Insyaa Allah hari
ini, 19 Rabiul Awwal 1438 saya akan kongsikan hadis yang agak jarang didengar. Ia
berligar di sekitar kisah cinta di zaman Nabi s.a.w. antara seorang wanita
bernama Bareerah dan lelaki bernama Mughits. Pasti semua sahabat akan teruja
menghayatinya.
عَنْ عَائشَةَ رضيَ اللَّهُ عَنْها قالَتْ:
"خُيِّرَتْ بريرَةُ عَلى زَوْجِهَا حين عَتَقَتْ" مُتّفقٌ عَلَيْهِ
عَنْ ابْنِ
عَبَّاسٍ أَنَّ زَوْجَ بَرِيرَةَ كَانَ
عَبْدًا يُقَالُ لَهُ مُغِيثٌ كَأَنِّي أَنْظُرُ
إِلَيْهِ يَطُوفُ خَلْفَهَا يَبْكِي وَدُمُوعُهُ تَسِيلُ عَلَى لِحْيَتِهِ فَقَالَ
النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِعبَّاسٍ يَا عَبَّاسُ أَلَا
تَعْجَبُ مِنْ حُبِّ مُغِيثٍ بَرِيرَةَ وَمِنْ
بُغْضِ بَرِيرَةَ مُغِيثًا فَقَالَ النَّبِيُّ
صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَوْ رَاجَعْتِهِ قَالَتْ يَا رَسُولَ
اللَّهِ تَأْمُرُنِي قَالَ إِنَّمَا أَنَا أَشْفَعُ قَالَتْ لَا حَاجَةَ لِي فِيهِ
Kisah ini digabungkan
daripada dua riwayat, daripada Aisyah r.anha dan daripada riwayat Ibn Abbas r.anhu.
Aisyah r.anha
berkata: “Bareerah diberi pilih (sama ada mahu terus bersama dengan suami atau
berpisah) selepas dia dimerdekakan.” Muttafaq ‘alaih.
Daripada Ibn Abbas
r.anhu, bahawasanya suami Bareerah seorang hamba yang dikenali dengan nama
Mughits, aku melihatnya berputar-putar mengekori Bareerah, sedang air matanya
meleleh membasahi janggutnya. Maka Nabi s.a.w. berkata kepada Abbas r.anhu: “Wahai
Abbas, tidakkah engkau kagum melihat betapa cintanya Mughits kepada Bareerah
dan betapa bencinya Bareerah kepada Mughits?”
Dan Nabi s.a.w.
berkata kepada Bareerah: “Mahukah engkau kembali kepadanya?”
Bareerah bertanya
baginda: “Adakah tuan perintahkan saya supaya kembali kepadanya?”
Nabi s.a.w.
menjawab: “Tidak. Aku hanya cuba merayu bagi pihaknya.”
Bareerah menjawab: “Saya
tidak berhajat kepadanya!” Riwayat al-Bukhari dan lain-lain.
Bareerah r.anha asalnya
seorang hamba. Dia dinikahkan oleh tuannya semasa dia masih hamba. Sebagai hamba,
tentulah dia tidak ada pilihan kecuali patuh kepada apa yang diputuskan oleh
tuannya. Apabila dia mendapat kebebasan, maka dia diberi hak untuk memilih apa
yang dia inginkan dalam hidupnya termasuklah soal cinta dan emosinya.
Kisah ini memberikan
gambaran yang sebenar tentang keagongan Islam dalam melayani hak kebebasan
individu termasuklah golongan hamba dan wanita.
Seringkali masyarakat
memomok-momokkan bahawa wanita sering dianak tirikan, wanita tidak diberikan
hak keistimewaan seperti lelaki, wanita
sering ditindas dan dipaksa menurut saja kehendak lelaki dan sebagai-sebagai.
Maka renungkanlah
apa yang dipaparkan di dalam hadis ini. Seorang hamba wanita yang baru saja
mendapat kembali hak kebebasan diri yang sepatutnya dijamin untuk setiap insan
yang lahir ke dunia ini. Sejurus selepas hak kebebasan itu dikembalikan
kepadanya, maka dia diberikan sepenuh-penuh kesempatan untuk menikmati haknya
tanpa sekatan dan kongkongan dari sesiapa hatta insan yang paling mulia di
dunia, Rasulullah s.a.w.!
Lihatlah apabila
Rasulullah s.a.w. bertanya tidak mahukah dia kembali kepada suaminya? Beliau bertanya
dengan penuh rasa izzah, adakah itu satu perintah? Sebagai muslimah dan mu’minah
dia faham akan tuntutan agama, iaitu perintah Allah dan Rasul tidak boleh
dibantah. Selogan orang beriman adalah sam’an (dengar) wa to’atan (taat).
Namun, sekali lagi
prinsip Islam terserlah pada jawapan Nabi s.a.w. Baginda datang untuk mengajarkan
prinsip-prinsip dan nilai agama yang unggul. Baginda tidak diutus untuk campur
tangan atau mengendalikan perasaan dan emosi manusia, apa lagi memaksa mereka
memilih sesuatu yang mereka tidak suka. Lantas Bareerah bertegas dengan keputusan
yang telah dipilihnya sebagai pengajaran kepada kita bahawa Islam adalah agama
yang membawa kebebasan yang hakiki. Batasan kebebasan kita adalah larangan
Allah dan Rasul dan perkara-perkara yang bercanggah dengan prinsip Islam atau
yang membawa mafsadah atau mudarat kepada agama, manusia dan alam.
JOM sebarkan Islam
yang suci dan penuh rahmah ini.
No comments:
Post a Comment