15/12/16 bersamaan 15/02/38
Perkongsian hari merupakan sepotong hadis yang sangat
popular. Saya yakin ramai yang pernah mendengar, malah menghafalnya.
أَنَّ نَبِيَّ اللَّهِ -صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ-
قَالَ: (كَانَ فِيمَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ رَجُلٌ قَتَلَ تِسْعَةً وَتِسْعِينَ
نَفْسًا فَسَأَلَ عَنْ أَعْلَمِ أَهْلِ الْأَرْضِ فَدُلَّ عَلَى رَاهِبٍ فَأَتَاهُ
فَقَالَ إِنَّهُ قَتَلَ تِسْعَةً وَتِسْعِينَ نَفْسًا فَهَلْ لَهُ مِنْ تَوْبَةٍ؟
فَقَالَ: لَا. فَقَتَلَهُ فَكَمَّلَ بِهِ مِائَةً. ثُمَّ سَأَلَ عَنْ أَعْلَمِ
أَهْلِ الْأَرْضِ فَدُلَّ عَلَى رَجُلٍ عَالِمٍ فَقَالَ: إِنَّهُ قَتَلَ مِائَةَ
نَفْسٍ فَهَلْ لَهُ مِنْ تَوْبَةٍ؟ فَقَالَ: نَعَمْ وَمَنْ يَحُولُ بَيْنَهُ
وَبَيْنَ التَّوْبَةِ, انْطَلِقْ إِلَى أَرْضِ كَذَا وَكَذَا فَإِنَّ بِهَا
أُنَاسًا يَعْبُدُونَ اللَّهَ فَاعْبُدْ اللَّهَ مَعَهُمْ وَلَا تَرْجِعْ إِلَى
أَرْضِكَ فَإِنَّهَا أَرْضُ سَوْءٍ. فَانْطَلَقَ حَتَّى إِذَا نَصَفَ الطَّرِيقَ
أَتَاهُ الْمَوْتُ فَاخْتَصَمَتْ فِيهِ مَلَائِكَةُ الرَّحْمَةِ وَمَلَائِكَةُ
الْعَذَابِ, فَقَالَتْ مَلَائِكَةُ الرَّحْمَةِ: جَاءَ تَائِبًا مُقْبِلًا
بِقَلْبِهِ إِلَى اللَّهِ, وَقَالَتْ مَلَائِكَةُ الْعَذَابِ إِنَّهُ لَمْ
يَعْمَلْ خَيْرًا قَطُّ. فَأَتَاهُمْ مَلَكٌ فِي صُورَةِ آدَمِيٍّ فَجَعَلُوهُ
بَيْنَهُمْ. فَقَالَ: قِيسُوا مَا بَيْنَ الْأَرْضَيْنِ فَإِلَى أَيَّتِهِمَا
كَانَ أَدْنَى فَهُوَ لَهُ, فَقَاسُوهُ فَوَجَدُوهُ أَدْنَى إِلَى الْأَرْضِ
الَّتِي أَرَادَ فَقَبَضَتْهُ مَلَائِكَةُ الرَّحْمَةِ.
Daripada Abi Sa’eid Sa’d bin Malik bin Sinan al-Khudriy r.a.
bahawa Nabi s.a.w. bersabda: “Pada suatu masa dahulu daripada kamu terdapat
seorang lelaki telah membunuh 99 orang manusia. Maka dia betanya tentang
seseorang yang paling alim di muka bumi. Ditunjukkan kepadanya agar bertemu
dengan seorang rahib. Lalu dia datang bertemu dengan rahib tersebut lantas
berkata bahawa dia telah membunuh 99 orang manusia. Adakah peluang untuknya
bertaubat? Rahib menjawab tidak ada. Lalu dibunuhnya rahib itu. Maka lengkaplah
100 nyawa terbunuh di tangannya. Kemudian dia bertanya lagi tentang seseorang
yang paling alim di muka bumi. Ditunjukkan kepadanya seorang lelaki yang alim. Diapun
datang bertemu lelaki yang alim itu lantas berkata bahawa dia telah membunuh
100 orang manusia, adakah peluang untuknya bertaubat? Lelaki alim itu menjawab,
ya! Siapakah yang menjadi penghalang antara
dia dengan taubat? Seterusnya lelaki alim itu menasihati pembunuh itu
dengan berkata: “Pergilah kamu ke negeri sekian dan sekian. Sesungguhnya di
situ terdapat orang-orang yang beribadah kepada Allah Ta’ala. Maka beribadahlah
kamu bersama dengan mereka. Jangan kamu kembali lagi ke negeri kamu kerana ia
merupakan negeri yang jahat.”
Maka berangkatlah lelaki itu sehingga apabila dia tiba di
pertengahan jalan, maut mendatanginya. Lalu dia menjadi rebutan antara malaikat
rahmah dan malaikat azab.
Malaikat rahmah berkata: dia datang kepada Allah dengan hati
yang bertaubat mengharap keampunanNya.
Malaikat azab meningkah: sesungguhnya dia belum melakukan
apa-apa kebaikan lagi.
Maka datanglah malaikat lain dalam rupa seorang anak Adam. Mereka
bersetuju menjadikan malaikat ketiga itu sebagai hakam (orang tengah) bagi
menyelesaikan petikaian antara kedua malaikat tadi.
Malaikat yang jadi hakam itu berkata: ukurlah jarak di
antara dua negeri. Negeri manakah yang paling hampir dengan jenazahnya, maka
dialah yang berhak mengambilnya.
Merekapun mengukurnya. Mereka mendapati jenazahnya lebih
dekat kepada negeri yang hendak ditujunya. Maka dia diambil oleh malaikat
rahmah.” Muttafaq ‘alaih.
Subhanallah! Terlalu banyak pengajaran yang dapat dikutip
daripada apa yang dikisahkan di dalam hadis ini. Lemahnya tanganku untuk
menukilkan. Ceteknya ilmuku untuk menyelami lautan hikmahnya. Ya Allah, kepadaMu
aku bermohon: Rabbi zidni ‘ilma...
Pertama dan yang paling menyerlah adalah sifat Maha
Pengampunnya Allah. Membunuh adalah dosa paling besar selepas syirik. Dan lelaki
ini bukan membunuh seorang manusia secara tidak sengaja, sebaliknya membunuh
100 orang, secara sengaja. Pun begitu, Allah tetap menerima taubatnya! Subhanallah!
Ampunilah dosa kami. Kami tidak pernah membunuh ya Allah. Malah tidak pernah
terlintas di benak kami untuk melakukannya. Ampunilah hambaMu yang hina ini ya
Allah dan sahabat-sahabatku yang membaca gurisan hatiku ini.
Kedua, andai masih tersimpan dendam di hati anda terhadap seseorang,
fikirkanlah dosa sebesar manakah yang dilakukannya terhadap anda? Siapakah yang
telah dibunuhnya dan berapa orang? Kalau dia tidak membunuh, apakah dosanya
yang lebih besar sehingga anda tidak sanggup memaafkannya walhal Allah
mengampunkan dosa hambaNya yang telah membunuh 100 orang dengan sengaja!
Ketiga, rahib adalah gelaran kepada golongan yang banyak
beribadah dari kalangan Bani Israel. Orang yang banyak beribadah tidak
semestinya banyak ilmu. Maka jangan terpedaya pada seseorang yang kita lihat
banyak ibadahnya. Tanpa ilmu dia mungkin membinasakan diri sendiri dan orang
lain. Dalam kisah di atas, jawapan yang tidak berlandaskan ilmu membuatkan nyawanya
tiba-tiba melayang. Dan cuba bayangkan sekiranya pembunuh itu mati sebelum
bertemu dengan lelaki yang alim, mungkin dia tidak selamat dari azab Allah. Maka
dengan kejahilannya rahib itu telah merugikan dirinya dan orang lain. Dia mempunyai
peluang untuk meraih pahala membimbing hamba Allah yang hendak bertaubat, tapi
dek kejahilan bukan saja peluang keemasan terlepas malah nyawa sendiri menjadi
mangsa.
Keempat, pendakwah bukan penghukum. Tanggungjawab pendakwah
ialah membawa manusia dekat kepada Allah, bukan menghukum dan menjauhkan mereka
dari Allah. Hanya Allah sahaja yang berhak untuk menghukum atau mengampunkan semua
makhlukNya. Pendakwah hanya betanggungjawab untuk menyampai dan mengajak. Lihatlah
betapa tinggi adab lelaki yang alim itu. Dia terus menjawab “ya” tanpa
teragak-agak, tanpa mengutuk dan mengungkit kesalahan silam lelaki itu.
Kelima, untuk jadi baik, tsabat dan istiqamah di jalan
kebaikan perlukan kawan dan persekitaran yang baik. Maka jika ingin berhijrah
tidak cukup dengan niat semata-mata. Persekitaran dan rakan-rakan juga perlu
dicari yang baru. Jika masih berada di tempat lama, dalam lingkungan
kawan-kawan yang lama, sekuat manapun niat dan azam kita dibimbangi akan luntur
juga sudahnya.
Keenam, perbezaan pendapat adalah sesuatu yang lumrah lebih-lebih
lagi apabila masing-masing melihat sesuatu dari sudut yang berbeza. Di dalam
kisah ini dua malaikat berbeza pendapat tentang jenazah seorang lelaki yang
mati dalam perjalanan mencari keampunan Rabbnya. Jadi kalau malaikatpun
berselisih pendapat, apa lagi kita manusia? Bukan salah kita berbeza pendapat
asalkan kita bersedia untuk mencari jalan penyelesaiannya.
Ketujuh, dalam menangani perbezaan pendapat, kita kena
terima bahawa tidak semestinya pendapat kita salah dan pendapat dia betul, atau
pendapat kita betul pendapat dia salah. Ini kerana yang menyebabkan perbezaan
pendapat itu adalah perbezaan sudut pandang. Malaikat rahmat melihat dari sudut
lelaki itu bertaubat dan berusaha untuk memperbaiki dirinya. Malaikat azab
melihat dari sudut banyaknya dosa padahal kebaikan belum ada. Maka sama-samalah
kita berlapang dada dan cuba memahami antara satu sama lain bak kata Hasan al-Banna,
kita berkerjasama dalam perkara yang kita sepakati dan kita terima alasan
mereka dalam perkara yang kita setujui.
Kelapan, pentingnya menjaga niat walau di mana, dalam
keadaaan apa dan pada bila-bila masa kerana kita tidak tahu bilakah maut akan
menjemput kita. Alangkah bahagianya sekiranya maut datang ketika kita sedang
berniat untuk melakukan kebaikan.
Hanya Allah Maha Mengetahui. Ini hanyalah secubit mulahadzah
(pemerhatian) yang aku mampu. Moga bermanfaat.