Di sebuah restoran berhampiran dengan masjid. Beberapa jamaah berkumpul selepas menunaikan solat subuh. Itulah kelaziman mereka pada hari tidak bekerja.
Haji Kasim begitu bersemangat menceritakan tentang muktamar yang baru dihadirinya. Mukatamar yang disifatkannya paling bersejarah kerana kali pertama diadakan selepas partinya berjaya menerajui kerajaan pusat dengan kerjasama beberapa parti yang lain. Meskipun musuh-musuh politik memanggilnya kerajaan pintu belakang, kerajaan tebuk atap, bagi ahli-ahli partinya ia adalah satu kejayaan besar hasil kebijaksanaan presidennya mengatur strategi luar biasa yang tidak terjangkau oleh orang kebanyakan.
Kawan-kawan yang mendengar menunjukkan reaksi yang pelbagai. Ada yang mengangguk-angguk, melopongkan mulut, mengerutkan dahi dan ada yang buat acuh tak acuh.
“Pada pendapat aku, parti kamu tu dah melampau lah, Kasim...!” Secara tiba-tiba Haji Seman bersuara. Walaupun perlahan tetapi ia seolah-olah petir yang menyambar semangat Haji Kasim.
Mata Haji Kasim tersembul ke arah Haji Seman.
“Kenapa kamu cakap bagitu, Seman? Apa yang melampaunya?” dia benar-benar tidak puas hati dengan kenyataan Haji Seman yang menuduh partinya melampau secara semberono. Semua mata beralih memandang ke arah Haji Seman.
“Apa tidaknya? Kamu anggap hanya kamu saja yang betul. Orang yang tak sependapat dengan kamu semuanya salah.”
“Kamu jangan hendak mereka-reka yang bukan-bukan, Seman!” Darah Haji Kasim mula menjulang naik ke muka.
“Aku bukan mereka-reka, Kasim. Aku dengar video ucapan ketua dewan ulamak sebuah negeri yang mengatakan orang yang cuba hendak memecahkan perpaduan kita, hendaklah dibunuh!”
Suara jamaah yang duduk berkeliling meja barbaur. Ada yang mengangguk menandakan pernah dengar video yang dimaksudkan oleh Haji Seman, ada yang menggeleng-geleng, ada yang terpinga-pinga.
Haji Kasim terdiam.
“Cuba kamu fikir, pada zaman Nabi s.a.w. kepala munafiq, Abdullah bin Ubai pernah menghina Nabi s.a.w. dengan berkata: “Demi Allah! Apabila kami pulang ke Madinah nanti, orang yang paling mulia (dia maksudkan orang yang paling mulia adalah dirinya) di Madinah akan menghalau keluar orang yang paling hina (yang dia maksudkan orang yang paling hina ialah Rasulullah) darinya!”
Kata-kata si munafiq itu sampai ke pengetahuan Rasulullah s.a.w. serta sahabat. Umar r.a. dengan berangnya berkata: “Biarkan aku penggal leher si munafiq itu!”
Namun apa jawab Nabi?
“Biarkanlah dia. Jangan nanti manusia akan bercakap dengan berkata bahawa “Muhammad membunuh sahabatnya sendiri!” kisah ini diceritakan dengan terperinci oleh Imam Bukhari.”
“Kamu hanya tengok satu video itu saja. Kamu tak tengok ucapan lain yang lebih bernas dan berisi!” Haji Kasim masih bertegas mempertahankan keunggulan partinya.
“Tak kiralah sehebat mana pun ucapan yang lain. Kalau kenyataan seorang yang melampau ini tidak dibantah dan tidak ditarik balik maka ia menjadi satu pegangan parti!”
Haji Faisol dengar dengan tekun. Biasanya dia antara orang yang bersemangat menyokong hujah Haji Kasim walaupun dia sendiri tidak pernah hadir muktamar. Tetapi kali ini dia memilih untuk menjadi pendengar yang pasif.
“Kalau yang menentang parti kena bunuh, siapa yang nak jalankan hukuman tu? Dan apa hukum orang yang dibunuh tu? Mati kafir ke?” Haji Saleh pula meluahkan kemusykilannya.
Haji Kasim merenung tajam ke arah Haji Saleh. Persoalan itu mencelarukan jalan pemikirannya yang sangat taasub kepada pemimpin partinya.
“Betul juga, soalan Saleh tu. Bahaya ni. Tak setuju dengan keputusan parti, boleh jadi kafir? Parti tu agama ke?” celah Afandi. Dahinya berkerut.
“Sebab itu aku kata tadi, parti kawan kita ni dah melampau!” sahut Haji Seman.
“Kamu tengok Nabi s.a.w.! Abdullah bin Ubai yang jelas munafiq, yang terang-terang menghina baginda, itupun Nabi tak izin bunuh.” sambungnya lagi.
“Ini sekadar tak setuju dengan keputusan pemimpin parti, dah kena bunuh?”
Haji Kasim membatu. Dia teringat, ulamak yang kata “bunuhlah” itu memetik kata-kata Nabi s.a.w. Dan cerita yang Haji Seman bawa ini hadis Nabi juga.
Dia bungkam.
“Satu perkara lagi yang pelik!”
“Apa, Seman?” tanya Haji Saleh.
“Ada perwakilan meminta supaya pemimpin parti dia di negeri-negeri yang dia perintah diberi pangkat atau gelaran dato’ supaya dapat memberi rasa hormat dan keterujaan kepada masyarakat setempat terhadap pemimpin mereka!”
“Betul ada yang cadang macam tu?” Soal Afandi seperti tidak percaya.
Haji Kasim masih membisu. Punggungnya terasa panas.
Ketua persidangan seolah-olah telah diambil alih oleh Haji Seman.
“Itulah pasal. Pendekatan dakwah siapa yang dia ambil? Sirah mana yang dia belajar? Aku tak pernah dengar ada orang tertarik pada ajaran Islam kerana pangkat yang disandang oleh pendakwah. Selalunya orang tertarik kerana akhlak mulia dan budi pekerti yang luhur.” syarah Haji Seman.
“Kepada mereka yang diberi kuasa, Allah perintahkan supaya menegakkan keadilan, mendirikan solat, menunaikan zakat, menyuruh yang makruf dan mencegah yang mungkar. Bukan sibuk bermimpi nak dapat pangkat dato’ bagai....”
“Kamu mana tahu semua ni, Seman? Berani kamu mempertikaikan pandangan ulamak?” gertak Haji Kasim. Dia sudah hilang sabar mendengar “kutukan” Haji Seman terhadap partinya.
“Itu sajalah modal kamu, Kasim. Ulamak! Ulamak! Dalam dunia ni dalam parti kamu sahaja ke ada ulamak? Kuliah yang Ustaz Nasir sampaikan setiap minggu di masjid kita ni kamu tak datang!”
“Ustaz Nasir bukan terlibat dengan parti.” Haji Kasim berhelah.
“Apa masalahnya kalau dia tidak terlibat dengan parti?” Soal Haji Seman.
“Dia tidak faham selok belok perjuangan!”
“Jadi, ada syarat lah nak menuntut ilmu mesti dengan orang yang terlibat dengan parti kamu?”
“Eh, takkanlah. Aku ingat Ustaz Nasir kata, kita kena dengar dari pelbagai pihak. Kalau tidak, fikiran kita jadi tertutup dan taasub.” Afandi memberi pendapat.
Haji Kasim rasa tercabar. Namun dia tidak dapat membalas hujah rakan-rakannya. Dia bangkit untuk meninggalkan “persidangan”.
Haji Saleh menarik tangannya supaya jangan bangkit.
“Duduk dulu, kawan. Apapun fahaman kita, hubungan persaudaraan sesama kita tidak boleh diganggu-gugat.”
“Betul tu. Kita pekena roti canai dan teh tarik dulu! Aku dah order tadi. In syaa Allah hari ini aku belanja!” Haji Faisol yang menjadi pemerhati dari tadi mengakhiri perbahasan dengan belanja sarapan.
Haji Kasim akur. Dia duduk dengan wajah yang mencuka. Pandangannya dilontarkan sejauh yang termampu oleh matanya.
No comments:
Post a Comment