Saturday, December 31, 2016

Selamat datang 2017


Senja ini, 2016 sedang melangkah perlahan-lahan bagi memberi laluan kepada temannya yang baru, 2017.

Setahun berlalu, pastinya banyak peristiwa suka dan duka, pahit dan manis, ni’mat dan musibah yang ditempuhi, baik di peringkat peribadi, keluarga, dan ummah seluruhnya.

Sebagai menghayati firman Allah ayat ke 11 surah adh-Dhuha “Dan terhadap ni’mat Tuhanmu, hendaklah engkau nyatakan!”, saya ingin berkongsi ni’mat dan kebaikan yang tidak terungkap nilainya, alhamdulillah.

Antara ni’mat paling ketara buat kami sekeluarga pada tahun 2016 ialah pertambahan ahli keluarga yang sangat membahagiakan. Januari, lahir cucu yang ke 10, Jun yang ke 11 dan July yang ke 12.
Januari juga berlangsung perkahwinan puteriku yang pertama (anak ke 6). Dengan  itu kami menerima menantu lelaki pertama yang menyenangkan. Dan berlangsung juga pertunangan puteriku yang bongsu yang diharapkan akan menambah bahagia dan ceria di dalam keluarga kami pada tahun hadapan in syaa Allah.

Dan yang tidak kurang penting ialah peluang mengikuti Elite Camp yang membuka satu dimensi baru, satu pandangan dari sudut yang berbeza terhadap harta dan perniagaan (agak panjang untuk dikongsikan di sini. In syaa Allah jika ada yang bertanya, saya akan cuba terangkan)


Selamat datang 2017 yang bakal mengheret usiaku lebih hampir ke tempat persemadian...  

Friday, December 30, 2016

AWASI LIDAH!




Daripada Abi Sa’eid al-Khudri r.a. Nabi s.a.w. bersabda: “Apabila anak Adam bangun di waktu pagi, seluruh anggota tunduk kepada lidah dan memperingatkannya: “Bertaqwalah kamu kepada Allah tentang kami kerana sesungguhnya kami bergantung kepadamu; sekiranya kamu lurus, luruslah kami, dan sekiranya kamu bengkok, bengkoklah kami” Riwayat at-Tirmizi.

SEMUA sedia maklum peranan lidah dan kata-kata yang diungkapkan. Pepatah Melayu mengatakan, sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan binasa. Kata-kata adalah cerminan diri. Tutur kata yang baik melambangkan peribadi yang baik dan mulia. Tutur kata yang kasar dan kesat tidak lahir kecuali daripada hati yang kering dan tandus budi.

Kata-kata juga lambang keimanan. Di dalam sepotong hadis yang lain, Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah dia bercakap perkara yang baik atau hendaklah dia diam.”


Zaman ledakan IT dan teknologi maklumat masa kini, peranan lidah banyak diambil alih oleh tangan menerusi  papan kekunci. Jadi sebagaimana kita wajib menjaga lidah, begitulah kita wajib menjaga jari jemari ketika mengetuk papan kekunci. Jangan terjadi sekali keyboard diketuk, seribu kali diri dikutuk.  

MERTUA DAN MENANTU


Kisah sedih yang sering berulang: hubungan mertua dengan menantu. Baru-baru ini saya berkenalan dengan seorang ibu tunggal berusia 81 tahun. Selepas berkenalan secara ringkas mengenai keluarga dan latar belakang satu sama lain, dia bertanya:
-          Ustazah, menantu awak ok tak?
-          Alhamdulillah ok. Semuanya baik-baik
-          Ooo menantu perempuan lain daripada menantu lelaki kot? (dia tidak ada menantu perempuan kerana anaknya tiga orang semuanya perempuan)
-          Saya ada juga menantu lelaki. Pun baik alhamdulillah, macam anak sendiri.
-          Hemm nasib awak baik la... (dalam hati saya mengucapkan syukur, alhamdulillah kerana Allah telah mentakdirkan saya menerima menantu yang baik. Tahniah dan terima kasih kepada semua besan yang telah berjaya mendidik anak-anak dan menyerahkan mereka kepada saya sebagai menantu yang baik. Alhamdulillah)
Dan dia terus memanjangkan keluhannya, menceritakan perihal menantu-menantunya yang tidak bersikap baik terhadapnya. Bila dia datang ke rumah anak menantunya, menantunya hanya menegur sepatah, “bila datang?” kemudian membisu sampailah dia pulang walaupun dia tinggal berhari-hari di rumah menantunya itu. Namun begitu dia tetap datang kerana rindukan anak dan cucu-cucu. Sekarang dia tambah risau kerana akhir-akhir ini anaknya pula menunjukkan sikap yang dingin terhadapnya.
Saya tanya dia tentang sara hidupnya bagaimana? Dia berkata:
-          Anak saya bagi. Tapi saya bukan perlukan wang sahaja. Saya perlukan LOVE....
Mendengar sungutannya yang mengguris hati itu saya teringat kepada sepotong hadis yang ingin saya kongsikan hari ini.


Hadis ini diriwayatkan oleh Muslim daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Celakalah, kemudian celakalah, kemudian celakalah!”
Baginda s.a.w. ditanya, siapakah yang celaka itu ya Rasulullah?
Sabda baginda: “Orang yang sempat hidup di kala kedua ibu bapanya atau salah seorang daripada keduanya telah menjangkau usia tua, kemudian dia tidak masuk syurga!”

Tahniah kepada semua sahabat yang Allah beri peluang dan kesempatan menjaga ibu dan ayah yang telah menginjak ke usia tua. Allah telah membuka pintu syurga untuk anda dan telah memilih anda untuk menjadi penghuninya. Jangan sia-siakan peluang keemasan ini. Berbaktilah kepada keduanya sehabis daya. Ingat kata-kata ibu tua di atas, “saya bukan perlukan wang sahaja, tapi saya perlukan LOVE!”

Monday, December 26, 2016

Semak keislaman anda!


Sungguh, kita orang Islam. Kita muslim yang beriman kepada Allah dan RasulNya. Kita mengucap dua kalimah syahadah, solat, puasa, berzakat, menunaikan haji dan umrah. Namun sejauh mana sifat muslim terhias pada diri kita?
Sejauh mana akhlak muslim mewarnai tingkah laku kita?
Hadis ini sebagai jawapannya:

قال النبي صلى الله عليه وسلم : الْمُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ . رواه البخاري ومسلم

Mafhumnya (bukan terjemah harfiah): “Seorang muslim ialah yang mensejahterakan orang-orang Islam dari gangguan lidahnya dan tangannya”

Itulah definisi muslim yang dikemukakan oleh junjungan kita s.a.w.
Menjadi muslim tidak cukup hanya dengan membawa nama sebagai muslim. Tidak cukup dengan ibadah yang banyak siang dan malam. Tidak cukup dengan menghafal ayat-ayat al-Quran dari kulit ke kulit atau mengkaji hadis berjilid-jilid.
Ibadah yang banyak, ayat-ayat yang dihafal mesti membekas pada hati dan jiwa, lalu terpancar pada perbuatan serta kata-kata.
Tidak ada insan yang rasa terganggu dengan kata-katanya yang kesat, atau perbuatannya yang sumbang dan menyakitkan.
Ringkasnya, muslim hendaklah sentiasa berwaspada dalam setiap gerak dan tutur katanya supaya tidak menyakiti orang lain, baik secara tidak sengaja apa lagi dengan sengaja.

Jika telah tersasar tanpa sedar, segeralah memohon maaf dengan tulus ikhlas.

Nabi Isa a.s. dan Krismas



Sempena sambutan hari Krismas oleh penganut Kristian pada hari ini, mari kita renungi hadis berkenaan dengan Nabi Isa alaihis-salam.

عن أَبي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ( وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ ، لَيُوشِكَنَّ أَنْ يَنْزِلَ فِيكُمْ ابْنُ مَرْيَمَ حَكَمًا عَدْلًا ، فَيَكْسِرَ الصَّلِيبَ ، وَيَقْتُلَ الخِنْزِيرَ ، وَيَضَعَ الجِزْيَةَ ، وَيَفِيضَ المَالُ حَتَّى لاَ يَقْبَلَهُ أَحَدٌ ، حَتَّى تَكُونَ السَّجْدَةُ الوَاحِدَةُ خَيْرًا مِنَ الدُّنْيَا وَمَا فِيهَا . ثُمَّ يَقُولُ أَبُو هُرَيْرَةَ : وَاقْرَءُوا إِنْ شِئْتُمْ : ( وَإِنْ مِنْ أَهْلِ الكِتَابِ إِلَّا لَيُؤْمِنَنَّ بِهِ قَبْلَ مَوْتِهِ ، وَيَوْمَ القِيَامَةِ يَكُونُ عَلَيْهِمْ شَهِيدًا) رواه البخاري  ومسلم

Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Demi Tuhan yang nyawaku di TanganNya, hampir-hampir akan turun di dalam kalangan kamu Putera Maryam sebagai hakim yang adil. Lalu baginda akan mematahkan salib, membunuh khinzir, menghapuskan jizyah. Harta benda melimpah ruah sehingga tiada seorangpun yang mahu menerimanya. Pada masa itu satu sujud kepada Yang Esa menjadi lebih baik daripada dunia dan semua isinya.” Kemudian Abu Hurairah berkata: Jika kamu mahu, bacalah firman Allah (yang bermaksud): “Dan tidak ada seorang pun dari kalangan ahli Kitab melainkan ia akan beriman kepada Nabi Isa sebelum matinya dan pada hari kiamat kelak Nabi Isa akan menjadi saksi terhadap mereka.” (An-Nisaa' 4:159) Riwayat al-Bukhari ( 3448 ) dan Muslim  ( 155 ) .

Menurut Ibn Hajar, hadis ini menunjukkan bahawa hanya syariat Nabi Muhammad s.a.w. sahaja yang diterima dan diiktiraf hingga ke hari qiamat, yang selainnya ditolak dan dibatalkan. Turunnya Nabi Isa a.s. di akhir zaman tidak membawa syariat yang baru, sebaliknya baginda menjunjung dan menegakkan syariat Nabi Muhammad s.a.w.

Mengenai hikmah turunnya Nabi Isa a.s. di akhir zaman, Ibn Hajar telah mengemukakan tiga pendapat ulamak tentang hal itu,
Pertama: hikmah turunnya Nabi Isa, bukan Nabi yang lain ialah untuk menolak dakwaan kaum Yahudi yang mengatakan bahawa mereka telah membunuh Nabi Isa a.s. Maka dengan turunnya baginda itu, Allah s.w.t. menjelaskan dengan tegas bahawa mereka tidak membunuhnya, tetapi bagindalah yang akan membunuh mereka.
Kedua: Baginda turun kerana ajalnya sudah dekat. Maka baginda turun supaya jasadnya dapat disemadikan di dalam tanah kerana tidak ada satu makhluk pun yang diciptakan daripada tanah akan mati dan di tanam di tempat selain daripada tanah.
Ketiga: Baginda pernah berdoa kepada Allah, setelah baginda melihat sifat Nabi Muhammad s.a.w. dan sifat umatnya, maka baginda memohon agar menjadikannya termasuk dalam golongan mereka. Lalu Allah qabulkan doanya dan mengekalkan hayatnya sehingga baginda turun di akhir zaman memperbaharui urusan agama Islam. Turunnya bersamaan dengan zaman Dajjal. Maka baginda yang membunuhnya.


Setelah mengemukakan ketiga-tiga pandangan di atas, Ibn Hajar berkata pandangan yang pertama lebih kemas dan lebih mantap.

Doa ketika keluar dari rumah


عَنْ أُمِّ المُؤمِنِينَ أُمِّ سلَمَةَ رضي اللَّهُ عنها أن النبيَّ صَلّى اللهُ عَلَيْهِ وسَلَّم كانَ إذَا خَرجَ مِنْ بيْتِهِ قالَ : « بسم اللَّهِ، توكَّلْتُ عَلَى اللَّهِ، اللَّهُمَّ إِنِّي أعوذُ بِكَ أنْ أَضِلَّ أو أُضَلَّ ، أَوْ أَزِلَّ أوْ أُزلَّ ، أوْ أظلِمَ أوْ أُظلَم ، أوْ أَجْهَلَ أو يُجهَلَ عَلَيَّ » رواه أبو داود والتِّرمذيُّ.

Daripada Ummul Mu’minin Ummu Salamah r.a. bahawa Nabi s.a.w. apabila (hendak) keluar dari rumahnya, baginda berdoa: “Dengan Nama Allah, aku bertawakkal kepada Allah. Ya Tuhanku, sesungguhnya aku berlindung denganMu daripada sesat atau disesatkan, tergelincir atau digelincirkan, zalim atau dizalimi, jahil atau dijahilkan ke atasku!”
Setiap orang daripada kita apabila keluar rumah pasti akan bertemu, bergaul, berinteraksi dan berurusan dengan makhluk sama ada manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan dan sebagainya. Ketika berhubung dan berurusan dengan makhluk, berbagai-bagai kemungkinan boleh berlaku. Maka langkah terbaik adalah bertawakkal kepada Allah, memohon pertolongan dan perlindunganNya.

Pertama, Nabi s.a.w. memohon agar dilindungi dari kesesatan dengan melakukan perkara yang bercanggah dengan dasar Islam atau disesatkan, terpengaruh dengan pemikiran-pemikiran yang salah dan menyeleweng dari jalan yang lurus.

Kedua, Nabi s.a.w. memohon agar dilindungi dari tergelincir ke jalan yang salah yang mungkin berlaku tanpa sengaja dan tanpa disedari ianya salah, juga dilindungi dari pihak lain yang cuba memesong dan menggelicirkannya.

Ketiga, Nabi s.a.w. memohon agar dilindungi dari melakukan kezaliman kepada pihak lain atau dizalimi

Keempat, Nabi s.a.w. memohon agar dilindungi dari kejahilan atau kebodohan dan diperbodohkan.

Sedia maklum bahawa Nabi s.a.w. adalah seorang yang maksum, yang terpelihara dari dosa dan kesalahan. Apa yang dipohon oleh baginda di dalam doa ini sebenarnya untuk mengajar kita kerana kitalah yang sebenarnya memerlukan doa seperti itu. Itulah perkara yang selalu kita hadapi ketika berinteraksi dengan makhluk; diperdaya, ditipu, dizalimi, diperbodohkan dan macam-macam lagi. Diri kita sendiripun kadang-kadang tidak terlepas dari kesilapan; penipu, berbohong, menyakitkan dan sebagainya.


Justeru, Nabi s.a.w. mengajar kita agar sebelum keluar, betulkan niat tanamkan azam, beritahu kepada diri sendiri bahawa kita hanya mahu mengikuti jalan yang benar dan lurus, kita mahu berbuat baik kepada semua makhluk dan kita adalah insan yang dianugerahkan akal yang waras, yang dibimbing oleh wahyu yang benar, maka kita tidak akan mudah dipengaruhi apa lagi diperbodohkan. Dan Allah adalah sebaik-baik Pelindung, Pembimbing dan Penunjuk kepada kebenaran. 

Thursday, December 22, 2016

MERAIH 1000 HASANAH

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: أيعجز أحدكم أن يكسب كل يوم ألف حسنة؟ فسأله سائل من جلسائه: كيف يكسب أحدنا ألف حسنة؟ قال: يسبح مائة تسبيحة فتكتب له ألف حسنة، أو تحط عنه ألف خطيئة

Hadis ini telah diriwayatkan oleh Muslim daripada Sa’d bin Abi Waqqas r.a.
Sa’d berkata, ketika kami duduk di sisi Rasulullah s.a.w., baginda bersabda: “Adakah salah seorang daripada kamu tidak mampu untuk meraih 1000 hasanah setiap hari?”
Salah seorang yang duduk di sisinya bertanya: “Bagaimana hendak meraih 1000 hasanah?”
Baginda menjawab: “Dia bertasbih 1000 kali! Maka dicatat untuknya 1000 hasanah atau dihapuskan darinya 1000 khateeah (kesalahan/dosa)!”

Subhanallah! Satu lagi bukti betapa rahmahnya agama yang dibawa oleh Nabi yang rahmah daripada Allah Yang Maha Rahim dan Maha Rahman.

Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang amat mengetahui kelemahan dan keterbatasan upaya hambaNya. Maka Islam diturunkan sesuai diamalkan oleh semua golongan manusia tanpa mengira kaya atau miskin, lelaki atau perempuan, sibuk atau lapang, sihat atau sakit, muqim atau musafir, di darat, di laut atau di udara, alim atau jahil, kuat atau lemah, muda atau tua, masa susah atau senang. Semuanya mempunyai peluang yang sama untuk meraih kebaikan sebanyak-banyaknya.

Untuk menimbun pahala, tidak perlu mengeluarkan modal sedikitpun, tidak perlu bergerak berasak mengejar masa. Yang perlu hanya gerakkan bibir pada bila-bila masa, di mana saja, dalam keadaan apa sekalipun. Ucaplah SUBHALLAH sebanyak-banyaknya.


Namun, jangan lupa! Ada harta, infaqkan. Ada tenaga, sumbangkan. Ada ilmu, sebarkan. Ada kemahiran, ajarkan. Pastinya akan berganda-ganda lagi hanasah untuk anda. 

MENEGUR PEMIMPIN YANG ZALIM

Perkongsian hari ini berkenaan dengan tanggungjawab seorang pemimpin

Daripada Hasan al-Basriy, bahawasanya ‘Aaedz bin ‘Amru r.a masuk bertemu dengan Ubaidillah bin Ziyad  dan berkata: “Wahai anakku, sesungguhnya aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya sejahat-jahat pemimpin ialah al-hutomah.” Maka berwaspadalah engkau agar tidak termasuk dalam golongan itu!”
Ubaidillah berkata kepada ‘Aaedz: “Duduklah engkau! Sesungguhnya engkau hanyalah daripada hampas sahabat-sahabat Muhammad s.a.w.!”
‘Aaedz menjawab: “Adakah terdapat di kalangan mereka itu hampas? Sesungguhnya hampas hanya ada pada generasi selepas mereka dan orang lain daripada mereka.” Riwayat Muslim

Ubaidillah bin Ziyad adalah seorang gabenor pada ketika itu. Dia banyak melakukan kezaliman dan menumpahkan darah tanpa belas kasihan. ‘Aaedz datang untuk menasihatinya dengan menyampaikan apa yang pernah didengarnya sendiri daripada mulut Nabi s.a.w. tentang sifat pemimpin yang jahat yang disebut sebagai hutomah. Ia bermaksud pemimpin yang bersikap kasar dan zalim terhadap rakyatnya dan tidak ada perasaan kasihan belas terhadap mereka. Satu daripada sifat neraka adalah hutomah kerana ia melanyak dan menghancurkan penghuninya tanpa belas.

Dan kerasnya hati Ibn Ziyad tergambar pada jawapannya sehingga menyifatkan sahabat Nabi s.a.w. yang cuba menasihatinya sebagai hampas. Ulamak sepakat bahawa para sahabat semua merupakan insan terbaik yang telah dipilih oleh Allah untuk mendampingi Rasulullah s.a.w. dan berjuang bersamanya dalam menyebar dan menegakkan agama suci ini. Mereka adalah insan terpilih, bukan hampas.

Hadis ini memberikan panduan yang sangat berguna tentang kewajipan pemimpin terhadap orang yang dipimpinnya, tidak kira sama ada pemimpin di peringkat negara, daerah, organisasi, jabatan, perkumpulan sehingga kepada institusi yang paling kecil dan paling asas, pemimpin dalam sebuah rumahtannga.

Betapa kasih dan cintanya seorang pemimpin terhadap orang yang dipimpinnya digambarkan pada peribadi Rasulullah s.a.w. di dalam ayat yang bermaksud: “Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat inginkan kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.” (At-Taubah 9:128)

Hadis ini juga menunjukkan akhlak serta sikap sahabat r.a. Mereka tidak berdiam diri melihat kezaliman pihak berkuasa. Mereka tidak teragak-agak untuk menegur tanpa memikirkan implikasinya.

Pengajaran penting:
1.   Sebagai pemimpin hendaklah bertanggungjawab dan sentiasa memikirkan kebajikan orang yang dipimpin dengan penuh rasa kasih dan sayang terhadap mereka.

2.   Sebagai rakyat hendaklah memainkan peranan menasihati dan melarang pemimpin dari melakukan penyelewengan dan kezliman terhadap rakyatnya. 

HAK KEBEBASAN WANITA

Insyaa Allah hari ini, 19 Rabiul Awwal 1438 saya akan kongsikan hadis yang agak jarang didengar. Ia berligar di sekitar kisah cinta di zaman Nabi s.a.w. antara seorang wanita bernama Bareerah dan lelaki bernama Mughits. Pasti semua sahabat akan teruja menghayatinya.

عَنْ عَائشَةَ رضيَ اللَّهُ عَنْها قالَتْ: "خُيِّرَتْ بريرَةُ عَلى زَوْجِهَا حين عَتَقَتْ" مُتّفقٌ عَلَيْهِ

Kisah ini digabungkan daripada dua riwayat, daripada Aisyah r.anha dan daripada riwayat Ibn Abbas r.anhu.

Aisyah r.anha berkata: “Bareerah diberi pilih (sama ada mahu terus bersama dengan suami atau berpisah) selepas dia dimerdekakan.” Muttafaq ‘alaih.

Daripada Ibn Abbas r.anhu, bahawasanya suami Bareerah seorang hamba yang dikenali dengan nama Mughits, aku melihatnya berputar-putar mengekori Bareerah, sedang air matanya meleleh membasahi janggutnya. Maka Nabi s.a.w. berkata kepada Abbas r.anhu: “Wahai Abbas, tidakkah engkau kagum melihat betapa cintanya Mughits kepada Bareerah dan betapa bencinya Bareerah kepada Mughits?”
Dan Nabi s.a.w. berkata kepada Bareerah: “Mahukah engkau kembali kepadanya?”  
Bareerah bertanya baginda: “Adakah tuan perintahkan saya supaya kembali kepadanya?”
Nabi s.a.w. menjawab: “Tidak. Aku hanya cuba merayu bagi pihaknya.”
Bareerah menjawab: “Saya tidak berhajat kepadanya!” Riwayat al-Bukhari dan lain-lain.

Bareerah r.anha asalnya seorang hamba. Dia dinikahkan oleh tuannya semasa dia masih hamba. Sebagai hamba, tentulah dia tidak ada pilihan kecuali patuh kepada apa yang diputuskan oleh tuannya. Apabila dia mendapat kebebasan, maka dia diberi hak untuk memilih apa yang dia inginkan dalam hidupnya termasuklah soal cinta dan emosinya.

Kisah ini memberikan gambaran yang sebenar tentang keagongan Islam dalam melayani hak kebebasan individu termasuklah golongan hamba dan wanita.

Seringkali masyarakat memomok-momokkan bahawa wanita sering dianak tirikan, wanita tidak diberikan hak keistimewaan seperti  lelaki, wanita sering ditindas dan dipaksa menurut saja kehendak lelaki dan sebagai-sebagai.
Maka renungkanlah apa yang dipaparkan di dalam hadis ini. Seorang hamba wanita yang baru saja mendapat kembali hak kebebasan diri yang sepatutnya dijamin untuk setiap insan yang lahir ke dunia ini. Sejurus selepas hak kebebasan itu dikembalikan kepadanya, maka dia diberikan sepenuh-penuh kesempatan untuk menikmati haknya tanpa sekatan dan kongkongan dari sesiapa hatta insan yang paling mulia di dunia, Rasulullah s.a.w.!

Lihatlah apabila Rasulullah s.a.w. bertanya tidak mahukah dia kembali kepada suaminya? Beliau bertanya dengan penuh rasa izzah, adakah itu satu perintah? Sebagai muslimah dan mu’minah dia faham akan tuntutan agama, iaitu perintah Allah dan Rasul tidak boleh dibantah. Selogan orang beriman adalah sam’an (dengar) wa to’atan (taat).

Namun, sekali lagi prinsip Islam terserlah pada jawapan Nabi s.a.w. Baginda datang untuk mengajarkan prinsip-prinsip dan nilai agama yang unggul. Baginda tidak diutus untuk campur tangan atau mengendalikan perasaan dan emosi manusia, apa lagi memaksa mereka memilih sesuatu yang mereka tidak suka. Lantas Bareerah bertegas dengan keputusan yang telah dipilihnya sebagai pengajaran kepada kita bahawa Islam adalah agama yang membawa kebebasan yang hakiki. Batasan kebebasan kita adalah larangan Allah dan Rasul dan perkara-perkara yang bercanggah dengan prinsip Islam atau yang membawa mafsadah atau mudarat kepada agama, manusia dan alam.


JOM sebarkan Islam yang suci dan penuh rahmah ini.

Saturday, December 17, 2016

WAJIB BERPEGANG KEPADA SUNNAH

Sabtu 17/12/2016 bersamaan 17/03/1438  tidak sempat berkongsi sebarang hadis kerana menghadiri Konvensyen Ekonomi dan Kewangan Islam (KEKI) di Kompleks IKRAM Pusat dari pagi sampai ke petang. Malam baru tiba di rumah, mengantuk dan keletihan. Maafkan aku wahai diri kerana tidak menepati janji. In syaa Allah hari ini saya sambung perkongsian. Terima kasih kepada semua yang sudi membaca dan membantu memanjangkan pahala dengan “share”. Sahabat-sahabat tak perlu minta izin untuk share. Kalau dirasakan baik dan bermanfaat, silakanlah tanpa waswas.

عن أبن عباس رضي الله عنهما قال: بينما النبي صلى الله عليه وسلم يخطب إذا هو برجل قائم، فسال عنه فقالوا: أبو إسرائيل نذر أن يقوم في الشمس ولا يقعد، ولا يستظل ولا يتكلم، و يصوم، فقال النبي صلى الله عليه وسلم: (مروه فليتكلم وليستظل وليقعد، وليتم صومه) رواه البخاري

Daripada Ibn Abbas r.a. Beliau menceritakan, ketika Nabi s.a.w. sedang berkhutbah, tiba-tiba baginda terpandang seorang lelaki sedang berdiri. Baginda bertanya tentang lelaki itu. Mereka menjawab: “Abu Israel. Dia bernazar untuk berdiri (di bawah terik) matahari, tidak akan duduk, tidak akan berteduh, tidak akan bercakap, dan dia berpuasa.” Nabi s.a.w. bersabda: “Suruh dia supaya bercakap, berteduh, duduk, dan sempurnakan puasanya.” Riwayat al-Bukhari.

Ulamak yang mensyarahkan hadis ini berkata peristiwa itu berlaku ketika Rasulullah s.a.w sedang menyampaikan khutbah Jumaat di atas minbar dan lelaki itu berbuat demikian bertujuan untuk menghormati dan membesarkan khutab sampakan dia bernazar tidak akan duduk sehingga Rasulullah s.a.w. selesai menyampaikan khutbahnya.

Teguran Nabi s.a.w. terhadap perbuatan lelaki itu menunjukkan betapa rahmanya ajaran Islam. Islam tidan menjadikan wasilah untuk taqarrub kepada Allah dengan menyiksa dan memaksa diri melakukan sesuatu yang membebankan. Prinsip hukum Islam adalah mudah dan tidak membebankan. Ada ibadah yang mewajibkan kita berdiri, iaitu ketika menunaikan solat fardhu. Namun tidak bermakna perbuatan berdiri itu satu kelebihan jika dilakukan di luar solat.

Memang terdapat kecenderungan sesetengah penganut agama bersikap berlebih-lebihan dalam mempraktikkan agama dan menganggap semakin sukar sesuatu amalan, semakin besar pahala dan semakin dekat dengan Allah Ta’ala. Abu Israel mewakili golongan itu sehingga dia lupa di sisinya masih ada Rasul yang diutus untuk menjadi contoh kepada umatnya.

Hadis ini jelas menunjukkan bahawa ibadah dan taqarrub kepada Allah tidak boleh dilakukan mengikut kehendak atau mengikut apa yang kita suka. Allah hanya menerima apa yang diperintahkan melalui Rasul utusannya. Sesungguhnya Rasul diutus bukan sekadar untuk menyampaikan, sebalik untuk ditaati dan dicontohi. Firman Allah Ta’ala bermaksud:
“Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya).” (Al-Hasy-r 59:7)

Namun, jangan pula ada yang beranggapan bahawa dalam Islam semuanya mudah. Memang pada asalnya hukum Islam  dibina di atas prinsip mudah dan tidak menyusahkan. Namun terdapat ibadah yang sukar dan memerlukan pengorbanan seperti haji dan jihad fi sabilillah. Malah jihad merupakan sebesar-besar ibadah yang dituntut demi menegakkan dan meninggikan Kalimah Allah.

Jadi, apa yang dilarang adalah mereka-reka ibadah dan cara mendekatkan diri kepada Allah tanpa merujuk kepada sunnah Rasulullah s.a.w. sehingga menyusahkan diri sendiri. Namun bersusah payah dan berkorban melakukan apa yang diwajibkan dituntut dan dipuji...

Wednesday, December 14, 2016

KEMULIAAN MANUSIA DI SISI ISLAM


Manusia secara umumnya merupakan makhluk yang dihormati dan dimuliakan. Tidak ada pengecualian sama ada berdasarkan warna kulit, bangsa maupun agama. Allah Ta’ala telah menegaskan di dalam kitab suciNya al-Quranul-Karim yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.” (Al-Israa' 17:70)
Kemuliaan yang diberikan ini adalah umum dan menyeluruh, merangkumi muslim dan non muslim. Semua manusia diberikan kemudahan menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut. Semua manusia diberikan rezeki dari benda-benda yang baik-baik. Dan semua manusia diberikan kelebihan berbanding dengan kebanyakan makhluk-makhluk yang Allah ciptakan.
Pandangan Islam tentang kemuliaan manusia secara menyeluruh ini ditampilkan dalam semua aspek Syariat Islam yang unggul, dicernakan pada akhlak dan tindak tanduk Rasulullah s.a.w. ketika berinteraksi dengan manusia tanpa mengira kawan atau lawan. Baginda s.a.w. sentiasa melayani setiap manusia sebagai makhluk yang dimuliakan. Mereka tidak harus dihina atau dizalimi. Tidak harus dicerobohi hak-hak mereka atau dipandang rendah kedudukan mereka.
Bertitik tolak dari prinsip ini, Allah melarang pembunuhan sesama manusia tanpa alasan yang benar. FirmanNya bermaksud: “... dan janganlah kamu membunuh jiwa yang telah diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh Syarak).” (Al-An'aam 6:151)
Larangan membunuh di dalam ayat ini meliputi muslim dan non muslim. Sesungguhnya keadilan dalam syariat Islam merangkumi semua golongan tanpa mengira bangsa atau kedudukan. Ketika mentafsirkan ayat ini, al-Qurtubi menyatakan, “Ayat ini melarang kita membunuh seorang manusia yang diharamkan Allah membunuhnya sama ada orang yang beriman atau orang yang diberikan hak tinggal dengan aman, melainkan ada sebab yang membolehkan mereka dihukum bunuh.” Beliau juga mengemukakan beberapa Hadis yang berkaitan dengan larangan membunuh non muslim yang tinggal dengan aman di dalam negara Islam. Antaranya Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Bakrah r.a. daripada Rasulullah s.a.w. “Sesiapa yang membunuh mu’ahid (non muslim yang berjanji hidup aman di dalam negara Islam) tanpa alasan yang membenarkannya, Allah haramkan ke atasnya syurga.”
Sesungguhnya Syariat Islam tidak mengiktiraf kezaliman dalam semua bentuknya. Larangan ini jelas terpancar  di dalam ayat-ayat dan hadis-hadis yang tidak terhitung jumlahnya. Ia ditegah dan ditolak sehingga ke hari qiamat. Allah berfirman maksudnya: “Dan (ingatlah) Kami akan mengadakan neraca timbangan yang adil untuk (menimbang amal makhluk-makhluk pada) hari kiamat; maka tidak ada diri sesiapa akan teraniaya sedikitpun; dan jika (amalnya) itu seberat biji sawi (sekalipun), nescaya Kami akan mendatangkannya (untuk ditimbang dan dihitung); dan cukuplah Kami sebagai Penghitung.” (Al-Anbiyaa' 21:47)

Bagi mengukuhkan lagi penentangan Islam terhadap kezaliman sehinggakan Allah mengharamkannya ke atas DiriNya sendiri dan mengharamkannya ke atas seluruh hamba-hambaNya. FirmanNya di dalam sepotong Hadis Qudsi yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Dzar r.a. “Wahai hamba-hambaKu, sesungguhnya Aku mengharamkan kezaliman ke atas DiriKu dan Aku jadikan kezaliman itu haram di antara sesama kamu. Maka janganlah kamu zalim menzalimi.”
Rasulullah s.a.w. menunjukkan contoh terbaik dalam memuliakan insan apabila baginda berdiri ketika jenazah seorang yahudi diusung melintasi baginda. Muslim meriwayatkan daripada Abi Laila bahawa Qais bin Saad dan Shal bin Hunaif ketika berada di al-Qadisiah bangun berdiri ketika jenazah diusung melintasi hadapan mereka berdua. Mereka ditanya kenapa berdiri sedangkan jenazah itu dari kalangan penduduk al-Qadisiah yang beragama majusi? Mereka menjawab: “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. bangun berdiri ketika satu jenazah diusung melintasi di hadapan baginda. Apabila diberitahu bahawa jenazah itu adalah Yahudi, baginda bersabda: “Bukankah dia satu jiwa?”
Alangkah hebatnya sikap baginda! Ia benar-benar menggambarkan pandangan Islam terhadap diri manusia. Sikap Rasulullah s.a.w. telah berjaya menanamkan di dalam diri umat Islam sifat menghormati dan memuliakan setiap diri insan seluruhnya tanpa mengira bangsa atau anutannya. Baginda s.a.w. berdiri memberi penghormatan kepada jenazah itu walaupun setelah diberitahu bahawa jenazah itu adalah Yahudi. Orang-orang Yahudi yang hidup di zaman Nabi s.a.w. di Madinah melihat dengan jelas bukti-bukti kerasulan baginda, mendengar hujjah-hujjah yang mantap dan padat daripada baginda, namun mereka tidak beriman. Bahkan mereka memusuhi baginda dan merancang berbagai-bagai serangan secara fizikal dan moral. Dengan segala kejahatan dan kezaliman yang dilakukan oleh mereka, Rasulullah s.a.w. tetap bangun berdiri memberi penghormatan kepada jenazah itu, jenazah seorang Yahudi yang tidak baginda kenalipun kerana sahabat hanya memberitahu bahawa itu jenazah Yahudi tanpa menyembut nama atau sifatnya. Kalau diberitahu nama atau sifatnya mungkin baginda kenal dan baginda tahu orang itu pernah membuat kebaikan kepada mana-mana orang Islam, lalu baginda bangun kerana mengenang secebis kebaikan itu. Tetapi tidak begitu. Baginda hanya bangun berdiri kerana menghormatinya sebagai manusia semata-mata! “Bukankah dia seorang manusia?”, hanya itu alasan baginda untuk menghormatinya. Dan penghormatan itu bukan hanya sepintas lalu. Bahkan baginda berdiri lama sehingga jenazah itu ghaib dari pandangan mata. Menurut Riwayat Muslim daripada Jabir r.a. “Nabi s.a.w. dan para sahabatnya r.a. berdiri menghormati jenazah seorang Yahudi sehingga jenazah itu ghaib dari pandangan mata.”
Dan perbuatan itu terpahat kukuh di jiwa sahabat betapa setiap manusia perlu dihormati sebagai satu jiwa tidak kira bangsa atau agama. Itulah yang dilakukan oleh Qais bin Saad dan Sahal bin Hunaif. Mereka berdiri menghormati jenazah seorang majusi yang menyembah api. Majusi bukan ahli kitab. Malah aqidahnya bercanggah sama sekali dengan aqidah Islam. Namun sahabat r.a. memahami nilai seorang insan dan kemuliaannya.
Itulah pandangan Islam terhadap bukan Islam. Pandangan yang ditanam zaman berzaman di dalam minda umat Islam tentang bagaimana seharusnya mereka berinteraksi dengan bukan Islam.
Selain itu, satu lagi prinsip penting yang diajar oleh Islam dalam hubungan muslimin dengan mereka yang brbeza pegangan agama, yang berbeza prinsip dan kefahaman. Islam mengajar bahawa perbezaan di kalangan manusia adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Ia mesti diakui. Tidak akan ada satu zaman di mana semua manusia sependapat dalam sesuatu isu termasuk dalam isu tauhid dan ketuhanan. Allah Ta’ala sendiri telah berfirman maksudnya: “Dan kalaulah Tuhanmu (wahai Muhammad) menghendaki, tentulah Ia menjadikan umat manusia semuanya menurut agama yang satu. (Tetapi Ia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan.” (Hud 11:118)

Justeru, seorang muslim sedia memahami bahawa terdapat manusia yang berlainan aqidah dengannya. Muslim mengetahui bahawa meniadakan orang yang berlainan aqidah dari muka bumi ini adalah sesuatu yang mustahil. Lantaran itu muslim menjalani kehidupan dengan mereka secara natural. Tambahan pula Syariat Islam telah menerangkan dengan jelas sekali cara berinteraksi dan membina persefahaman dengan bukan Islam.
Di samping itu, muslim diajar bahawa perhitungan di hari akhirat hanya di tangan Allah semata-mata. Kalau Allah menghendaki seseorang insan itu beriman atau sebaliknya, itu terserah kepadaNya. Dan hanya Dia sahaja yang akan menghisabnya. Dengan kefahaman seperti itu muslim tidak rasa terdesak untuk memaksa orang lain menganut Islam atau mendesak mereka untuk mengubah anutan mereka. Allah sendiri telah berfirman maksudnya: “Dan (bukanlah tanggungjawabmu wahai Muhammad menjadikan seluruh umat manusia beriman), jika Tuhanmu menghendaki nescaya berimanlah sekalian manusia yang ada di bumi. (Janganlah engkau bersedih hati tentang kedegilan orang-orang yang ingkar itu; kalau Tuhan tidak menghendaki) maka patutkah engkau pula hendak memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman?” (Yunus 10:99)

Justeru, tanggungjawab muslim adalah menyampaikan dakwahnya kepada manusia yang belum Islam. Apa respon mereka, sama ada menerima atau menolak terserah kepada Allah. Muslim tidak ditanya dan tidak dihisab tentang hal itu. Allah berfirman maksudnya: “Dan jika mereka mengemukakan bantahan kepadamu, maka katakanlah: "Allah Amat" mengetahui akan apa yang kamu lakukan. "Allah akan menghukum di antara kamu semua pada hari kiamat, mengenai apa yang kamu berselisihan padanya".(Al-Hajj 22:68-69)

Allah juga telah menegaskan bahawa Nabi s.a.w. diutus untuk membawa rahmat ke seluruh alam sebagaimana firmanNya yang bermaksud: “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” (Al-Anbiyaa' 21:107)
Rahmat ini tentunya bukan khusus kepada umat Islam sahaja. Malah merangkumi seluruh umat manusia tanpa mengira bangsa dan agama, bahkan meliputi alam seluruhnya. Lantaran itu, Allah tekankan tujuan penciptaan manusia dalam pelbagai bangsa dan warna adalah supaya mereka saling berkenalan dan bekerjasama. “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).” (Al-Hujuraat 49:13)

Allah juga menegaskan bahawa dengan kasih sayangNya Dia menjamin rezeki untuk semua makhlukNya tanpa mengira mu’min atau kafir. “Tidakkah engkau melihat bahawa Allah telah memudahkan apa yang ada di bumi untuk kegunaan kamu, dan (demikian juga) kapal-kapal yang belayar di laut dengan perintahNya? Dan Ia pula menahan langit daripada runtuh menimpa bumi, kecuali dengan izinNya; sesungguhnya Allah Amat melimpah belas kasihanNya dan rahmatNya kepada umat manusia.” (Al-Hajj 22:65)

Allah menganjurkan orang-orang yang beriman supaya bersifat pemaaf. Sifat pemaaf ini bukan sahaja dengan memaaf kesalahan orang yang beriman. Sebaliknya merangkumi semua manusia. Allah berfirman maksudnya: “Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa; Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik;” (A-li'Imraan 3:133-134)

Mu’min juga diperintahkan agar berlaku adil kepada semua tanpa mengira bangsa dan agama. “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.”(Al-Maaidah 5:8)

Perlu ditegaskan bahawa apabila Islam mengiktiraf kepelbagaian bangsa, agama dan budaya tidak bermakna umat Islam harus mengabaikan tanggungjawab dakwah serta mengajak semua manusia kepada Islam. Rasulullah s.a.w. tidak henti-henti berdakwah dan mengharapkan semua manusia menerima Islam yang dibawanya sehingga baginda s.a.w. pernah berdoa supaya insan-insan yang memusuhinya, Umar bin al-Khattab dan Abu Jahal diberi hidayah oleh Allah. Akhirnya Allah memaqbulkan doa baginda dengan Islamnya Umar bin al-Khattab r.a.

Keinginan yang begitu mendalam agar semua manusia menerima hidayah membuatkan baginda berasa amat sedih bila seruannya ditolak, usahanya dihalang, ditentang dan dimusuhi. Kedukaan baginda digambarkan oleh Allah di dalam firmanNya yang bermaksud:
Jangan-jangan pula engkau (wahai Muhammad), membinasakan dirimu dengan menanggung dukacita, kerana mereka tidak menjadi orang-orang yang beriman.”(Asy-Syu'araa' 26:3)
Maka (fikirkanlah) adakah orang yang diperelokkan kepadanya amal buruknya (oleh Syaitan) lalu ia memandangnya dan mempercayainya baik, (bolehkah disifatkan sebagai orang yang menjalankan peraturan yang ditetapkan Allah untuk memberi hidayah kepadanya, atau sebaliknya) ? Kerana sesungguhnya Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya, dan Ia juga memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Oleh itu, janganlah engkau membinasakan dirimu (wahai Muhammad) kerana menanggung dukacita terhadap kesesatan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka kerjakan.” (Faatir 35:8)

Namun bagitu, sepanjang hayatnya, sepanjang kegigihannya dalam berdakwah baginda tidak pernah memaksa atau menekan sesiapapun untuk menerima Islam, apa lagi menzalimi dan mengabaikan hak-hak mereka sebagai manusia.

Diolah daripada artikel tulisan Dr Raghib al-Sarjani

Islamstory.com

ALLAH MAHA PENGAMPUN

15/12/16 bersamaan 15/02/38

Perkongsian hari merupakan sepotong hadis yang sangat popular. Saya yakin ramai yang pernah mendengar, malah menghafalnya.

أَنَّ نَبِيَّ اللَّهِ -صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- قَالَ: (كَانَ فِيمَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ رَجُلٌ قَتَلَ تِسْعَةً وَتِسْعِينَ نَفْسًا فَسَأَلَ عَنْ أَعْلَمِ أَهْلِ الْأَرْضِ فَدُلَّ عَلَى رَاهِبٍ فَأَتَاهُ فَقَالَ إِنَّهُ قَتَلَ تِسْعَةً وَتِسْعِينَ نَفْسًا فَهَلْ لَهُ مِنْ تَوْبَةٍ؟ فَقَالَ: لَا. فَقَتَلَهُ فَكَمَّلَ بِهِ مِائَةً. ثُمَّ سَأَلَ عَنْ أَعْلَمِ أَهْلِ الْأَرْضِ فَدُلَّ عَلَى رَجُلٍ عَالِمٍ فَقَالَ: إِنَّهُ قَتَلَ مِائَةَ نَفْسٍ فَهَلْ لَهُ مِنْ تَوْبَةٍ؟ فَقَالَ: نَعَمْ وَمَنْ يَحُولُ بَيْنَهُ وَبَيْنَ التَّوْبَةِ, انْطَلِقْ إِلَى أَرْضِ كَذَا وَكَذَا فَإِنَّ بِهَا أُنَاسًا يَعْبُدُونَ اللَّهَ فَاعْبُدْ اللَّهَ مَعَهُمْ وَلَا تَرْجِعْ إِلَى أَرْضِكَ فَإِنَّهَا أَرْضُ سَوْءٍ. فَانْطَلَقَ حَتَّى إِذَا نَصَفَ الطَّرِيقَ أَتَاهُ الْمَوْتُ فَاخْتَصَمَتْ فِيهِ مَلَائِكَةُ الرَّحْمَةِ وَمَلَائِكَةُ الْعَذَابِ, فَقَالَتْ مَلَائِكَةُ الرَّحْمَةِ: جَاءَ تَائِبًا مُقْبِلًا بِقَلْبِهِ إِلَى اللَّهِ, وَقَالَتْ مَلَائِكَةُ الْعَذَابِ إِنَّهُ لَمْ يَعْمَلْ خَيْرًا قَطُّ. فَأَتَاهُمْ مَلَكٌ فِي صُورَةِ آدَمِيٍّ فَجَعَلُوهُ بَيْنَهُمْ. فَقَالَ: قِيسُوا مَا بَيْنَ الْأَرْضَيْنِ فَإِلَى أَيَّتِهِمَا كَانَ أَدْنَى فَهُوَ لَهُ, فَقَاسُوهُ فَوَجَدُوهُ أَدْنَى إِلَى الْأَرْضِ الَّتِي أَرَادَ فَقَبَضَتْهُ مَلَائِكَةُ الرَّحْمَةِ.

Daripada Abi Sa’eid Sa’d bin Malik bin Sinan al-Khudriy r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda: “Pada suatu masa dahulu daripada kamu terdapat seorang lelaki telah membunuh 99 orang manusia. Maka dia betanya tentang seseorang yang paling alim di muka bumi. Ditunjukkan kepadanya agar bertemu dengan seorang rahib. Lalu dia datang bertemu dengan rahib tersebut lantas berkata bahawa dia telah membunuh 99 orang manusia. Adakah peluang untuknya bertaubat? Rahib menjawab tidak ada. Lalu dibunuhnya rahib itu. Maka lengkaplah 100 nyawa terbunuh di tangannya. Kemudian dia bertanya lagi tentang seseorang yang paling alim di muka bumi. Ditunjukkan kepadanya seorang lelaki yang alim. Diapun datang bertemu lelaki yang alim itu lantas berkata bahawa dia telah membunuh 100 orang manusia, adakah peluang untuknya bertaubat? Lelaki alim itu menjawab, ya! Siapakah yang menjadi penghalang antara  dia dengan taubat? Seterusnya lelaki alim itu menasihati pembunuh itu dengan berkata: “Pergilah kamu ke negeri sekian dan sekian. Sesungguhnya di situ terdapat orang-orang yang beribadah kepada Allah Ta’ala. Maka beribadahlah kamu bersama dengan mereka. Jangan kamu kembali lagi ke negeri kamu kerana ia merupakan negeri yang jahat.”
Maka berangkatlah lelaki itu sehingga apabila dia tiba di pertengahan jalan, maut mendatanginya. Lalu dia menjadi rebutan antara malaikat rahmah dan malaikat azab.
Malaikat rahmah berkata: dia datang kepada Allah dengan hati yang bertaubat mengharap keampunanNya.
Malaikat azab meningkah: sesungguhnya dia belum melakukan apa-apa kebaikan lagi.
Maka datanglah malaikat lain dalam rupa seorang anak Adam. Mereka bersetuju menjadikan malaikat ketiga itu sebagai hakam (orang tengah) bagi menyelesaikan petikaian antara kedua malaikat tadi.
Malaikat yang jadi hakam itu berkata: ukurlah jarak di antara dua negeri. Negeri manakah yang paling hampir dengan jenazahnya, maka dialah yang berhak mengambilnya.
Merekapun mengukurnya. Mereka mendapati jenazahnya lebih dekat kepada negeri yang hendak ditujunya. Maka dia diambil oleh malaikat rahmah.” Muttafaq ‘alaih.

Subhanallah! Terlalu banyak pengajaran yang dapat dikutip daripada apa yang dikisahkan di dalam hadis ini. Lemahnya tanganku untuk menukilkan. Ceteknya ilmuku untuk menyelami lautan hikmahnya. Ya Allah, kepadaMu aku bermohon: Rabbi zidni ‘ilma...

Pertama dan yang paling menyerlah adalah sifat Maha Pengampunnya Allah. Membunuh adalah dosa paling besar selepas syirik. Dan lelaki ini bukan membunuh seorang manusia secara tidak sengaja, sebaliknya membunuh 100 orang, secara sengaja. Pun begitu, Allah tetap menerima taubatnya! Subhanallah! Ampunilah dosa kami. Kami tidak pernah membunuh ya Allah. Malah tidak pernah terlintas di benak kami untuk melakukannya. Ampunilah hambaMu yang hina ini ya Allah dan sahabat-sahabatku yang membaca gurisan hatiku ini.

Kedua, andai masih tersimpan dendam di hati anda terhadap seseorang, fikirkanlah dosa sebesar manakah yang dilakukannya terhadap anda? Siapakah yang telah dibunuhnya dan berapa orang? Kalau dia tidak membunuh, apakah dosanya yang lebih besar sehingga anda tidak sanggup memaafkannya walhal Allah mengampunkan dosa hambaNya yang telah membunuh 100 orang dengan sengaja!

Ketiga, rahib adalah gelaran kepada golongan yang banyak beribadah dari kalangan Bani Israel. Orang yang banyak beribadah tidak semestinya banyak ilmu. Maka jangan terpedaya pada seseorang yang kita lihat banyak ibadahnya. Tanpa ilmu dia mungkin membinasakan diri sendiri dan orang lain. Dalam kisah di atas, jawapan yang tidak berlandaskan ilmu membuatkan nyawanya tiba-tiba melayang. Dan cuba bayangkan sekiranya pembunuh itu mati sebelum bertemu dengan lelaki yang alim, mungkin dia tidak selamat dari azab Allah. Maka dengan kejahilannya rahib itu telah merugikan dirinya dan orang lain. Dia mempunyai peluang untuk meraih pahala membimbing hamba Allah yang hendak bertaubat, tapi dek kejahilan bukan saja peluang keemasan terlepas malah nyawa sendiri menjadi mangsa.

Keempat, pendakwah bukan penghukum. Tanggungjawab pendakwah ialah membawa manusia dekat kepada Allah, bukan menghukum dan menjauhkan mereka dari Allah. Hanya Allah sahaja yang berhak untuk menghukum atau mengampunkan semua makhlukNya. Pendakwah hanya betanggungjawab untuk menyampai dan mengajak. Lihatlah betapa tinggi adab lelaki yang alim itu. Dia terus menjawab “ya” tanpa teragak-agak, tanpa mengutuk dan mengungkit kesalahan silam lelaki itu.

Kelima, untuk jadi baik, tsabat dan istiqamah di jalan kebaikan perlukan kawan dan persekitaran yang baik. Maka jika ingin berhijrah tidak cukup dengan niat semata-mata. Persekitaran dan rakan-rakan juga perlu dicari yang baru. Jika masih berada di tempat lama, dalam lingkungan kawan-kawan yang lama, sekuat manapun niat dan azam kita dibimbangi akan luntur juga sudahnya.

Keenam, perbezaan pendapat adalah sesuatu yang lumrah lebih-lebih lagi apabila masing-masing melihat sesuatu dari sudut yang berbeza. Di dalam kisah ini dua malaikat berbeza pendapat tentang jenazah seorang lelaki yang mati dalam perjalanan mencari keampunan Rabbnya. Jadi kalau malaikatpun berselisih pendapat, apa lagi kita manusia? Bukan salah kita berbeza pendapat asalkan kita bersedia untuk mencari jalan penyelesaiannya.

Ketujuh, dalam menangani perbezaan pendapat, kita kena terima bahawa tidak semestinya pendapat kita salah dan pendapat dia betul, atau pendapat kita betul pendapat dia salah. Ini kerana yang menyebabkan perbezaan pendapat itu adalah perbezaan sudut pandang. Malaikat rahmat melihat dari sudut lelaki itu bertaubat dan berusaha untuk memperbaiki dirinya. Malaikat azab melihat dari sudut banyaknya dosa padahal kebaikan belum ada. Maka sama-samalah kita berlapang dada dan cuba memahami antara satu sama lain bak kata Hasan al-Banna, kita berkerjasama dalam perkara yang kita sepakati dan kita terima alasan mereka dalam perkara yang kita setujui.

Kelapan, pentingnya menjaga niat walau di mana, dalam keadaaan apa dan pada bila-bila masa kerana kita tidak tahu bilakah maut akan menjemput kita. Alangkah bahagianya sekiranya maut datang ketika kita sedang berniat untuk melakukan kebaikan.

Hanya Allah Maha Mengetahui. Ini hanyalah secubit mulahadzah (pemerhatian) yang aku mampu. Moga bermanfaat.

DOA UNTUK MATI SYAHID

InsyaaAllah azamku sepanjang Rabiul-Awwal ini, berkongsi sekurang-kurangnya satu hari satu hadis. Semoga dengan ini diriku dan orang yang membacanya lebih dekat kepada Islam, lebih memahami ajarannya, beramal dengan berlandaskan ilmu serta menyebarnya tanpu ragu dan sipu...
Daripada Abi Tsabit, ada yang berkata Abi Sa’eid, ada yang berkata Abi al-Walid Sahl bin Hunaif, Ahli Badar r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesiapa yang memohon kepada Allah akan syahadah (mati syahid di jalanNya) dengan benar, Allah akan sampaikannya ke tingkat syuhada’ sekalipun dia mati di atas tilamnya.” Riwayat Muslim

Apa yang saya pelajari daripada hadis ini:

1.       Muslim mesti mempunyai cita-cita yang tinggi, iaitu mati syahid

2.       Muslim mesti berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai apa yang dicita-citakan dengan memohon pertolongan daripada Allah SWT. Tanpa pertolonganNya tidak ada apa yang mampu kita capai

3.       Jangan ragu untuk berdoa dan jangan hadkan doa dalam batas tertentu, sebaliknya mintalah apa saja yang kita mahu kerana kita meminta dari Yang Maha Berkuasa, Maha Kaya, Maha Memberi. Tidak suatupun yang dapat menghalang kuasa dan kehendakNya jika Dia mahu memberikan apa yang kita minta. Jika Dia tidak qabulkan doa kita di dunia, Dia simpan pahala untuk kita di akhirat  


4.       Peluang untuk mencapai syahadah adalah dengan menggabungkan diri ke dalam gerabak dakwah dan jihad. Itulah bukti kebenaran doa kita untuk mati syahid. Dan Allah hanya akan sampaikan kita ke tingkat syudaha’ jika kita memohon dengan benar. 

Wednesday, November 23, 2016

INDAHNYA SIFAT BERLAPANG DADA


Talhah bin Abdul Rahman bin 'Auf merupakan seorang berbangsa Quraisy yang paling pemurah, paling baik hati pada zamannya.

Pada suatu hari isterinya berkata kepadanya, "Aku tidak pernah melihat satu kaum yang lebih teruk dan lebih tercela akhlaknya selain daripada saudara-saudaramu!"

"Kenapa engkau berkata begitu?", soal Talhah. Isterinya menjelaskan, "Betapa tidak? Aku mendapati mereka itu apabila engkau berada dalam keadaan kaya dan senang, mereka tidak lekang dari mengunjungimu. Apabila engkau berada dalam keadaan miskin dan susah, mereka tinggalkan dan menjauhkan diri darimu!"

Talhah berkata, "Demi Allah, sesungguhnya itulah kemuliaan akhlak mereka. Mereka datang ketika kita mampu untuk memuliakan mereka. Dan mereka tidak datang ketika kita tidak mampu untuk menunaikan hak mereka (kerana mereka tidak mahu menyusahkan kita)!"


Imam al-Mawardi mengulas kisah di atas dengan berkata, "Lihatlah bagaimana mulianya hati Talhah. Dia mentakwilkan perbuatan saudara-suadaranya sehingga akhlak yang buruk bertukar menjadi mulia, kecurangan yang nyata bertukar menjadi setia. Demi Allah! Ini adalah bukti yang menunjukkan bahawa salamatus-sadr (berlapang dada) itu mendatangkan kerehatan di dunia dan keberuntungan di akhirat. Dan ia merupakan satu daripada sebab masuk syurga. Firman Allah Ta'ala bermaksud: "Dan Kami cabut akan apa yang ada dihati mereka dari perasaan hasad dengki sehingga menjadilah mereka bersaudara (dalam suasana kasih mesra), serta mereka duduk berhadap-hadapan di atas pelamin masing-masing.” (Al-Hijr 15:47)