Wednesday, October 17, 2018

HIJAUKAN SYURGAMU


Apabila berbicara tentang syurga, seringkali Allah menyebut “yang mengalir di bawahnya sungai-sungai” dan banyak juga diceritakan tentang pokok serta buah-buahan berbagai-bagai warna dan rasa.

Adakah pokok-pokok itu tersedia untuk kita secara percuma?
Tidak! Ia adalah hasil yang kita tanam sekarang.

Jabir r.a. meriwayatkan, Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesiapa yang berkata “Subhanallahi wa bihamdihi” ditanam untuknya sebatang pohon kurma di syurga.”
Riwayat at-Tirmizi. Beliau berkata hadis hasan.

Ibn Mas’ud r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Aku telah bertemu dengan Ibrahim s.a.w. pada malam aku dibawa berjalan malam (isra’). Beliau berkata kepadaku: “Ya Muhammad, sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka bahawa syurga ini tanahnya subur, airnya bersih dan segar. Ia kosong dan lapang. Tanamannya ialah “subhanallahi walhamdulillahi wala ilaha illaAllahu waAllahu akbar”
Riwayat at-Tirmizi. Beliau berkata hadis hasan.

Justeru, tambahkan kehijauan syurga anda dengan mengajak orang lain berbuat yang sama kerana setiap orang yang beramal dengan apa yang kita sarankan, bagi kita ganjaran yang sama dengan amalannya.
Apabila dia menyebut “Subhanallahi wa bihamdihi”, ditanam untuknya sepohon kurma dan untuk kita sepohon kurma.


Bayangkan jika bilangan yang kita ajak lebih ramai…..!!!

No comments: