“Mama dan Abah sihat?” Tegur Kak Long sambil menghulurkan segelas jus epal kepada adiknya yang baru sampai.
“Alhamdulillah sihat. Mereka kirim salam kepada Kak Long dan Abang Long,” jawab Amru.
“Alaika wa alaihimas-salam.”
“Am cerita tak kepada Abah apa yang kita bincang hari tu?”
“Cerita. Semua Am cerita.”
“Abah kata apa?” soal Kak Long. Begitu teruja ingin mendengar reaksi Abah tentang apa yang disyarahkan kepada Amru bulan lepas.
“Abah diam saja. Tapi...”
“Tapi apa, Am?”
“Sekarang Abah tak sebut pan dah. Dia sebut amanah.”
“Ya? Alhamdulillah....” sahut Kak Long penuh gembira. Setidak-tidaknya Abah telah dapat mengatasi perasaan tidak suka kepada parti yang Kak Long sertai itu. Abah sudah dapat menyebut namanya dengan betul.
“Syukur sangat-sangat.” luah Kak Long.
“Isu apa yang Am nak bincang dengan Kak Long hari ni?” Tanya Kak Long. Senyuman masih mekar di bibirnya mengingatkan perubahan sikap abah yang Amru ceritakan.
“Ni ha... ada satu lagi status di fb ustaz...”
“Ustaz yang sama ke?”
“Bukan. Ustaz lain, tapi dari parti yang sama.”
“Apa dia kata?”
Amru mengunjukkannya telefon bimbitnya kepada Kak Long.
Kak Long mengambilnya dari tangan Amru dan membaca status yang dimaksudkan.
(Sampai saat ini saya masih tak faham mcmana orang yg berpendidikan agama boleh sokong PH/DAP. Kitab apa yg dorg rujuk?).
Kak Long senyum sambil memulangkan telefon bimbit kepada Amru.
“Kenapa Kak Long senyum macam tu? Macam mana nak jawab soalan dia tu?”
“Kak Long tak fikir soalan dia tu betul-betul ikhlas nakkan jawapan. Ia lebih kepada nak menyindir dan mengena lawan. Jawab macam mana pun, dia tak akan terima. malah akan dipusing ke lain pula. Dia ingat hanya dia saja yang mempunyai rujukan”
“Jawab pada Am dan orang-orang seperti Am la. Kak Long juga yang kata mulai sekarang Am kena ambil tahu hal-hal politik sebab Am dah boleh mengundi.”
“Kalau Am nak tahu, kami guna kitab yang sama dengan yang mereka gunakan. Ayat yang sama dengan apa yang mereka jaja ketika mereka berjanji setia di dalam pakatan rakyat dahulu.”
“Itu yang Am nak tahu, Kak Long. Ayat apa?”
“Dulu kita sama-sama berpakat untuk menentang kemungkaran umno dan bn berdasarkan hadis “sesiapa yang melihat kemungkaran ubahlah dengan tangan. Jika tidak berkuasa, ubahlah dengan lisan. Jika tidak berkuasa, ubahlah dengan hati. Dan itu merupakan selemah-lemah iman.”
“Hadis riwayat siapa, Kak Long?”
“Wah... boleh tahan adik Kak Long ye? Pandai tanya riwayat bagai” usik Kak Long disambut dengan deraian ketawa mereka berdua.
“Riwayat Muslim daripada Abi Sa’eid al-Khudri r.a.! Puas hati?”
Amru mengangguk.
“Dengan Kak Long memang sentiasa puas hati ha ha...”
“Pandailah Am tu nak bodek” jawab Kak Long sambil mencemikkan bibir.
“Gurau je. Jangan marah...! Kak Long sambunglah!”
“Kemungkaran yang dilakukan umno dan bn sudah jelas. Mahkamah telah mengesahkannya. Bekas ketua no satunya didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020 atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd. 42 juta, dik! Bayangkan dalam satu hadis, Nabi s.a.w. sebut kalau ambil hak orang sebesar ranting kayupun Allah wajibkan neraka dan haramkan syurga!”
“Betul ke?” Amru membeliakkan mata dan bertanya untuk mendapat kepastian.
“Ya!” Tegas Kak Long. “Hadis riwayat Muslim daripada Abi Umamah r.a.”
“Dahsyatnya!” celah Amru.
“Dan itu baru satu. Ramai lagi yang sedang menunggu giliran untuk dibicarakan.”
“Sebab itu kita tidak boleh berhenti menentang umno dan bn. Tetapi yang peliknya, parti dia telah menukar pendirian, daripada dulu bermati-matian menentang sekarang dah berkawan dan bergandingan. Tolong berkempen lagi!”
“Kenapa?”
“Itulah yang dia kena jawab, rujuk kitab mana boleh berkawan dengan orang yang melakukan kezaliman dan kemungkaran?”
Amru terkebil-kebil memandang Kak Long.
“Dulu mereka selalu ulang-ulang ayat...”
“Ayat Quran ye?”
“Ya!” Kak Long menunjukkan kepada Amru naskhah al-Quran terjemahan dalam bahasa Melayu sambil membacanya: “Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan. (Surah Hud 11:113)”
Amru terkedu. Macam-macam ragam manusia ni. Ada satu lagi isu yang disebut di dalam status itu, iaitu menyokong dap. Dia belum faham apa pula isunya? Nak tanya sekarang ke?
“Eh, kenapa termenung panjang tu? Masalah apa lagi?” sergah Kak Long.
“Emmm...lain kali lah Am tanya,” jawab Amru teragak-agak. Banyak-banyak nanti Am pening pulak!”
Kak Long ketawa kecil.
“Suka hati lah...!”
No comments:
Post a Comment