlaku huru hara dan kacau bilau yang sukar dikawal dan pada masa yang sama akan membawa kepada runtuhnya maksud dan tujuan organisasi.

 

Dalam konteks ini Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Seseorang muslim diwajibkan dengar dan taat (kepada pemimpin) dalam perkara yang dia suka atau tidak suka, kecuali bila diperintah dengan perkara maksiat. Sekiranya dia diperintah (supaya melakukan) perkara maksiat, maka tiada dengar dan tiada taat.” Riwayat Muslim daripada Abdullah bin Umar r.a.

 

Hadis ini jelas menyebut batasan ketaatan adalah tidak menyuruh perkara maksiat. Perkara yang bertentangan dengan perintah Allah.

 

Satu peristiwa pernah berlaku pada zaman Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh beberapa orang muhaddithin berkaitan dengan batasan ketaatan kepada ketua yang dituntut ke atas para pengikut. 

 

Al-Bukhari meriwayatkan daripada Ali bin Abi Talib r.a. bahawa Nabi s.a.w. telah mengutus satu angkatan tentera dengan melantik seorang lelaki (tidak disebut nama) mengetuainya. Ketua itu menghidupkan api lalu berkata kepada angkatan tenteranya: “masuklah kamu ke dalamnya!” 

Sebahagian mereka bersedia untuk masuk. Lantas sebahagian lain berkata: “sesungguhnya kita semua telah lari darinya(api)!

Maka hal itu diceritakan kepada Nabi s.a.w. 

Baginda berkata kepada puak yang hendak masuk itu: “kalau mereka masuk, nescaya mereka akan terus berada di dalamnya sehingga ke hari qiamat!

Dan baginda berkata kepada puak yang menghalang daripada masuk: “tiada ketaatan dalam perkara maksiat. Sesungguhnya ketaatan hanyalah dalam perkara makruf.

 

Bayangkan, kenapakah Nabi s.a.w. berkata kepada puak yang hendak terjun atau masuk ke dalam api “kalau mereka masuk, nescaya mereka akan terus berada di dalamnya sehingga ke hari qiamat!? Bukankah mereka lakukan itu kerana hendak melaksanakan kewajipan taat kepada pemimpin sebagaimana yang diperintahkan oleh Baginda s.a.w.? Kenapakah pula tindakan itu akan menyebabkan mereka kekal di dalam api sehingga ke hari qiamat?

 

Di sinilah terserlahnya ajaran Islam yang penuh hikmah, limpah dengan rahmah. Islam yang diturunkan oleh Maha Pencipta membawa rahmah kepada alam semesta. Ketaatan yang diperintahkan mestilah dipandu oleh akal dan ilmu yang benar, bukan ketaatan membati buta. 

 

Kalau arahan atau perbuatan pemimpin sudah jelas salah, maka ia tetap salah. Pengikut mesti berani dan tegas membantah. Tidak perlu hendak takwil bahawa pemimpin mempunyai pancaindera super special, cakupan dimensi luar pemikiran biasa, langkah perjuangan yang merentasi bukan sekadar dunia atau apa-apa ungkapan super-duper yang seumpama dengannya. 

 

Rujuk Al-Quran dan Al-Sunnah. Ayat-ayat yang muhkamat menyatakan zalim itu haram. Dusta itu dilarang. Condong kepada orang zalim itu akan disambar api neraka. Semua ayat-ayat itu menjadi panduan kepada seluruh umat. Justeru, di manakah kewajarannya kalau seorang hamba Allah itu berbohong dan condong kepada orang zalim dikatakan bahawa dia mempunyai cakupan dimensi luar biasa? 

 

Adakah ia masuk akal? Adakah ia selari dengan ajaran Nabi s.a.w. yang mengajar umatnya berfikir sebelum bertindak sebagaimana yang dapat dipelajari daripada kisah di atas?