Monday, September 14, 2020

SAHKAH SOLATKU?

“Assalamu’alaikum, Ustazah. Bolehkah saya ambil sedikit masa ustazah untuk bincang hal peribadi?” Nini bertanya dengan teragak-agak. Ustazah Asiah sedang mengemaskan barang-barangnya selepas menyampaikan kuliah kepada muslimat sebentar tadi.
“Wa’alaikumus-salam. Boleh in syaa Allah,” jawab Ustazah dengan wajah yang manis sambil memandang tepat ke muka Nini.
“Silakan! Apa yang hendak dibincangkan?” sambung Ustazah lagi apabila melihat Nini membisu seperti dalam keadaan malu dan ragu-ragu.
“Ceritakanlah! Apa yang saya mampu in syaa Allah saya cuba tolong,” Ustazah cuba menghilangkan keraguan di hati Nini untuk bercerita tentang masalah yang dihadapinya.
“Nama saya, Nini. Saya baru berkahwin. Kami tak pernah kenal antara satu sama lain. Parent yang aturkan.”
“Oh begitu. Baguslah. Jadi, apa masalahnya?”
“Alhamdulillah dia seorang suami yang baik akhlaknya, Ustazah. Tapi saya risaukan agamanya...”
“Kenapa? Dia tak jaga solat ke?” Ustazah Asiah terus memasang serkap secara spontan kerana kebiasaannya, itulah persoalan yang sering diluahkan kepadanya oleh kebanyakan isteri. Suami tak jaga solat!
“Bukan, Ustazah. Dia sangat rajin menjaga solatnya. Tapi dia menganut mazhab lain daripada kita.”
“Mazhab apa?” Ustazah Asiah mengerutkan dahi. Minta-minta janganlah dia jawab mazhab syiah! Doanya di dalam hati.
“Saya tidak tahu, Ustazah. Tapi saya risau solat saya tidak sah bila berimamkan dia.”
“Kenapa?”
“Dia baca Fatihah tak sempurna...”
“Tak sempurna macam mana? Tak betul tajwid ke?”
“Bukan. Tajwidnya sangat bagus. Tarannum lagi.”
“Jadi, apa yang tak sempurna tu?”
“Dia tak baca bismillah...”
Ustazah menarik nafas. Barulah lega rasanya.
“Nini pernah tanya tak kenapa dia tak baca?”
“Tak, Ustazah. Saya tak berani sebab tak yakin dengan ilmu yang saya ada.”
Ustazah diam seketika. Dia membelek-belek kitab fiqh yang digunakan semasa menyampaikan kuliah tadi sambil mencari idea.
“Nini pernah pergi ke Mekah?”
“Belum ada rezeki lagi, Ustazah.”
“Di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, tidak kedengaran imam membaca bismillah. Kalau solat tak sah dengan sebab tak baca bismillah, maka jutaan muslimin di seluruh dunia tidak sah solat mereka.”
Muka Nini berkerut.
“Jadi? Macam mana sebenarnya, Ustazah?”
Ustazah Asiah menjelaskan bahawa terdapat perselisihan pendapat di kalangan ulamak tentang basmalah (bismillah).
Pertama - di sisi Mazhab Hanafi, basmalah diturunkan untuk menjadi pemisah di antara satu surah dengan surah yang lain. Ia bukan satu ayat daripada semua surah kecuali yang terletak pada ayat ke 30 surah an-Naml. Oleh kerana ia bukan satu ayat daripada surah al-Fatihah maka ia tidak wajib dibaca di dalam solat.
Kedua - di sisi Mazhab Maliki, sama juga dengan Mazhab Hanafi. Ia bukan satu ayat daripada al-Fatihan juga surah-surah lain. Maka ia tidak perlu dibaca di dalam solat fardhu bersama surah al-Fatihah juga bersama surah-surah lain.
Ketiga - di sisi Mazhab Syafie, basmalah adalah satu ayat daripada al-Fatihah. Maka ia wajib dibaca bersama dengannya dalam semua keadaan.
Keempat - di sisi Mazhab Hanbali, basmalah adalah satu ayat daripada surah al-Fatihah dan wajib dibaca di dalam solat. Tetapi ia dibaca dengan perlahan, tidak dinyaringkan walaupun dalam solat yang disunatkan membaca al-Fatihah dengan nyaring.
Nini mendengar penjelasan Ustazah Asiah dengan tekun. Kemudian dia bertanya,
“Jadi, kalau kita tak dengar imam baca bismillah tu tidak semestinya dia tak baca, bukan? Mungkin dia baca perlahan?”
“Betul.” Ustazah mengiakannya.
“Tak baca bismillah tu, bukan wahabi lah?”
“Apa pulak wahabinya? Dalam empat Mazhab yang saya jelaskan tadi, Mazhab Syafie sahaja yang wajib nyaringkan bismillah. Mazhab Hanbali tidak dinyaringkan, Hanafi dan Maliki tak wajib baca...”
Nini mengangguk-angguk. Lega rasanya. Sebelum ini dia sangat risau kalau-kalau suaminya merupakan pengikut wahabi yang dikatakan sesat dan terkeluar dari mazhab ahli sunnah waljamaah.
“Kebanyakan orang kita susah nak faham masalah berbeza pendapat ni. Parent saya pun dah pandang lain macam pada suami saya...”
“Nini tak bolehkah terangkan kepada mereka apa yang saya terangkan tadi?”
Nini mengerutkan wajah sambil menggeleng.
“Kalau begitu, bincanglah dengan suami.” saran Ustazah Asiah.
“Dengan suami? Macam mana?”
“Perkara paling asas yang perlu diutamakan ialah mengukuhkan ikatan kekeluargaan. Elakkan pertembungan terutama dalam perkara yang bukan asas. Membaca bismillah itu perkara khilaf. Walaupun kita mempunyai pendapat sendiri, tak perlulah kita tunjukkan kalau ianya boleh menimbulkan salah faham. Jadi ketika menjadi Imam kepada ahli keluarga, bacalah bismillah secara nyaring sebagaiman yang diwajibkan di dalam Mazhab Syafie.”
Nini mengangguk.
“Terima kasih, Ustazah. In syaa Allah saya akan cuba. Mohon doakan kami ya!”
“In syaa Allah... Sama-sama kita doakan”

1 comment:

sophea ◇ said...

terima kasih atas post yang sangat berguna ini .