Wednesday, July 03, 2024

TANYA DIRI SENDIRI SEBELUM BERCERITA!

Diceritakan bahawa pada suatu hari, seorang lelaki bertemu dengan Socrates dan berkata dengan penuh semangat:

L : Adakah tuan tahu apa yang saya dengar tentang suatu cerita mengenai murid tuan?

S : Sebelum kamu sampaikan tentang carita yang kamu dengar itu aku mahu uji kamu dengan 3 soalan.

L : Kenapa mesti melalui ujian pula, tuan?

S : Ujian yang mesti dilalui oleh setiap orang sebelum dia bercakap. 

Ujian pertama adalah mengenai kebenaran. Adakah kamu benar-benar yakin bahawa apa yang akan kamu katakan itu benar?

L : Tidak. Saya tidak yakin. Saya hanya mendengar dari si fulan.

S : Bagus. Jika kamu tidak yakin sama ada perkara itu benar atau tidak, kita berpindah kepada ujian kedua. 

Ujian kedua adalah kebaikan. Adakah apa yang kamu akan sampaikan itu baik untukku?

L : Tidak. Bahkan sebaliknya.

S : Bagus. Kamu hendak sampaikan kepadaku berita yang tidak baik untukku meskipun kamu tidak yakin berita itu benar atau sebaliknya? Maka kita pergi kepada ujian terakhir.

Ujian ini adalah tentang faedah. Apakah perkara yang kamu akan sampaikan mendatangkan faedah kepadaku?

L : (Dengan tersipu-sipu) Tidak. Tiasa apa-apa faedah.

S : Justeru, jika apa yang hendak kamu sampaikan itu, kamu sendiri tidak yakin akan kebenarannya, ia tidak baik untukku dan tidak menghasilkan sebarang faedah, maka mengapa kamu mahu aku mendengarnya?


Sunday, June 30, 2024

DR MUHAMMAD MURSI DALAM KENANGAN

Bergenang air mataku membaca catatan Dr Tariq Suwaidan di bawah. 

Beliau berkata:

Seorang Akh warganegara Amerika keturunan Pakistan menghubungi saya untuk mendapatkan ijazah mengajar al-Quran.

Saya meminta beliau membaca beberapa ayat yang asas untuk mengetahui tahap kebolehannya menguasai pembacaan al-Quran.

Maka saya dapati bacannanya bagus, makhraj hurufnya tepat.

Saya bertanya: “Dari manakah anda belajar menghafaz al-Quran?”

Beliau menjawab: “Saya belajar dari ayah saya. Dan ayah saya belajar dari Dr Muhammad Mursi.”

Saya sangka, Dr Muhammad Mursi yang dia maksudkan ialah seorang imam yang berasal dari Mesir, yang menetap di Amerika. Tetapi bila saya bertanya lebih lanjut, beliau berkata: “Dr Muhammad Mursi (rahimahullah) mantan presiden Mesir, ketika al-marhum tinggal di Amerika suatu ketika dulu. Al-Marhum selalu menunaikan solat dengan ayah saya, dan beliau mengajar ayah saya bacaan dengan tajwid yang betul dan makhraj huruf yang tepat.”

Suatu pengiktirafan yang datang tanpa dirancang. Persaksian yang benar tentang seorang lelaki yang telah bersemadi di perut bumi. Justeru saya rasakan kisah ini merupakan satu amanah yang tidak harus saya sembunyikan.

Semoga Allah merahmatimu wahai saudaraku, Dr Muhammad Mursi.


Thursday, June 27, 2024

(عَسَىٰ )

“Saya sangat seronok membaca ayat ini: (عَسَىٰ رَبُّنَا أَن يُبْدِلَنَا خَيْرًا مِّنْهَا) (Boleh jadi Tuhan kita akan memberi kita sesuatu yang lebih baik daripadanya).
Allah SWT mengetahui bahawa saya telah menghayati banyak rahsia taqdir dalam hidup saya dan kehidupan orang-orang yang saya kenali. Maka berapa banyak dan betapa banyak kebaikan yang Allah tunjukkan melalui ungkapan ‘عَسَىٰ yang bermaksud boleh jadi, juga ayat “dan Allah mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui”.
Dengan ayat ini:
Terpadamnya api penyesalan atas satu peluang yang terlepas,
Tugasan yang tidak terlaksana
jawatan yang telah terlucut,
kekasih yang terputus di pertengahan jalan,
kawan yang disangka berhati mulia. tetapi rupanya serigala pengkhianat dan teman yang tidak boleh dipercayai.
Semoga Tuhan kita menggantikan kita dengan hari-hari yang lebih baik darpada hari-hari yang dipenuhi dengan kesengsaraan, keletihan, dan kesusahan sebelum ini.
Semoga Dia menyembuhkan hati yang telah hancur luluh dan memulihkan hati yang telah pecah berkecai.
Mudah-mudahan Tuhan kita akan menyembuhkan orang yang sakit dengan kesembuhan baik berkat kesabarannya dan akan menyejukkan hati dengan siraman air yang nyaman.
Semoga Tuhan kita menampal hati yang retak dan jiwa yang penat dengan keriangan dan kegembiraan.
Semoga hati yang pilu kerana berpisah dengan insan tersayang, dan mata yang tidak henti menangis menanggung nestapa diganti dengan nikmat bertemu semula dan manisnya berhimpun di syurga yang aman sejahtera.
Semoga orang yang mencari yang halal dan bersabar dalam meninggalkan yang haram akan mendapat pahala serta kenikmatan yang berlipat ganda.
Semoga kepahitan kesabaran yang ditanggung oleh jiwa di atas pengkhianatan dan hubungan yang meletihkan, diganti dengan ketenangan hati dan kelapangan dada di negeri yang tiada lagi penat dan lelah.
Moga-moga kita akan sama-sama membaca ayat ini di atas pelamin-pelamin di Syurga menghadap satu sama lain dengan penuh rasa bahagia. (عَسَىٰ) adalah satu perkataan yang membawa konotasi: harapan dan cita-cita, yang mengetuk pintu-pintu baik sangka terhadap Allah SWT, sentiasa bergantung kepdaNya dan terus terikat dan berhajat kepada pertulunganNya.

Kami merawat diri kami dengan (عَسَىٰ).
* Dr. Mohammed Maher

Sunday, June 09, 2024

SAMBUT RAYA HAJI 1445

 Dr Tariq Al-Suwaidan menulis tentang idea-idea praktikal bertajuk: #Our_Eid_With_Gaza

Kepada umat Islam di seluruh dunia dan dalam semua bahasa; Kami ingin menjadikan isu serta tema utama Hari Raya kita tahun ini adalah dukungan untuk Gaza, Palestin dan Masjid Al-Aqsa. Ini adalah bebrapa langkah praktikal yang kami harap semua umat Islam akan melaksanakannya untuk tujuan ini. Kami tidak membataskan cadangan setakat apa yang dikemukakan sahaja. Semua orang boleh menambah apa yang sesuai:

1- Pada peringkat haji:

•Hendaklah setiap Muslim menjadikan sebahagian besar daripada doanya untuk penduduk Gaza, dan jika dia boleh mengucapkannya dengan kuat, itu lebih baik, untuk mengingatkan orang lain tentang Gaza, Palestin, dan Al-Aqsa.

Sesiapa yang telah menunaikan fardhu haji dan mampu menampung kos haji sunat, maka salurkanlah kos itu untuk membantu Gaza.

• Khutbah Hari Arafat yang diadakan di khemah-khamah, hendaklah topik utamanya adalah mengenai Gaza, Palestin, dan Al-Aqsa, serta berdoa untuk mereka.

2- Pada peringkat ibadah korban:

• Hebdaklah ibadah korban kita untuk Gaza tahun ini. Carilah  pihak-pihak yang boleh dipercayai yang benar-benar menyampaikan korban kita kepada penduduk Gaza dan Palestin.

• Sesiapa yang mendapat rezeki dan ingin berkorban di negerinya, lakukanlah. Dan  korban kedua biarlah untuk Gaza.

3- Mengenai ucapan tahniah:

Hendaklah ucapan tahniah kita adalah: Semoga Allah menerimanya dari kami dan dari anda. Setiap tahun anda, Gaza, Palestin, Al-Aqsa, dan umat kita semua berada dalam kebaikan.

تقبل الله منا ومنكم وكل عام وأنتم وغـ.ـزة وفلـ.سطين والأقصى وأمتنا بخير.

4- Duit Raya:

Jika anda ingin memberi duit raya kepada kanak-kanak atau orang dewasa, beritahu dia sebagai contoh: sepuluh RM yang saya berikan ini, lima RM untuk dirimu, dan lima RM lagi adalah sedekahku dan kamu untuk Gaza. 

5- Dalam setiap kunjungan atau perjumpaan pada hari raya, biarlah perkara yang paling penting yang kita sebutkan adalah cara-cara untuk menyokong Gaza, dan mendoakan mereka.

6- Pakaian:

• Marilah kita sama-sama memakai keffiyeh atau selendang Palestin sebagai peringatan Gaza dan Palestin.

• Jika kita ingin membeli pakaian baru untuk anak-anak kita, biarlah kita menjadikan keffiyeh sebagai tema pakaian hari raya mereka.

7- Keraian tetamu pada hari raya:

Pada hari raya ini, sebaiknya kita berjimat cermat. Kalau boleh hadkan kepada kopi dan kurma Sahaja. Adapun kuih muih kita peruntukkan kosnya sebagai sumbangan kepada Gaza.

8- Posting:

• Semua posting di media sosial berkaitan dengan ucapan selamat hari raya hendaklah bertemakan perjuangan membela Palestin dan Gaza. 

• Edit gambar profil di semua laman media sosial untuk menyokong Gaza dan penduduknya.


Sunday, June 02, 2024

JADILAH PENDAMAI YANG MENYATUKAN

Ada dua orang adik beradik tinggal berjiran.

Masing-masing mempunyai rumah dan kebun sendiri.

Rumah dan kebun mereka dipisahkan oleh sebatang anak sungai.

Mereka menyayangi antara satu sama lain, hidup rukun dan damai sekian lama sehinggalah pada satu ketika berlaku perselisihan pendapat antara keduanya angkara isteri-isteri mereka.

Perselisihan antara keduanya semakin hari semakin parah sehingga membawa kepada putusnya silatul-rahim dan tidak bertegur sapa.

Pada suatu hari si abang hendak musafir selama sebulan. Sebelum berangkat, dia memanggil seorang kontraktor dan menyuruhnya membina tembok yang tinggi yang memisahkan antara kebunnya dengan kebun adiknya. Dia sangat benci dan tidak mahu  bertemu mata dengan adiknya.

Cukup sebulan, dia kembali dari permusafirannya. Dia membayangkan tembok yang dipesannya sudah siap.

Sesampai di rumah, alangkah terperanjatnya dia. Kontraktor tidak membina tembok. Sebaliknya dia membina jambatan merentasi anak sungai menghubungkan antara dua tebing.

Apabila menyedari abangnya telah kembali, si adik terus datang meniti jambatan yang dibina lantas memeluk abangnya seraya berkata: “Terima kasih abang. Alangkah besarnya jiwamu! Dalam keadaan kita bersengketa, engkau membina jambatan untuk merapatkan kembali hubungan kita!”


Monday, May 13, 2024

MUHASAB HARI LAHIR

13 Mei…
Semakin bertambah usia
Semakin membukit timbunan dosa
Semakin melebar waktu yang terabai sia-sia
Semakin singkat wakktu untuk bernafas di mayapada
Semakin hampir perjalanan ke alam baqa
Semakin susut daya tenaga sekelian anggota
Semakin tumpul daya fikir dan cernaan minda
Oh dunia…
Sudah-sudahlah engkau menggoda
Kilauanmu telah kian sirna
Kerlipanmu tidak lagi berbisa
Hakikatmu terserlah jelas nyata
Gamitanmu tidak membawa ke mana-mana
Janji-janimu hampa belaka
Semuanya berkecai didinding pusara
Aku kan pergi sebatang kara
Berbekal amalan yang sekelumit cuma
Moga diterima di sisi Yang Esa

Wednesday, May 08, 2024

HARGA DIRI

 Diberitakan bahawa pada suatu hari Menteri Perusahaan India melawat sebuah kilang. 

Beliau tertarik melihat seorang pekerja yang sedang menyusun paku pelbagai saiz dalam kotak mengikut saiznya sambil menyanyi riang. Di wajahnya terpancar riak-riak kegembiraan dan kebahagiaan yang ketara.

Menteri menghampirinya. Beliau hairan melihat betapa bahagianya pekerja itu, lalu bertanya:

- Apa yang kamu sedang lakukan?

- Saya sedang membina kapal terbang! (jawabnya dengan penuh yakin.)

- Membina kapal terbang? (jawapan itu benar-benar mengundang kehairanan yang tidak mampu disembunyikan)

- Ya, Tuan. Membina kapal terbang!. (jawabnya dengan tenang dan yakin). Syarikat ini menerima tempahan untuk membina kapal terbang. Kapal terbang yang tuan naiki untuk bermusafir ke sana sini. Ia tidak boleh terbang tanpa paku-paku yang kecil ini!

Demikianlah bagaimana seorang pekerja yang zahirnya sangat enteng kerjanya membongkar rahsia nilai dan harga diri di hadapan kita dan mendedahkan satu daripada sebab kebahagiaan kita!


Sangat jauh beza antara seseorang yang melihat dirinya sebagai pengumpul paku dengan seseorang yang melihat dirinya sebahagian daripada orang yang bertanggungjawab membina kapal terbang.

Sangat jauh beza antara seseorang yang tidak melihat pekerjaannya selain daripada untuk mendapat upah dengan seseorang yang melihat kerjanya memberikan kesan yang bermakna kepada sesuatu yang besar.


Engkau bukan hanya sekadar seorang tukang sapu. Sebaliknya engkau telah memberi sumbangan dalam mencantikkan bandar ini.

Engkau bukan hanya sekadar seorang tukang jahit. Sebaliknya engkau yang memberikan sentuhan yang menyerlahkan keanggunan pemakai pakaiannya itu.

Engkau bukan sekadar seorang khatib di atas mimbar masjid. Sebaliknya engkau membuka satu jalan yang luas untuk manusia menapak dengan jelas di jalan yang diredhai Tuhan semesta alam.

Engkau bukan sekadar seorang guru di sekolah rendah. Sebaliknya engkau adalah pembina dan pencorak generasi.

Engkau bukan sekadar seorang doctor yang merawat pesakit. Sebaliknya engkau adalah orang yang meringankan beban yang ditanggung oleh umat manusia

Engkau bukan sekadar seorang suri rumah. Sebaliknya engkau adalah pendidik yang pertama dan yang paling utama. Tidak ada di sana pekerjaan yang lebih penting daripada membina seorang manusia.

Kesimpulan dan pengajaran daripada cerita di atas ialah orang yang melihat pekerjaannya sekadar untuk mendapat upah atau gaji untuk menyara diri dan keluarga adalah seorang yang buta dan tidak dapat melihat.

Hakikat yang tidak harus dipadamkan dari hati kita ialah:

Pekerjaan adalah satu risalah. Pekerjaanlah yang menentukan nilai diri kita yang sebenarnya.

Nilai diri kita yang sebenar ialah bagaimana kita melihat diri kita, bukan yang dilihat oleh orang lain terhadap kita.

Tiada seorang pun yang mampu merendahkan nilai diri kita selagi mana kita tidak merasai diri kita rendah.

Dan tiada seorang pun yang mampu mengangkat nilai diri kita selagi mana kita tidak merasai diri kita bernialai.

Lihatlah! Betapa kita berhajat kepada suatu contoh seperti yang ditunjukkan oleh pekerja India yang bertaraf rendah itu.


Saturday, March 30, 2024

WARGA EMAS : Umur Panjang – keberkatan yang tersembunyi

.

Warga Emas: lebih perlu dimanjakan daripada anak-anak kita! Lebih perlu diambil hati, disayangi, dikasihani, tabah dan sabar melayani

Warga Emas: ada perkataan yang mungkin tidak melukakan hati mereka di kala mereka kuat, tetapi sekarang perkataan itu melukakan mereka. Ada perkataan yang mungkin suatu masa dahulu membuatkan mereka berkecil hati, tetapi sekarang mungkin boleh membuatkan mereka mati.

Warga Emas: mereka telah kehilangan ketangkasan “muda”, kesihatan fizikal, kecantikan rupa paras, ketinggian pangkat, kesibukan dunia dan keseronokannya.

Warga Emas: mereka telah kehilangan ayah dan ibu, kehilangan ramai daripada rakan dan taulan. Hati mereka terluka, jiwa mereka memendam rasa duka dan nestapa.

Warga Emas: mereka mungkin tidak biasa berkurung di rumah atau berlegar dalam batasan keluarga semata-mata.

Warga Emas: kadang-kadang mereka seperti tidur, tetapi mereka tidak lena. Mereka makan, tetapi tidak mengenyangkan. Mereka tertawa, tetapi mereka tidak gembira. Mereka menyembunyikan air mata di sebalik senyuman yang penuh rahsia.

Warga Emas: mereka sedih dengan sebab engkau jauh dari mereka, ketika engkau meninggalkan mereka, atau engkau sebuk dengan telefon waktu engkau berada di sisi mereka

Warga Emas: mereka perlukan orang yang mendengar percakapan mereka, mesra berbual dengan mereka dan menunjukkan rasa bahagia dengan kewujudan mereka.

Warga Emas: mereka perlu dijaga, dilayan dan dibelai lebih daripada kanak-kanak

Warga Emas: mereka ingin sentiasa melihat wajahmu yang ceria, mendengar kata-katamu yang manis, sentuhanmu yang mesra, dadamu yang lapang saat berdepan dengan mereka

Warga Emas: mereka mempunyai banyak masa lapang yang memerlukan akal yang bijak dan kasih sayang yang luas untuk memenuhkannya.

Warga Emas: mereka telah ditinggalkan kereta api yang menuju ke destinasi kelazatan hidup. Sekarang mereka berada di terminal menunggu untuk berlepas atau menunggu seseorang untuk membawa mereka pergi…

Warga Emas: mereka adalah orang yang dekat dengan Allah. Doa mereka lebih pantas diterima. Maka rebutlah peluang sebelum terlepas


Warga Emas: mereka adalah ayah, ibu, datuk, nenek dan lain-lain dari kalangan kaum kerabat yang rambut mereka telah putih dan perasaan mereka telah kering 

Warga Emas: berikanlah kepada mereka kesempatan untuk menikmati kehidupan, siangnya bahagia, malamnya bercahaya. Biarlah mereka menamatkan lembaran terakhir daripada buku kehidupan mereka penuh dengan kebajikan, dan kebahagiaan sehingga apabila mereka telah mengosongkan tempat mereka di muka bumi ini, engkau tidak termasuk dalam kalangan orang-orang yang menyesal. 

Warga Emas: sekarang ini mereka adalah orang-orang tua dan mereka pasti akan pergi. Sedikit masa lagi, engkau pula akan jadi orang tua. Maka perhatikanlah apa yang engkau buat dan apa yang engkau tanam!

Warga Emas: jadilah engkau sebagai pengganti apa yang telah hilang dari mereka. Jadilah engkau musim bunga di kala usia mereka di musim gugur. Jadilah engkau wira sejati yang mempertahankannya

Selam Sejahtera ke atas Warga Emas. Salam Sejahtera ke atas mereka yang menjaga dan menyantuni Warga Emas


Daripada buku : Kehidupan Yang Bermakna

https://www.facebook.com/KtabHyatLhaMn


MAHUKAH ANDA MENJADI MANUSIA YANG TERBAIK?

Kadang-kadang kita rasa nak jadi orang baik pun susah, apa lagi nak jadi yang terbaik? Lagilah susah. Namun ia bukanlah sesuatu yang mustahil.

Nabi SAW menyebut 11 golongan sebagai “Sebaik-baik Manusia”. Cuba perhatikan, mungkin anda termasuk dalam golongan tersebut atau salah satu daripadanya!?


1. Orang yang belajar dan mengajarkan Al Qura’n.

خيركم من تعلم القرآن وعلمه

“Sebaik-baik kamu adalah orang yang mempelajari Al Qur’an dan mengajarkannya.” (HR. Bukhari 5027 )

2. Orang yang paling baik akhlaknya. 

خياركم أحاسنكم أخلاقا

“Sebaik-baik kamu adalah orang yang paling baik akhlaknya.” (HR. Bukhari 6035)

3. Orang yang paling baik ketika membayar hutang. 

خيركم أحسنكم قضاء – أي عند رد القرض

“Sebaik-baik kamu adalah orang yang paling baik dalam membayar (mengembalikan hutang).” (HR. Bukhari 2305)

4. Orang yang paling diharapkan kebaikannya dan aman dari gangguannya. 

خيركم من يُرجى خيره ويُؤمٓن شره

“Sebaik- baik kamu adalah orang yang paling boleh diharapkan kebaikannya dan aman dari keburukannya.”  (HR. Tirmidzi 2263)

5. Orang yang paling baik kepada keluarganya. 

خيركم خيركم لأهله

“Sebaik-baik kamu adalah orang yang paling baik terhadap ahli keluarganya.” (HR. Ibnu Hibban : 4177)

6. Orang yang memberi makan pada orang lain dan menjawab salam. 

خيركم من أطعم الطعام وردَّ السلام

“Sebaik-baik kamu adalah orang yang memberi makan (kepada orang lain) dan menjawab salam.” (Shahih Al Jami’ 3318)

7. Orang yang meluangkan tempat dalam saf, memberi kesempatan pada yang lain untuk dapat berdiri dekatnya. 

خياركم ألينُكم مناكب في الصلاة – أي: يفسح لمن يدخل الصف في الصلاة

“Sebaik- baik kamu adalah orang yang paling lembut bahunya, iaitu melapangkan tempat bagi memberi ruang kepada orang lain masuk ke dalam saf dalam solat.”  (Targhib wa Tarhib 1/234)

8. Orang yang panjang usia dalam ketaatan. 

خير الناس من طال عمره وحسن عمله

“Sebaik-baik manusia adalah orang yang panjang umurnya dan baik amal perbuatannya.” (Shahih al Jami’ 3297)

9. Orang yang paling bermanfaat kepada yang lain. 

خير الناس أنفعهم للناس

“Sebaik- baik manusia adalah orang yang paling bermanfaat kepada orang lain.” (Shahih al Jami’ 3289)

10. Orang yang paling baik pada sahabat dan tetangganya. 

خير الأصحاب عند الله خيركم لصاحبه، وخير الجيران عند الله خيركم لجاره

“Sebaik-baik sahabat di sisi Allah adalah orang yang paling baik terhadap sahabatnya. Sebaik- baik tetangga di sisi Allah adalah orang yang paling baik terhadap tetangganya.”  (Shahih Adabul Mufrod : 84)

11. Orang yang bersih hatinya dan bertakwa. 


- خيرُ الناسِ ذُو القلبِ المخمُومِ واللسانِ الصَّادِقِ ، قِيلَ : ما القلبُ المخمُومِ ؟ قال : هو التَّقِيُّ النَّقِيُّ الذي لا إِثْمَ فيه ولا بَغْيَ ولا حَسَدَ 

“Sebaik- baik manusia adalah orang yang memiliki hati yang makhmum dan lisan yang jujur.”

Para sahabat bertanya : Lisan yang jujur kami faham, maka apa maksud hati yang makhmum?

Baginda bersabda : “orang yang memiliki hati bersih dan bertakwa, tidak ada dosa, tidak berbuat zalim, serta tidak ada kebencian dan hasad.”(Shahih al Jami’ 3201)

Daripada hadis-hadis di atas, jelas menunjukkan betapa syumulnya ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. 

Kebaikan seseorang tidak hanya dinilai pada ibadah khusus semata-mata seperti solat yang banyak, puasa sepanjang masa, baca al-Quran berkali-kali khatam. Sebaliknya yang menjadi ukuran adalah kesan daripada ibadah itu dalam kehidupan serta cara berinteraksi dengan manusia dan sekelian makhlukNya.


Friday, March 29, 2024

SURAT UNTUK ANAKKU

 Mesej indah yang perlu dibaca ✌️


Abdul Hadi Raji Al-Majali

Kepada anakku,

anakku sayang:

Aku tahu bahawa setiap malam, aku datang ke bilikmu supaya engkau boleh memberitahuku berita terkini tentang Gaza yang aku terlepas... Dan aku tahu bahawa aku sangat meletihkanmu, dengan perbualan tentang sejarah Gaza, isu perang dan bom. Aku tahu!

Engkau tahu kenapa? Kerana aku mahu engkau menjadi seperti mereka dan bukan seperti aku! ... Aku hanya produk birokrat, pena yang terbuang, dan identiti yang hilang. Maka jangan sekali-kali jadi seperti aku. 

Ketahuilah wahai  anakku, bahawa perkara ini tidak boleh diukur dengan masa sekarang. Apa yang berlaku di Gaza akan mempunyai pengiraan masa depan yang serius. Ia adalah satu-satunya sekeping tanah di bumi ini yang tidak berlutut, sujud kepada pihak lain. Jerman berlutut dan menyerah dalam Perang Dunia II. Jepun, dengan kehebatan perindustrian dan ketenteraan selepas bom nuklear kedua, melutut dan menandatangani perjanjian penyerahan. Itali fasis pun turut melutut.

Adakah engkau menyaksikan Gaza menandatangani penyerahan itu? Ini adalah pelajaran pertama yang aku ingin engkau ketahui, iaitu apabila penduduk di sana mengakhiri kenyataan mereka dengan kalimat: (Dan ia adalah jihad kemenangan atau syahid), mereka membumikan apa yang mereka ucapkan di atas dunia yang nyata. Gaza adalah satu-satunya empayar di dunia ini yang rumahnya musnah, penduduknya diusir, namun ia tidak menandatangani sebarang penyerahan. Belajarlah wahai anakku daripada mereka untuk tidak menandatangani penyerahan di masa depan. Menandatangani penyerahan tidak sekadar pen atau kertas atau menerima syarat musuh. Menandatangani bermaksud keruntuhan nilai, hilang keyakinan, dan lenyapnya identiti.

Perkara lain yang harus engkau pelajari daripada pelajaran ini ialah kebiasaannya peperangan meletus antara beberapa negara. Dan kadangkala antara negara-negara yang berdiri di atas satu paksi dengan negara lain yang membentuk pakatan yang bertentangan. Tetapi peperangan ini adalah yang pertama dalam sejarah umat manusia, di mana kuasa besar menentang sebuah bandar. Adakah engkau tahu bahawa Gaza lebih kecil daripada Paris?!!! Tahukah engkau wahai anakku bahawa kawasannya juga lebih kecil daripada Tokyo?!!! Jauh lebih kecil daripada Kaherah?!!! Bayangkan seluruh dunia sedang berperang dengan sebuah bandar. Apa yang peliknya ialah bandar ini... yang secara kiasan mereka panggil (Jalur)... setakat ini telah mempersembahkan hampir (33) ribu syahid, namun masih melawan!... Pastinya selepas lima puluh tahun anakku, kamu akan tua... dan aku akan berada di bawah tanah Karak (sebuah kawasan di Jordan).  Namun  engkau akan membaca pelajaran dalam sejarah yang mencatakan bahawa sebuah bandar menewaskan beberapa negara. Dan  orang Arab di Palestin adalah orang yang mengubah perjalanan perang dalam sejarah. Engkau juga akan membaca bahawa sebuah bandar pada peta yang kelihatan sebesar bulu mata atau lebih kecil dapat menghasilkan beberapa pelajaran dalam bidang ilmu kemasyarakatan atau sosiologi, pelajaran yang meleburkan semua teori Freud dalam psikologi, dan menghasilkan "teori Ghazian" dalam perang, mengatasi teori relativiti Einstein...dan yang paling penting, ia memindahkan perang dari atas bumi ke bawah. Dan  engkau akan belajar anakku, untuk mendengar kembali kata-kata Tariq bin Ziyad ketika beliau berkata: “laut di belakangmu dan musuh di hadapanmu”  Engkau akan mendapati bahawa Gaza telah dikelilingi oleh musuh dari semua penjuru, sehingga laut wahai anakku. Laut berperang dengan penghuninya dan berperang dengan pantainya. Laut enggan menghukurkan ikan dan garamnya. Sesungguhnya musuh merekrut laut supaya melawat bandar itu (Gaza). Dunia apakah ini?

Kamu juga mesti tahu anakku, suatu perkara yang sangat penting, iaitu: Apabila mereka memberitahu kamu bahawa Hamas yang memerangi. Jangan percaya kepada mereka. Apabila mereka memberitahu kamu bahawa puak-puak mujahidin yang memerangi. Jangan percaya kepada mereka. Dan apabila mereka berkata bahawa mereka menghadkan pertempuran kepada puak bersenjata tertentu, jangan percaya kepada mereka kerana yang diperangi adalah Palestin, dan peluru yang dilepaskan tidak membezakan antara mana-mana kumpulan, malah tidak membezakan antara askar dan orang awam.. Israel sedang memerangi Palestin tanpa mengira ideologi dan asal usulnya, dan perang ini adalah peperangan identiti yang paling penting dalam sejarah.. 

Apabila engkau membaca (Amin Maalouf) "Identiti Maut" engkau akan tahu apa yang aku maksudkan.. Orang Palestin mempunyai geografi, warisan, budaya, agama,  dan tanah. 

Orang Palestin adalah satu-satunya di dunia ini yang sempurna identitinya. Manakala musuhnya berpecah-pecah dari segi Bahasa ibunda dan asal usul mereka. 

Musuh, wahai anakku, kalau benar mereka percaya bahawa Israel sebagai identiti asal mereka yang berakar umbi sejak asal, tentu mereka tidak akan membawa pasport kewarganegaraan yang lain. Jika mereka benar percaya bahawa negera dan tanah itu milik mereka, mereka tidak akan melakukan jenayah. Sekurang-kurangnya identiti sesuatu bangsa asasnya adalah akhlak. 

Istilah akhlak hanyalah bahan lucu yang mereka gembar-gemburkan bahawa mereka adalah bangsa terpilih, umat terbaik. Sedangkan bangsa lain tidak berguna, sampah yang membebankan. Itulah ciri-ciri kumpulan pelampau yang datang sebagai penjajah.

Selepas (lima puluh) tahun, kamu akan mendapati, wahai anakku, bahawa perjalanan sejarah telah berubah, sebuah bandar mengalahkan negara-negara besar. Engkau akan dapati bahawa semua ilmu yang berkaitan dengan kemanusiaan akan berubah haluannya. Engkau akan membaca semula biografi dan tingkah laku penduduk Gaza. Engkau  juga akan dapati, anakku, bahawa perkara yang paling penting yang telah dicacat oleh sejarah kepada kita adalah satu ayat sahaja, iaitu satu ayat yang menyimpulkan keseluruhan cerita dari awal hingga akhir: (Sesungguhnya ini adalah jihad kemenangan atau syahid).


Thursday, March 28, 2024

BIRRUL-WALIDAIN (BERBAKTI KEPADA KEDUA IBU BAPA)


Jangan engkau membantah ibumu hatta sekiranya engkau benar!

Birr bukan sekadar satu kucupan di kepala ibumu atau ayahmu atau di tangan kedua-duanya atau di tapak kaki mereka! 

Dengan cara itu, engkau menyangka bahawa engkau telah mencapai kemuncak keredhaan mereka.


Justeru, apakah sebenarnya Birr itu?

1. Birr ialah engkau dapat menghidu apa yang terselit dalam hati ibu dan ayahmu, kemudian engkau laksanakannya tanpa menunggu mereka menyuruhnya.

2. Birr ialah engkau mengetahui apa yang membahagiakan keduanya. Lalu engkau segera lakukan. Engkau memahami apa yang menyakitkan mereka. Lalu engkau berusaha supaya mereka tidak akan menemui engkau lakukannya selama-lamanya.

3. Birr ialah kadang-kadang engkau rasa ada sesuatu yang diingini oleh mereka, lalu engkau segera menghadirkannya walaupun hanya secawan teh.

4. Birr ialah engkau sangat mengambil berat tentang kerehatan mereka walaupun terpaksa mengketepikan kesenanganmu. Sekiranya engkau berjaga malam itu menjadikan mereka susah hati, maka engkau tidur awal itu adalah Birr

5. Birr ialah engkau curahkan ke atas ibumu daripada hartamu walaupun beliau memiliki berjuta-juta, tanpa engkau fikirkan apa yang ada dalam miliknya, tanpa engkau fikirkan sama ada beliau berhajat atau tidak. Sesungguhnya apa yang engkau telah capai sekarang semuanya hasil jerit perihnya, berjaga malamnya, kepenatannya yang telah dialaminya sepanjang menjagamu

6. Birr ialah engkau memastikan kerehatannya. Jangan biarkan dia bersusah payah untuk kesenanganmu. Cukuplah kesusahan yang telah dicurahkan sejak dia melahirkanmu sehingga engkau mencapai usia sekarang

7. Birr ialah engkau sentiasa membuatkan dia tertawa. Jangan anggap membawanya ke pesta besar itu jalan membawamu ke syurga. Jangan bataskan Birr itu hanya pada ciuman, pada hal ia diikuti dengan kecuaian yang bukan sedikit.


Birr kepada ibu ayah bukan tugasan yang boleh dibuat giliran antaramu dengan adik beradikmu. Sebaliknya ia merupakan perlumbaan dan perebutan di pintu syurga andainya mereka masih hidup atau telah mati.

Semoga Allah rahmati mereka yang telah pergi meninggalkan kita. Semoga Allah berkati umur mereka yang masih hidup bersama kita. Ia merupakan peluang keemasan untuk menggapai Birr, Keredhaan dan Syurga.

#السبورة


Monday, March 04, 2024

KISAH INDAH PENUH IBRAH


Ada seorang lelaki miskin berasal dari kampung datang ke Baghdad untuk menuntut ilmu. Beliau menyewa sebuah bilik sebagai tempat tinggalnya.

Setiap hari, selepas solat Subuh beliau keluar berkerja. Selepas Zohor beliau pergi ke majlis pengajian untuk menimba ilmu. 

Upah yang beliau dapat, dibahagi tiga. Satu pertiga untuk dihantar kepada ayahnya, satu pertiga untuk bayar sewa bilik dan satu pertiga untuk perbelanjaan dirinya.

Oleh kerana pekerjaan dan pendapatannya tidak tetap, beliau tidak dapat membayar sewa biliknya sebagaimana yang ditetapkan.

Sudah tiga bulan beliau terhutang dengan pemilik bilik yang disewa.

Pemilik memberi amaran kepadanya supaya menjelaskan sewa yang tertunggak dalam masa tiga hari. Jika tidak, dia akan memenjarakannya kerana katanya, aku tidak membina rumah ini untuk diwaqafkan kepada orang faqir.


Si miskin yang malang itupun keluar dari biliknya untuk mencari pekerjaan. Hari pertama, beliau gagal, hari kedua beliau pergi ke pejabat percukaian memohon pekerjaan di situ, pun gaga jugal. Hari ketiga beliau meneruskan pencarian. Hari terakhir untuknya melunaskan sewa yang telah tertunggak tiga bulan. Jika beliau gagal juga, maka tiada pilihan baginya kecuali meringkuk dalam penjara.

Beliau berjalan ke serata pelusuk bandar Baghdad sehingga sampai ke pinggir bandar. Beliau ternampak sebuah rumah usang yang terlalu uzur. Beliau terfikir untuk singgah dan berihat di situ. 

Apabila tangannya menyentuh pintu, ia terus terbuka. Terdapat seorang tua yang terlalu uzur sedang terbaring di atas katil. Orang tua itu memanggilnya:

“Masuklah wahai anakku. Sesungguhnya tiada siapa yang mendorongmu sampai ke sini kecuali Allah. Sesungguhnya aku sedang berada di ambang maut. Aku teringin untuk makan buah anggur sebelum aku menutup mata.”

Beliau berkata: “Baiklah pakcik. Tenangkan hati. Demi Allah, pakcik akan dapat memakannya hari ini!”

Lelaki miskin itu menyambung ceritanya:

Aku terus pergi ke pasar dan bertemu kedai yang menjual anggur.  Aku mengambil setangkai anggur dan bertanya kepada penjualnya berapakah harganya? Beliau menjawab, satu dirham. Aku berkata kepadanya, ambillah bajuku ini sebagai cagaran. Apabila aku mempunyai wang, aku akan datang membayar harga anggur ini.”


Aku berlari membawa anggur untuk diberikan kepada orang tua itu sebelum dia meninggal dunia.

Aku berikan anggur itu kepadanya padahal aku juga tersangat lapar dan mengingini anggur tesebut.

Selepas dia memakan anggur, dia berkata kepadaku:

“Anakku, pergi ke sudut bilik ini dan gali. Kamu akan menemui sesuatu.”

Aku lakukan apa yang diarahkan. Aku menemui satu tempayan yang penuh dengan harta dan emas. Aku serahkan kepadanya. Dia menuang semua isinya di atas kainku. Kemudian dia berkata: “semua ini untukmu.

Harta ini ada kisahnya wahai anakku. Aku dan saudaraku dulu ahli perniagaan yang besar. Kami pergi berniaga sehingga ke India dan Pakistan. Kami berniaga sutera dan bulu.

Kami takut harta-harta kami dirampas oleh pencuri, perompak dan penyamun. 

Pada suatu hari kami berhenti di suatu tempat persinggahan. Aku berkata kepada saudaraku, tempat ini sering diganggu oleh perompak. Aku bimbangkan keselamatan hartaku dan hartamu. Berikan aku hartamu supaya aku simpan bersama hartaku di tempat yang selamat. Apabila keadaan telah aman, aku serahkan Kembali hartamu dan kita teruskan perjalanan kita.


Sebelum sempat kami tidur, tempat itu diserang oleh sekumpulan perompak yang ganas. Mereka membunuh dan merampas harta benda para peniaga yang singgah di situ.

Aku tidak sedarkan diri sehingga siang hari berikutnya. Aku mencari saudaraku. Namun tidak menemuinya baik dalam kalangan mereka yang hidup atau yang mati. Aku meneruskan perjalanan seorang diri sehingga tiba di Baghdad. Aku membina rumah ini dan menyembunyikan harta ini yang merupakan milik saudaraku sejak 20 tahun yang lalu. Jika aku mati, maka harta ini halal bagimu.”

Selepas menamatkan ceritanya, dia mengucap dua kalimah syahadah dan menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Aku sembunyikan harta-harta itu dan keluar mencari orang yang boleh membantuku menguruskan jenazah lelaki tua ini. 

Setelah selesai urusan pengkebumiannya, aku mengambil semua harta-harta tadi. Sekarang dari seorang yang papa kedana aku menjadi orang yang kaya raya di Baghdad. 

Aku meninggalkan rumah usang itu. 

Mula-mula aku pergi ke kedai penjual anggur. Aku membayar harga anggur satu dirham dan mengambil baju yang aku cagarkan. 

Kemudian aku merancang untuk menaiki sampan menyeberangi Sungai Dajlah. Aku mendapati banyak sampan-sampan yang besar. Di Tengah-tengah sampan yang besar itu aku terpandang sebuah sampan yang pemiliknya kelihatan sangat miskin. Aku menaiki sampannya. Aku sangat sedih dan bersimpati melihat keadaannya. Terlintas dalam hatiku untuk memberikannya harta yang ada padaku. Tiba-tiba dia menangis dan mula bercerita:

“Demi Allah, dulu aku bukanlah seorang yang faqir. Aku seorang peniaga sutera dan bulu sehingga ke India dan Pakistan. Tetapi saudaraku telah berpakat dengan perompak untuk membunuhku dan merampas hartaku. Namun Allah Ta’al telah menyelamatkan nyawaku dan menyampaikan aku ke Baghdad tanpa sebarang harta bersamaku.”

Lelaki itu berkata:

“Mendengar ceritanya, terasa dunia ini menjadi hitam dan gelap di mataku sekali lagi.

Sesungguhnya aku telah menjadi perantaraan yang membawa pulang harta kepada tuannya. Saat itu syaitan membisikkan dalam hatiku, berilah sebahagian atau separuh daripada hartanya.

Aku berkata: aku berlindung dengan Allah dari syaitan yang terkutuk.

Aku menghulurkan semua harta yang ada padaku kepada pemilik sampan seraya berkata, ini hartamu.

Dia tidak percaya sehinggalah aku ceritakan apa yang telah berlaku. Dan aku baru saja mengkebumikan saudaranya lebih kurang satu jam yang lalu. Maka diapun mengambil harta itu sambil menangis dan memohon ampun kepada Allah kerana telah bersangka buruk pada saudaranya. Dia hendak memberikan sedikit daripada hartanya kepadaku, tetapi aku menolak. Aku hanya meminta dia halalkan satu dirham yang aku telah gunakan untuk membayar harga anggur.


Aku Kembali ke Baghdad sekali lagi dalam keadaan faqir tidak punya apa-apa sebagaimana hari aku keluar darinya.

Ketika aku sedang berjalan tanpa halatuju, tiba-tiba seorang askar yang bertugas di jabatan percuakaian memanggilku. Dia berkata, kami sedang mencarimu.

Hatiku berkata, pasti mereka akan memenjarakanku kerana tidak membayar sewa bilik.

Askar itu menjelaskan, kerani yang bertugas di jabatan telah meninggal dunia semalam. Justeru, kami mencarimu untuk menggantikan tempatnya.

Aku dibawa ke pejabat dan mereka membayar gaji pendahuluan kepadaku satu bulan. Aku terus pergi berjumpa tuan rumah dan membayar sewa bilik yang tertunggak.


Itulah kisah seorang yang alim, faqih dan menteri Ibn Hubairah yang lahir pada tahun 499 hijrah dan wafat pada tahun 650 hijrah.

Ibn Jauzi berkata, orang yang keluar mengiringi jenazahnya tidak pernah terlihat seramai itu pada zamannya ...


Monday, January 08, 2024

GAZA

Facebook telah menutup akaun aktivis Abdel Hadi Raji Al-Majali kerana artikelnya bertajuk "Gaza"

Salam sejahtera buatnya dan kita sebarkan artikelnya seluas-luasnya. 

Berikut adalah terjemahannya:


Di Gaza tiada minyak... Rakyatnya  tidak menaiki SUV atau Land Cruiser, tetapi ia mempunyai bekalan lada pedas yang strategik... dan ternyata lada pedas mampu memenangi peperangan sehingga gas dan minyak ditewaskan dan emas dikalahkan .


Di Gaza Juga tiada bangunan pencakar langit. Ismail Haniyeh tidak mempunyai jet jumbo peribadi untuk rekreasi di Monte Carlo... Abu Ubaidah, komander Briged Izz al-Din al-Qassam, isterinya tidak membeli-belah di London dari Louis Vuitton, tetapi dia memiliki kain selendang yang dia bentangkan di atas bumbung untuk mengeringkan daun mulukhiya  dan lada merah. Mungkin hadiah paling berharga yang dia perolehi ialah Abu Ubaidah membawanya suatu hari untuk membaca Al -Fatihah di atas kubur Ahmed Yassin. Dan cita-citanya yang paling mahal ialah agar suaminya kembali dalam keadaan masih bernyawa tanpa cedera dan dapat memeluk anak-anak mereka.


Di Gaza, tidak ada ladang persendirian untuk golongan elit. Jika salah seorang daripada mereka jatuh sakit, tidak ada cara untuk menghantarnya ke London untuk mendapatkan rawatan. Satu-satunya rawatan adalah di hospital Gaza, sama seperti yang lain. Tidak ada pusat membeli-belah yang mengandungi jenama mewah seperti Massimo Dutti atau Vangels. Terdapat banyak kedai yang menjual jubah dan kasut buatan tempatan. Tiada  tali leher Jenama Hermez... Mungkin kemewahan terbesar yang dipakai oleh seorang warga Gaza ialah jubah yang diseludup dari Mesir melalui laluan rahsia yang kemudiannya telah dirobohkan. ..


Di Gaza, tiada kursus untuk ahli Briged Qassam diadakan di kolej tentera British. Komander roket serta pelancarnya tidak pergi ke Kolej Perang Nevada untuk lulus kepimpinan batalion dan program peperangan elektronik. Mereka sejak awal lagi telah memiliki kuliah perang yang paling utama dan pemimpin dunia, iaitu masjid. Dan mereka memiliki strategi ketenteraan yang ampuh untuk menang, iaitu briged-briged Ahmed Yassin. 


Di Gaza, tidak ada orang yang turun ke pantai untuk memancing dan bermewah-mewah. Tidak ada kapal layar untuk golongan elit yang boleh dinaiki oleh kakitangan kerajaan. Bayangkan Ismail Haniyeh menaiki kapal layar dan memancing? ...Sebenarnya, gaya hidup mewah terbesar yang diamalkan oleh Ismail Haniyeh di Gaza ialah dia memakai jubah yang diseterika, menaiki mimbar dan menyampaikan khutbah. Dengan memakai jubah yang diseterika ini mungkin akan dirakam sebagai pelaksanaan tanggungjawab dalam gaya paling mewah. Sementara  pemimpin-pemimpin  Arab yang lain menyeterika seluruh rakyat mereka demi kemewahan sendiri.

Yang anehnya di Gaza: kemiskinan, kesengsaraan, dan kesempitan hidup semuanya berkumpul di dalamnya. Namun ia menghasilkan kemenangan paling besar, dan maruah paling unggul dalam sejarah bangsa Arab.

Dan yang  lebih menakjubkan ialah mereka yang di dalam tangannya memiliki semua kekayaan dunia yang teridiri dari emas, saham-saham syarikat dan hotel di Barat, tidak menghasilkan apa-apa selain kekalahan.

Adakah Gaza dianggap sebuah misteri dalam sejarah Arab, atau adakah semua Arab hanyalah milik Gaza sahaja?.. 

Saya tidak tahu.

🇵🇸🇵🇸🇵🇸🇵🇸🇵🇸🇵🇸


https://t.me/drwasfy


Sunday, January 07, 2024

Terima kasih, Gaza!


1. Terima kasih, Gaza. Daripadamu, kami mengetahui bahawa tentera sebenar adalah yang lulus dari Surah Al-Anfal dan dari halaqah hafazan Al-Quran, bukan dari kolej tentera! Kami melihat tenteramu tanpa sut elegan, tiada bintang di bahu mereka, dan tiada pingat di dada mereka, tetapi mereka adalah jeneral!

2. Terima kasih, Gaza. Daripadamu, kami belajar bahawa sesiapa yang ada kemahuan, dia boleh lakukan, dan perkara itu tidak berkaitan dengan kemampuan, tetapi lebih kepada kehendak. Setiap kali kehendak itu wujud, mukjizat akan berlaku, dan sesungguhnya demi Allah, kamu adalah mukjizat masa kini!

3. Terima kasih, Gaza. Daripadamu kami telah belajar untuk tidak tertipu selepas hari ini dengan slogan hak kanak-kanak. Sesungguhnya  mereka bertepuk tangan melihat anak-anakmu dibunuh. Mereka tidak pernah mengangkat hak-hak wanita dalam rumah kami. Sesungguhnya mereka hanya membisu  di kala kaum wanitamu dibunuh. Semua slogan ini hanyalah topeng untuk merekan memusnahkan keluarga kita yang merupakan benteng yang terakhir.

4. Terima kasih, Gaza. Daripadamu, kami belajar bahawa racun boleh dimasukkan ke dalam madu. Mereka yang menghina Nabi kita dengan alasan kebebasan bersuara, menyekat akaun kami dan memadam posting kami apabila kami menyatakan pendapat kami semasa kami mempertahankanmu! Dan mereka yang menyeru kepada agama yang tunggal, berperikemanusiaan, simpati dan belas kasihan, apabila mereka melihat kamu disembelih, mereka menanggalkan sifat kemanusiaan mereka dan membuat alasan perlunya membunuh kamu atas arahan Talmud dan Injil yang diselewengkan! Lantas kami kini menjerit di hadapan mereka dengan suara yang paling kuat: bagi kamu agama kamu dan bagiku  agamaku!.

5. Terima kasih, Gaza. Daripadamu, kami belajar bahawa dunia ini adalah hutan, dan hanya yang kuat dihormati di dalamnya. Majlis Keselamatan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, dan Piagam Hak Asasi Manusia tidak dapat menghalang mereka dari menceroboh rumah-rumahmu. Yang dapat menghalang mereka hanyalah Peluru berpandu Al-Yassin!

6. Terima kasih, Gaza. Daripadamu, kami mengetahui bahawa di dalam dada wira-wiramu ada singa yang sedang berehat. Apabila keadaan memerlukan, mereka bangkit mempersembahkan kepada kami keunggulan para Sahabat.. Maka terima kasih kepada Saad  pembaling panah, yang cemerlang dalam meluncurkan panahnya. Dan demi sesungguhnya  terima kasih kepada pasukan elit atas apa yang kami lihat tentang keberanian mereka. Demi Allah, keberanian mereka mengingatkan kami  kepada hari Uhud, di kala Rasulullah SAW. bersabda: Siapakah orang yang akan menjual dirinya kepada kami? Lantas  Ziyad bin Al-Sakan bangkit dengan tangkas dan menjualnya!

7. Terima kasih, Gaza. Darimu, kami belajar bahawa kesusahan adalah tarbiah, dan hari-hari yang sukar itu menggilapkan. Anak-anakmu menjadi dewasa sebelum masanya. Kami mendengar daripada mereka ucapan bagai lelaki dewasa, dan wanita-wanitamu adalah Khansa’-Khansa’ yang menyerupai Sahabiat dari segi kesabaran, pengorbanan, dan penyerahan diri kepada Allah. Para lelakimu adalah gunung-ganang yang teguh. Maka, siapakah yang mampu meruntuhkan gunung-ganang!

8. Terima kasih, Gaza. Daripadamu kami mengetahui bahawa apabila mujahidin berjuang untuk rakyat, maka rakyat pasti tetap bersama mereka. Anak-anakmu dibunuh, maka keluarga mereka bersabar dan berkata: untuk perjuangan itu ada pengorbanan! Rumah-rumah mereka telah dirobohkan, lalu mereka berkata: untuk kemuliaan ada harga yang mahal! Mereka diperlakukan dengan pelbagai cara supaya mereka lari meninggalkan mujahidin. Namun mereka tetap teguh bersama mujahidin baik waktu perang sebagaimana waktu aman. Mereka  meletakkan mujahidin sebagai mahkota di atas kepala mereka. Dan sememangnya itulah kepala-kepala yang layak dicium!

9. Terima kasih, Gaza. Daripadamu kami belajar bahawa bangsa ini hidup dengan darah. Kami sedang melihat berjuta-juta mereka yang malang ini datang dan pergi, tetapi ada roh yang hilang dari mereka, kemudian datang darahmu lalu meniupkan roh ke dalam diri mereka! Di belakangmu adalah bangsa yang sedang mendidih, dan pahlawan yang sedang tertambat yang masanya telah tiba untuk mereka bangkit beraksi!

10. Terima kasih, Gaza. Daripadamu kami belajar bahawa krisis yang berlaku melondehkan topeng dan mendedahkan wajah yang sebenarnya. Berapa banyak bahu yang kami fikir sesuai untuk bersandar, namun sebenarnya ia rapuh! Berapa ramai orang yang berani berkata-kata menjadi pengecut tanpa mengambil sebarang tindakan! Berapa ramai ulama yang kita anggap rabbani, tetapi mereka boleh dijual dan dibeli!

Kamu mengira ini adalah pertempuran, tetapi Allah menghendakinya sebagai pembongkar kebenaran dan pembersih barisan pejuang. Justeru, sekarang ia hanyalah satu episode.  Ramai yang gugur dan tercicir. Ini tentunya lebih baik daripada kalau mereka berada bersama kita apabila tiba masa pertempuran yang sebenar, yang menentukan kemenangan!


Adham Sharqawi / Blog Arab


Saturday, December 30, 2023

Hikmah Allah Terpampang Dengan Jelas Dalam Peperangan Di Ghazzah


Allah SWT suka hambaNya memerhati kesan-kesan af’al (perbuatan)Nya pada setiap peristiwa yang mereka alami dan mereka saksi. Dia tidak suka sekiranya mereka melintasi apa jua keadaan dengan pandangan yang jumud, otak yang beku seolah-olah apa yang terjadi hanyalah hasil perbuatan manusia semata-mata.

Sesiapa yang memerhati peristiwa yang berlaku di Ghazzah sejak hari pertama sehingga ke hari ini, dia akan lihat ayat-ayat (tanda-tanda kebesaran) Allah, manifestasi nama-namaNya, sifat-sifatNya dan hikmahNya yang terlalu banyak. Antaranya:


1. Kita saksikan betapa teguhnya semangat dan pendirian orang-orang yang beriman, betapa kuatnya hati dan jiwa mereka dalam menghadapi musuh-musuh mereka, betapa sabarnya mereka, dengan semangat yang kental bak besi waja terus mara menghentam musuh sehingga para pemerhati yakin bahawa di sebalik keberanian dan keteguhan itu ada iman yang sangat hebat, ada pertolongan dari Yang Maha Kuat serta keupayaan yang mengatasi kemampuan manusia biasa. Sesungguhnya inilah terjemahan yang sebenar kepada firman Allah yang bermaksud: “(Ingatlah) ketika Tuhanmu wahyukan kepada malaikat: "Sesungguhnya Aku menyertai kamu (memberi pertolongan), maka tetapkanlah (hati) orang-orang yang beriman.” (Al-Anfaal 8:12) 


2. Kita saksikan betapa sengitnya serangan musuh-musuh Allah ke atas hamba-hambaNya yang beriman, betapa ganasnya mereka membunuh dan menyiksa golongan yang lemah sehingga engkau boleh melihat dengan jelas perbezaan antara pengikut syaitan dengan pengikut Tuhan. Perbezaan yang amat nyata ini menjadi hujjah untuk Allah memahamkan makhlukNya supaya mereka faham sejauh mana kejahatan yang mampu dicapai oleh manusia sekiranya mereka tidak berpaut kepada Allah Yang Maha Penyayang dan sejauh mana ketinggian yang mampu didaki sekiranya mereka mengikuti petunjuk Ilahi. Sesungguhnya perbezaan yang amat ketara ini merupakan satu bukti yang amat besar. “iaitu supaya orang (kafir musyrik) yang binasa itu, binasa dengan keterangan (yang membuktikan kesalahannya), dan supaya orang (Islam) yang hidup itu, hidup dengan keterangan (yang membuktikan kebenarannya); kerana sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Al-Anfaal 8:42) 


3. Kita saksikan betapa ramainya orang-orang kafir yang datang mencari Islam. Mereka memilih untuk menganutinya dengan sukarela kerana didorong oleh perasaan cinta kepada Islam. Puncanya ialah kerana mereka melihat bukti yang nyata, perbezaan yang ketara dan terpampang di hadapan mata kesan iman pada diri pemiliknya. Betapa orang yang memiliki iman itu sangat kental berhadapan dengan musibah yang amat besar. Sedang pada masa yang sama mereka melihat pengikut-pengikut syaitan mencanggahi slogan mereka sendiri, mereka telah terkeluar dari sifat kemanusiaan yang ada dalam diri mereka, mereka menjadi alat untuk membunuh tanpa matlamat. Tidak akan berlaku bilangan manusia yang begini ramai memeluk Islam dalam waktu yang singkat sebagaimana berlaku sekarang kecuali dengan takdir Allah dan hikmahNya. “kerana Allah hendak memasukkan sesiapa yang dikehendakiNya ke dalam rahmatNya.” (Al-Fat-h 48:25) 



4. Kita saksikan ramainya kaum muslimin yang selama ini berada dalam kelalain tersedar dari kelalaian mereka. Muslimin yang telah sekian lama berada dalam keadaan lena sehingga para pentazkirah dan pemberi nasihat telah menempuhi jalan buntu untuk menyedarkan mereka. Segala nasihat, peringatan, hujjah serta dalil yang terang tidak mampu menginsafkan mereka. Maka Allah menyedarkan mereka dengan rahmatNya melalui peristiwa yang amat menggemparkan di Ghazzah supaya mereka bangkit, bertaubat dari kelalaian dan memulakan hidup baru, mengorak langkah untuk beramal. Ini semua adalah daripada af’al (perbuatan) Allah, kesan-kesan asmaa’ dan sifatNya SWT. Sabda Nabi SAW bermaksud: “Tidak ada seorang pun yang paling suka menerima permohonan maaf dan taubat selain daripada Allah.” (Al-Bukhari dan Muslim)


5. Kita saksikan sikap serta pendirian orang-orang munafiq, yang merancang kejahatan dan mempersenda-sendakan orang yang berpegang pada ajaran Islam, kadang-kadang mereka memakai pakaian ulamak, bercakap dengan bahasa syara’; Allah SWT menghendaki kita mengenali mereka, membenci mereka, memusuhi mereka dan memutuskan hubungan dengan mereka sebagaimana firmanNya yang bermaksud: “Allah tidak sekali-kali akan membiarkan orang-orang yang beriman dalam keadaan yang kamu ada seorang (bercampur aduk mukmin dan munafik, bahkan Ia tetap menguji kamu) sehingga Ia memisahkan yang buruk (munafik) daripada yang baik (beriman).” (A-li'Imraan 3:179) . kalaulah tidak kerana peristiwa yang besar ini serta langkah tangkas dan tegas para mujahidin niat jahat mereka tidak terbongkar.



6. kemudian – dan ini yang paling penting -  semua yang kita saksikan yang disebutkan di atas dan banyak lagi yang lain daripadanya yang tidak disebutkan merupakan hujjah, keterangan, tanda-tanda kebesaran Allah SWT. Bukti-bukti yang sangat mantap, hebat dan jelas dapat difahami berdasarkan sunnah Allah, mempunyai kaitan yang rapat dengan perkara yang lebih besar selepas ini. Sesungguhnya Allah menghendaki umat ini bersedia untuk menghadapi perkara yang lebih besar itu dengan mengulangkaji secara menyeluruh, penuh dengan kesedaran, kewaspadaan, keimanan dan kefahaman yang mendalam. Sebagaimana Allah menghendaki musuh-musuhNya yang telah lama tidur lena, dibungkus malam yang gelap gelita supaya cahaya untuk mereka terus padam, bintang-bintang mereka terus tenggealm. Hanya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.


Maka alangkah malangnya orang yang terus lalai selepas menyaksikan peristiwa yang besar ini. Dan alangkah bahagianya orang yang celik mata hatinya dan bangkit memulakan hidup baru dengan menjadikan ayat-ayat ini sebagai pegangannya: 

- ﴿قل إن صلاتي ونسكي ومحياي ومماتي لله رب العالمين﴾

- ﴿إنما وليكم الله ورسوله والذين آمنوا الذين يقيمون الصلاة ويؤتون الزكاة وهم راكعون﴾

- ﴿استعينوا بالله واصبروا إن الأرض لله يورثها من يشاء من عباده والعاقبة للمتقين﴾


#freepalestin


Thursday, December 28, 2023

Jangan pandang remeh pada doa!

Lihatlah apa hasilnya!!!


Ketika anda berdoa (  اللهم اجعل اسلحتهم إلى نحورهم)

Ya Allah, jadikanlah senjata2 mereka tertimpa ke atas batang tengkuk mereka!

Mereka mengakui sendiri bahawa 20% daripada tentera mereka terbunuh oleh tembakan kawan sesama mereka sendiri.


Ketika anda berdoa: (اللهم سلط عليهم الاوجاع والاوبئة )

Ya Allah, timpakanlah ke atas mereka kesakitan dan wabak!

Mereka mengakui bahawa tentera mereka mengalami buta, sama ada buta separuh atau buta sepenuhnya. Di samping itu mereka mengalami sakit perut. Ada yang terluka menyebabkan darah tidak berhenti menitis sehingga membawa maut.


Ketika anda berdoa (  اللهم اجعل بأسهم بينهم شديد)

Ya Allah, jadikanlah pertelingkahan antara mereka itu sengit!

Seluruh dunia mendengar pertelingkahan antara mereka yang melaknat satu sama lain.


Ketika anda berdoa: (  اللهم اقذف في قلوبهم الرعب)

Ya Allah, campakkanlah ke dalam hati mereka perasaan gerun!

Semua pihak menyaksikan betapa kegerunan menghantui mereka sehingga terdapat di kalangan mereka yang terkencing-kencing dalam seluar sendiri.


Ketika anda berdoa: ( اللهم زلزل الأرض من تحت أقدامهم)

Ya Allah, gegarkanlah bumi ini di bawah tapak-tapak kaki mereka!

Kita dapat lihat bagaimana para mujahidin mengeluarkan musuh-musuh dari terowong dan dari bawah runtuhan kerana tempat mereka berlindung dan peralatan-peralatan perang mereka bergegar dengan teruk.


Ketika anda berdoa: ( اللهم لا تمكن لهم)

Ya Allah, janganlah Engkau mantapkan kedudukan mereka!

Semua pihak menyaksikan betapa mereka tidak pernah rasa aman dan mampu memantapkan kedudukan mereka di mana jua mereka memasukinya.


Ketika anda berdoa: (اللهم ثبت المجاهدين )

Ya Allah, teguhkanlah hati para mujahidin!

Semua kita menyaksikan betapa teguhnya hati dan semangat para mujahidin membuatkan para pengkaji dan penganalisis  seluruh dunia menjadi bingung dan terpinga-pinga.


Wednesday, December 06, 2023

Untuk Mereka Yang Bertanya: Di Manakah Allah? Kenapakah Allah Tidak Membalas Demi Ghazzah?


Nukilan : Adham Syarqawi


Muslim, Ahmad, al-Nasae, Abu Daud meriwayatkan daripada hadis Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW dikunjungi beberapa orang sahabat RA. Mereka berkata: “Ya Rasulullah, tercetus dalam hati kami sesuatu persoalan. Kami rasa terlalu berat untuk kami perkatakan. Jika kami memperoleh harta satu dunia sekalipun tidak sanggup kami meluahkan apa yang berligar dalam hati kami itu.” 

Baginda bertanya: “Adakah benar kamu dapatinya dalam hati kamu?”

Mereka menjawab: “Benar.”

Baginda berkata kepada mereka: “Itulah iman yang jelas benar!”


Krisis dan fitnah adalah mazhab syaitan dan peluang keemasan untuknya merosakkan iman orang yang beriman, menyingkirkan maqam Allah dari hatinya, meletakkannya di tempat yang buruk pada penghujung jalan sehingga kita tidak dapat melihat hikmah Allah SWT dalam setengah perkara. Kita tidak mengetahui apa-apa kecuali yang kita saksikan dengan mata. Justeru, berligar-ligarlah dalam kepala kita persoalan-persoalan yang kita rasa takut untuk luahkan. Kita menepisnya dengan istighfar. Ini tidak membatalkan iman. Bahkan itulah kesempurnaannya. Maka setiap kali kita terlupa akan hikmahnya, serahkanlah kepada Pemilik semua urusan. Dialah yang Maha Adil, Maha Penyayang. Tidak sepatutnya kita mempersoalkan ketentuanNya atau bertanya tentang takdirNya dalam dunia milikNya. Kita semua adalah hamba dalam kerajaanNya.


Syaitan akan berkata kepadamu: Di manakah Allah dalam situasi paling teruk yang sedang berlaku di Ghazzah? 

Tidakkah Allah murka melihat kanak-kanak yang ditarik keluar dalam keadaan tidak bermaya dari bawah runtuhan bangunan?

Tidakkah Allah membalas terhadap mereka yang mencarik-carikkan jasad wanita dengan roket-roket mereka?

Apakah dosa orang-orang tua yang dibunuh? Apakah kesalahan warga emas yang disemebelih?

Tidakkah Allah berkuasa untuk menghentikan kapal-kapal terbang dan melumpuhkan muncung-muncung senapang?


Pertama: Dunia ini negeri ujian. Bukan negeri pembalasan. Dan hanya Allah yang berhak untuk menyoal hambaNya tentang apa yang mereka lakukan terhadap ujian yang dikenakan kepada mereka. Bukan hamba yang berhak bertanya Tuhan kenapa Engkau menguji kami dengan ujian seperti ini?


Kedua: sesungguhnya semua perkara diambil kira pada kesudahannya yang terakhir, bukan pada keadaannya yang semasa. Jika engkau melihat Firaun mencampakkan anak-anak Masyitah ke dalam minyak panas yang sedang menggelegak sehingga menghancurkan tulang-tulang mereka, kemudian dia mencampakkan ibu mereka bersama dengan mereka sehingga tulang-tulangnya juga turut hancur, nescaya engkau akan bertanya seperti pertanyaan seorang hamba yang ingin segera melihat pembalasan yang setimpal: Di manakah Allah? Apakah dosa kanak-kanak itu sehingga mereka dibunuh dengan begitu kejam? Kenapakah Allah tidak mempertahankan Masyitah dan anak-anaknya yang malang itu?

Kemudian apakah yang terjadi selepas itu? Firaun ditimbus oleh Allah di dalam laut dan dihumban ke dalam neraka kekal abadi selama-lamanya. Manakala Masyitah dan anak-anaknya berada dalam syurga, wanigan mereka dapat dihidu oleh Rasulullah SAW pada malam baginda mi’raj.


Ketiga: Sesungguhnya Allah SWT menangguhkan pembalasan ke atas orang yang zalim. Kemudian apabila tiba masanya Dia membalasnya dengan pembalasan yang sekeras-kerasnya. Sekiranya ada yang berkata bahawa setiap kezaliman itu balasannya di dunia, maka apa gunanya hari kiamat jika begitu? Untuk apa pula Sirat, Mizan dan Hisab? Untuk apa pula diciptakan syurga dan neraka?


Ashabul-Ukhdud semuanya dibakar di dunia. Allah mengizinkan bayi yang masih menyusu bertutur dan berkata kepada ibunya: “Teguhkan pendirianmu kerana sesungguhnya ibu berada di atas jalan yang benar!” Lalu kedua-duanya (ibu dan bayi itu) dihumban ke dalam api yang sedang marak. Dan Allah tidak pernah memberitahu kita bahawa Dia telah membela mereka dengan membalas pemerintah yang kejam itu di dunia ini. Namun Dia pasti akan membalasnya pada hari kiamat kelak.


Pertempuran bukan diukur pada natijahnya yang zahir. Seandainya kita menang dalam semua pertempuran kemudian akhirnya kita tercampak ke dalam neraka, maka hakikatnya kita rugi. Sebaliknya jika kita kalah, tewas dan dibakar sedangkan kita berada dipihak yang benar dan tetap teguh di atas kebenaran, maka kita adalah orang yang menang.


Keempat: Sekiranya Allah terus melaksanakan pembalasan setiap kali berlaku kezaliman, maka tumbanglah prinsip ujian di dunia dari akar umbinya. Sekiranya kebenaran sentiasa menang dalam setiap pertembungannya dengan kebatilan, nescaya saf-saf di pihak yang benar akan dipenuhi oleh mereka yang mencari keuntungan. Tetapi Allah hendak dunia ini menjadi tempat bergegarnya hati-hati manusia, tamparan yang kuat kepada mereka yang berpegang kepada prinsip. Jika tidak ada serangan dan ancaman musuh, bagaimanakah hamba-hamba akan diuji dengan kefardhuan jihad? Bagaimanakah akan berlaku pembahagian hamba kepada mujahidin dan mutakhallifin (yang tidak menyahut seruan jihad), yang membantu dan yang mengelak dari membantu, yang mengeluarkan harta di Jalan Allah dan yang bakhil dan membelanjakan harta di jalan syaitan? 


Kelima: Sesungguhnya seorang wanita yang melahirkan seorang anak, mengalami kesakitan dan diiringi dengan keluar darah yang agak banyak. Itu keadaan yang dialami untuk melahirkan seorang anak. Maka bagaimanakah sakitnya satu umat yang hendak melahirkan satu negara dan satu kemuliaan? 


Seandainya engkau berada bersama orang Quraisy sewaktu Abu Jahal mengikat Sumayyah dan menikamnya, mungkin engkau juga akan menyoal sebagaimana yang engkau soalkan sekarang: Dimanakah Allah?

Dan aku ingin bertanyamu: Dimanakah Sumayyah sekarang dan dimanakah Abu Jahal?


Begitu juga jika engkau melihat Bilal yang terbaring di atas padang pasir yang membahang di Mekah dengan batu besar diletakkan di atas dadanya, sedang Umayyah bin Khalaf  menyuruhnya supaya menyebut nama al-Lata dan Hubal. Namun Bilal dalam keadaan nafas yang tercungap-cungap hanya mengulang Ahad, Ahad, tentu juga engkau bertanya: Dimanakah Allah? Dan aku tanya engkau: Sekarang di manakah Bilal dan dimanakah Umayyah? Kemudian, sekiranya engkau tidak melihat kemenangan itu selain dari kemenangan di dunia semata-mata, maka engkau pada waktu itu, tidak beranggapan bahawa kemenangan itu pasti datang. 


Tetapi sekarang engkau tahu bahawa Mekah telah dibuka. Orang-orang yang dulunya diazab memasukinya dari segenak penjuru pada waktu siang hari yang terang benderang.


Sesungguhnya Allah Yang Maha Bijaksana mempunyai waktunya dalam menentukan sesuatu peristiwa. Jika engkau faham hal ini, maka tetaplah berpegang dengannya. Jika engkau tidak faham, maka berilah salam (say good bye) 


https://shuhoud.com


Saturday, November 18, 2023

Jenazah Syuhada’ Dimakan Anjing Liar?


Aku sangat sedih dan terlalu sebak di kala aku mengetahui bahawa mereka tidak mampu untuk mengkebumikan jenazah sebahagian syuhada’ lantaran serangan musuh yang bertubi-tubi dan tidak henti-henti sehingga jenazah para syuhada’ dimakan oleh anjing-anjing liar.


Kemudian aku teringat hadis sahih di mana Rasulullah SAW telah bersabda tentang penghulu syuhada’ Hamzah (maksudnya): “Kalaulah tidak kerana Sofiah (adik beradik Hamzah juga ibu saudara Nabi SAW) yang akan rasa terkilan, nescaya aku akan biarkan jenazahnya di makan oleh burung-burung dan binatang buas supaya dia bangkit di Mahsyar nanti daripada perut binatang-binatang itu.”


Maka timbul soalan dalam diriku: kenapakah baginda bercita-cita untuk lakukan demikian terhadap Hamzah sedangkan Hamzah merupakan insan yang paling baginda sayangi? Hamzah adalah bapa saudara baginda, saudara sesusu baginda, sahabat dan pembela baginda dalam dakwah sejak di Mekah. Dan baginda SAW amat sedih dan banyak menangisi kewafatan Hamzah. Bukti sayangnya baginda kepada Hamzah sehingga ahli keluarga baginda yang pertama lahir selepas kewafatan Hamzah baginda arahkan supaya menamakannya dengan nama insan yang paling disayanginya, Hamzah!

Jadi, kenapakah baginda bercita-cita jenazah Hamzah, sayyidusy-syuhada’ dimakan oleh anjing-anjing liar?


Aku berkata kepada diriku: pastinya hal itu akan memberikan pahala yang lebih besar, ganjaran yang lebih sempurna lagi mulia daripada pengkebumian dengan cara yang biasa. Kemudian aku mencari dalam syarahan-syarahan hadis. Maka aku menemui syarahan yang menyejukkan dadaku:

“Supaya Hamzah memperolehi pahala yang sempurna sepenuhnya dan supaya kesemua bahagian jasadnya jadi korban di Jalan Allah SWT.”

Demi sesungguhnya Allah telah pilih para syuhada’ itu (yang jenazah mereka dimakan anjing-anjing liar) untuk dianugerahkan apa yang dicita-citakan Rasulullah SAW untuk penghulu syuhada’. Maka dengan itu, mereka adalah sebenar-benarnya para penghulu syuhada’.


Kemudian aku teringat hadis sahih daripada Rasulullah SAW (maksudnya): “Penghulu syuhada’ ialah Hamzah dan seseorang yang bangkit di hadapan seorang penguasa yang zalim dan menegurnya dengan menyuruhnya (melakukan kebaikan) dan melarangnya (dari melakukan kejahatan), maka penguasa itu membunuhnya.”

Dan mereka ini bukan bangkit melawan seorang penguasa yang zalim. Sebaliknya mereka bangkit mendepani penguasa-penguasa zalim yang sangat ramai, bahkan mereka bangkit melawan system yang mendominasi dunia seluruhnya yang kezaliman, kekejaman, kebejatan dan kerosakannya sudah sampai ke kemuncaknya.


Dengan itu, aku memujuk dan menenangkan hatiku bahawa sesungguhnya mereka itu memang benar-benar berhak disifatkan sebagai penghulu-penghulu syuhada’.

Aku harap tulisan ini sampai kepada ahli keluarga penghulu-penghulu syuhada’ itu supaya dapat meringankan kesedihan mereka serta meningkatkan kesabaran mereka dalam menghadapi dugaan yang amat berat ini.


Terjemah daripada tulisan Prof Dr Wasfy Abu Zaid

https://t.me/drwasfy


Wednesday, November 08, 2023

Anda Bertanya, al-Quran Menjawab


1. Kenapakah Hamas menyerang Rejim Zionis pada 7 Oktober lalu?

Jawapan:

“Oleh itu sesiapa yang melakukan pencerobohan terhadap kamu maka balaslah pencerobohannya itu seimbang dengan pencerobohan yang dilakukannya kepada kamu; dan bertaqwalah kamu kepada Allah serta ketahuilah: Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa.” (Al-Baqarah 2:194) 


2. Bukankah Hamas tidak mempunyai kekuatan yang setara dengan rejim?

Jawapan:

“Berkata pula orang-orang yang yakin bahawa mereka akan menemui Allah: "Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah; dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang-orang yang sabar". (Al-Baqarah 2:249) 


3. Bukankah kalau kita duduk diam-diam, tidak akan ada yang mati dan tidak akan rumah-rumah yang diruntuhkan?

Jawapan:

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (munafik) yang telah kufur dan berkata kepada saudara-saudaranya apabila mereka pergi mengembara di muka bumi untuk berniaga, atau keluar berperang (lalu mati atau terbunuh): "Kalau mereka tinggal bersama-sama kita, tentulah mereka tidak mati dan tidak terbunuh". (Apa yang mereka katakan itu tidak ada faedahnya) bahkan akibatnya Allah menjadikan (kesan perkataan dan kepercayaan mereka) yang demikian itu: penyesalan dalam hati mereka. Dan (ingatlah), Allah yang menghidupkan dan yang mematikan, dan Allah sentiasa melihat akan segala yang kamu lakukan.” (A-li'Imraan 3:156) 


4. Di manakah kedudukan negara-negara Arab dan pertubuhan-pertubuhan mereka pada saat Palestin berhadapan dengan serangan paling ganas yang begitu rupa?

Jawapan:

“Dan kalaulah mereka mahu keluar (untuk turut berperang), tentulah mereka menyediakan persiapan untuknya; tetapi Allah tidak suka pemergian mereka, lalu dilemahkanNya semangat mereka, dan dikatakan (oleh Syaitan): "Tinggallah kamu bersama-sama orang-orang yang tinggal". (At-Taubah 9:46)


5. Ramai kanak-kanak menjadi mangsa?

Jawapan:

“Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki; (Dan juga) mereka bersukacita dengan kurniaan Allah (balasan mati Syahid) yang telah dilimpahkan kepada mereka, dan mereka bergembira dengan berita baik mengenai (saudara-saudaranya) orang-orang (Islam yang sedang berjuang), yang masih tinggal di belakang, yang belum (mati dan belum) sampai kepada mereka, (iaitu) bahawa tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.” (A-li'Imraan 3:169-170)


6. Ramai penduduk diusir dari rumah-rumah mereka?

Jawapan:

“maka orang-orang yang berhijrah (kerana menyelamatkan agamanya), dan yang diusir ke luar dari tempat tinggalnya, dan juga yang disakiti (dengan berbagai-bagai gangguan) kerana menjalankan agamaKu, dan yang berperang (untuk mempertahankan Islam), dan yang terbunuh (gugur Syahid dalam perang Sabil) - sesungguhnya Aku akan hapuskan kesalahan-kesalahan mereka, dan sesungguhnya Aku akan masukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, sebagai pahala dari sisi Allah. Dan di sisi Allah jualah pahala yang sebaik-baiknya (bagi mereka yang beramal soleh)". (A-li'Imraan 3:195) 


#PalestinDihati

#SaveGaza