Wednesday, October 17, 2018

TADABBUR – HEBATNYA GODAAN SYAITAN


Di dalam penyampaian Dr Zaharuddin Abd Rahman di dalam program anjuran MAIS siang tadi, beliau membawakan satu kisah pendita yahudi, ahli ibadah yang akhirnya tersungkur di dalam perangkap syaitan. Saya telah menemui kisah itu di dalam Tafsir Ibn Kathir dengan jalan cerita yang berlainan sedikit, tetapi natijahnya sama.

Allah Ta’ala berfirman maksudnya: “(Sikap kaum munafik dengan kaum Yahudi) itu samalah seperti (sikap) Syaitan ketika ia berkata kepada manusia: "Berlaku kufurlah engkau!" Setelah orang itu berlaku kufur (dan tetap terkena azab), berkatalah Syaitan kepadanya: "Sesungguhnya aku adalah berlepas diri daripadamu, kerana sebenarnya aku takut kepada Allah, Tuhan yang menguasai seluruh alam!"

Ketika mentafsir ayat di atas, Ibn Kathir membawakan satu riwayat Ibn Jarir yang diambil daripada Ibn Mas’ud r.a. yang menceritakan bahawa terdapat seorang perempuan pengembala kambing. Dia mempunyai empat orang abang lelaki.

Dia sering singgah dan tumpang bermalam di rumah ibadah seorang rahib (pendita). Rahib turun dari tempat ibadahnya, lantas berzina dengan perempuan itu sehingga mengandung. Syaitan membisikkan kepada rahib: “Engkau seorang yang dipercayai. Percakapanmu didengari. Bunuhlah dia kemudian tanam mayatnya (agar perbuatanmu tidak diketahui orang!”

Rahib menuruti apa yang dibisikkan oleh syaitan demi menutup dosa yang tidak sepatutnya dilakukan oleh orang sepertinya.

Kemudian syaitan mendatangi abang-abang perempuan itu membawakan mimpi yang sama. Semuanya bermimpi mendengar bisikan: “Rahib yang beribadah di biara itu telah berzina dengan adikmu. Apabila didapati adikmu telah hamil, rahib membunuhnya kemudian menanamnya di tempat sekian, sekian!”

Apabila terjaga dari tidur pada waktu pagi, salah seorang daripada mereka berkata:
“Demi Allah, semalam aku telah bermimpi. Namun aku tidak mengetahui sama ada aku patut ceritakan atau sebaliknya?”
Yang lain-lain berkata: “Ceritakanlah mimpimu itu kepada kami!”
Setelah dia menceritakan mimpinya, masing-masing berkata: “Demi Allah, aku juga bermimpi yang sama!”
Mereka yakin, pasti ada sesuatu yang berlaku di sebalik mimpi itu.

Mereka bergegas ke tempat rahib dan mengheretnya untuk dibawa ke muka pengadilan. Dalam perjalanan itu syaitan mendekati rahib dan membisikkan kepadanya:
“Aku yang merancang untuk memerangkapkanmu dalam kemelut ini. Sekarang tidak ada siapa yang dapat menyelamatkanmu selain aku. Maka sujudlah kepadaku satu kali sujud sahaja, aku akan selamatkanmu daripada perangkap ini!”

Rahibpun sujud kepada syaitan.

Apabila tiba di hadapan raja mereka, syaitan berlepas diri daripada rahib, meninggalkannya terkapai-kapai sendirian. Dia didapati bersalah dan dijatuhi hukuman bunuh.
Ramai yang percaya bahawa rahib itu bernama Barsisa. Allahu A’lam.


-       Mukhtasor Tafsir Ibn Kathir.

No comments: