“Tuan-tuan dan puan yang dirahmati Allah, in syaa Allah pada pagi ini kita sambung pengajian Kitab Riadhus-Solihin bab haram berbohong” Ustaz Nasir memulakan kuliah dhuhanya selepas memberi salam, memuji Allah dan berselawat ke atas Rasulullah s.a.w. sebagaimana kebiasaan penceramah dan pengkuliah memulakan penyampaian mereka.
Lalu beliau membacakan hadis-hadis berkaitan dengan haram berbohong serta siksaan yang bakal diterima oleh mereka yang berbohong di akhirat kelak.
Antara hadis yang dibacakan ialah yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari daripada Ibn Abbas r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya:
“Sesiapa yang berkata dia bermimpi dengan sesuatu mimpi padahal dia tidak bermimpi, diperintahkan supaya dia mengikat, mencantumkan antara dua biji gandum, namun dia tidak mungkin dapat melakukannya.....”
“Hadis ini mengenai orang yang berbohong mereka-reka mimpi. Biasanya bertujuan untuk menarik perhatian orang ramai kepada dirinya atau supaya orang ramai lebih percaya kepada cakap-cakapnya,” syarah Ustaz Nasir.
“Seperti kita cakap mimpi jumpa Nabi ye? Padahal kita tak jumpa pun!” celah Haji Darus. Ustaz Nasir mengiakannya.
Ustaz juga membacakan hadis yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari juga daripada Samurah bin Jundub r.a.
Di dalam hadis itu Nabi s.a.w. menceritakan bahawa baginda dibawa oleh dua malaikat berjalan ke negeri akhirat. Ditunjukkan kepada baginda pelbagai jenis manusia yang disiksa berdasarkan amalan mereka di dunia. Antara yang ditunjukkan ialah seorang lelaki dalam keadaan baring terlentang, di sisinya seseorang berdiri memegang sebatang sabit yang diperbuat daripada besi. Dia mendekati lelaki yang sedang terbaring itu dari salah satu sisinya, lalu dia menyangkut rahangnya dan ditarik ke belakang. Dia menyangkut pula lubang hidungnya dan ditarik ke belakang. Kemudian dia menyangkut matanya dan ditarik ke belakang. Lepas itu dia beralih ke sisi sebelah lagi, lalu dibuat perkara yang sama dengan apa yang dibuat di sebelah sana. Sebelum selesai dia melakukannya, bahagian yang pertama tadi telah bercantum menjadi elok seperti sebelumnya. Dia datang dan ulang lagi tindakan yang sama, bergilir-gilir dan berulang-ulang.
Rasulullah s.a.w. bertanya kepada malaikat yang membawanya, “apakah dosa yang dilakukan oleh lelaki itu?”
Malaikat menjelaskan: “Dia keluar dari rumahnya sejak dari waktu pagi, menyebar kebohongan sehingga mencecah seluruh ufuk!”
“Hadis ini benar-benar menggambarkan keadaan zaman sekarang. Zaman langit terbuka. Apa saja yang kita ucapkan, tidak sampai satu saat telah tersebar ke serata pelusuk alam. Bayangkan kalau perkara yang kita cakap itu tidak benar? Allahu Akbar! Tak tergambar betapa besarnya dosa.” Ulas ustaz Nasir.
“Tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati, demikian dahsyatnya siksaan orang yang berbohong. Marilah sama-sama kita berusaha menjauhkan diri dari sifat tersebut.” Ustaz mengakhiri kuliahnya.
“Ada soalan yang ingin ditanyakan?”
Haji Darus mengangkat tangan.
“Ya, silakan tuan haji!”
“Berbohong ni haram ke atas orang awam sahaja, bukan?” Soal Haji Darus.
Ustaz Nasir agak tercengang mendengar soalan yang dikemukakan. Namun dia cuba bersikap tenang.
“Kenapa tuan haji berkata begitu? Apa yang diharamkan meliputi semua golongan tanpa mengira kedudukan, tuan haji.”
“Oh, begitu.” Haji Darus mengangguk-angguk. Wajahnya dikerutkan menggambarkan satu persoalan besar sedang merasuk fikirannya.
“Tapi Ustaz, saya melihat ramai di kalangan orang atas tidak segan silu bercakap bohong!”
“Kalau betul ada, mereka berdosa dan akan menerima pembalasan seperti yang kita pelajari di dalam hadis-hadis tadi, tuan haji.” jelas Ustaz Nasir.
“Tapi di kalangan mereka ada yang terdiri dari kalangan pemimpin, alim ulamak, ustaz. Tak kan mereka tidak tahu tentang dosa berbohong?”
“Ustaz!” Haji Hisham pula mengangkat tangan.
“Ya, tuan haji,” sahut Ustaz Nasir.
“Kita ni sedang belajar agama di rumah Allah. Tidak elok kita bercakap tentang politik.”
“Siapa pula yang bercakap tentang politik? Saya hanya inginkan penjelasan tentang hukum berbohong yang ustaz sampaikan. Kerana saya dapati fenomena berbohong sekarang ini tidak lagi dianggap sebagai perkara mungkar.”
“Betul tu, saya sokong,” celah Encik Murad, “sekarang kita berada di zaman yang sangat menipu. Yang dusta dianggap benar, yang benar dianggap khianat. Ada kan hadis yang sebut macam tu, Ustaz?” Sambung Encik Murad lagi.
“Ada, tuan,” jawab Ustaz Nasir. Kemudian dia menyambung, “kerana itu kita tidak boleh berhenti belajar mencari ilmu, kemudian sama-sama kita sebarkan sedaya upaya yang kita mampu...”
No comments:
Post a Comment