Abu Mihjan r.a. adalah pemabuk arak yang tegar. Selepas memeluk Islam beliau tidak dapat meninggalkan tabiatnya, sangat gemarkan arak. Beliau pernah dihukum sebat, namun tidak juga serik.
Diriwayatkan bahawa semasa jahiliah beliau pernah bersyair:
Apabila aku mati, tanamlah aku di sisi kebun anggur
Supaya akar-akarnya terus membekalkan arak ke dalam tulang-tulangku.
Jangan tanam aku di tengah padang pasir
Kerana aku bimbang apabila aku mati aku tidak dapat merasainya lagi.
Ibn Abi Syaibah dan Sa’eid bin Mansur meriwayatkan daripada Ibrahim bin Muhammad daripada ayahnya bahawa ketika sedang memuncaknya peperangan AlQadisiyyah, Abu Mihjan yang turut serta dalam peperangan itu didapati meminum arak. Beliau dihadapkan kepada Panglima Saad bin Abi Waqqas r.a. Saad memerintahkan supaya dia ditambat (hukuman sebat ditangguhkan).
Saad, pada hari tersebut tidak dapat turun ke medan pertempuran kerana luka yang dialaminya. Beliau memerhati pertempuran yang sengit antara tentera Islam dengan tentera Parsi dari satu tempat yang tinggi. Beliau melantik Khalid bin ‘Urfutoh mengetuai pasukan berkuda.
Abu Mihjan yang terikat kakinya di khemah memerhati pertempuran yang sengit itu. Beliaupun bersyair:
Cukup menyedihkan ketika melihat kuda diserang di Qana
Sedangkan aku berada dalam keadaan terikat dan tertambat
Beliau merayu kepada isteri Saad r.a. supaya membuka ikatan supaya beliau dapat pergi ke medan dan berjanji akan pulang untuk diikat semula. Dia berkata, “sekiranya aku terbunuh, aku memohon supaya kamu meminta rahmat ke atasku.”
Isteri Saad membebaskannya setelah Abu Mihjan benar-benar berjanji akan kembali semula selepas tamat pertempuran.
Abu Mihjan r.a. menunggang kuda milik Saad yang bernama Balqaa’ kemudian mengambil panah, lantas meluru ke medan pertempuran. Dia bergerak dengan lincah ke kanan, ke kiri dan ke tengah membunuh setiap musuh yang ditemuinya.
Tentera-tentera yang melihat ketangkasannya berkata, “ini malaikat yang turun berperang bersama kita!”
Saad pula berkata, “lompatan kuda itu sama dengan lompatan Balqaa’. Cara tikaman adalah sama dengan cara Abu Mihjan! Tetapi Abu Mihjan sedang ditambat?”
Setelah pertempuran tamat, musuh telah tewas, Abu Mihjan kembali ke khemah mengikat kakinya semula.
Isteri Saad menceritakan kepada Saad apa yang telah berlaku. Lalu Saad r.a. berkata, “Demi Allah aku tidak akan menyebat lagi selepas hari ini seorang lelaki yang telah menjadi sebab kemenangan kaum muslimin dengan sebaik-baiknya!”
Maka Saad pun membebaskannya.
Pembebasan itu disambut oleh Abu Mihjan r.a. dengan berkata, “Sesungguhnya aku telah benar-benar meminum arak ketika aku dikenakan hukuman had dan aku telah dibersihkan daripadanya. Maka seandainya ia (arak) menggodaku lagi, demi Allah, aku tidak akan meminumnya selama-lamanya!”
Isnad sahih dan tidak putus. Semua perawinya tsiqah.
Banyak pengajaran yang dapat dikorek dari kisah yang sungguh menakjubkan ini. Ana percaya semua sahabat yang membacanya pasti teruja dan dapat mengambil ibrah daripadanya.
15011442/03092020
No comments:
Post a Comment