Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab
Al-Quran ini perihal Mariam, ketika dia memencilkan diri dari keluarganya di
sebuah tempat sebelah timur. (16)
Kemudian Mariam membuat dinding untuk melindungi
dirinya dari mereka maka Kami hantarkan kepadanya: Roh dari kami lalu dia
menyamar diri kepadanya sebagai seorang lelaki yang sempurna bentuk
kejadiannya. (17)
Mariam berkata: Sesungguhnya aku berlindung dengan
(Allah) Ar-Rahman daripada (gangguan) mu kalaulah engkau seorang yang bertakwa.
(18)
Dia berkata: Sesungguhnya aku hanyalah utusan Tuhanmu,
untuk mengurniakanmu seorang anak yang suci. (19)
Mariam bertanya (dengan cemas): Bagaimanakah aku akan
beroleh seorang anak lelaki, padahal aku tidak pernah disentuh oleh seorang
lelaki pun dan aku pula bukan perempuan jahat? (20)
Dia menjawab: Demikianlah keadaannya tak usahlah
dihairankan; Tuhanmu berfirman: Hal itu mudah bagiKu dan Kami hendak menjadikan
pemberian anak itu sebagai satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Kami) untuk
umat manusia dan sebagai satu rahmat dari Kami dan hal itu adalah satu perkara
yang telah ditetapkan berlakunya. (21)
Surah Maryam 19:16 – 21
Ayat ini mengisahkan tentang seorang gadis bernama
Maryam.
Mayram adalah puteri kepada Imran yang telah
diceritakan tentang kelahirannya di dalam surah Aali Imran ayat 35 -37 yang
bermaksud:
“(Ingatlah) ketika isteri Imran berkata: Tuhanku!
Sesungguhnya aku nazarkan kepadaMu anak yang ada dalam kandunganku sebagai
seorang yang bebas (dari segala urusan dunia untuk berkhidmat kepadaMu
semata-mata), maka terimalah nazarku; sesungguhnya Engkaulah Yang Maha
Mendengar, lagi Maha Mengetahui. Maka apabila dia melahirkannya, berkatalah
dia: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku telah melahirkan seorang anak perempuan, dan Allah memang mengetahui akan apa yang
dilahirkannya itu dan memanglah tidak sama anak lelaki dengan anak perempuan,
dan bahawasanya aku telah menamakannya Mariam dan aku perlindungkan dia dengan
peliharaanMu, demikian juga zuriat keturunannya, dari godaan syaitan yang kena
rejam. Maka dia (Mariam yang dinazarkan oleh ibunya) diterima oleh Tuhannya
dengan penerimaan yang baik dan dibesarkannya dengan didikan yang baik, serta
diserahkannya untuk dipelihara oleh Nabi Zakaria. Tiap-tiap kali Nabi Zakaria
masuk untuk menemui Mariam di Mihrab, dia dapati rezeki (buah-buahan yang luar
biasa) di sisinya. Nabi Zakaria bertanya: Wahai Mariam dari mana engkau dapati
(buah-buahan) ini? Mariam menjawab; Ia adalah dari Allah. Sesungguhnya Allah
memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak dikira.”
Maryam adalah satu-satunya nama wanita yang disebut di
dalam al-Quran. Tidak ada nama Khadijah, Aisyah, Fatimah, Asiah dan lain-lain.
Hanya Maryam.
Ini menunjukkan Maryam merupakan seorang wanita
istimewa, wanita terpilih dari kalangan wanita-wanita di dunia. Apa yang
berlaku ke atas Maryam, hanya berlaku ke atas Maryam sahaja. Tidak berlaku ke
atas wanita lain selainnya.
Sebagai contoh, di dalam surah at-Tahrim Allah
mengemukakan perumpamaan dua orang wanita kafir, isteri kepada dua orang nabi
daripada nabi-nabi Allah tanpa menyebut nama wanita-wanita itu. Allah juga
membuat perumpamaan wanita mukminah, isteri kepada musuh Allah yang paling
angkuh dan sombong. Juga tidak menyebut nama wanita itu.
Kenapa?
Kerana ketiga-tiga wanita itu hanyalah contoh bagi
golongan tertentu. Contoh isteri solehah, suami tidak soleh. Contoh suami
soleh, isteri tidak soleh. Hal seperti itu banyak berlaku dan berulang-ulang
sepanjang sejarah kemanusiaan dalam pertarungan antara hak dan batil. Tetapi
Maryam berbeza. Dia bukan contoh bagi mana-mana golongan. Tetapi dia adalah
dirinya yang dipilih oleh Allah untuk menzahirkan satu mukjizat, satu ayat
daripada ayat-ayat Allah.
Mari kita ikuti detik demi detik kisah Maryam yang
dipaparkan di dalam ayat-ayat di atas. Pada suatu hari yang tidak dinyatakan
waktunya, Maryam sedang menyendiri di suata tempat yang disebut sebelah timur.
Menurut Ibn Kathir, terdapat beberapa pandangan mengenai maksud sebelah timur dan
kenapa Maryam pergi bersendirian di situ. Ada pendapat mengatakan maksudnya adalah
sebelah timur Masjid al-Aqsa kerana dia sedang didatangi haid.
Ada yang mengatakan tempat sebelah timur itu bermaksud
tempat yang terang, jauh dan terpencil. Sebab dia pergi adalah untuk mengambil
air. Ada pendapat mengatakan, dia menjadikan tempat itu sebagai rumah, tempat
dia beribadah.
Kita bayangkan, ketika dia bersendirian mengurung diri
di sebalik dinding atau tabir, jauh dari pandangan manusia dan keluarga, tiba-tiba
muncul seorang lelaki kacak yang sempurna kejadiannya. Apakah perasaan dan
reaksinya di ketika itu? Terkejut? Panik? Tergoda? Atau lain-lain?
Allah Ta’ala menceritakan kepada kita reaksi Maryam,
gadis solehah yang dididik dengan iman dan taqwa, yang dibesarkan oleh seorang
Nabi yang maksum, yang hatinya penuh terisi dengan ibadah dan ubudiyyah. Dia tidak cemas, tidak
menggelabah, jauh sekali dari tergoda. Sebaliknya, dengan tegas, matang dan
sopan dia berhadapan dengan lelaki kacak yang tidak dikenali itu, yang mungkin
datang dengan niat yang tidak baik, malah kemungkinan ini sangat besar kerana
dia datang seorang diri ke tempat Maryam ketika Maryam bersendirian, jauh dari
pandangan manusia serta keluarganya! Dia berkata: “Sesungguhnya aku berlindung
dengan (Allah) Ar-Rahman daripada (gangguan) mu kalaulah engkau seorang yang
bertakwa.” (Maryam:18)
Dan, apabila lelaki itu memperkenalkan dirinya sebagai
Utusan Tuhan Maryam (Rasulu Rabbiki) dan menjelaskan maksud kedatangannya untuk
menyampaikan perkhabaran Maryam akan memperoleh seorang anak lelaki, maka
kegusaran dan tanda tanya di hati Maryam semakin membuak. Kita bayangkan,
lelaki kacak datang menjengah seorang gadis yang sedang bersedirian di tempat
sunyi, memberitahu bahawa dia akan mendapat anak!
Anak? Bagaimana cara manusia mendapat anak? Yang
terlintas di fikiran Maryam dan fikiran kita, tidak lain daripada cara yang
biasa terjadi, percantuman antara lelaki dan perempuan sama ada dengan cara
yang halal (perkahwinan) atau haram (zina). Walaupun lelaki itu telah
memperkenalkan dirinya sebagai Utusan Tuhan Maryam, Tuhan Yang Maha Kuasa dan
boleh melakukan apa saja yang Dia Kehendaki, itu tidak dapat memadamkan dengan
mudah kegusaran di hati Maryam dan mungkin juga prasangka yang tidak diundang.
Lalu dengan spontan terpantul persoalan dari bibirnya:
"Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak lelaki, padahal aku tidak
pernah disentuh oleh seorang lelaki pun dan aku pula bukan perempuan jahat?”
(Maryam:20)
Dia belum berkahwin dan tidak pernah melakukan
hubungan kelamin secara halal dan tidak mungkin baginya untuk melakukannya
secara haram. Maka, apa maksud perkhabaran yang pelik itu?
Akhirnya tersingkaplah rahsia, terjawablah tanda
tanya, iaitu “Kami hendak menjadikan pemberian anak itu sebagai satu tanda
(yang membuktikan kekuasaan Kami) untuk umat manusia dan sebagai satu rahmat
dari Kami…”
Manusia terbiasa dengan kejadian yang berlaku saban
masa dan ketika di dalam hidupnya sehingga dia menyangka kejadian itu merupakan
satu ketentuan yang tidak mungkin berubah dan bertukar ganti. Allah mahu menjelaskan
bahawa segala peraturan dan undang-undang alam yang mendasari kehidupan dan
perjalanan alam semesta merupakan sunnah yang ditentukan dan diatur oleh
Pencipta Yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana. Sunnah itu akan berlaku, berjalan
seperti biasa selagi mana Dia Menghendakinya. Apabila Dia Menghendaki sunnah
itu tidak berlaku, atau Dia Menghendaki sesuatu itu berlaku tidak mengikut
sunnah yang ditentukannya, maka KehendakNyalah yang akan berlaku. Jadi,
penganugerahan anak kepada Maryam, seorang gadis suci yang tidak berkahwin
adalah satu ketentuan untuk membuktikan KekuasaanNya yang mutlak dan
KehendakNya yang tidak terbatas. Ia juga merupakan rahmat kepada kita kerana
dengan keyakinan yang sedemikian kita tidak akan berputus asa daripada
mengharap pertolonganNya walau dalam keadaan apa sekalipun. Dia berkuasa
melakukan apa saja tanpa terikat dengan sunnah yang melingkari kita.
Justeru, Maryam bukan isteri Tuhan. Dan anak yang
dilahirkannya bukan anak Tuhan. Kedua-duanya adalah satu tanda daripada tanda-tanda
Kebesaran Tuhan.
No comments:
Post a Comment