Wednesday, October 10, 2018

JOM BINA RUMAH DI SYURGA


Rumah adalah keperluan asas setiap insan.

Di dunia ini jika kita tidak ada rumah, boleh tumpang rumah sesiapa; rumah mak ayah, saudara mara, atau rumah perlindungan.

Di akhirat? Hanya Allah saja yang tahu. Jadi sementara kita diberi peluang untuk membuat persiapan semasa masih diberi kesempatan bernafas di atas muka bumi ini, eloklah buat persiapan dengan sebaik-baiknya. Tak susahpun. Kosnya juga tak naik-naik sejak dahulu hingga sekarang. Tak seperti rumah di dunia ini, naik melambung-lambung sehingga ramai yang tak mampu nak beli.

Antara tawaran menarik untuk dapat rumah di sana adalah:

Pertama: Tinggalkan tabiat suka bertengkar, tidak berdusta dan sentiasa menjaga akhlak yang mulia.
Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Aku menjamin sebuah rumah di pinggir syurga bagi seseorang yang tidak bertengkar sekalipun dia di pihak yang benar. Dan sebuah rumah di tengah syurga bagi seseorang yang tidak berdusta sekalipun untuk tujuan bergurau senda. Dan sebuah rumah di puncak syurga bagi seseorang yang baik akhlaknya.” Riwayat Abu Daud daripada Abu Umamah r.a.

Kedua: solat sunat 12 rakaat sehari.
Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesiapa yang menunaikan solat (sunat) 12 rakaat dalam sehari semalam, dibina untuknya sebuah di syurga.” Riwayat Muslim daripada Ummu Habibah r.a.

Ketiga: membaca surah al-Ikhlas 10 kali.
Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya:
“Sesiapa yang membaca “Qul Hua Allahu Ahad” sehingga habis (satu surah) 10 kali, Allah bina untuknya sebuah istana di syurga.”
Lantas Umar r.a. berkata, “kalau begitu kami akan membanyakkan membacanya ya Rasulullah.”
Baginda menjawab, “Allah (memberi) lebih banyak dan lebih bagus.” Riwayat Ahmad dan ad-Darimi.    


Jom rebut peluang! Sebarkan supaya ramai yang berpeluang memperolehinya.

No comments: