Daripada Abi Sa’eid al-Khudri r.a. Nabi s.a.w. bersabda: “Apabila
anak Adam bangun di waktu pagi, seluruh anggota tunduk kepada lidah dan
memperingatkannya: “Bertaqwalah kamu kepada Allah tentang kami kerana
sesungguhnya kami bergantung kepadamu; sekiranya kamu lurus, luruslah kami, dan
sekiranya kamu bengkok, bengkoklah kami” Riwayat at-Tirmizi.
SEMUA sedia maklum peranan lidah dan kata-kata yang diungkapkan.
Pepatah Melayu mengatakan, sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan binasa.
Kata-kata adalah cerminan diri. Tutur kata yang baik melambangkan peribadi yang
baik dan mulia. Tutur kata yang kasar dan kesat tidak lahir kecuali daripada
hati yang kering dan tandus budi.
Kata-kata juga lambang keimanan. Di dalam sepotong hadis yang
lain, Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan
hari akhirat hendaklah dia bercakap perkara yang baik atau hendaklah dia diam.”
Zaman ledakan IT dan teknologi maklumat masa kini, peranan
lidah banyak diambil alih oleh tangan menerusi papan kekunci. Jadi sebagaimana kita wajib
menjaga lidah, begitulah kita wajib menjaga jari jemari ketika mengetuk papan
kekunci. Jangan terjadi sekali keyboard diketuk, seribu kali diri dikutuk.
No comments:
Post a Comment