Wednesday, December 14, 2016

KEMULIAAN MANUSIA DI SISI ISLAM


Manusia secara umumnya merupakan makhluk yang dihormati dan dimuliakan. Tidak ada pengecualian sama ada berdasarkan warna kulit, bangsa maupun agama. Allah Ta’ala telah menegaskan di dalam kitab suciNya al-Quranul-Karim yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.” (Al-Israa' 17:70)
Kemuliaan yang diberikan ini adalah umum dan menyeluruh, merangkumi muslim dan non muslim. Semua manusia diberikan kemudahan menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut. Semua manusia diberikan rezeki dari benda-benda yang baik-baik. Dan semua manusia diberikan kelebihan berbanding dengan kebanyakan makhluk-makhluk yang Allah ciptakan.
Pandangan Islam tentang kemuliaan manusia secara menyeluruh ini ditampilkan dalam semua aspek Syariat Islam yang unggul, dicernakan pada akhlak dan tindak tanduk Rasulullah s.a.w. ketika berinteraksi dengan manusia tanpa mengira kawan atau lawan. Baginda s.a.w. sentiasa melayani setiap manusia sebagai makhluk yang dimuliakan. Mereka tidak harus dihina atau dizalimi. Tidak harus dicerobohi hak-hak mereka atau dipandang rendah kedudukan mereka.
Bertitik tolak dari prinsip ini, Allah melarang pembunuhan sesama manusia tanpa alasan yang benar. FirmanNya bermaksud: “... dan janganlah kamu membunuh jiwa yang telah diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh Syarak).” (Al-An'aam 6:151)
Larangan membunuh di dalam ayat ini meliputi muslim dan non muslim. Sesungguhnya keadilan dalam syariat Islam merangkumi semua golongan tanpa mengira bangsa atau kedudukan. Ketika mentafsirkan ayat ini, al-Qurtubi menyatakan, “Ayat ini melarang kita membunuh seorang manusia yang diharamkan Allah membunuhnya sama ada orang yang beriman atau orang yang diberikan hak tinggal dengan aman, melainkan ada sebab yang membolehkan mereka dihukum bunuh.” Beliau juga mengemukakan beberapa Hadis yang berkaitan dengan larangan membunuh non muslim yang tinggal dengan aman di dalam negara Islam. Antaranya Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Bakrah r.a. daripada Rasulullah s.a.w. “Sesiapa yang membunuh mu’ahid (non muslim yang berjanji hidup aman di dalam negara Islam) tanpa alasan yang membenarkannya, Allah haramkan ke atasnya syurga.”
Sesungguhnya Syariat Islam tidak mengiktiraf kezaliman dalam semua bentuknya. Larangan ini jelas terpancar  di dalam ayat-ayat dan hadis-hadis yang tidak terhitung jumlahnya. Ia ditegah dan ditolak sehingga ke hari qiamat. Allah berfirman maksudnya: “Dan (ingatlah) Kami akan mengadakan neraca timbangan yang adil untuk (menimbang amal makhluk-makhluk pada) hari kiamat; maka tidak ada diri sesiapa akan teraniaya sedikitpun; dan jika (amalnya) itu seberat biji sawi (sekalipun), nescaya Kami akan mendatangkannya (untuk ditimbang dan dihitung); dan cukuplah Kami sebagai Penghitung.” (Al-Anbiyaa' 21:47)

Bagi mengukuhkan lagi penentangan Islam terhadap kezaliman sehinggakan Allah mengharamkannya ke atas DiriNya sendiri dan mengharamkannya ke atas seluruh hamba-hambaNya. FirmanNya di dalam sepotong Hadis Qudsi yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Dzar r.a. “Wahai hamba-hambaKu, sesungguhnya Aku mengharamkan kezaliman ke atas DiriKu dan Aku jadikan kezaliman itu haram di antara sesama kamu. Maka janganlah kamu zalim menzalimi.”
Rasulullah s.a.w. menunjukkan contoh terbaik dalam memuliakan insan apabila baginda berdiri ketika jenazah seorang yahudi diusung melintasi baginda. Muslim meriwayatkan daripada Abi Laila bahawa Qais bin Saad dan Shal bin Hunaif ketika berada di al-Qadisiah bangun berdiri ketika jenazah diusung melintasi hadapan mereka berdua. Mereka ditanya kenapa berdiri sedangkan jenazah itu dari kalangan penduduk al-Qadisiah yang beragama majusi? Mereka menjawab: “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. bangun berdiri ketika satu jenazah diusung melintasi di hadapan baginda. Apabila diberitahu bahawa jenazah itu adalah Yahudi, baginda bersabda: “Bukankah dia satu jiwa?”
Alangkah hebatnya sikap baginda! Ia benar-benar menggambarkan pandangan Islam terhadap diri manusia. Sikap Rasulullah s.a.w. telah berjaya menanamkan di dalam diri umat Islam sifat menghormati dan memuliakan setiap diri insan seluruhnya tanpa mengira bangsa atau anutannya. Baginda s.a.w. berdiri memberi penghormatan kepada jenazah itu walaupun setelah diberitahu bahawa jenazah itu adalah Yahudi. Orang-orang Yahudi yang hidup di zaman Nabi s.a.w. di Madinah melihat dengan jelas bukti-bukti kerasulan baginda, mendengar hujjah-hujjah yang mantap dan padat daripada baginda, namun mereka tidak beriman. Bahkan mereka memusuhi baginda dan merancang berbagai-bagai serangan secara fizikal dan moral. Dengan segala kejahatan dan kezaliman yang dilakukan oleh mereka, Rasulullah s.a.w. tetap bangun berdiri memberi penghormatan kepada jenazah itu, jenazah seorang Yahudi yang tidak baginda kenalipun kerana sahabat hanya memberitahu bahawa itu jenazah Yahudi tanpa menyembut nama atau sifatnya. Kalau diberitahu nama atau sifatnya mungkin baginda kenal dan baginda tahu orang itu pernah membuat kebaikan kepada mana-mana orang Islam, lalu baginda bangun kerana mengenang secebis kebaikan itu. Tetapi tidak begitu. Baginda hanya bangun berdiri kerana menghormatinya sebagai manusia semata-mata! “Bukankah dia seorang manusia?”, hanya itu alasan baginda untuk menghormatinya. Dan penghormatan itu bukan hanya sepintas lalu. Bahkan baginda berdiri lama sehingga jenazah itu ghaib dari pandangan mata. Menurut Riwayat Muslim daripada Jabir r.a. “Nabi s.a.w. dan para sahabatnya r.a. berdiri menghormati jenazah seorang Yahudi sehingga jenazah itu ghaib dari pandangan mata.”
Dan perbuatan itu terpahat kukuh di jiwa sahabat betapa setiap manusia perlu dihormati sebagai satu jiwa tidak kira bangsa atau agama. Itulah yang dilakukan oleh Qais bin Saad dan Sahal bin Hunaif. Mereka berdiri menghormati jenazah seorang majusi yang menyembah api. Majusi bukan ahli kitab. Malah aqidahnya bercanggah sama sekali dengan aqidah Islam. Namun sahabat r.a. memahami nilai seorang insan dan kemuliaannya.
Itulah pandangan Islam terhadap bukan Islam. Pandangan yang ditanam zaman berzaman di dalam minda umat Islam tentang bagaimana seharusnya mereka berinteraksi dengan bukan Islam.
Selain itu, satu lagi prinsip penting yang diajar oleh Islam dalam hubungan muslimin dengan mereka yang brbeza pegangan agama, yang berbeza prinsip dan kefahaman. Islam mengajar bahawa perbezaan di kalangan manusia adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Ia mesti diakui. Tidak akan ada satu zaman di mana semua manusia sependapat dalam sesuatu isu termasuk dalam isu tauhid dan ketuhanan. Allah Ta’ala sendiri telah berfirman maksudnya: “Dan kalaulah Tuhanmu (wahai Muhammad) menghendaki, tentulah Ia menjadikan umat manusia semuanya menurut agama yang satu. (Tetapi Ia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan.” (Hud 11:118)

Justeru, seorang muslim sedia memahami bahawa terdapat manusia yang berlainan aqidah dengannya. Muslim mengetahui bahawa meniadakan orang yang berlainan aqidah dari muka bumi ini adalah sesuatu yang mustahil. Lantaran itu muslim menjalani kehidupan dengan mereka secara natural. Tambahan pula Syariat Islam telah menerangkan dengan jelas sekali cara berinteraksi dan membina persefahaman dengan bukan Islam.
Di samping itu, muslim diajar bahawa perhitungan di hari akhirat hanya di tangan Allah semata-mata. Kalau Allah menghendaki seseorang insan itu beriman atau sebaliknya, itu terserah kepadaNya. Dan hanya Dia sahaja yang akan menghisabnya. Dengan kefahaman seperti itu muslim tidak rasa terdesak untuk memaksa orang lain menganut Islam atau mendesak mereka untuk mengubah anutan mereka. Allah sendiri telah berfirman maksudnya: “Dan (bukanlah tanggungjawabmu wahai Muhammad menjadikan seluruh umat manusia beriman), jika Tuhanmu menghendaki nescaya berimanlah sekalian manusia yang ada di bumi. (Janganlah engkau bersedih hati tentang kedegilan orang-orang yang ingkar itu; kalau Tuhan tidak menghendaki) maka patutkah engkau pula hendak memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman?” (Yunus 10:99)

Justeru, tanggungjawab muslim adalah menyampaikan dakwahnya kepada manusia yang belum Islam. Apa respon mereka, sama ada menerima atau menolak terserah kepada Allah. Muslim tidak ditanya dan tidak dihisab tentang hal itu. Allah berfirman maksudnya: “Dan jika mereka mengemukakan bantahan kepadamu, maka katakanlah: "Allah Amat" mengetahui akan apa yang kamu lakukan. "Allah akan menghukum di antara kamu semua pada hari kiamat, mengenai apa yang kamu berselisihan padanya".(Al-Hajj 22:68-69)

Allah juga telah menegaskan bahawa Nabi s.a.w. diutus untuk membawa rahmat ke seluruh alam sebagaimana firmanNya yang bermaksud: “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” (Al-Anbiyaa' 21:107)
Rahmat ini tentunya bukan khusus kepada umat Islam sahaja. Malah merangkumi seluruh umat manusia tanpa mengira bangsa dan agama, bahkan meliputi alam seluruhnya. Lantaran itu, Allah tekankan tujuan penciptaan manusia dalam pelbagai bangsa dan warna adalah supaya mereka saling berkenalan dan bekerjasama. “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).” (Al-Hujuraat 49:13)

Allah juga menegaskan bahawa dengan kasih sayangNya Dia menjamin rezeki untuk semua makhlukNya tanpa mengira mu’min atau kafir. “Tidakkah engkau melihat bahawa Allah telah memudahkan apa yang ada di bumi untuk kegunaan kamu, dan (demikian juga) kapal-kapal yang belayar di laut dengan perintahNya? Dan Ia pula menahan langit daripada runtuh menimpa bumi, kecuali dengan izinNya; sesungguhnya Allah Amat melimpah belas kasihanNya dan rahmatNya kepada umat manusia.” (Al-Hajj 22:65)

Allah menganjurkan orang-orang yang beriman supaya bersifat pemaaf. Sifat pemaaf ini bukan sahaja dengan memaaf kesalahan orang yang beriman. Sebaliknya merangkumi semua manusia. Allah berfirman maksudnya: “Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa; Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik;” (A-li'Imraan 3:133-134)

Mu’min juga diperintahkan agar berlaku adil kepada semua tanpa mengira bangsa dan agama. “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.”(Al-Maaidah 5:8)

Perlu ditegaskan bahawa apabila Islam mengiktiraf kepelbagaian bangsa, agama dan budaya tidak bermakna umat Islam harus mengabaikan tanggungjawab dakwah serta mengajak semua manusia kepada Islam. Rasulullah s.a.w. tidak henti-henti berdakwah dan mengharapkan semua manusia menerima Islam yang dibawanya sehingga baginda s.a.w. pernah berdoa supaya insan-insan yang memusuhinya, Umar bin al-Khattab dan Abu Jahal diberi hidayah oleh Allah. Akhirnya Allah memaqbulkan doa baginda dengan Islamnya Umar bin al-Khattab r.a.

Keinginan yang begitu mendalam agar semua manusia menerima hidayah membuatkan baginda berasa amat sedih bila seruannya ditolak, usahanya dihalang, ditentang dan dimusuhi. Kedukaan baginda digambarkan oleh Allah di dalam firmanNya yang bermaksud:
Jangan-jangan pula engkau (wahai Muhammad), membinasakan dirimu dengan menanggung dukacita, kerana mereka tidak menjadi orang-orang yang beriman.”(Asy-Syu'araa' 26:3)
Maka (fikirkanlah) adakah orang yang diperelokkan kepadanya amal buruknya (oleh Syaitan) lalu ia memandangnya dan mempercayainya baik, (bolehkah disifatkan sebagai orang yang menjalankan peraturan yang ditetapkan Allah untuk memberi hidayah kepadanya, atau sebaliknya) ? Kerana sesungguhnya Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya, dan Ia juga memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Oleh itu, janganlah engkau membinasakan dirimu (wahai Muhammad) kerana menanggung dukacita terhadap kesesatan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka kerjakan.” (Faatir 35:8)

Namun bagitu, sepanjang hayatnya, sepanjang kegigihannya dalam berdakwah baginda tidak pernah memaksa atau menekan sesiapapun untuk menerima Islam, apa lagi menzalimi dan mengabaikan hak-hak mereka sebagai manusia.

Diolah daripada artikel tulisan Dr Raghib al-Sarjani

Islamstory.com

No comments: