“Terima kasih Kak Long kerana sudi datang.” Ucap Nini dengan suara yang lemah. Tangan Kak Long digenggam erat.
“Memang dah jadi tanggungjawab Kak Long. Alhamdulillah Allah bagi kelapangan untuk Kak Long tunaikan hak Nini, kali ini.”
Nini memejamkan mata. Badannya masih terasa lemah selepas menjalani prosedur D&C.
“Doktor bagi tahu kenapa gugur?”
Nini menggeleng.
“Nini ada jatuh ke?”
Geleng juga.
“Semalam ada seorang Mak Cik datang ziarah anak dia di sebelah katil Nini” Nini mula membuka cerita.
“kenapa dengan dia?”
“Dia kata, anak Nini gugur sebab Ummus-Sibyan!”
Kak Long melopongkan mulut gaya orang terkejut.
“Apa yang dia cerita tentang Ummus-Sibyan tu?”
“Entah lah, Kak Long. Nini pun tak dengar sangat. Maklumlah tengah sakit. Yang Nini ingat dia kata, Ummus-Sibyan diiriwayatkan daripada Nabi Sulaiman ‘alaihis-salam.
Baginda yang jumpa makhluk tu dengan rupa yang sangat hodoh dan menakutkan. Makhluk tu cerita bahawa dia mempunyai berbagai-bagai kuasa. Antaranya menggugurkan kandungan. Dia boleh mengikat rahim perempuan, boleh membunuh anak-anak di dalam kandungan dan mereka semua tidak akan mengetahui bahawa itu adalah angkara dia. Dia akan masuk ke dalam rahim orang perempuan dan akan ikat rahimnya serta sumbat rahimnya sehingga tidak boleh mengandung. Dia juga akan masuk ke dalam perut perempuan yang hamil dan tendang janinnya, maka berlakulah keguguran.”
“Nini percaya ke?”
“Nini tak pernah dengar cerita tu. Kak Long tahu ke?”
“Kak Long pernah dengar....”
“Jadi, cerita itu betul lah?”
“Sebagai mukmin kita wajib percaya kewujudan makhluk Allah yang ghaib seperti malaikat, jin dan lain-lain. Tetapi semua makhluk-makhluk tu tidak mempunyai kuasa untuk memberikan manfaat atau mudarat kepada kita. Merekapun lemah seperti kita juga...”
“So, cerita Ummus-Sibyan macam mana?”
“Apa-apa yang didakwa diambil daripada nabi, tak kiralah Nabi Muhammad ke, Nabi Sulaimana ke, mesti ada sanad yang sahih, Nini. Cerita tu tidak ada sanad. Ia macam cerita dongeng.”
“Begitu ke?”
“Cerita itu bukan sahaja tersebar dalam kalangan masyarakat di tempat kita. Dalam masyarakat Arab pun ada.”
“Iye? Jadi anak Nini gugur bukan sebab Ummus-Sibyan la kan?”
“Kehendak Allah. Untuk kebaikan Nini juga.”
“Sedih sangat. Cerita-cerita khurafat sebegini masih tersebar dan senang pula diterima.”
“Itulah pentingnya ilmu, Nini. Sabar lah! Ada hikamahnya semua ni.” Pujuk Kak Long.
“Terima kasih, Kak Long. In syaa Allah Nini yakin banyak hikmahnya. Allah lebih mengetahui, mungkin Nini belum mampu untuk didik anak menjadi insan yang berguna. Sebab itu Allah belum izinkan ia lahir, bukan?” Luah Nini dengan perasaan sayu. Siapa yang tidak berasa sedih apabila janin yang kian membesar di dalam kandungan dan mula dirasai pergerakannya yang halus, tiba-tiba diambil kembali oleh Penciptanya.
Apa lagi yang mampu diungkapkan selain pasrah dan redha.
No comments:
Post a Comment