Monday, September 21, 2020

KITA BERSAUDARA

 

“Kenapa abang beria-ia sangat hendak pergi ke rumah adik abang tu?”

“Saja teringat... lama tak jumpa”

“Bukankah selama ni abang selalu mengelak darinya?”

“Itu dulu... sekarang lain, Pah.”

“Apa yang lain, bang?”

“Sekarang parti kita mengamalkan budaya politik matang dan sejahtera. Malah telah bergabung dengan parti dia dalam muwafakat nasional!” jelas Haji Kasim

“Ooo...” Makcik Tipah mengangguk sambil meneruskan kerjanya. Dia memang tak ambil pusing sangat tentang perkembangan parti-parti politik. Namun sekali sekala dia layan juga dengar apa yang diceritakan oleh suaminya.

 

“Awak, betul tak nak ikut saya ni?” tanya Haji Kasim untuk kepastian.

“Ikut hati memang nak juga pergi, bang. Tapi saya dah janji dengan Kiah dan Leha, mereka nak bawa budak-budak muda datang untuk belajar masak kuih tradisional. Maklumlah budak-budak muda sekarang hanya tahu masak kuih-kuih moden saja. Kalau tak diajar betul-betul nanti, pupuslah masakan tradisiional yang diwarisi zaman berzaman.”

“Hemm... baguslah tu. Moga-moga ia menjadi bekalan awak di akhirat kelak, mengajar ilmu yang bermanfaat.”

“Aamiiin. Terima kasih, bang.”

“Baiklah. Saya pergi dulu ye!”

“Okey. Hati-hati. Sampaikan salam saya kepada Syukri sekeluarga.”

“Assalamu’alaikum.”

“Wa’alaikumus-salam.”

 

“Eh? Abang? Silakan masuk! Seorang saja?” Syukri mempelawa dengan rasa hairan bercampur teruja melihat abangnya tiba-tiba muncul di hadapan pintu rumahnya.

“Kak Pah kau kirim salam. Dia ada hal.” Haji Kasim duduk di atas sofa di ruang tamu sambil meninjau di sekitar bilik tamu yang sederhana itu.

“Orang rumah kamu mana?”

“Dia pergi tolong jaga menantu baru bersalin.”

 

“Abang ada apa-apa hal yang mustahak ke tiba-tiba datang?”

“Saja nak ziarah kamu...”

“Terima kasih, abang.”

“Aku memang selalu ingat nak datang, tapi bila fikir setiap kali bertemu kita akan bertengkar sebab perbezaan fahaman politik. Bila bertengkar, hubungan kita jadi renggang....”

 

Syukri tersenyum. Memang benar mereka selalu bertengkar kerana perbezaan fahaman politik. Dan selalunya pihak dialah yang dikatakan tidak selari dengan ajaran Islam. 

Walaupun dia sendiri tidak pernah dilabel kafir dan sesat oleh abangnya, tetapi tuduhan seperti itu memang berlaku di sesetengah tempat.

 

Kawannya sendiri menceritakan bahawa arwah ayahnya dan semua orang UMNO di kampungnya dicop kafir oleh orang Pas kerana sepanjang hayatnya sokong UMNO. 

Arwah ayah kawannnya itu menceritakan bahawa semasa hayatnya orang Pas di kampungnya tidak menerima daging pemberian orang UMNO kerana pada mereka orang UMNO kafir. Orang-orang Pas kata, “kalau aku ambil pun daging yang kamu beri ni, aku beri pada anjing saja!”

 

Kawannya yang lain pula menceritakan bahawa dia sendiri pernah tengok pada tahun 1984 ketika dia darjah 6, kejadian pergaduhan yang berlaku di atas masjid kampungnya di antara orang-orang Pas dan AJK masjid yang terdiri dari orang UMNO. Orang Pas hendak rebut tugas baca khutbah dan jadi imam kerana menganggap solat orang UMNO tidak sah. Oleh kerana orang Pas minoriti, mereka kalah. Mulai hari itu mereka lari solat jumaat di Masjid kampung bersebelahan sehinggalah dua tahun terakhir ini bila Pas menguasai Terengganu semula. Sehingga hari ini pun masih berlaku pergaduhan kecil-kecilan sebab hendak berebut tugas khatib dan imam masjid. Tapi tidak sesengit dulu.

 

“Kenapa diam saja? Apa yang kamu fikirkan? Tak sudikah berbaik-baik dengan aku?” Haji Kasim bersuara apabila melihat Syukri membisu seperti mengingati sesuatu.

“Tak, tak ada, abang...” Syukri tergagap-gagap menafikan telahan abangnya. 

Tapi dia memang tidak dapat melupakan beberapa peristiwa yang menyedihkan tentang pergeseran masyarakat kerana perbezaan fahaman politik.

Sepupu kawannya suami isteri bergaduh dan tak berbaik sehingga mati akibat perbezaan politik antara dia dan isterinya. Isterinya sokong UMNO, dia sokong Pas. Lebih teruk, ada pasangan yg bercerai ..

 

Dia juga biasa dengar masa budak-budak dulu si polan itu akad nikah kali kedua sebab nikah dulu yang diakad oleh imam UMNO dikatakan tidak sah. OranUMNO persoalkan tentang taraf anak mereka adakah anak haram? Tapi mereka diam kan saja....

 

“Aku harap dengan budaya politik matang dan sejahtera yang diperkenalkan oleh Tuan Guru kita dapat memperbetulkan hubungan kita. Tambahan pula parti aku dan parti kamu telah sama-sama memeteraikan Piagam Muafakat Nasional dan bersetuju membentuk kerjasama dengan mengembangkan naratif Islam dan Melayu...

“Baguslah tu, abang. Tapi...saya nak bagi tahu abang...”

“Nak bagi tahu apa?” 

“Saya dah keluar dari UMNO.”

“Eh, bila dan kenapa?” tanya Haji Kasim sedikit terkejut.

 

“Dulu, semasa abang kata UMNO parti taghut, parti sekular, parti yang mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliyah dan macam-macam lagi, saya tak boleh terima. Saya percaya matlamatnya adalah baik, iaitu memartabatkan agama dan meninggikan taraf hidup anak bangsa. Tetapi apabila terbongkar salah laku para pemimpin di peringkat atasan, merebaknya amalan rasuah dan salah guna kuasa, sehingga kemuncaknya kes 1MDB yang didedahkan sendiri oleh timbalan presiden ketika itu sehingga dia dipecat dan dilucutkan jawatan sebagai TPM, saya tidak boleh bertahan lagi. Saya dan rakan-rakan ramai-ramai bertindak keluar dan cawangan UMNO tempat kami ni terbubar.”

 

“Jadi, kamu ikut dia masuk parti BERSATU ke?”

“Tak, bang. Dan syukurlah saya tak ikut dia.”

“Kenapa?”

“Dia pun khianat!”

“Khianat apa maksud kamu? Dia penyelamat. Dia menyelamatkan negara kita dari PH yang diperalatkan oleh musuh Islam, dap!”

“Bab PH diperalatkan musuh Islam tu saya tak mahu komen sebab tidak ada bukti. Tetapi dia memungkiri perjanjian itu, bagi saya satu pengkhianatan yang bercanggah dengan ajaran agama kita.”

“Janji apa?”

“Janji kepada rakyat untuk melakukan perubahan, memerangi rasuah dan salah guna kuasa, janji kepada rakan-rakan di dalam ph untuk sama-sama membangunkan Malaysia baru yang demokratik, bersih dan berintegriti. Perjanjian itu bertulis dan dia sendiri sign.”

“Kerajaan ph runtuh bukan salah dia, Syukri. Tun yang letak jawatan.”

“Kalau Tun letak jawatan, Tan Sri Muhyiddin sepatutnya berbincang dengan rakan-rakan PH untuk melantik penggantinya, atau terus mengangkat Datuk Seri Anwar sebagaimana yang telah dijanjikan. Kenapa dia bawa MP-MP BERSATU keluar PH dan membentuk kerajaan dengan parti lain yang kalah di dalam pilihanraya? Itu maknanya dia khianat!” hujah Syukri dengan suara yang agak tinggi walaupun dia cuba mengelak dari bertengkar dengan abangnya yang datang dengan tujuan untuk berbaik-baik.

 

“Mungkin dia fikir menyelamatkan negara dari ancaman musuh Islam lebih utama daripada berpegang kepada janji?”

“Bab ini tentu abang lebih arif daripada saya. Ada ke, di dalam agama kita kaedah “matlamat menghalalkan cara?”

Haji Kasim terdiam. 

 

“Saya pun tertanya-tanya, bagaimana parti abang boleh bekerjasama dengannya? Tak ada rasa curiga ke?”

“Curiga apa?”

“Orang yang pernah khianat dan mungkir janji dengan pihak lain, tak mustahil suatu hari dia akan mungkir janji dengan parti abang pula!”

“Itu bukan urusan aku orang bawah-bawah ni. Itu urusan pucuk pimpinan dan majlis syura ulamak. Mereka lebih tahu apa yang terbaik untuk parti.”

 

“Saya kagum dan salute lah dengan abang!” 

“Kenapa kamu cakap macam tu?”

“Dari dulu sampai sekarang, taat setia abang kepada parti dan pemimpin tidak pernah berbelah bagi.”

“Mestilah. Parti aku ni dipimpin oleh alim ulamak. Mereka memimpin dengan berpandukan al-Quran, hadis, ijmak dan qias. Presiden kami itu, bukan calang-calang! Mursyidul Am sendiri kata, Tuan Guru kerap bermimpi jumpa Rasulullah s.a.w. Bila ada perkara besar saja dia akan mimpi jumpa Rasulullah. Dia sendiri pernah berkata bahawa dia mempunyai kaca mata dan kaca teropong yang putih bersih sehingga dapat melihat semua warna yang sebenar tanpa tersilap dan tidak boleh dikelirukan.

Syukri mendengar hujjah abangnya tanpa sebarang reaksi.

 

“Sebab itu kamu sepatutnya menyertai parti ini bersama dengan aku, Syukri!”

Syukri tersenyum.

“Terima kasih banyak, abang atas pelawaan itu... cumanya, saya ni dah keluar dari UMNO kerana tidak mahu bersekongkol dengan pemimpin yang telah terbukti korup dan menyalah gunakan kuasa. Parti abang pula sekarang menjalinkan kerjasama yang erat dengan UMNO. Jadi, kalau saya terima pelawaan abang tu bererti saya balik kepada asallah...” 

 

“Tak mengapalah kalau itu pilihan kamu. Tapi aku nak ingatkan, kamu jangan pula masuk parti oren tu!”

“Kenapa?”

“Parti itu ditubuhkan oleh sekumpulan bekas pimpinan Pas yang keciwa kerana kalah dalam perebutan jawatan pada muktamarMereka ditolak oleh ahli kerana berfahaman liberal. Tuan Guru kata, mereka hanyalah seumpama dewan penyokong dap sahaja, khadam kepada parti lain, tidak ada dasar serta matlamat perjuangan yang jelas...”

Syukri menelan air liur.

 

“Sekejap ye, abang. Ada bunyi motor kat luar tu. Makanan yang saya oder dah sampai agaknya?” 

“Apa susah-susah pulak?”

“Mestilah... abang kan jarang datang. Sekali sekala datang kenalah jamu.”

 

Syukri keluar untuk mengambil makanan. Selepas masuk, Haji Kasim berkata,

“Ingat pesanan aku tu!”

“Saya kena selidik juga apa yang abang kata tu.”

“Kamu tak percaya cakap aku?”

“Bukan tak percaya. Agama kita kan ajar supaya tabayun. Kena dengar dari pihak mereka juga...”

 

“Jemputlah makan, abang. Nantikan sejuk tak sedap pulak...”

No comments: