Sedia maklum bahawa taat kepada ketua adalah sesuatu yang amat penting bagi sesebuah organisasi. Jika dibiarkan setiap orang ahli membuat keputusan sendiri tanpa merujuk kepada ketua, pastinya akan berlaku huru hara dan kacau bilau yang sukar dikawal dan pada masa yang sama akan membawa kepada runtuhnya maksud dan tujuan organisasi.
Dalam konteks ini Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Seseorang muslim diwajibkan dengar dan taat (kepada pemimpin) dalam perkara yang dia suka atau tidak suka, kecuali bila diperintah dengan perkara maksiat. Sekiranya dia diperintah (supaya melakukan) perkara maksiat, maka tiada dengar dan tiada taat.” Riwayat Muslim daripada Abdullah bin Umar r.a.
Hadis ini jelas menyebut batasan ketaatan adalah tidak menyuruh perkara maksiat. Perkara yang bertentangan dengan perintah Allah.
Satu peristiwa pernah berlaku pada zaman Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh beberapa orang muhaddithin berkaitan dengan batasan ketaatan kepada ketua yang dituntut ke atas para pengikut.
Al-Bukhari meriwayatkan daripada Ali bin Abi Talib r.a. bahawa Nabi s.a.w. telah mengutus satu angkatan tentera dengan melantik seorang lelaki (tidak disebut nama) mengetuainya. Ketua itu menghidupkan api lalu berkata kepada angkatan tenteranya: “masuklah kamu ke dalamnya!”
Sebahagian mereka bersedia untuk masuk. Lantas sebahagian lain berkata: “sesungguhnya kita semua telah lari darinya(api)!”
Maka hal itu diceritakan kepada Nabi s.a.w.
Baginda berkata kepada puak yang hendak masuk itu: “kalau mereka masuk, nescaya mereka akan terus berada di dalamnya sehingga ke hari qiamat!”
Dan baginda berkata kepada puak yang menghalang daripada masuk: “tiada ketaatan dalam perkara maksiat. Sesungguhnya ketaatan hanyalah dalam perkara makruf.”
Bayangkan, kenapakah Nabi s.a.w. berkata kepada puak yang hendak terjun atau masuk ke dalam api “kalau mereka masuk, nescaya mereka akan terus berada di dalamnya sehingga ke hari qiamat!”? Bukankah mereka lakukan itu kerana hendak melaksanakan kewajipan taat kepada pemimpin sebagaimana yang diperintahkan oleh Baginda s.a.w.? Kenapakah pula tindakan itu akan menyebabkan mereka kekal di dalam api sehingga ke hari qiamat?
Di sinilah terserlahnya ajaran Islam yang penuh hikmah, limpah dengan rahmah. Islam yang diturunkan oleh Maha Pencipta membawa rahmah kepada alam semesta. Ketaatan yang diperintahkan mestilah dipandu oleh akal dan ilmu yang benar, bukan ketaatan membati buta.
Kalau arahan atau perbuatan pemimpin sudah jelas salah, maka ia tetap salah. Pengikut mesti berani dan tegas membantah. Tidak perlu hendak takwil bahawa pemimpin mempunyai pancaindera super special, cakupan dimensi luar pemikiran biasa, langkah perjuangan yang merentasi bukan sekadar dunia atau apa-apa ungkapan super-duper yang seumpama dengannya.
Rujuk Al-Quran dan Al-Sunnah. Ayat-ayat yang muhkamat menyatakan zalim itu haram. Dusta itu dilarang. Condong kepada orang zalim itu akan disambar api neraka. Semua ayat-ayat itu menjadi panduan kepada seluruh umat. Justeru, di manakah kewajarannya kalau seorang hamba Allah itu berbohong dan condong kepada orang zalim dikatakan bahawa dia mempunyai cakupan dimensi luar biasa?
Adakah ia masuk akal? Adakah ia selari dengan ajaran Nabi s.a.w. yang mengajar umatnya berfikir sebelum bertindak sebagaimana yang dapat dipelajari daripada kisah di atas?
No comments:
Post a Comment